Tuesday, September 30, 2003

KISAH UNCLE BOTAK YANG PELUPA

SMS UNCLE BOTAK

"Amma Kuprak! Sorry la, Pak Cik dah tua. Happy Birthday Ye Kiok."

"Ya Ampun Pak, Betul2 lupa semalam celeb.ngan siapa?"

"Patutlah ribut semalam. I baru abis ditarik2 badan ni . Pas shower balik"

"Apa plak cakap camtu."

"Nak dinner/supper?

"Xnak sudah! C'monla, Xkuasa Mak merajuk ni bukan disengajakan. Whateverlah"

Sememangnya aku sedikit berasa hati. Dia langsung tidak ingat kat aku, sedikit pun tidak. Padahal kalau kawan-kawan dia sebulan sebelum tu dah siap booking itu ini dan sentiasa memeningkan kepala aku sama sebab tak tahu nak beli hadiah apa. Tiba-tiba bila 'turn' aku dia lupa plak. Selalunya begitulah kita akan berterusan berfikiran negetif dan tidak mahu memahami keadaannya. Ya, mesti akur dan fahami situasi dia. Tapi kenapa aku dan orang lain tidak?. Aku cuba pujuk hati, tidak bermakna orang lupakan kita kalau dia tidak dapat memenuhi apa yang kita inginkan. Seseorang itu tetap menghormati dan menyayangi kita tapi mungkin dengan caranya yang tersendiri, bukan seperti yang kita inginkan. Hati aku sejuk kembali selepas aku bersangka baik.

"Ala Mal, birthday isteri pak cik pun selalu pakcik lupa inikan pula kengkawan atau orang lain." Kata kawan aku yang sorang tu. Yelah aku faham. Bukan aku harapkan apa pun, tapi cubalah aku yang buat-buat lupa mahu 'kejung' dia dan siaplah kena sumpah seranah dia sebab lupakan dia. Aku masih boleh bersabar dan aku kena bersangka baik. Tak mahu marah-marah nanti hanya menambahkan botak kepala aku bertambah teruk. Kalau kita bertindak menghukum sesuatu itu tanpa usul periksa kita juga yang rugi. Selalunya kita tidak dapat memaafkan kesalahan orang lain kerana kita terlalu cepat membuat kesimpulan dan rumusan yang salah sama sekali. Aku perlu belajar sesuatu dari kisah ini. Aku perlu bersangka baik dengan orang lain terutama dengan mereka yang amat kita sayangi dan hormati. Biarlah dia lupa hari itu sebabnya setahun ada 352 hari dan aku mahu diingati dan dihargai sepanjang masa. Selama ini pun dialah yang banyak membantu aku dan lawak bodohnya memang menghiburkan.

Aku selalunya letakkan tarikh lahir kat setiap hujung nama orang-orang penting dalam hidup aku - dalam handphone aku. Contohnya Yana146 : 14 hb June tarikh hari lahirnya. Sebab memang aku pelupa. Jadi untuk tidak kena sumpah seranah dan kena maki sebab tak ingat birthday mereka aku letak sebagai nama dalam handphone aku. Jadinya setiap kali aku mendail/select nombor itu aku dengan sendirinya teringat hari lahirnya. Aku tak salahkan pakcik aku tu. Dia memang dah tua. Atau terlalu sibuk dengan hal perniagaannya. Sebenarnya ia tidak penting manapun tak mati pun kalau orang tak 'wish" birthday kita tapi macam kata adik aku Yana - " Memanglah tak penting tapi kalau orang lain ingat kenapa pulak abang sendiri tak boleh ingat?" . Sebak aku ketika itu sebab itulah aku buat "inovasi" itu. Eh dalam handphone aku juga penuh dengan nombor pin bank dan kad kredit juga.

Sebenarnya tidak sukar untuk belajar bersangka baik dengan orang lain. Kita hanya perlu percaya tidak semua orang di dunia ini sedang cuba untuk memencilkan kita dan merampas kebahagiaan kita. Setiap individu yang wujud dalam lingkungan kita itu sudah pasti ada sesuatu yang baik tentangnya, sesuatu yang istimewa dan menawan. Kita tidak boleh melabel seseorang itu begitu dan begini atas kesalahan kecil atau kekhilafan dia tentang sesuatu hal. Sebagai seorang manusia biasa aku selalunya lebih nampak 1 keburukan itu lebih dominan dan lebih besar daripada seribu kebaikan yang orang itu telah lakukan kepada kita.

Untuk kali ini aku mengambil peluang untuk memaafkan Uncle Botak, tapi sebelum itu memang tak cukup ruang ler aku laserkan dia sepuas hati. Terkedu juga dia dengan serangan emosi yang tidak terduga itu.

Jadi di tempat kerja, bos aku perlu bersangka baik dengan setiap pekerjanya kalau datang lambat ker apa. Yelah kenalah bersangka baik, kita ni kan manusia biasa dan ada masalah peribadi yang perlukan perhatian kita juga. Tidak boleh terus membuat kesimpulan tanpa memahami situasi sebenar . Jadi bersangka baiklah yer, kita tidak akan rugi apa-apa.

Monday, September 29, 2003

SESUDAH JENDELA SUBUH TERBUKA

Semalam adalah sejarah, banyak yang saya pelajari tentang hidup. Kita selalunya mengharapkan yang terbaik berlaku dalam kehidupan. Namun realitinya tidak begitu. Kedukaan dan kekecewaan sebenarnya adalah ubat pahit yang amat mujarab. Manakala kegagalan adalah kejayaan yang tertangguh.

Setiap hari Isnin badan terasa amat letih dan malas sekali untuk meninggalkan katil. Memