Thursday, July 31, 2003

MENGGENGGAM DARAH

Kubuka sebuah pintu dengan tangan yang berdarah dan impian pecah di dalam genggaman, ketika di hatiku tiada lagi laut dan hutan untuk menyembunyikan segala rahsia seorang manusia bernama lelaki.

Pertama kali aku membaca puisi dari Marsli NO ini pada hujung minggu lepas. Dari ruangan sastera Berita Minggu. Puisi pendik ini amat bermakna dan begitu dalam maknanya sehingga aku rasa ia sesuai sekali "dipinjamkan" untuk Detik Jantung Waktu. Puisi ini melatari kisah hidup aku buat masa ini. Biarlah tangan berdarah dan harapan pecah di tangan. Segalanya memang telah tersurat sebegitu rupa di Luh Mahfuz.

Aku bertemu dengan Puan pengarah aku pagi semalam. Kami ada meeting atau lebih kepada luahan hati aku. Berbincang kenapa aku tidak mahu mengetuai unit baru itu. Aku telah jelaskan dalam entri aku yang terdahulu mengapa. Tapi dia terus-terusan menggesa aku kerana katanya dia amat yakin aku mampu melakukannya.

Amat aneh sekali orang lain begitu yakin. Sedangkan hati aku berbelah bagi. Ini soal masa depan dan kerjaya aku. Aku amat keberatan untuk menukar bidang dalam usia yang dah menginjak awal 30an. Terlalu tua untuk memulakan pusingan baru dalam hidup. Memulakan segalanya dari bawah dari kosong. Rasa tidak berdaya dan terbuang pulak kini. Badan aku telah mula rasa nak demam. Penat otak aku menjana maklumat memikir benda ini dari minggu lepas lagi.

Tapi kadangkala rasa seronok pulak meneroka bidang baru. Sebabnya mungkin itulah yang paling sesuai dan secocok dengan citarasa aku. Suatu ketika pula takut tidak mencapai apa yang pihak pengurusan harapkan. Tahu sahajalah private company ni. Tapi belum cuba belum tahu. Bagaimana aku ingin mencuba kalau aku sendiri tidak seronok untuk memikul bebannya?

Kadangkala aku rasa aku telah mencapai tahap bekerja hanya untuk mengisi masa lapang aku. Dari tak buat apa baik aku bekerja. Pelik bukan? Aku tak mampu bergerak jika tidak ada "passion" dalam melakukan sesuatu tugas. Tapi bila aku sedar kita ini hanya makan gaji dan company ini orang punya. Aku tak ada pilihan dari terus memikul beban yang tersedia terlonggok di depan mata!

Seperti tikaman lawan,
Kerusuk pahlwan begitulah lukaku kawan.
Dan aku menjadi lebih gagah menggenggam darah
Meneruskan langkah.

SM NOOR


RAAZ

Malam tadi menonton filem seram Hindi ini di TV3. Tapi biasalah diorang kata itu versi "suci" dan kena beli VCD kalau nak nonton yang full version. Orang India pun dah mampu hasilkan filem seram yang ada mesej walaupun tidaklah asli screenplay dia. Ceduk dari beberapa filem barat / asia yang lain. Seronok dengar lagu dia masa part lelaki tu dan isterinya di majlis perkahwinan (agaknyalah). Dulu hanya filem seram dari Indonesia sahaja yang mampu buatkan aku tak boleh lelap mata masa kecil. Sudah terlalu lama tak nonton filem Hindi semenjak lecturer dari India yang duduk rumah kami tu balik India.

Wednesday, July 30, 2003

BELAJAR BERSYUKUR

Aku menelefon mak semalam. Beritahu dia tentang perkembangan terkini Man. Mungkin masalah yang dihadapinya akan selesai dalam tempoh seminggu seperti yang dijanjikan oleh Tan Sri itu. Tan Sri tu pun kata, sepatutnya tiada masalah dengan akaun Man. Buat apa nak bekukan. Mungkin disebabkan BNM tengah rancak membenteras kemasukan wang haram ke negara kita dan negara asia yang lain. Tapi bagi yang menjalankan transaksi yang sah buat apa nak menganiaya mereka. Aku kira Man menjadi mangsa dalam hal ini. Pihak percukaian akan mengenakan 26% dari keseluruhan hasil yang ada dalam akaun Man. Itu tidak menjadi apa aku kira. Potong sahajalah buat apa nak bekukan akaun orang. Man akan mengambil tindakan undang-undang kalau kes ini tak selesai dalam tempoh seminggu. Kemasukan wang haram bukan isu baru, memanglah walau sebanyak mana yang diperolehi oleh sesebuah negara itu kalau ianya hasil wang haram tetaplah tidak memberi sebarang kesan untuk ekonomi sesebuah negara itu. Itu aku amat jelas.

Mungkin Man muda dan mereka tidak yakin orang sepertinya ada wang seperti itu dalam akaunnya. Mereka boleh buat siasatan tapi setiap apa yang dilakukan berlandaskan undang-undang dan ada bukti transaksi yang sah. Inilah yang aku tidak faham. Bila hal ini sudah selesai nanti, Man akan berhijrah ke UK. Dia kata di sana lebih aman untuk menjalankan urusniaga. Contact dia pun ramai. Aku kagum dengan kecekalan Man. Dia bukan budak kecil yang boleh digula-gulakan. Seorang anak muda yang penuh bersemangat dalam hidup. Tidak pernah mengeluh walaupun begitu banyak dugaan yang harus dilaluinya. Dia sukakan cabaran dan tidak mahu terikat dengan tugasan di ofis seperti aku. Kami amat berbeza sekali.

Aku perlu belajar bersyukur tentang apa yang berlaku pada keluarga kami semenjak kebelakangan ini. Dugaan dan cabaran silih berganti. Kita juga perlu mencari kabahagiaan untuk diri kita sendiri. Aku belajar ini dari N. Sebabnya hati orang tetaplah hati orang. Kebahagiaan kita, kita sendirilah yang menentukan.

Tuesday, July 29, 2003

SELAT MELAKA VS SELAT INGGERIS

Aku tak tahu berenang. Masa aku , Zul dan geng dari UTP buat rombongan ke Pulau Redang aku hanyut masa aktiviti snorkling. Diorang buat selamba sahaja dan biarkan aku gelabah di bawa arus. Sayup-sayup terlihat dasar laut kehijaunan dek timbunan karang yang dalam, tak terfikirkan lagi keindahan laut. Cuma yang aku ingat janganlah ada jerung yang tersesat nampak aku. Dan dia sangka aku hidangan makan malam dia pulak hari itu. Aku tak reti berenang dan tak bercadang pun nak buat renangan marathon macam Abdul Malik Mydin anak kelahiran Kampung Gajah, Butterworth Pulau Pinang.

Selat merupakan kawasan yang mempunyai air yang sempit dan menyambungkan dua kawasan air yang luas. Selat berfungsi untuk memisahkan di antara dua kawasan seperti memisahkan di antara dua buah negeri. Sesetengah selat menjadi laluan perdagangan yang penting dan terkenal. Selat-selat yang penting di dunia ialah Selat Bering, Dover, Gibraltar dan Selat Magellan. Selat Melaka yang memisahkan Malaysia dan Indonesia memang terkenal sejak berzaman. Tapi tak pasti pulak jika ada orang yang telah mencipta rekod berenang secara marathon menyeberangi selat tersebut.

Kalau Malik berenang dari Melaka ke Medang di Pulau Rupat Indonesia. Ada tak nilai komersial dia? Ada tak orang akan taja? Ada orang pandang entah tidak. Aku tak pasti ada orang yang berenang di Selat Melaka kecuali pendatang tanpa izin. Kalau Malik berenang di Selat Melaka rasanya tidak begitu mencabar. Tidak ada suhu sejuk yang melampau, mungkin hanya banyak obor-obor dan orang tak pandang sangat. Buat pemanas badan bolehlah? Betul ker Malik?

Jadi apa istimewanya Selat Inggeris?
Selat Inggeris menjadi target utama perenang marathon dunia kerana suhu air yang sejuk, tiupan angin yang kencang, arus pertemuan laut utara yang dingin & lautan Atlantik yang panas sehingga mewujudkan fenomena cuaca unik. Pada 1875 perenang inggeris Kapten Matthew Webb menjadi perenang pertama berjaya merentasi selat ini. Sejak itu kira-kira 500 daripada lebih 7,000 perenang merentasi Selat Inggeris sepanjang 33 kilometer itu seperti yang direkodkan oleh Persekutuan Renang dan Pengemudian Selat (SPF). Jadi Malik ingin meraih pengiktirafan sebagai anak Melayu pertama yang dapat melakukannya. Jika cuaca mengizinkan Malik akan berenang dari Dover di Tenggara London ke Cap Griz Nez di Calais, Peranchis.

Jadi kita kena keluar dari lingkungan Melayu. Untuk mencipta rekod kita mesti cipta sesuatu yang hebat. Biar orang diluar sana lihat kehebatan anak Melayu. Kalau buat dekat-dekat, dalam negara nanti orang ingat jaguh kampong pulak. Buat penat sahaja. Aku tidak ingat sejak bila bermula kegilaan untuk mencipta rekod-rekod ini bermula. Mungkin semenjak adanya buku Guiness Book of Records. Bukankah manusia sukakan sesuatu yang pelik. Pelik itu menarik bagi masyarakat moden. Lagi pelik lagi gempak . Entahlah tapi kenapa yer Selat Inggeris? Rasanya ramai dah orang yang telah berenang menyeberang Selat Inggeris tu.

Entahlah harap-harap keadaan laut ok. Malik boleh berenang dan buat marathon yang orang macam aku memang takkan buat .Malik melakukannya untuk kepuasan peribadi. Walaupun ramai menganggapnya satu kerja gila. Jadi siapa yang akan mengingati usahanya ini? Kitalah rakyat Malaysia. Semoga berjaya Malik!

Catatan untuk Man

Hari ini Man ada Meeting di B*M. Moga segala masalah dapat diselesaikan dengan segera. Sudah terlalu lama dan tak berdaya nak menanti hasilnya. Banyak perkara yang tergendala. Moga Allah permudahkan jalan, dan ada sinar bahagia yang menanti.


Nota untuk N@K

Kalau diri sendiri tidak bahagia mana mungkin dapat berkongsi kebahagian dengan orang lain.

Monday, July 28, 2003

3, 13 & 31

3 Sen

Harga yang dibayar oleh Singapore kepada kerajaan Malaysia untuk setiap 1000 gelen air ialah 3 sen. Siapa kata duit tiga sen tidak bernilai? Boleh dapat 1000 gelen air kalau kawasan sawah orang tua aku di TK kering bolehlah memohon dapatkan air dengan harga 3 sen itu. Tapi diorang tak akan jual dengan harga tu pada rakyat tempatan. Upah pam air dari parit ke sawah pun RM 80.00 sehari semalam. Jadi simpan sajalah 3 sen itu buat kenang-kenangan.

13 Tahun

Budak lelaki 13 tahun yang dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah membunuh anak guru tuisyen boleh menyambung pelajaran ketika dalam tahanan. Ini sejarah baru yang tercipta. Usia muda pun boleh terfikir untuk bertindak ganas. Jadi jangan pandang rendah usia budak berusia 13 tahun. Mungkin kita akan terkejut dengan sesuatu yang tidak terjangkakan.

31 Tahun Kemudian

Mungkin hanya budak lelaki itu sahaja yang mengetahui kenapa harga air itu 3 sen. Dan dia berjaya mengubah sejarah baru negara kita buat sekian kalinya.


JENAKA DJW

Seorang datuk masih lagi bersedih di atas kematian isterinya hampir sebulan lalu. Melihat keadaan itu salah seorang cucunya yang berusia lapan tahun menyapanya. "Kenapa datuk masih bersedih sedangkan datuk pernah berkata kita terpaksa merelakan orang yang disayangi menghadap ilahi,'"kata cucunya.

"Bagaimana atuk tidak bersedih. Kalau nenek mu meninggal dunia 20 tahun lalu tentu atuk tidak terlalu bersedih seperti ini. Bolehlah atuk cari pengganti, tetapi sekarang tiada apa yang atuk boleh lakukan,' ujarnya tersedu-sedu.

Saturday, July 26, 2003

SMS

Setiap hari aku menerima SMS dari kengkawan. Ada sesekali menerima pantun nakal yang mampu membuatkan aku tersengih . SMS memang satu keperluan masakini. Yelah ianya lebih berbaloi berbanding membuat panggilan yang belum tentu terjawab. Selain kosnya jauh lebih murah.

Kuasa SMS juga amat tinggi, tersalah hantar atau dengan niat jahat ia boleh mengharu-birukan sesebuah rumahtangga. Ada suami yang tidak selesa bila si isteri sentiasa menyemak SMS yang diterimanya. Yalah kalau tak buat sesuatu yang tak elok takkanlah berasa takut ye tak. Tidak seperti panggilan telefon, lokasi pengirim atau no telefon pengirim tidak tertera di bil. Jadi ia lebih selamat untuk tujuan-tujuan tertentu.

Aku pernah tersalah hantar beberapa SMS kepada kawan baik aku di Kuantan. Entah di mana silapnya si isteri syak yang suaminya mempunyai skandal dengan wanita lain. Si isteri telah menghantar SMS kepada aku dan bertanya itu dan ini sambil memberikan nama-nama perempuan. Jadi aku jelaskan kepadanya yang aku memang tersilap hantar SMS aku itu. Nasib baik dia tak saman aku sebab SMS tersebut. Tapi aku dapat tahu dari si isteri bahawa suaminya memang ada mempunyai ramai kenalan perempuan yang hampir memporak-perandakan rumahtangga mereka. Dari aku tak tahu apa-apa tentang A aku dapat maklumat secara tak sengaja dari SMS isterinya. Semenjak kes tersebut aku jarang hantar SMS dan kalau hantar pun aku amati dahulu nombor yang aku nak hantar beberapa kali.

Mahkamah Syariah telah lama memutuskan bahawa lafaz cerai melalui SMS juga sah. Kes di Mahkamah Syariah Gombak Timur menarik untuk dijadikan pengajaran. Kisahnya si suami menghantar SMS ke pada isterinya yang berbunyi, "kalau engkau tak keluar dari rumak mak bapak engkau, jatuh talak tiga." Lafaz cerai yang dilakukan diluar mahkamah melalui SMS tersebut adalah cerai taklik. Kemudian mahkamah mengesahkan cerai taklik talak tiga terhadap isterinya, iaitu talak secara ba'in (tidak boleh dirujuk). Itulah terlajak hantar SMS tak boleh di tarik balik . Jadi janganlah salahgunakan untuk tujuan yang bukan -bukan walaupun mungkin tujuan asalnya hanya untuk mengertak .

Tapi andai berjauhan dengan si dia SMS boleh mengubati kerinduan yang melangit. Walaupun dengan hanya pesanan "tengah buat apa tu?". Ianya cukup membuatkan hati kita berlagu riang. Senyum-senyum seharian. Tapi kalau tak dapat apa-apa rasa macam hampeh jerr.

Oklah oleh kerana aku tak bekerja hari ini. Cadang nak ke JB tetapi oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Aku cancel trip ke sana. Aku nak balik kampung di TK pagi Ahad ambil Yana dan Ajak. Selamat berhujung minggu semua.

Nota untuk N :

"Antara kita tak siapa pun yang perlu menyusun gurindam atau memetik kecapi. Siulan angin yang nipis mengimbau pada langsir biru telah menguncikan bibir kita dari segala kata".

Aku benci bila kau diam. Aku suka melihat kau bernafas di depanku walau tanpa sepatah kata.


Nota untuk WI :

Engkau pun tak sampai hati untuk terus membohongi aku. Terima kasih kerana menyedarkan aku bahawa kebaikan mu hanya kerana hal PR itu. Aku tak akan mendendamimu. Selamat berkampung di tempat baru. Bila sampai di Jakarta nanti kirimlah berita. Jadilah orang yang jujur sekurang-kurangnya pada diri sendiri. Aku tak mahu ke Singapore bukan sebab takut hal Newater itu. Aku tiada jawapan. Untuk apa aku bagitau sebabnya kalau kau sendiri tidak mahu mendengar.

Aku biarkan segala harapan itu jatuh terhempas berkecai. Aku tak mahu terus berlari ke langit.

Friday, July 25, 2003

MAKAN - MAKAN DI OFIS

Semalam rezeki kami amat murah. Ramai staff yang dah kahwin & anak dara jugak bawak makanan ke ofis. So kami dapat makan bersama. Ada bubur kacang plus durian cicah roti, kuih-muih dan sebagainya. Kenyang kami semua seharian. Aku tolong buat air jer pagi tu. Thanks ler pada mereka yang pemurah moga rezeki dari Allah digandakan lagi.

Aku takde mood nak buat kerja selagi boss aku tak datang ke Cyber discuss pasal department baru tu. Aku ada masa seminggu lagi untuk buat proposal initial plan untuk department tu dari staffing ke target untuk 5 tahun akan datang. Tang target ni ler yang aku lemah. Dah ler kena mula dari bawah lagi dengan kemudahan dan team yang belum tentu, dah tanya pasal target. Kat sini semuanya mesti countable.

Kat tempat aku ini, kebanyakkan Pengarah pernah dimasukkan ke wad sebab sakit yang macam-macam. Terutamanya sakit kepala. Memang ler banyak beban yang perlu difikirkan terutamanya bila kedudukan tu tinggi. Tapi aku belum bersedia untuk "pecah kepala" dengan sesuatu yang tidak berbaloi. Aku lebih suka buat kerja ikut apa yang di bayar. Kalau banyak, banyaklah aku kerja. Jangan nak jangkakan sesuatu yang "terlampau" kalau imbuhan dia tidak memadai. Tak sesuai langsung.

Tapi bila kita kerja ni bukan sahaja tentang imbuhan. Duit banyak mana pun kalau hidup bagai dalam bara api buat apa. Bila hidup kita tak happy akan menimbulkan tekanan sahaja. Kepuasan bekerja itu penting. Bila kita suka melakukan sesuatu kerja, kita akan sentiasa tekun dan membuat yang terbaik. Kita ikhlas buat sesuatu tanpa disuruh, stay back lama-lama kat ofis pun no hal. Bangun pagi pun happy jer bila nak mula kan hari baru. Muka pun berseri-seri jerr. Konsep kerja sebagai ibadah pun akan mudah dilaksanakan. Tidak ler merungut sahaja tak tentu pasal.

Mungkin apa yang aku ada sekarang ini tidak akan berkekalan. "Keseronokan" bekerja ini akan berakhir juga. Sebabnya mungkin diorang cemburu melihat aku happy sentiasa. Diorang nak pastikan hidup aku terseksa balik. Terkejar kesan, terkejar kesini. Demi mencari rezeki. Hidup bagai roda, cabaran sememangnya dinantikan. Tapi setakat kerja makan gaji perlu ada had dalam membuat sesuatu. Kita juga ada kehidupan yang perlu diuruskan. Masa tahun 1999 hingga 2000 semasa kampus ini baru beroperasi kami selalu stay back sampai pukul 3.00 pagi di ofis. Hidup macam tu selama 2 tahun. Masa tu memanglah kami korbankan masa kami tanpa rasa kerugiaan. Tapi sekarang rasa malas nak buat macam tu semula. Dah tak larat .


Boleh tak aku menikmati apa yang aku dah ada sekarang ni?

Thursday, July 24, 2003

SUSAHNYA NAK KAYA

Terbaca tip menjadi kaya di Malaysia ." Jika kita bekerja di syarikat swasta dengan gaji RM 2,500, simpanlah 21 peratus atau RM 532 sebulan dalam bank yang memberi faedah, katakan 1 peratus sebulan. 25 tahun kemudian, wang kita akan menjadi RM 1 juta dan mungkin lebih". 25 tahun tu satu jangka masa yang lama dan kalau ikut umur aku sekarang usia pencenlah baru nak gunakan segala apa yang kita usahakan itu. Buat apa kumpul banyak duit tapi kita tidak boleh gunakan. Siapa nak gunakan duit itu semua? Sedangkan bila kita sihat kita hanya perlu bekerja dan hidup dengan gaya yang amat simple. Masa sekarang nilah kita nak gunakan duit untuk beli rumah, kereta, melancong dan sebagainya. Kalau dah pencen dan tak larat nak bergerak kemana-mana baru nak nikmati itu semua baik lah aku dengan cara aku sekarang ni.

Hidup ni macam pasaran saham jugak. Boleh naik turun ikut kuasa jual-beli. Nasib ditentukan pada angka-angka. Sesen turun boleh membuatkan orang jatuh bankrap. Naik punyalah susah turun boleh menghempap-hempap. Tindakan perlu pantas dan keajaiban tidak selalu berlaku. Peluang datang sekali sekala. Kena sabar dalam membuat perhitungan. Main saham memang memerlukan jantung yang kuat kalau tak mati kejung kat depan PC ler jawabnya. Inilah yang berlaku kepada aku untuk 2 minggu yang lalu dan segalanya telah berakhir. ESOS aku dah terjual. Tak banyak tapi oklah sebabnya dia punya modal cuma RM10.00 jer yang lain bank uruskan. Bolehlah dikatakan sebagai tambahan bonus untuk aku. Kalau aku nak buat duit hantaran pun rasanya boleh.

Memang susah nak jagi kaya bagi yang tidak dilahirkan kaya. Kerja makan gaji walaupun tidak boleh menjadikan kita kaya, pendapatan bulanan kita kalau diuruskan dengan baik boleh menyenangkan juga. Tapi kalau diikutkan hidup bersederhanalah pilihan yang paling ideal. Impian aku adalah untuk kaya dengan kesihatan yang baik, kaya dengan minda yang sihat supaya aku boleh pantas membuat keputusan dalam hidup. Kaya sifat luaran sahaja tidak ada gunanya. Kalau hutang keliling pinggang. Bestnya kalau hidup tanpa hutang. Rasa semua duit gaji adalah untuk kita. Boleh beli apa sahaja yang kita inginkan.

"Wang adalah benih kepada wang, dan sejuta pertama kadangkala lebih sukar diperolehi berbanding sejuta kedua." Jean Jacques Rousseau, Ahli falsafah terkenal abdd ke-17. Kenyataan Jacques ini mungkin ada benarnya dan inilah yang berlaku pada adik aku Man. Kerenah birokrasi atau entah apa-apa di B*M membuatkan akaun Man tidak dapat diaktifkan. Duitnya tidak dapat dikeluarkan hampir 2 bulan. Mula-mula di Singapore kemudian di transfer ke Malaysia. Still tak settle lagi, walaupun its just about time. Tapi memanglah geram, kalau dikenakan tax 30% pun potong ajelah ni macamlah susah sangat buat kerja itu. Bukannya hasil tu duit haram ker apa. Entah ler, payah benar nak kaya atau itulah dugaan yang harus dikecapi untuk hidup senang. Tapi memang ker kita perlu susah dahulu barulah boleh hidup senang?

Mungkin aku yang tak sabar, dah terbayang VIOS dan Allah akan uji kami dahulu sebelum mendapat apa yang diimpikan. Tapi sampai bila yer ? Mesti ada titik noktahnya atas semua ini.


Wednesday, July 23, 2003

UNDANG-UNDANG YANG MEMAKAN DIRI

"Mana-mana rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun maka dia bebas menganuti mana-mana agama pilihannya dan dijamin kebebasan beragama". Artikel ini telah digunakan oleh pihak Missionari untuk memurtadkan belia Islam hari ini. Inilah teknik Kristianisasi dan inilah padahnya yang menimpa ummah Muslim Malaysia di mana undang-undang yang dicipta memakan diri.

Statistik permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam amat mengejutkan. Bekas pengarah JPN menyatakan bahawa hampir semuanya melibatkan gadis Melayu.

Mengikut statistik sehingga Februari 1998, permohonan untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam dalam kad pengenalan (KP) yang diluluskan oleh JPN adalah seramai 795 orang, tahun 2000 seorang pendakwah Kristian, Saifudin Agustine bahawa statistik yang ada pada beliau ialah lebih 4000 orang yang menukar nama dalam KP, kemudian sehingga tahun 2002, maklumat terakhir yang diterima seramai 13, 700 orang yang diluluskan oleh JPN (Milenia Muslim, Julai 2003 pp:10-12).

Pada pandangan akulah masalah ini lebih kritikal daripada kerajaan sibuk dengan masalah lelaki lembut di universiti tempatan. Yang pasti lelaki lembut itu sudah semestinya seorang yang berpendidikan tinggi dan tahu apa yang diingini dalam hidup. Bagimana pula halnya bagi mereka yang mengamalkan agama bukan islam secara subversif, murtad dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

Masa kat kampus dulu nama Inggeris aku ialah "Kent". Wajib gunakan nama ni masa Pn. N*ri*h mengajar. Best jugak sesekali diorang panggil nama tu. Sebabnya aku dulu pakai spek mata macam Superman. Tapi apa ada pada nama kalau kita tidak menghargainya. "Kamal" bermakna "kesempurnaanku" tapi aku rasa aku ni jauh dari sempurna. Semua manusia memang tak sempurna. Banyak kelemahan, lalai, dan sifat-sifat negetif lain. Sebab itulah kita perlu ada undang-undang di negara kita yang tercinta ini. Tapi undang-undang banyak juga "lompong" udara. Banyak yang perlu dikaji dan diperbetulkan. Sebabnya orang-orang tertentu menggunakannya semula untuk menghentam balik. Kita kena tahu undang-undang walaupun kita tidak ambil law.

Nota :

Lama tak dengar lagu ini : ditujukan untuk pembaca blog aku dan N.

As i look into your eyes
I see all the reasons why
My life's worth a thousand skies
You're the simplest love i've known
And the purest one i'll own
Know you'll never be alone

My baby you
Are the reason i could fly
And 'cause of you
I don't have to wonder why
Baby you
There's no more just getting by
You're the reason i feel so alive
Though these words i say are true
They still fail to capture you
As mere words can only do
How do i explain that smile
And how it turns my world around
Keeping my feet on the ground

I will soothe you if you fall
I'll be right there if you call
You're my greatest love of all

N & my readers i feel so alive








Tuesday, July 22, 2003

BACAAN SANTAI

Teringat dulu aku memang seronok membaca Gila-Gila. Along yang membeli saban bulan dan kami adik beradik berebut membacanya. Dulu bahan bacaan memang kurang. Perpustakaan desa belum ada lagi. Tapi ada disediakan Perpustakaan Bergerak PPAS ke sekolah aku di TK. Masa itu akulah antara pengunjung setianya. Kualiti buku memang asal ada, banyak buku-buku Indonesia. Translation dari Indonesia. Tapi agak berbaloi sebab bahasa mereka masih boleh difahami.

Sekarang ini corak pembacaan bahan-bahan santai berubah dari Men Review, GQ hinggalah ke Anjung Seri dan Impiana. Komik dan kartun ada juga sesekali terlintas untuk membeleknya bila mengunjungi MPH atau Kino. Tapi jangan harap nak dapatkan majalah berbahasa Melayu di tempat-tempat ini. Nasib baik ada booth Mamak yang sudi menjualnya. Bahan-bahan import cukup banyak dan majalah-majalah ini harganya lebih mahal dari senaskah buku terbitan DBP. Kalau pergi ke perpustakaan awam pun pilihan tidak banyak ikut kehendak mereka kadangkala ada banyak majalah Golf dari IT dan sebagainya.

Ada satu kolum "Cinta Tak Semestinya Bersatu" yang selalu aku baca dulu dalam majalah Gila-Gila. Zaman di kampus GG masih dilanggan atau dibeli sekali-sekala. Teringat watak Kaduk, Liza & Kamal. Kaduk amat meminati Liza tetapi Liza menaruh hati pada Kamal. Kebetulan nama Liza adalah panggilan untuk H. So satu fakulti selalu menyakat aku dengan kisah "benar" itu. Tapi dalam realitinya masa itu Liza amat jual mahal terhadap Kamal yang wujud didepan matanya. Tapi akhirnya kami hampir bertunang juga. Aku tak pasti jika GG ada membuat koleksi khas untuk Cinta Tak Semestinya Bersatu. Kalau ada harus aku beli.

Banyak majalah yang ada di pasaran dan semuanya ada mengikut citarasa masing-masing. Mencakupi semua bidang dan perkara. Gaya bahasa yang digunakan lebih mudah. Jurnal akademik pula adalah terbitan untuk seseorang yang berkecimpung di dalam sesuatu bidang yang lebih spesifik. Contohnya Harvard Business Review sesuai untuk mereka yang mendalami ilmu perniagaan. Setiap golongan professional seharusnya meneruskan pembacaan jurnal-jurnal akademik yang menjurus di dalam bidang atau professionnya walaupun setelah meninggalkan alam universiti. Ini kerana kita harus memperlengkapkan diri dengan teori dan kajian terbaru dan mengikut perkembangan zaman atau 'state-of-the art" sesuatu bidang itu.




Monday, July 21, 2003

LELAKI TINGGI LEBIH DIMINATI?

Ini satu kenyataan! lelaki tinggi lebih diminati oleh wanita. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh saintis Britain, mereka mendapati lelaki tinggi lebih diminati oleh wanita kerana mereka kelihatan lebih menarik secara seksual. Manakala lelaki yang tinggi pula lebih mementingkan ciri-ciri fizikal dalam soal mencari pasangan dan biasanya mereka menyukai wanita yang lebih rendah daripada mereka.

Malang pulak bagi wanita yang bertubuh tinggi pula. Ialah mereka sukar untuk mendapatkan pasangan kerana kebanyakkan lelaki tidak suka pasangan mereka lebih tinggi . Satu lagi faktor yang menyebabkan lelaki tinggi lebih diminati ialah mereka dianggap lebih berjaya.

Kecantikan paras rupa dan fizikal adalah sesuatu yang subjektif. Itu hanya berlaku bila kita punya pilihan untuk memilih atau apa yang kita angankan. Semua orang inginkan yang terbaik dan sempurna. Tapi ianya tidak selalu terjadi seperti yang diimpikan. Kalau ada suami yang handsome tapi menyakitkan hati tidak guna juga. Isteri makan hati dengan tingkah laku suami. Curiga yang sentiasa menghempap-hempap perasaan. Apa yang penting wujudnya "chemistry" dan perasaan saling menghormati hak. Bagi isteri pula kecantikan hanyalah untuk suami. So pandai-pandailah membawa diri kata orang tu.

Kalau isteri cantik ni kadangkala susah nak "maintain", kos dia tinggi. So bagi suami kalau nak isterinya ayu jelita mestilah melabur sejumlah wang setiap bulan untuk keperluan kecantikan isterinya. Tetapi bersederhanalah sebab banyak lagi keutamaan lain. Kena masuk bajet bulanan ker alat mekap segala ni? So kalau tak nak 'invest' untuk benda tu jangan komplen kalau isteri tak ikut scala yang diingini.

Orang kata kalau dapat isteri yang lebih tinggi dari suami murah rezeki dan aman damai. Tom Cruise dan Nicole bercerai juga, tapi tidak dinafikan rezeki dia murah. My best friend juga bercerai dengan anak dua. Entah ler ini semua ketentuan Ilahi. Sebenarnya semua ini bergantung pada diri kita. Kalau kita pandai mengendalikan bahtera hidup berumahtangga, aman damai sentiasa. Banyak faktor - faktor lain yang turut membantu. Memetik komen Mamazah dari buku guestbook I " Wanita tidak dilahirkan untuk menderita". Saya sokong kenyataannya itu dan lelaki juga tidak akan menderita kalau bukan kerana wanita juga.



Sunday, July 20, 2003

KE USIA SENJA

Jumlah warga tua di negara kita akan meningkat. Aku pun akan tua dan memang dah menuju kearah itu pun. Tertarik aku pada kenyataan seorang pensyarah dari UPM katanya, " Kita mesti fikirkan tentang diri kita juga. Simpan duit untuk diri sendiri. Kalau kita ada duit anak-anak akan datang". Kenyataan ini ada benarnya, ianya berdasarkan pengalaman warga tua yang ditemui oleh Prof Madya tersebut. Bila kita berharta bukan sahaja anak-anak tetapi kawan-kawan juga akan dekat. Waktu tua kalau kita tidak berduit kita akan rasa seperti tersisih, membebankan orang lain dan sunyi. Kita tak boleh bergantung harap pada institusi konvensional bahawa anak akan menjaga ibu bapa. Harap-harap itu takkan terjadi kepada masyarakat Malaysia, Melayu Islam sekurang-kurangnya.

Anak-anak akan mengikut didikan dan apa yang diperolehi sepanjang ia dibesarkan. Kalau ibu bapa sibuk dengan urusan kerjaya dan tiada masa dengan anak-anak. Hubungan ini akan semakin renggang bila anak tersebut dewasa. Mereka juga akan terfikir dan membuat perkara yang serupa bila mereka besar nanti. Tidak mesra dan tidak rasa bersalah untuk membiarkan ibu bapa mereka menghadapi hidup bersendirian di usia emas. Ibu bapa yang bersikap terlalu garang juga akan dibenci oleh anak-anak dan menantu. Jadi apa yang kita laburkan semasa kita membesarkan anak-anak tersebut itulah yang kita akan dapat.

Jika anak-anak diasuh dan didik dengan nilai-nilai murni. Mereka akan membesar dan mengenal erti tanggungjawab. Mereka akan faham bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lain lebih bernilai dari apa juga yang ada di dunia ini. Anak yang sulung dididik untuk menjaga adik dan begitulah seterusnya nilai kekekeluargaan itu diterapkan. Ibu bapa juga perlu tegas dalam mendidik anak tetapi bukan garang yang tidak bertempat yang boleh mewujudkan suasana tegang. Ada kalanya juga ibu bapa boleh menjadi kawan dan tempat anak-anak mengadu. Ini seterusnya akan memberikan mesej bahawa anak-anak akan berasa selamat bersama ibu bapa mereka dan bila besar rasa kasih itu tetap berpanjangan. Akhirnya bila ibu bapa mereka sudah tidak berdaya, anak-anak akan saling berganding bahu menjaga mereka.

Mungkin ada baiknya jika kementerian berkenaan memberi kesedaran bagaimana untuk menjaga warga tua ini. Kaedah dari segi pemakanan, pengawalan emosi dan keperluan-keperluan asas yang lain perlu di sebar luaskan terutamanya melalui akhbar-akhbar tempatan. Kursus-kursus jangka pendik bagaimana menjaga warga tua yang tidak mampu bergerak contohnya perlu diadakan. Tidak semua kita tahu bagaimana kita boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk orang tua kita.

Bagi yang berduit mereka boleh menggajikan jururawat peribadi untuk menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Atau menempatkan di pusat rawatan khas untuk golongan tua supaya kesihatan dan hidupnya lebih terurus dan emosinya tidak terdera. Tapi ini hanya pilihan terakhir jika seseorang anak itu tidak punya masa atau terlalu sibuk dengan urusan kerjaya. Tapi sanggupkah kita menghantar orang tua kita ke rumah orang-orang tua atas desakan kerjaya kita?

Jadi kita perlu memikirkan apa yang akan berlaku bila kita tua nanti ( harap-harap dipanjangkan umur). Bagi yang bekerjaya mungkin kita boleh menggunakan simpanan EPF kita untuk tujuan tersebut. EPF yang kita ada perlu digunakan hanya untuk diri kita sahaja. Katakan bila kita pencen nanti kita mempunyai simpanan lebih kurang 250K. Tolak hutang rumah dan sebagainya. Kita perlu menguruskan baki duit yang ada untuk perbelanjaan di waktu pencen. Jangan joli katak kata orang itu. Kelabu mata nak beli itu ini dan habis dalam waktu yang singkat. Perlu ada rumah untuk tinggal dan menghabiskan sisa-sisa hidup. Kalau masih sendiri dan tidak punya sesiapa dan sakit pulak tu. Mendaftarlah di rumah orang tua swasta yang diketahui mempunyai reputasi yang baik. Duit EPF boleh digunakan untuk tujuan ini. Selain itu adalah digalakkan untuk membeli insuran yang bercirikan pelaburan. Banyak produk yang berunsurkan Islam di pasaran. Dan duit yang ada hasil pelaburan melalui insuran ini boleh juga digunakan dalam melayari usia emas.

Kadangkala risau juga kalau sendirian bila tua nanti. Tapi kuasa duit mungkin boleh membantu dan sentiasalah beringat. Berbuat baik sesama insan dan sayangilah keluarga kita terutamanya kedua ibu bapa kita. Abah dan mak tinggal berdua sahaja di TK, rindu kat mereka.


Saturday, July 19, 2003

TINGGALKAN MASALAH ANDA SEBENTAR

Seorang pensyarah sedang memberi kuliah tentang Stress Management. Dia mengangkat segelas air dan bertanya kepada pelajarnya, "Berapa beratkah segelas air ini pada fikiran anda semua?" Mahasiswa mengatakan beratnya anggaran dari 20 gram hingga 500 gram.

"Ini bukanlah masalah berat secara total, tetapi tergantung kepada berapa lama anda memegangnya. Jika saya memegangnya selama 1 minit, tidak adamasalah. Jika saya memegangnya selama 1 jam, lengan kanan saya akan sakit. Dan jika saya memegangnya selama 1 hari penuh, mungkin anda harus memanggil ambulan untuk saya. Beratnya sebenarnya sama, tapi semakin lama saya memegangnya, maka bebannya akan bertambah".

"Jika kita membawa beban kita terus menerus, lambat laun kita tidak akan mampu membawanya lagi. Beban itu akan meningkat beratnya". "Apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan gelas tersebut, berehat sejenak sebelum mengangkatnya lagi".

Kita harus meninggalkan beban kita secara periodik, agar kita dapat lebih segar dan mampu membawanya lagi. Jadi sebelum pulang ke rumah dari pejabat dan sebagainya, tinggalkan beban pekerjaan. Jangan bawanya pulang. Beban itu dapat diambil lagi besok. Apapun beban yang ada di bahu anda hari ini, cuba tinggalkan sejenak jika boleh. Setelah berehat ambilnya kembali.

Hidup ini singkat, jadi cubalah menikmatinya!!

Nota :

Terima kasih untuk pengirim email ini ( anda tahu siapa anda RW). Saya rasa elok dikongsi bersama kisah diatas untuk renungan bersama.


DI PERSIMPANGAN DILEMA

Mendapat berita yang mengejutkan. My boss want me to head one new department. Huh aku tak menjangkakan pun. Memanglah Pengarah aku ada berkata melalui telefon minggu lepas. Biasalah bila dia telefon dari Melaka suara dia tak jelas. So aku tak berapa dengar butir bicaranya sangat. Dan aku anggap tidak serious. Aku memang tak ada "passion" langsung untuk mengetuai unit baru itu. Kalau aku berminat dari awal lagi aku akan pergi kursus atau membuat persediaan mana yang perlu. Degree & master aku bukan dalam bidang itu. Bidang tu memerlukan specialized. Aku perlu bekerja dengan team baru. Recruit new staff set-up totally new department. Itu bukan masalah utama sebenarnya.

MZ telah berusaha keras untuk unit baru ini. Menghadiri kursus, melakukan kerja-kerja dari awal. He did everything from the start. Dia ada minat untuk melakukannya. Aku amat yakin dia dapat mengetuai unit baru tersebut. Tapi Boss aku itu tidak yakin dia dapat melakukannya. Aku pun pelik kenapa dia tak percaya pada MZ? Aku tengok dia ok dan boleh buat kerja. aku buntu.

Kalau diikutkan ini kali ke-3 aku menubuhkan unit baru. Bila dah berjaya aku diminta tubuhkan unit baru yang lain. Aku amat seronok bekerja di dalam unit yang aku ketuai sekarang ini. Banyak projek yang telah dan sedang aku jalankan. Mungkin kedengaran amat pelik, tapi aku tak tahu kenapa boss minta aku juga kali ini. Aku tak main politik atau tikam kawan dari belakang. Apa yang aku tahu setiap apa yang aku buat aku buat dengan bersungguh-sungguh. Tapi unit yang satu ini aku amat tidak berminat. Aku ada cita-cita aku sendiri. Aku akan sakit bila aku membuat kerja yang aku tidak minat. Bukan wang ringgit atau pangkat yang aku kejar. Memang pelik aku bekerja bukan kerana pangkat atau kedudukan. Kalau di tempat lain harus mereka berebut kedudukan tapi tidak di universiti ini. Tiada beban batu di galas pulak. Jangan cari penyakit.

Tapi aku professional, sebelum surat pelantikan dikeluarkan aku perlu yakinkan Boss yang aku benar-benar tidak berminat untuk mengendalikan unit ini. Kalaulah dia desak aku juga untuk mengetuainya, aku nak dia "meminjam" aku sahaja untuk membantu MZ set-up semua benda untuk unit baru itu. I dont mind to help him dalam satu jangka masa tertentu dan kemudian aku kembali pada unit asal aku ini. Bila dah OK aku akan serahkan sepenuhnya untuk MZ mengetuainya. Memang banyak yang perlu dilakukan terutamanya polisi-polisi baru dan kena pula implement untuk setiap department. Dan yang paling mencabarnya tiada satupun universiti swasta yang pernah menubuhkan unit ini.

Aku sungguh-sungguh dalam dilema sekarang ini. Baru sahaja plan nak pergi Bali dah kena fikirkan masalah baru. Kalau susah sangat aku carik kerja lain. Aku nekad kali ini.

Friday, July 18, 2003

TERGANGGU

Malam tadi aku tak dapat tidur. Sekejap-sekejap terjaga. Nak habiskan baca buku yang akan pinjam minggu lepas "Prozac Nation" rasa tak larat. Kepala aku ligat berfikir itu ini. Mata tak mahu pejam. Banyak yang aku fikirkan tentang kerja, keluarga dan apa yang aku nak dalam hidup.

Aku kadang-kala terpinga-pinga sendiri. Sudah ker aku mencapai apa yang aku nak? Pencapaian aku dalam bidang pendidikan sederhana sahaja. Ramai junior aku sudah berlumba-lumba sambung Phd. Aku masih bertangguh, aku masih belum punya kekuatan untuk memulakan perjalanan itu. Memulakan langkah pertama memang payah. Tapi itulah aku hanya tunggu dan lihat. Sedangkan usia kian bertambah.

Adakah aku gembira?. Aku gembira sebenarnya. Aku ada semuanya yang aku hendak. Aku bebas mengatur kehidupan aku seharian. Tak perlu memikirkan sangat hal-hal yang tak perlu. Kehidupan ringkas aku itu sebenarnya merisaukan orang tua aku. Tapi kerap kali juga aku jelaskan pada mereka hidup ini adalah atas pilihan aku sendiri. Aku mampu mengatur sebaiknya sendirian. Usahlah risau. Sakit pening ada doktor yang bersedia 24 jam. Juga teman-teman yang sedia membantu.

Emak bercadang untuk mengerjakan umrah. Aku telah berkira-kira untuk memberikan sumbangan aku menampung mana yang tak cukup. Mak pergi umrah untuk kali yang ke-3. Aku terlupa tahun bila mak mengerjakan haji dulu. Mak gembira bila nenek dan uncle mengajaknya turut serta mengerjakan umrah pada September ini. Kegembiraan mak adalah nyawa kami anak-anaknya. Kami semua sanggup lakukan apa sahaja untuk membuatkan mak gembira. Terbayang senyuman mak bila aku serahkan baju yang N belikan tempohari. Senyumannya amat manis dan kegembiraan itu sukar dibayangkan. Tiba-tiba ianya menjadi satu isyarat jiwa bahawa banyak lagi yang belum aku capai dalam hidup. Banyak tapi aku pasti aku akan mendapat apa yang aku inginkan.

Aku cuba untuk mempercayai seseorang semula. Aku pernah sungguh-sungguh menaruh segala kepercayaan pada seseorang. Bertahun mengenali seseorang sebenarnya tetaplah masih banyak yang kita tidak tahu. Masih banyak yang menjadi misteri. Akhirnya igauan aku menjadi nyata. Segalanya layu dalam genggaman. Dia tetap orang asing pada diri kita sendiri. Kini pusingan hidup itu bermula lagi. Kita akan dipertemukan lagi dengan seseorang. Dan belajar semula dari mula. Aku belajar untuk mempercayai setiap katanya tanpa curiga. Kecurigaan hanya membuatkan tidurku terganggu. Aku tak mahu terus-terusan diburu rasa itu. Aku perlu mempercayai bahawa aku tidak akan selamanya diburu curiga. Aku perlu mempercayai bahawa sebenarnya dia lain dari yang lain. Tidak hanya mengambil kesempatan diatas kebaikanku. Ehh aku ni baik ker? Orang lain yang perlu menilai diriku. Kerana selagi aku bernafas aku perlu terus berjuang untuk mencipta kebahagian agar tidurku tak terganggu oleh rasa yang entah apa-apa.

Tiap kali aku cuba membahagiakan diriku sendiri. Terlalu banyak halangan yang menghalang. Rasa tak terkejar oleh jankauan tangan. Ada sahaja benda yang menghalang. Namun aku pasti ada sinar bahagia yang menanti di hujung sana. Doakan aku teman.


Every night in my dreams I see you, I feel you
That is how I know you go on.
Far across the distance and spaces between us
You have come to show you go on.
Near, far, wherever you are,
I believe that the heart does go on.
Once more you open the door
And you're here in my heart,
And my heart will go on and on.
Love can touch us one time and last for a lifetime,
And never let go till we're gone.
Love was when I loved you, one true time I hold to
In my life we'll always go on.
Near, far, wherever you are,
I believe that the heart does go on.
Once more you open the door
And you're here in my heart,
And my heart will go on and on.
You're here, there's nothing I fear
And I know that my heart will go on.
We'll stay forever this way,
You are safe in my heart,
And my heart will go on and on

Nota :

My Heart Will Go On lagu tema kami. Tapi aku tak sanggup mati dengan rasa cinta yang tidak kesampaian. Kaku beku ditengah lautan luas. Namun kalau ditakdirkan kita cuma ada rasa, itu sudah cukup baik dari tidak mendapat apa-apa. Sekurang-kurangnya kita pernah bertakhta di hatinya.

Mungkin aku pernah melukakan hati seseorang. Tapi percayalah segalanya bukan di atas kehendak aku. Mungkin kita tidak ada jodoh untuk bersama. Melepaskan mu pergi adalah langkah terbaik. Kerana aku tidak selayaknya dapat bersamanya. Maaf R aku sememangnya bodoh!

Aku bukan tengah kecewa atau patah hati. Malam tadi aku terbayang kisah lama. Entah apa-apa dan membuatkan tidurku terganggu. Bila aku cuba melelapkan mata terbayang wajah yang tak mampu aku hilangkan dari ingatan. Mungkin aku terlalu letih tapi aku tak boleh tidur juga.

Patutlah! pun aku belum solat Isyak lagi, bila dah terjaga pukul 2.45 pagi tu aku solat hajat sekali. Banyaknya hajat yang aku sampaikan. Kemudian barulah aku boleh tidur lena tapi dekat nak bermimpi azan subuh dah berkumandang.



Thursday, July 17, 2003

MUZIK & KEHIDUPAN KITA

Dulu masa menghadiri kuliah zaman 'orang suci'. Aku mengadu pada lecture aku tu Pn Fuziah apa jenis muzik yang dipasang sebelum kuliah bermula. Aku rasa tak selesa dan sakit cubing telinga. Dia suruh aku dengar jugak dan bukak lebih kuat. Mata dia terpejam celik ikut mood tempo muzik itu. Aku tak pernah dengar muzik macam itu. Aku rasa satu gangguan, sebabnya di TK aku tak pernah dengar muzik macam itu. Kawan aku yang duduk di sebelah aku senyum-senyum, inilah muzik klasik Bethovan .Aku tak reti nak sebut dan malu nak tanya lagi. Tiap kali kelas Pn. Fuziah, aku dan beberapa orang kawan yang berasal dari kampong keluar ke tandas 10 minit sebelum kelasnya bermula.

Sekarang kawan aku bagi tahu kat nurseri anak dia yang berumur 4 bulan tu pun diperdengarkan muzik-muzik klasik. Ianya baik untuk perkembangan otak bayi yang berumur 1 hingga 3 tahun ceritanya lagi. Dia bercerita sungguh-sungguh macamlah aku sudah ada anak. Ada tak nurseri yang perdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran?

Sebenarnya dengar muzik klasik ini banyak faedahnya selain sebagai bahan hiburan ianya sesuai untuk meningkatkan perkembangan otak janin di dalam kandungan, muzik klasik juga terbukti dapat membantu meningkatkan stamina diri setelah penat mengulangkaji pelajaran ataupun penat bekerja. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh doktor dari Peranchis, Alfred Tomatis, ketika otak diransang oleh suara berfrekuensi tinggi ia akan membuatkan otak tadi terjaga dalam waktu yang lama.

Dalam satu lagi kajian melaporkan, apabila kita mendengar muzik Mozart dalam masa 10 minit ia sudah cukup untuk mempengaruhi cara otak kita bekerja. Sebab itulah kita digalakkan untuk mendengar alunan muzik klasik sebelum dan selepas melakukan sebarang kerja kerana ia akan mempengaruhi semangat kita pada hari itu.

Muzik yang dipilih membayangkan diri kita yang sebenar. Jika menggemari blues, jazz, klasik dan lagu rakyat anda tergolong sebagai individu yang cerdik, bertoleransi dan liberal. Peminat muzik country dan keagamaan merupakan seorang yang ceria, gemar bersosial, bertanggungjawab dan konvensional. Bagi pencinta alternatif dan heavy metal, mereka biasanya aktif dari segi fizikal, ingin tahu dan sanggup mengambil risiko. Individu yang cenderung memilih muzik rap/hip hop dan dance dikatakan golongan yang gemar bersosial dan mudah memberi sokongan kecuali bagi idea konservatif. Kajian oleh penyelidik dari Universiti Texas, Austin Amerika Syarikat mencadangkan persepsi diri dan keupayaan kognitif memainkan peranan dalam menentukan muzik yang dipilih.

WI suka dengar muzik klasik, aku pula suka dengar semua jenis muzik yang liriknya kena dengan hidup aku tak kira apa pun genrenya. Jadi ini mungkin membuatkan aku dilabel mudah jemu dan sentiasa ingin sesuatu yang baru sentiasa. Nasib baik itu hanya pada muzik kalau benda lain mampus aku. Aku dengar lagu "Cinta" Melly Goeslow setiap hari masa memandu, aku akan hanya tukar pada lagu lain bila aku dah jemu!

Rindu pulak kat mak mentor aku masa kat kampus Pn Fuziah. Dia baik tapi kedekut tak pernah belanja aku atau jemput ke rumahnya. Ada jugak aku hantar kad raya kat dia seperti biasa dia tak akan balas. Anak mentor pensyarah lain sikit punya rapat.

ABAH

Minggu lepas masa balik kampong, abah sakit gigi. Kesian Abah sampai demam-demam. Doktor tunggu dia kebah dari demam baru cabut giginya. Semalam aku call kampong. Gigi Abah dah dicabut. Dulu masa kecil bila aku sakit gigi abah ler yang tengokkan gigi aku tu dan bawak ke klinik di TK naik basikal. Aku nangis tak ingat dunia bila nampak jarum injection tu. Kami jarang bercakap masa kecil dan sekarang pun. Tapi aku tahu abah selalu tanya aku kat mak. Dia sayang kami semua sangat-sangat cuma dia tak nak tunjukkan.

Nota untuk N :

"Mana mungkin memberikan cinta andai hati tidak membenarkan"


HELEN KELLER - CERITA KEGIGIHAN PENUH KECEKALAN ( PART AKHIR)

Sila baca entri terdahulu untuk kesinambungan.

Sewaktu berada di Kolej radcliffe, Helen memulakan kariernya sebagai seorang penulis. Pada 1902 siri The Story of My Life ( Kisah Hidupku) yang disiarkan dalam Ladies Home Journal dibukukan. The Story of My Life merupakan tulisan beliau yang paling popular dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Karya-karyanya yang lain termasuklah Optimism, The World I Live In, The song of The Stone Wall, Out of the Dark, My Religion, Midstream - My Later Life, Peace at Eventide, Helen Keller in Scotland, Helen Keller's Journal, Let Us Have Faith, Teacher, Anne Sullivan Macy, The Open Door. Dua Buah filem yang merakamkan kisah hidupnya turut dihasilkan iaitu , Hellen Keller in Her Story dan The Miracle Worker.

Sepanjang hidupnya Helen Keller menerima penghargaan dan anugerah daripada pelbagai institusi atas usaha dan perkhidmatannya membela serta memperbaiki nasib orang buta dan pekak di seluruh dunia. Sumbangannya tidak terbatas pada tulisan semata.

Beliau merantau ke serata tempat, bukan sahaja di Amerika tetapi juga ke berapa negara lain di dunia, menyampaikan kuliah-kuliah memberi inspirasi kepada orang-orang yang senasib dengannya. Selain itu beliau turut terlibat menubuhkan beberapa yayasan bagi membantu orang-orang buta dan pekak seperti Yayasan Orang Buta Amerika, Yayasan Orang Buta Seberang Laut, American Braille Press dan Yayasan Orang Buta Helen Keller.

Pada 1936 Helen berpindah ke Wesport dan menetap di sana sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Jun 1968 ketika usianya 88 tahun. Menerusi sebuah eulogi, Senator Lister Hill dari Alabama mengungkapkan perasaan seluruh warga dunia mengenai kematiannya: "Belaiu akan terus diingati. Semangat beliau akan terus bersama kita selagi manusia masih mampu membaca dan bercerita mengenai seorang perempuan yang telah membuktikan bahawa keberanian dan keyakinan tidak punya batas."

Sekian.


Wednesday, July 16, 2003

RUMAH DUNIA, RUMAH AKHIRAT

Bila diperhatikan banyak projek perumahan di sekitar Puchong, Kajang, Bangi dan kawasan pingiran Cyberjaya sendiri. Namun kebanyakkan projek perumahan ini jenis pajakan 99 tahun dan TTT (Tarikh Tamat Tempoh) dalam tahun 2101. Jenis "Freehold' terletak jauh di hujung dunia dan terpaksa membayar tol yang banyak bila nak ke tempat kerja. Selain faktor lokasi harganya juga sudah semakin tinggi.

Universiti aku tidak memberikan kemudahan pembelian rumah. Jadi masing-masing sibuk mencari cara pembiayaan pembelian rumah mereka. Cara Islam dan konvensional ada kebaikan masing-masing. Contohnya rumah teres 2 tingkat di Putra Perdana yang seluas 18X60 (1080 sq. ft) kini berharga dalam linkungan RM 120,000 ( iaitu RM 111.11 per sqft) itu pun dengan kemudahan dan persekitaran yang belum tentu. Kawan aku bagi tahu kalau harga dia lebih dari RM 130.00 sekaki persegi dikira mahal dan jangan beli. Tapi banyak juga faktor yang perlu dikaji . Terutama lokasi, dan kemudahan-kemudahan disekitarnya.

Aku pula selalu mengadu bayar mahal-mahal tapi akhirnya bukan menjadi milik kita dan susah pula nak jual nanti sebab pajakan. Kawan aku selalu kata kita hidup ni bukannya lama, anak-anak nanti mereka tahulah nak cari sendiri. Dalam hati aku berkata itupun kalau ada anak . Semakin hari, usia bertambah dan kalau tak beli-beli jugak nanti menyusahkan. Yelah tempoh bayaran balik akan semakin singkat dan mengakibatkan instalment bulanan yang tinggi. Lainlah kalau ada yang nak belikan ( hint kat N). Ada orang tu semua ibu bapa dia dah sediakan tak payah nak fikir itu semua.

Bila tengok jangka hayat semasa lahir bagi lelaki dan perempuan di Malaysia masing-masing telah meningkat daripada 66.4 dan 70.5 tahun pada tahun 1980 kepada 69.7 dan 74.7 tahun pada tahun 1998 ( Kualiti Hidup Malaysia 1999 p:48). Ini bermakna jangka hayat wanita di negara kita lebih panjang dari lelaki. Wanita hidup lebih lama walaupun keseorangan. Kaum lelaki akan lebih dulu meninggalkan dunia yang indah ini. Tapi ini semua kerja tuhan. Hidup mati kita telah ditentukan.

Kalau dibuat perbandindan berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Sosiologi Ohio University, jangka hayat lelaki tidak boleh diukur atau diagak sedangkan usia perempuan boleh diukur dengan membandingkannya dengan jangka hayat perempuan di negaranya. Bagaimanapun semua ini adalah ketentuan Ilahi.

Berbalik pada isu rumah tadi, katakan aku beli rumah jenis pajakan 99 tahun, aku ada balance lagi kira-kira 60 tahun setelah aku .... 60 tahun untuk waris aku mendiami rumah tersebut. Jadi sempatlah satu generasi lagi hidup di rumah tersebut sebelum ianya diambil semula atau rumah tersebut roboh.

Apapun rumah kita di akhirat nanti tidak perlu dirisaukan. Bayaran bulanannya ialah amalan kita semasa hidup dengan interest yang di kira hari-hari dan berstatus kekal.


HELEN KELLER - CERITA KEGIGIHAN PENUH KECEKALAN ( PART 3)

Sila baca entri terdahulu untuk kesinambungan.

Semenjak kecil Helen sentiasa bercita-cita untuk belajar di kolej. Hasratnya itu disampaikan kepada gurunya Annie. Berkat kegigihan Annie mengajarnya, serta keinginan yang menggunung tinggi, Helen akhirnya diterima belajar di Radcliffe College dalam tahun 1900.

Sebelum itu Helen terlebih dahulu memasuki Sekolah Cambridge Perempuan sebagai persediaannya ke kolej. Pada tahun 1904 beliau menjadi orang buta dan pekak yang pertama memperolehi pendidikan di peringkat kolej.

Dalam tahun-tahun pengajiannya di kolej tersebut Annie Sullivan bertungkus lumus membantunya. Annie mengejakan apa yang dibacanya melalui buku atau nota kuliah Helen secara isyarat ke atas telapak tangan Helen.

Karier pendidikan Helen berakhir setelah beliau memperolehi ijazah. Akan tetapi sepanjang hidupnya beliau terus mengkaji dan mendapatkan maklumat mengenai perkara-perkara yang ada hubungan dengan kehidupan manusia moden. Sebagai penghargaan terhadap keluasan ilmu yang dimilikinya, Helen menerima banyak anugerah daripada universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

Apabila Annie Sullivan berkahwin dengan John Macy dalam tahun 1905, Helen turut tinggal bersama keluarga Annie. Kedua-dua suami isteri ini terus menerus membantu dan memberi galakan pada Helen dalam pengajian dan juga aktiviti-aktiviti lainnya.

Bersambung esok …

Tuesday, July 15, 2003

BILA HATI TELAH RETAK

Antara sebab utama saya terus membaca akhbar Mingguan Malaysia tiap minggu ialah kolum DCCK (Di celah-Celah Kehidupan). Banyak benar kisah masyarakat yang boleh dijadikan ikhtibar. Namun jika diteliti kaum lelaki akhir-akhir ini semakin dilabelkan menjadi punca segala permasalahan yang berlaku.

Dua minggu berturut-turut DCCK menyiarkan kisah Zarul. Ahad lepas satu muka surat penuh kaum hawa mempertahankan tindakan Aini meninggalkan Zarul. Sebenarnya tiada sesiapapun yang menang dalam drama air mata ini.

Zarul tewas kerana dia mempertahankan egonya. Kalaulah dia bertindak lebih rasional rumahtangga yang telah teruji bahagia selama 12 tahun bersama Aini dapat diselamatkan.
+ Zarul terlalu menurut kata hati atas desakan kawan-kawan hanya kerana tidak mahu dikatakan dayus. Kawan-kawan hanya menambahkan bara dihatinya yang berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.
+ Dia juga gagal membaca gerak hati dan isyarat yang ingin disampaikan oleh Aini yang menderita dalam diam.
+ Kalau Zarul benar-benar sedar kebahagiaan hidupnya hanya dengan Aini dan anak-anaknya dia seharusnya membatalkan hasratnya untuk berpoligami. Dia melepaskan peluang ini kerana tuntutan keegoannya.

Inai juga wajar dipertanggungjawabkan dalam kes ini.
+Inai hanya mengambil peluang diatas kebaikan yang dihulurkan oleh kedua mereka ini. Menyimpan perasaan untuk menjadi isteri kedua Zarul dalam diam.
+Dia sepatutnya menarik diri dari terus membiarkan perkahwinan Zarul berantakan setelah mengetahui Aini meninggalkan Zarul.

Aini pula watak isteri terdera emosinya dalam diam. Dia sukar memberikan kata putus yang tepat dan tidak berusaha merebut semula Zarul yang terang-terangan menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Tidak pernah saya lihat wanita sepasrah Aini. Dia bernasib baik kerana Zarul tidak kahwin senyap-senyap seperti yang biasa berlaku. Mungkin untuk mengelakkan suaminya dari terjebak dengan maksiat dia merelakan suaminya berkahwin lagi. Begitu muliakah orang yang bernama Aini ini? Hatta sewaktu Hakim berkali-kali menanyakan adakah dia membenarkan Zarul berkahwin lagi. Dia masih berterusan memberikan persetujuan. Inilah yang saya paling tidak fahami sikapnya. Akhirnya segala yang dilakukan itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia lebih rela menjadi janda dari menghalang kebahagiaan suaminya. Inilah yang ingin digambarkan oleh Aini bahawa wanitalah pihak yang paling menderita sengsara bila poligami berlaku. Atau lebih tepat bila berlaku penceraian.

Zarul pula mempotretkan dirinya sebagai suami yang bertanggungjawab dan tidak mengabaikan Aini dan keluarganya. Zarul bersedia menerima Aini dan rujuk semula tetapi permintaannya ditolak oleh Aini. Tidak ramai lelaki seperti Zarul barangkali dan Aini sepatutnya mengambil peluang ini kalau bukan untuk dirinya tetapi untuk anak-anaknya. Inai pula terang-terangan bersedia untuk bermadu. Mungkin mengahwini orang yang telah berpengalaman telah menyadi trend terkini. Dia pasti berkata sudah jodohnya begitu.

Pendapat jujur saya ialah Zarul tidak seharusnya meneruskan hasratnya berpoligami sedari awal lagi. Kekesalannya, kepiluan dan airmatanya yang mengalir kerana rindukan anak-anak adalah harga yang harus dibayar atas tindakannya. Tiada beban batu digalas, mungkin ini adalah perumpamaan paling tepat.

Islam membolehkan poligami, tetapi syaratnya cukup ketat dan bukan setakat mampu dari segi harta benda sahaja. Emosi, kesediaan pasangan menerima corak kehidupan baru, soal hati dan memahami bentuk tanggungjawab baru perlu diteliti semasak-masaknya. Pendik kata perlu pertimbangan beribu-ribu kali sebelum mengambil keputusan ini. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran. Sedangkan kalau dalam zaman bercinta sekalipun kita mudah cemburu kalau seseorang rapat dengan kekasih kita inikan pula bila telah berkahwin.

Lelaki ialah makhluk yang pantang dicabar. Berbicaralah secara terus terang dengan pasangan kita tanpa berselindung kerana dia lebih mudah memahaminya. Saya pasti Zarul adalah suami yang baik dan bertanggungjawab. Limpahan kasih sayangnya ingin dikongsi dengan orang lain. Cuma ujian dari Allah selalu membuatkan manusia hilang pertimbangan. Zarul, Aini dan Inai mempunya alasan yang tersendiri mengapa mereka mengambil tindakan-tindakan tersebut.

Cuma mengapa mereka tidak terfikirkan kesan penceraian ini terhadap anak-anak mereka? Anak-anak pasti menjadi insan-insan yang paling terluka dan teraniaya. Apabila hati telah retak ia sukar bercantum semula. Kita hanyalah pemerhati tidak layak untuk mempersoalkan tindakan mereka. Kalau perkara ini terjadi pada ahli keluarga kita pandangan kaunselor perkahwinan, orang ketiga seperti ahli keluarga yang bersikap berkecuali patut diambil kira. Kebahagiaan hidup kita adalah pilihan kita sendiri. Peluang tidak selalu datang. Sukar pula untuk menjangkakan apa yang kita akan dapat dalam hidup terutamanya masa-masa mendatang.



HELEN KELLER - CERITA KEGIGIHAN PENUH KECEKALAN ( PART 2)

Sila baca entri terdahulu untuk kesinambungan.


Annie memulakan pelajaran pertamanya bersama Helen dengan mengajar Helen mengeja 'anak patung'. Dengan menggunakan sebuah anak patung yang dicipta dan diberikan oleh bekas muridnya di Perkins dahulu, Annie berusaha mengaitkan objek dengan huruf kepada Helen melalui isyarat sentuhan di telapak tangan.

Helen cepat menangkap apa yang diajari. Dalam masa yang singkat Helen berjaya mengeja tetapi beliau tidak mengetahui apa yang diejanya itu perkataan. Beliau juga tidak tahu bahawa perkataan wujud. Pada suatu hari Annie membawanya keluar dan pergi ke tempat pam air. Annie menyuakan tangan kecil Helen ke muncung pam itu dan kemudian beliau mengepam air.

Sebaik sahaja air menyembur keluar dan membasahi tangan Helen, Annie mengeja perkataan "a-i-r" di telapak tangan Helen yang sebelah lagi secara berulang kali. Peringkat mulanya secara perlahan-lahan dan kemudian semakin cepat.

Tiba-tiba isyarat itu memberi makna yang sangat mendalam bagi Helen. Dia tahu kini "air" bererti sesuatu yang dingin yang mengalir di telapak tangannya itu.

Helen terpegun dan kemudian dengan cepat membongkok dan menyentuh bumi dan seterusnya mendesak Annie mengeja perkataan bumi. Sehingga ke malam pada hari itu, Helen berjaya mempelajari tiga puluh perkataan.

Begitulah pendidikan awal yang diterima oleh Helen. Dalam Masa yang singkat Helen berjaya menguasai huruf, baik dalam bentuk manual mahupun dalam bentuk tulisan timbul dan mula belajar menulis. Pada usianya sepuluh tahun Helen belajar bertutur pula daripada seorang guru dari Horace Mann School bernama Sarah Fuller.

Bersambung esok …



Monday, July 14, 2003

AKU YANG BERBAJU BIRU

Semalam aku tak dapat berjumpa N. Dia sibuk dan ada urusan "rasmi". Aku balik dari TK dan sampai di Shah Alam pukul 11.00 pagi. Yana photostat banyak kertas-kertas soalan. Kena tunggu sampai pukul 1.00 tengahari baru benda tu siap. Kami jalan-jalan ke Alam Sentral & PKNS. Terkenang nostalgia lama, tapi sebenarnya aku amat malas pergi ke shopping kompleks kalau tak ada apa nak beli. Aku tak suka merayau dan buang masa. Rasa lebih baik aku balik tidur.

Orang ramai ada yang pandang-pandang kami. Yelah biasalah, Yana tu kan manja dan nakkan perhatian abang dia yang tengah bermuka masam mencuka. Kejap-kejap hilang dan aku terpaksa call dia berkali-kali. Dia sekejap hilang kat kedai baju, sekejap tengah pilih kasut hisss ini yang aku tak gemar kalau jalan dengan Yana ada sahaja yang nak dibelinya.

Hari Isnin biasanya aku tak ada mood nak bekerja. Malas macam dihempap-hempap. Tapi N selalu pesan kat aku kalau nak ada mood yang segar pilihlah baju bewarna biru. So pagi ni aku pergi kerja dengan kemeja berwarna biru. Memang ada betulnya kata-kata N tu. Aku pun ada terbaca dulu bahawa pemilihan warna baju yang ingin dipakai juga dapat mengembalikan semula mood dan tenaga kita. Tapi janganlah selalu sangat memilih warna baju hitam sebab ia memberi kesan suasana sedih. Warna biru dikatakan dapat mengembalikan mood serta membuatkan kita lebih bertenaga untuk memulakan langkah pada hari tersebut.

Manakala tampil dengan pakaian motif kotak-kotak (bila pergi dating hehehe) boleh memberikan kesan yang lebih sportif dan membuatkan pemakainya kelihatan lebih aktif dan bersemangat seperti remaja dan kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Baju motif kotak-kotak juga bersifat fleksibal dan ini memudahkan ia dipadankan dengan pelbagai jenis seluar.

Bermula hari ini aku akan siarkan kisah ketabahan dan kejayaan yang dilalui oleh penulis wanita hebat Hellen Keller. Ini adalah bersempena Julai Bulan Membaca Kebangsaan. Semoga kita mendapat ikhtibar dari kisah ini.

HELEN KELLER - CERITA KEGIGIHAN PENUH KECEKALAN ( PART 1)

Helen Keller Adams dilahirkan di Tuscumbia, Alabama pada 27 Jun 1880. Pada usianya hampir mencecah dua tahun, beliau mengalami deman panas yang tenat. Helen terlantar beberapa hari dan pada ketika tertentu menjadi tidak sedarkan diri. Tidak lama selepas itu beliau sembuh.

Tetapi ekoran itu, Helen kehilangan penglihatan. Beliau buta. Dan bukan setakat itu, tidak lama kemudian beliau menjadi pekak pula. Kehidupan dunia bagi Helen seolah-olah tertutup. Beliau menjadi tidak normal lagi.

Sewaktu membesar Helen semakin menyedari akan kekurangan yang ada pada dirinya. Menyedari hakikat inilah, maka hari-hari berikutnya dalam kehidupan Helen merupakan satu perjuangan untuk menikmati apa yang sewajarnya dikecapi sehinggakan beliau akhirnya menjadi seorang wanita yang pintar dan sensitif: menulis, bercakap dan menyumbang tenaga, bukan sekadar memperbaiki nasib dirinya tetapi turut memperjuangkan nasib orang lain.

Helen menjadi simbol kegigihan dan kecekalan yang sukar dicari ganti di dalam sejarah manusia moden.

Kehidupan sebenar bagi Helen bermula pada suatu hari dalam bulan Mac 1887.. waktu itu beliau berusia hampir 7 tahun. Hari itu disifatkan oleh Helen sebagai hari yang paling bermakna dalam hidupnya. Helen dipertemukan dengan Annie Sullivan, seorang guru dari Sekolah Orang Buta Perkins. Annie yang berusia 20 tahun itu dikehendaki menjadi guru Helen, bermula dari tarikh itu kedua-dua insan ini tidak pernah berenggang sehinggalah Annie meninggal dunia pada 1936.

Bersambung esok …



Sunday, July 13, 2003

ALAHAI

Hari Jumaat petang aku bergegas ke Kolej Yana. Dia nak balik kampong, jadi seperti biasa aku paksa rela hantar dia balik dan ambil cuti hari Sabtu. Dia nak ke Bank BSN ambil kad dia yang dah siap. Rugi sebab cuti hari Sabtu. Sepanjang perjalanan ke TK aku ulang-ulang kaset Melly. Yana berkerut semacam kat sebelah aku. Yelah dia boleh bantai tidur aku drive sorang-sorang. Bila dia dah sampai tahap meluat tahap cipan nak terberanak dengar lagu Melly dia tukar ke Channel Radio ER*. Kebetulan ada iklan pasal AIDS. Tapi entah kenapa iklan itu dibuat guna suara "lelaki setengah masak" yang menggunakan suara lembut yang dibuat-buat. Trend orang muda sekarang ker? Tidakkah orang di radio itu tahu benda-benda macam itu mudah mempengaruhi anak-anak muda. Menggayakan suara lelaki lembut. Tidak elok dan agak janggal. Kalau memang fitrah kejadian dia macamtu aku taknak lah komen tapi ia sedikit sebanyak melontarkan isyarat kepada masayarakat kita bahawa ada "produk" tersebut di luar sana dan perkara itu tidak salah atau janggal.

Kebetulan hari Sabtu, Menteri Perpaduan Negara & pembangunan Masyarakat , Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman meminta semua institusi pengajian tinggi IPT di negara ini memberi perhatian serius terhadap peningkatan jumlah pelajar lelaki lembut di kampus masing-masing.

"Masalah ini adalah antara faktor yang menyebabkan golongan wanita ketandusan pilihan untuk mendirikan rumah tangga kerana pilihan tidak banyak".

Kalau di IPT/IPTS memang banyak kaum perempuan, tapi aku rasa ianya tidaklah sampai boleh menyebabkan seseorang itu terganggu identiti kelakiannya. Masing-masing masuk universiti pun dah sampai usia baligh. Pasti ia berlaku semasa remaja lelaki tersebut membesar di bawah jagaan ibu bapa. Tetapi ibu bapa tidak berbuat apa-apa. Lelaki-lelaki yang lasak asyik sibuk mengorat dan menendang bola di padang masa belajar. Maka kuantiti yang ada di universiti berkurangan.

Memanglah terdapat jurang antara lelaki dan perempuan. Kaum perempuan lebih bertuah dan bebas mengekspresikan emosi dan perasaan mereka secara terbuka seperti menangis ketika sedih dan sebagainya. Tetapi jika lelaki yang menangis mereka akan dianggap sebagai lemah , sensitif, berperangai macam perempuan dan macam-macam lagi. Lagi satu contoh paling mudah ialah perempuan akan dianggap hebat apabila menonton filem-filem aksi ( N sibuk minggu ni jadi terpaksa cancel nak nonton T3), tetapi lelaki akan dipandang sebaliknya jika gemar menonton filem-filem romantik & sedih.

Apakah yang mesti ada pada lelaki sejati? Berdasarkan kajian yang dilakukan di AS lelaki sejati hendaklah memiliki ciri-ciri kebebasan, agresif, berdaya saing, kepimpian, berorientasi kerja, berorientasi keluarga, tegas, berdaya inovasi, berdisiplin, tabah, aktif, objektif, berfikiran analitikal, bersemangat , tidak mudah dipengaruhi oleh sentimen, rasional, yakin, bijak mengawal emosi dan beriman (jika Islam).

Kalau di IPTA/S tingkah laku seseorang itu boleh mengambarkan kursus apa yang dia ambil. Contohnya mereka yang berpakaian pelik sudah pasti "dicop" budak Arts/mass comm/ Design. Serius dan memegang kalkulator ke hulu ke hilir budak kejuruteraan ( sekadar contoh dan pemerhatian penulis ). Tapi agak ketara sekarang ini faktor sekitaran ( atau genetik?) telah membuatkan lelaki menjadi "keperempuanan" dan menjadikan perempuan lebih agresif dan lasak. Mungkin telah ada kajian dilakukan tentang ini tetapi belum didedahkan kepada umum. Ehh boleh buat thesis ni siapa berani?

Friday, July 11, 2003

MEMBACA DI DUNIA CYBER

Prof. Diraja Ungku Aziz bagi komen bahawa pengaruh media seperti radio dan TV menjadi punya kebanyakan rakyat negara kita kurang minat membaca kerana banyak masa dihabiskan menonton TV dan mendengar radio.

Sekarang ini dah ada E-Books contohnya Ebrary di mana kita boleh muat turun buku yang kita nak baca secara atas talian. Ada kemudahan internet dan boleh baca semua benda termasuk akhbar. Siap ada Alerts sistem yang boleh bagitau kita bidang atau bahan yang kita minat bila kita melanggan dengan pangkalan data tertentu. Kita baca executive summary untuk maklumat-maklumat penting yang perlu kita tahu. Segalanya sudah pantas dan cepat.

Kita tetap membaca cuma di zaman cyber ni cara kita membaca agak berbeza. Kita tidak hanya membaca bahan-bahan bercetak. Bahan-bahan atas talian memberikan "value added services" kepada pembaca seperti aku ini yang sentiasa nak pantas dan cepat. Apa juga kaedah bahan bacaan yang diterbitkan segalanya menjurus kepada perolehan ilmu pengetahuan.

Aku setiap masa pasang MP3 lagu terkini, sambil nonton NTV3 melalui Media Player (Cyber media kami menyenaraikan semua TV dan Radio tempatan). Sambil tangan aku pantas menaip kertas kerja atau tugasan lain yang diberi. Kadangkala aku download artikel terkini Harvard Business Review dari pangkalan data Ebscohost. Aku baca sambil lalu atau baca abstrak sahaja. Kalau akau rasa maklumat itu menarik aku email kat kawan-kawan aku yang lain suruh diorang baca sama.

Bila kita lihat dipasaran buku tempatan. Buku-buku dalam bidang politik dan agama memang banyak. Tapi kebanyakannya jenis yang biasa(bertapis), luaran (superficial) dan menggalakkan amalan-amalan luaran(form) sahaja. Bukannya ke arah pembentukan akal ( substance) yang tinggi. Buku-buku yang mengungkapkan idea-idea serius yang ditulis oleh sarjana-sarjana penting dan terkenal dalam bidang agama dan politik tidak berkembang.

Tidak banyak terjemahan dari karya bangsa asing dan tidak banyak penghasilan karya-karya serius yang baru dalam bahasa Melayu. Ertinya tidak ada buku-buku serius yang boleh menyedarkan anak-anak muda Melayu untuk memandu kehidupan mereka sebagai satu bangsa. Eh hampir terlupa teman, bahasa Inggeris jadi bahasa no.1 untuk menembusi pasaran global. Kalau terbitkan karya bahasa Melayu terasa macam "kekampungan".

Teringat aku bila menghadiri satu temuduga kerja di sebuah universiti baru ( bukan tempat kerja aku sekarang). Mereka tanya aku sokong kerajaan atau pembangkang. Aku terkejut pada mulanya dan apa lagi aku mengalahkan "mami jarum" menjawab panjang lebar. Mereka label aku berhaluan kiri. Aku jadi bertambah geram selepas itu. Dan seperti yang diduga aku tak dapat kerja di tempat tersebut.

Sebenarnya aku beritahu mereka sejujurnya dari pembacaan, pemerhatian dan apa yang aku alami. Aku tidak mahu berpura-pura semata-mata mahukan jawatan itu.

Aku ingat kata-kata ini :

"Keberanian itu berjangkit. Apabila seseorang mengambil sikap berani, ia menggetarkan semangat orang lain"- Billy Graham.

Aku dapat keberanian itu melalui pembacaan.

ISTERI MENYARA SUAMI?

Fokus utama Al Islam bulan ini ialah tentang "Isteri Menyara Suami". Banyak pendapat yang diutarakan. Pengabaian suami dalam menyediakan nafkah secukupnya kepada isteri dan ahli keluarganya tidak boleh di pandang ringan.

Setahu aku perkahwinan adalah perkongsian tanggungjawab antara kedua belah pihak. So lepas ni kalau nak berkahwin kena ada mutual agreement siapa kena bayar apa setiap bulan, berapa boleh bagi isteri dan sebagainya supaya tidak timbul cakap-cakap dibelakang. Susah senang hidup bersama.

Cuma kadangkala akan timbul masalah bila si suami tidak pandai mentadbir perbelanjaan bulanan hinggakan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk keluarga habis untuk benda-benda yang tak perlu.

Semua pihak perlu bertolak-ansur. Saling membantu, lainlah kalau suami hilang upaya untuk bekerja. Maka itu sudah jadi cerita lain. Tapi selagi sihat suamilah yang perlu menyara keluarga. Namun isteri yang diizinkan bekerja kenalah bantu mana yang patut. Barulah harmoni rumahtangga.

DOA UNTUK MAN

Hatiku hancur disiat-siat setiap kali Man beritahu aku tentang kerenah birokrasi yang perlu di hadapinya setiap kali berurusan dengan golongan atasan. Banyak benar ranjau likunya untuk ke puncak. Walau segalanya begitu hampir dalam genggaman. Karenah birokrasi telah melambatkan segalannya. Aku doakan segalanya akan berakhir dengan kegembiraan dan memperolehi apa yang seharusnya menjadi miliknya. Aku hanya ada doa, dan sebagai abang aku tidak mampu berbuat apa ini membuatkan hati aku bertambah sakit.

Lelaki

Telah berdiri seorang lelaki
Hidup berbekal kecekalan diri
Walau menghadapi sejuta cabaran
Terus berpaut pada kebenaran

Berkurun sudah kau merintis jalan
Bertahun sudah hasratmu terhalang
Tetap bersemarak api keazamnya
Bara keramat doa dan harapan

Kau melangkah bermula dari lembah
Kau mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering kau ditikam onak

Namun kerana kau lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisanmu rahsia dihati

Kesepianlah teman nan sejati
Di dalamnya kau mengenal diri
Tenangnya wajah matangnya bicara
Kerana kau menyakini
Tuhanlah yang maha ESA
Kerana kau menyakini
Tuhanlah yang maha ESA






Thursday, July 10, 2003

RUMAH BUJANG

Rumah bujang aku memang cukup sempit. Maklumlah tinggal sorang. Walaupun aku dah cat warna oren dia tetap nampak sempit. Selama ni aku bercadang nak buat link rumah orang yang selalu aku jengah. Tapi kawasan rumah aku yang sempit tak memungkin itu terjadi. Jadi selalu aku jenguk dulu rumah Syati atau Toksik untuk pergi rumah orang lain. Rumah diorang telah lama established.

Ini rumah baru yang aku singgah tadi masa merayun tak tahu nak buat apa. Sebabnya semua benda dah aku siapkan semalam lagi. Aku keboringan melantun-lantun hari ini.

Blog Nureffa
Blog Basrie

Blog tiga dara pinggitan :

Blog Cik Kieli
Blog Ceqtie
Blog Syati

Spekmatakita tu entah bila nak publishkan blog dia kalau tak boleh join the "dara pingitan" nyer club. Blog lain tu banyak juga yang aku singgah macam blog Auntie Yan.

Blog Auntie Yan

Lain kali aku tulis Jalan-Jalan Baca Blog lak. Oklah nak buat kerja plak. Tiba-tiba tugasan datang mencurah-curah. N taknak belajar buat blog ker?








10 ALASAN LELAKI TAKUT BERKAHWIN

Senyum sendirian bila membaca alasan-alasan kenapa lelaki takut berkahwin terutama bila masih perasan muda :

1. Betanggapan komitmen jangka panjang akan menjejaskan hubungan mereka dengan orang lain.
2. Tidak lagi bebas seperti zaman bujang. Takut segala aktiviti mereka dipantau oleh isteri.
3. Takut apabila sudah berkahwin mereka akan jatuh cinta lagi dengan awek lain.
4. Bercerai! Perkara yang paling ditakuti oleh lelaki.
5. Trauma - Kesan daripada pengalaman masa silam mereka seperti mereka pernah melihat kegagalan rumahtangga orang lain.
6. Bertanggapan bahawa apabila berkahwin mereka perlu berkompromi dengan isteri. Dan ini pada mereka sedikit demi sedikit akan melunturkan kuasa mereka.
7. Malas menguruskan segala urusan rumahtangga seperti berbelanja, menguruskan anak-anak dan sebagainya.
8. Bosan! Beranggapan berkahwin akan menyebabkan mereka perlu melakukan rutin hidup dan sebagainya.
9. Tidak bersedia untuk meninggalkan keseronokan hidup bersama teman-teman.
10 Masih belum puas enjoy!

Tidak satu pun alasan-alasan yang diberi itu bersangkut-paut dengan aku. Kenapa dia tak bagi alasan makwe kahwin dengan orang lain, komitmen terhadap keluarga dan sebagainya yang lebih strong. Kalau itulah sahaja alasanya memang ler diorang memilih untuk sajer-sajer membujang.

Ada yang membujang sebab belajar peringkat ijazah tinggi, walaupun memang boleh sangat berkahwin semasa belajar tapi tanggungjawab terhadap pendidikan lebih utama. Maka keutamaan dalam hidupnya ialah mengejar ilmu. Terutama bila terpaksa merantau jauh.

Semalam semasa aku buat survey sebuah universiti awam. Aku sajer-sajer telefon kawan lama aku yang sama batch dulu. Seperti biasa soalan rutin dia iialah "Kau bila lagi, tinggal kau sajer yang belum kahwin". Dan siap boleh pasang-pasangkan aku dengan sorang kawan dia yang belum berkahwin. Bila dia start tanya kau pakai kereta apa dan dah beli rumah ke belum, aku mula terfikir. See semua nak lelaki yang telah established dan ada semuanya, dan itulah yang membuatkan lelaki moden perlu usahakan terlebih dahulu bila nak compete dengan orang lain dalam 'pasaran terbuka". Walaupun yang wajibnya amat simple. Tapi tetaplah kemampuan material menjadi keutamaan. Perkahwinan seakan bukan lagi "membina rumahtangga" tetapi "menyediakan rumahtangga". Ada pro dan kontranya di sini. Siapa taknak hidup senang dan buat apa berkahwin kalau hidup menderita. Lebih baik bujang dan tidak menyusahkan orang lain.

My personal experienced, 5 atau 6 tahun yang lepas. Bila aku bersedia untuk bertunang, sidia main tarik-tali. Mengatakan dia dah ada yang lain. Sedangkan tiada, cuma nak menguji adakah aku benar-benar nakkan dia. Aku manalah tahu, akhirnya dia kahwin dengan staff di tempat dia bekerja. Aku taklah berdendam ker apa, aku rasa kami takde jodoh walaupun dah 8 tahun mengenali satu sama lain. Aku cuma buat conclusion dia memilih dan akhirnya terpilih kalau dia dapat dato' ker apa aku taklah terkilan sangat. Cuma dia tidak menghargai aku seadanya. Tapi aku bersyukur dia tidak menjadi isteri aku. Cuma dia membuatkan aku lebih berjaya dan kuat berusaha . Duit hantaran semua aku beli kereta. Aku tak rugi apa-apa.

Waktu yang bergulir
Tak terasa telah kudekap
Percintaan kisah di hidupku
Lelah ku menilai
Sangat menyesak di dada
Bagai sisi ku lihat lihat berdeda dirimu
Jika detak jantung ku berhenti
Hilang semua cemas hati
Dalam hati biru ku bertanya
Jika dapat aku memilih
Cinta mana yang aku pegang
Jauh jika ku gapai hatimu
Usai kan cintaku
Letih ku arungi hidup
Tidak dapat ku pilih cinta ini
Namun ringankanlah kakiku untuk melangkah
Tak ingin sakiti lebih baik kutinggalkan semua
SENDIRI LAGI!

- Cinta : Melly -



Wednesday, July 09, 2003

MATA, SENYUMAN DAN ERTI SEBUAH KEJUJURAN

"Tengok mata dia kalau dia cakap benar atau bohong".

Jangan mudah terpengaruh dengan teori komunikasi kuno yang mengatakan si penipu tidak berani bertentangan mata dengan lawannya. Si penipu sangat peka dengan teori berlawan mata ini. Individu yang kerap berbohong akan bertentang mata dengan lawannya tanpa ragu.

Si penipu akan setengah mati memberikan konsentrasi untuk memfokuskan renungan matanya dengan mata kita. Ketika mereka memberikan sepenuh konsentrasi , bola mata mereka akan menjadi kering dan membuatkan mereka lebih kerap mengerdipkan mata. Inilah pembuka rahsia mereka.

Gerakan mata mampu mengungkap pemikiran seseorang, sekaligus menjelaskan bahagian otak mana yang berfungsi. Orang yang berbohong kerap mengalihkan pandangan nya di sebelah kanan ketika sedang mereka-reka cerita. Jika seseorang itu sedang berusaha mengingatkan sesuatu perkara yang memang pernah terjadi, mata akan mengarah ke kiri. Ini adalah perlakuan spontan dan tidak dibuat-buat.

Penipuan juga boleh dikesan melalui senyuman yang sengaja dibuat-buat. Senyuman akan nampak kaku walau hanya untuk beberapa saat! Senyuman yang ikhlas biasanya akan memperlihatkan hujung bibirnya tertarik ke atas dengan seimbang.

Senyuman itu mampu memperlihatkan banyak garis-garis pada wajah mulai dari hidung hinggalah ke sudut mulut, termasuk kerutan di sekitar mata. Biasanya ini akan terjadi selepas 48 saat setelah kita mengatakan sesuatu yang membuatkan lawan bicara kita itu tersenyum.

Senyum si penipu biasanya agak kelat dan kelihatan agak kaku. Sebahagian dari wajah itu kelihatan seperti ingin berkata jujur dan sebahagian lagi tidak. Pada senyuman yang sengaja dibuat-buat, otot garisan pada hidung dan mata tidak begitu kelihatan. Macam senyuman penjahat dalam filem ( Melayu hehehe).

BAU ROKOK BAHAYAKAN KESIHATAN

Harga rokok akan dinaikkan lagi. Tapi barang keperluan umat manusia ini tetap maintain laku samada asli atau tiruan. Hinggakan kerajaan ambil inisiatif macam apa yang dibuat untuk tangani masalah VCD cetak rompak untuk pastikan hanya yang asli berada dipasaran. Kalau jual yang tiruan kerajaan tak dapat hasil. Kata merbahaya tapi hasilnya nak pulak.

Dulu aku ingat bahaya rokok hanya sebab kandungan tar, nikotin dan asapnya yang menyesakkan. Bila baca Jurnal Agriculture and Food Chemistry terbitan American Chemical Society mendapati bau rokok itu juga sebenarnya membahayakan kesihatan. Berdasarkan kajian tersebut mereka mendapati sejenis kimia yang ada pada rokok tersebut yang dikenali sebagai "alkenylbenzenes" mengandungi racun. Kesannya boleh menyebabkan seseorang tersebut mengidap kanser serta mengalami kerosakan pada saluran pernafasan.

Asap rokok pun dah buat aku pening, badan yang berbau rokok pun mungkin bahaya sebab dah sebati dengan "alkenylbenzenes".

NATIONAL GEOGRAPHY

Setiap Selasa malam TV3 ada rancangan National Geography start pukul 9.00 malam. Malam tadi ada dokumentari tentang "Big Cats Crisis". Satu kegilaan baru penduduk Amerika memelihara haiwan eksotik terutamanya Harimau dan Singa. Bila dah bela banyak-banyak mestilah ada yang terbiar, jiran marah dan tragedi. Mungkin duit mereka dah tak tahu nak buat apa, so mereka buat sesuatu yang boleh menghabiskan duit mereka yang banyak itu. Kat Malaysia orang kaya biasanya kedekut, tak tahulah kalau benda ni dah berubah. Atau ianya hanya pandangan umum. Jangankan bela singa, nak bela ibu-bapa sendiri pun kadangkala berkira.

Tuesday, July 08, 2003

TIDAK TERDUGA

Jumpa N hari Ahad tu, dia masih seperti biasa. Sukar diduga segala tindakannya. Entah angin dari mana tiba-tiba dia belikan Mak aku kain untuk buat baju. Baik pulak dia dengan mak aku. Dengan aku dia "seksa' aku habis-habisan. Kadangkala rasa nak "kiok" dibuatnya. Kitaorang makan di "Dunken" senja tu dan balik sebelum pukul 8.00. Aku seperti biasa untuk kali kedua berturut-turut bagi kad kat dia. Kali kedua ni aku letak senyap-senyap. Biar dia tahu apa yang tak mampu ku kata, aku tulis. N semakin sibuk dengan urusan bisnes dia. Sian pulak kat dia tapi aku tahu dia ada kawan yang boleh diharap untuk membantunya. Aku doakan semuanya berjalan baik.

Semalam meeting di Melaka, ada agenda untuk membuat pemilihan siapa dapat SR & SM. Aku fightkan untuk staff aku dan diaorang semua setuju untuk tempatkan dia di first choice untuk kategori SR. Kalau rezeki dia baik dia akan tetap dapat apa yang kami harapkan layak untuk dia. Walaupun aku sedar pembahagian sistem sebegini tidak adil dari suatu segi tapi company ini bukanlah tempatnya untuk kita tunjuk handal memperjuangkan nasib kakitangan sedangkan kakitangan lain terutama director lain hanya diamkan diri. Apa yang perlu dilakukan ialah hanya menurut sahaja sistem dari bijak-pandai para lulusan luar negara itu. Aku pun kadangkala rasa tertekan juga, tapi aku tak boleh tunjukkan rasa kecewa itu didepan kakitangan supaya mereka semua tidak demotivate. Sistem buatan manusia ( yang diceduk entah dari benua mana ini) memanglah tidak pernah adil dan sempurna. Tapi bila difikirkan juga apa yang kita buat ini adalah kerana Allah kita akan lebih bersyukur. Kawan yang telah berhenti dan bekerja dia UIA mengatakan kerja yang paling sukar di UIA adalah tugasan paling senang di tempat aku.

Saham Telekom menunjukkan peningkatan dan kalau ada rezeki mungkin aku dapat lebih dari yang aku jangkakan. Harap-harap rezeki ada di pihak aku kali ini. Hari ini juga aku nak design semula banner aku itu, tapi mengekalkan part yang tertentu dengan tag line baru "Ada Yang Tak Mampu Kulupa". Aku rasa tag line baru ini lebih jujur dan kena dengan isi kandungan jurnal ini.

Sunday, July 06, 2003

ADAM & HAWA

Kebahagiaan
Untuk bahagia wanita harus memahami lelaki sepenuhnya dan menyintai sedikit sahaja.
Untuk bahagia lelaki harus menyintai wanita sepenuhnya dan jangan cuba untuk memahami mereka walau sedikit pun.

Usia
Lelaki yang telah berkahwin hidup lebih lama berbanding lelaki bujang, tetapi kebanyakkannya lebih rela mati daripada hidup.

Perubahan
Wanita mengharapkan lelaki akan berubah setelah berkahwin, tetapi lelaki tidak pernah berubah.
Lelaki mengharapkan wanita tidak akan berubah setelah berkahwin, tetapi tetap terjadi perubahan besar.

Teknik Perbincangan
Wanita sentiasa mempunyai kata putus dan muktamad
Kata-kata lelaki selepas itu adalah permulaan kepada pertengkaran baru!

Sedalam mana pun kita menyayangi seseorang, belum tentu dia akan mengasihi kita sepenuhnya.

Hari ini boring setelah bersarapan di Putrajaya lantas ke ofis untuk membalas email student. Ada beberapa email yang perlu dijawab. Ketagihan kerja ker atau sekadar boring tak tahu nak buat apa. Sampai depan pintu ofis, Pengawal Keselamatan mintak no. staff dan nama. Oklah bukan nak mencuri ker apa yer tak. Aku sekadar buat kerja kebajikan yang universiti tak perlu bayar sesen pun. Yelah kita kena sayang kerjaya kita ( kata-kata bila takde benda nak buat). Lagi pun aku duduk dalam kawasan kampus jenguk-jenguk tu perkara biasa. Bukan nakkan balasan ker apa. Tapi tak kisah ler. Petang nanti nak jumpa N, gi dinner kot. Last week dah gi nonton minggu ni just nak melepak dan berbual-bual "bincang petang" kot.

Oh ya semasa mengemas harta karun kat bilik aku tu terjumpa kaset Melly Goeslow, waduh enak sekali nyanyinya. Aku pasang kuat-kuat semasa memandu antara lagu yang sedap "Cinta", "Jika", "Menghitung Hari". Lagu menghitung hari tu dinyanyikan unplugged dan kedengaran begitu membekas di dada rasa nak nangis plak bila dengar lagu tu. Emosional betul lerr. Dah lama beli kaset ni tapi tak pernah nak dengar. Ruth Sahanaya pun ada bila masa tah aku beli. Aku memang suka dengar lagu vokal penyanyi seberang. Muzik era terkini mereka amat original sekali.

Isnin ada meeting di Melaka mungkin update sebelah petang.

Saturday, July 05, 2003

JULAI BULAN MEMBACA KEBANGSAAN

Selalu cuba baca 2 buah buku sebulan. Mostly dalam bidang "Knowledge Management". Pinjam kat perpustakaan universiti. Tak perlu beli buku. Semalam start baca novel pulak "Prozac Nation", pasal depressed macam kisah Sera pulak seram bila baca mukadimah dia jer start nak bunuh diri pelbagai. Simpati dengan masalah kemurungan melampau ni. Nasib baik aku tak der macamtu, senyum sepanjang masa walau dalam hati tuhan saja yang tahu. Kengkawan yang kenal aku kata " Rupanya kau ni pak lawak, ingatkan serious dan garang 24 jam". Hehehehe tulah tak kenal maka tak cinta. Bila dah cinta lari pulak. Cehhh.

Masa kat universiti dulu time cutilah masa aku ke library. Study masa orang tak ada ni best. Macam, library tu rumah kita plak. Boleh menjelajah ke seluruh shelves dan dapatkan buku-buku yang kita nak. Kalau hari-hari biasa jangan harap boleh sepah-sepahkan buku merata. Bila cuti tak ada siapa yang nak monitor. Tapi aku taklah sepah segala, sian plak kat pembantu perpustakaan tu diorang kan yang kena shelving balik.

Akak Pustakawan di PTAR yang selalu tolong aku dapatkan buku-buku baru. Bila aku nak buku tu time-time tu jugak dia catalog. Ehh Pustakawan juga satu kerjaya yang hebat apa. Kalau kat universiti swasta starting gaji dia RM 2,200 fresh graduate kalah gaji doktor kerajaan yang terpaksa belajar 5/6 tahun. Kerja lebih kepada bidang pengurusan manage resources, soalan rujukan dan meeting. sekarang lagi canggih segala benda dah online. Kalau kat universiti tempatan Ketua Pustakawan boleh dapat Jutsa C sama level dengan Pendaftar semua. Pustakwan juga ada sampai peringkat Phd. Master usah cakap ler dah bersepah. So kalau tegur pustakawan rujukan kat universiti tu hati-hati, diorang pun dah ada master kebanyakkannya. Jangan silap yang kat kaunter pinjaman dan pemulangan tu Pembantu Perpustakaan. Pustakawan buat kerja-kerja professional. Kerja tak mencabar? Cubalah dulu baru tau mencabar tak mencabarnya kerja tu. Kalau uruskan dana 10 juta setahun tahulah mencabar atau tidaknya. Siapa nak jawab ni?

Media melabel imej pustakawan bercermin-mata tebal dan garang suruh pembaca diam. Tapi zaman sekarang dioranglah paling bergaya yelah sebab banyak membaca majalah fesyen segala. Petah bercakap, PR bagus sebab kena handle pembaca yang pelbagai ragam. Tanyalah apa sahaja pasti maklumat dihujung jari anda. Tu yang new hybrid of librarian ler. Kalau librarian zaman dulu-dulu aku tak tahu tak hidup lagi masa tu. Kalau mereka marah tu mungkin sebab bising yelah library tetap kena maintain senyap, sebab tu jelah tempat adik-adik nak study hehehehe.

Ada juga yang salah gunakan library sebagai tempat dating, bercengkerama dan buat drama swasta. Ni dah lari dari tujuan asal. Niat baik tapi melencong buat maksiat tu tak elok. Lagi satu harta awam jangan di buat macam harta 'mak bapak' boleh sepah, conteng , koyak & curi segala. Berdosa besar dan sesetengah bahan tu memang dah tak diterbitkan lagi. Jadi ingat walaupun buku tu harga dia RM2.50 pun mungkin dia dah tidak diterbitkan lagi. Kalau bayar RM 1000 pun tak boleh dapatkan balik khazanah yang dah rosak atau hilang. Jadi sayangi harta perpustakaan kita macam harta sendiri.

Kalau pergi library biasanya sejuk, sebabnya nak maintain koleksi yang ada di dalam perpustakaan tu. Supaya jangka hayat buku dan bahan-bahan lain berpanjangan. Dan library biasanya ramai pembaca jadi tak nak suhu dia jadi suam-suam kuku tak elok untuk koleksi yang ada. Kalau carik bahan tak jumpa tanyalah pustakawan rujukan. Kalau bahan tak ada di library tu boleh mintak "Pinjaman Antara Perpustakaan. Kalau tak ada juga di perpustakaan tempatan boleh mintak depa uruskan "document delivery" dengan British Library. Harga dokumen dalam RM 44 untuk artikel dan pinjam buku dengan diorang dalam RM 80 untuk tempoh sebulan. Yelah dah bahan takde takkan nak salahkan pustakawan. Tanyalah diorang camner nak dapatkan bahan tu. Jadi tetaplah boleh buat Phd di Universiti Awam/swasta tempatan sebab apa juga bahan yang di tempat lain ada kita boleh capai. Cuma tak glamor atau tak dapat 'overseas experience'. Atau apa yekk?

Tak kenal maka tak cinta. So sempena bulan membaca ni jenguk-jenguklah perpustakaan sekolah, daerah, awam, universiti , perpustakaan korporat di tempat anda. Rasanya ada beribu perpustakaan di negara kita. Perpustakaan awam jer ada di setiap negeri dan kerajaan dah belanjakan berjuta-juta setiap tahun untuk program membaca. Ada tu siap dengan perputakaan bergerak untuk yang tinggal di ceruk dunia. Apa malas nak membaca? Ehhh VCD haram dah payah nak dapat so, beralih ler dari hobi nonton filem Hindi dengan membaca pulak. Beli cermin mata kalau tak nampak tulisan.

Oklah nak sambung baca novel Prozac Nation. N suka baca novel misteri, yang pinjam dulu dah habis ker baca N?





Friday, July 04, 2003

SAMAN

Pada 12 Disember lalu, seorang kerani, Goh Mooi Leng, dan anaknya, Audrey Chin Pui Ee, mengemukakan saman terhadap suaminya dan Yeap Goek Beng, yang didakwa sebagai teman wanita Chin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hishamuddin, memerintahkan kedua-dua pihak membuat penyelidikan mendalam kerana kes seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Kes ini akan menjadi kes rujukan bagi negara kita. Perlu dirujuk kes yang sama berlaku di luar negara.

Pada 26 Februari lalu , Goh berjaya mendapat penghakiman terus daripada Mahkamah Tinggi yang mengeluarkan perintah suaminya membayar ganti rugi. Goh dan Pui Ee, yang menuntut ganti rugi RM 1 juta daripada Chin, menjadi orang pertama di negara ini yang menyaman suami atau bapa yang mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Richard Chin Teck Hock masih membuat rayuan terhadap kes ini. Bayangkan jika tuntutan anak beranak itu berjaya akan memberi kesan hebat terhadap golongan yang curang dalam ikatan perkahwinan. Masalah kes "makan luar" mungkin dapat dikurangkan. Yelah pihak isteri dan anak boleh ugut saman RM 1 juta. Emmm sesuatu yang menarik untuk difikirkan. Kedua - dua pihak yang teraniaya boleh saman menyaman.

Hubungan cinta melalui SMS juga mungkin dapat pembelaan. Tuntutan nafkah tertunggak, gantung tak bertali dan sebagainya boleh digertak dengan tuntutan duit berjuta-juta . Bakal banyak ler jutawan muda kat negara kita. Tapi bagi aku duit tidak boleh membeli kebahagiaan tapi sudah pasti kita boleh membeli segalanya dengan duit walaupun hati tidak bahagia. Kadangkala kita terlalu memikirkan kebahagian kita sahaja tanpa memikirkan derita yang ditanggung oleh insan-insan yang pernah menyayangi kita sepenuh hati.

RAGUT

Sedih dan simpati dengan nasib bayi yang jatuh dari dukungan ibunya akibat diragut di AU3. Kalau nak meragut pun ( mungkin diorang ni kelaparan - kena bersangka baik) pergilah tempat-tempat yang sah-sah ramai orang kaya. Atau pergi kerja cuci tandas ker apa buat ler kerja yang berfaedah.

Atau tulis jurnal ker kalau boring sangat tak tahu buat apa ( hehehhee).

BUANG ANAK

Janda 18 tahun buang anak dalam semak. Kesian pulak kat janda muda ni aku cuba baca apa yang dia fikirkan sehingga dia tergamak membuang anak yang dikandung 9 bulan 10 hari itu. Malu dengan siapa? Masyarakat? Dia akan lebih dihormati jika menyerahkan anak tersebut pada keluarga yang tidak ada zuriat. Dosa yang dilakukan itu antara dia dan Allah. Mungkin dia tak tahu nak mintak tolong dengan siapa, sebabnya mungkin dia hidup di dalam masyarakat yang hanya tahu mencaci tanpa bertanya apa sebabnya dia bertindak begitu. Biasalah masa susah camni boyfren akan cabut lari. Bukankah mak dah bilang berulang kali? Jangan makan kalau tak tahu mana nak simpan.

AKU

Esok mungkin akan ke tempat Yana serahkan semua buku yang dia mungkin berminat nak guna. Kemas rumah serba sedikit dan entah apa nak buat lagi. Malas nak balik kampong. Jumpa N hari Ahad. Mungkin akan ke ofis atau mungkin akan bermalas-malasan sahaja di rumah kalau malas nak bergerak ke mana-mana.

Nonton citer Tamil kalau boring sangat. Selamat bercuti untuk semua!

KALAU AKU DIPINANG

Tertarik aku dengan Surat Pilihan BH ( Khamis, 3 Julai 2003 ), "Amalan pinang lelaki atasi masalah "andalusia". Perkara ini memanglah tidak salah dari segi agama cuma jarang dilakukan oleh masyarakat kita. Kalau dua-dua pihak asyik buat tak indah sahaja tup-tup usia bertambah tanpa disedari. Kalau kita pergi kemana-mana di pusat membeli-belah contohnya sekarang ni kaum perempuan pun sudah berani main mata dengan lelaki. Kadang kala lelaki pulak yang terlebih malu . Zaman telah berubah sebenarnya. Memilih calon teman hidup bukan satu perkara enteng.

Masing-masing perlu mengukuhkan kerjaya terlebih dahulu. Kalau ada tanggungjawab terhadap adik-adik perlu diutamakan. Kumpul harta serba sedikit. Akhirnya usia yang paling sesuai bagi lelaki untuk berada dalam keadaan selesa dan stabil lebih kurang 30 -35 tahun. Kalau start bercinta dari zaman kampus, pihak perempuan sudah pasti panas telinga nak menunggu. Itupun belum tentu pihak lelaki setia cintanya, kot ternampak pucuk muda. Yang dinanti tak dapat sedangkan usia bertambah. Akhirnya tertinggal keretapi. Masa tidak boleh diundur semula. Pada usia 30 an wanita dah dianggap "Banned Book". Hanya akan dirujuk jika mendapat arahan dari yang berkenaan. Bagi pihak lelaki usia 30 an tetap maintain hensem dan koleksi "Open shelves" atau rak terbuka banyak dan bersepah. Nak-nak bila selalu kena "On Hold"

Kini ramai perempuan bersuami muda. Bersuami muda banyak untungnya juga. Untung bagi pihak lelaki mendapat isteri yang matang dan sudah stabil. Namun masa untuk mendapat zuriat semakin suntuk. Itu pun kalau dapat anak cepat. Tapi itu semua kuasa tuhan. Bagi lelaki pula semakin berusia pengalaman dan penampilan semakin hebat. Tapi mungkin ketika itu pihak perempuan sudah "tak sanggup". Akhirnya ada juga yang bermadu dengan alasan nak anak. Bermadu itu tidak salah amat membantu kalau di lakukan ikut landasan yang betul. Bukan faktor nafsu semata-mata.

Aku cuba bayangkan kalau ada orang datang ke TK nak meminang aku. Mestilah mak bapak aku terkejut . Diorang akan tanya ker berapa hantarannya? Diorang ker yang kena bagi duit hantaran ( kalau macam tu seronok ler). Berapa nak letak untuk harga diri aku ni ( eh rasa macam barang pulak ). Orang perempuan juga akan rasa macam barang dagangan kalau dia letakkan harga. So maybe my dad akan kata "ikut yang termampu bagi pihak pompuan". Lepas tu bapak aku akan ke bilik tanya aku ."Setuju ker si polan - si polan datang nak bertanya, mal setuju ker?". Aku kena buat apa? Angguk ker diam membisu seribu bahasa? Yelah kalau diam kan tandanya setuju. Mesti aku akan jadi tajuk berita utama keesokannya. Sekurang-kurangnya Buletin Utama akan buat coverage. Azrinaz Mazhar Hakim pasti akan datang buat interview. Kemudian kena datang jemputan MHI, Nona dan kemungkinan juga Datuk Shahrizat hantar kad ucapan tahniah. Paling koman satu kampong akan turut 'memeriahkan' upacara peminangan aku tu. Mami Jarum senior dan junior berlumba-lumpa pula nak dapatkan berita panas. Rumah aku mesti kena serbu. Alangkah bahagianya.

Oppss aku bukan kategori "banned book " ok, cuma aku memang tak mahu lagi fikirkan tentang perkahwinan buat masa terdekat ini. Masing-masing masih membina kerjaya. Aku rasakan tanpa asas yang kukuh perkahwinan tidak akan berjaya atau sukar untuk bahagia. Yelah aku mengaku telah tertinggal keretapi suatu masa dulu. Dia telah bahagia, aku masih mencari makna kehidupan. Jadi teruskanlah bermimpi kalau hanya itu yang kita ada. Kalau ada yang benar-benar datang meminang camner yer ?

N tolongggg!!!

Kawan aku Mr. Khaleed berasal dari Pakistan, sebuah negara Islam. Dia kata di negara mereka perempuan meminang lelaki. Dan dia berasa amat bangga kerana di pinang. Pihak perempuan bagi duit hantaran(dowry) segala. Wanita-wanita Pakistan cantik-cantik belaka dan masih tebal adap sopannya. Dia promote aku ke Pakistan , jalan-jalan carik makan. Kalau aku bertuah mungkin aku akan dipinang juga katanya. Aku gelak-gelak sahaja bila setiap kali ternampak dia berjalan bersama isteri dan anak lelakinya yang comel di sekitar kampus.

Mungkin

Biarkanlah saja diriku sendirian tanpamu
Biarkanlah aku merindu sekian lama
Bukan maksud untuk membisu sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian


Mungkinkah bersama dua jiwa ini
Dalam mencari cinta sejati nan suci
Mungkinkah segala derita di jiwa
Akan terubat kini

Biarkanlah saja diriku sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian

Hanya satu pintaku
Sabarlah menanti
Ku kan pulang bersama
Cinta...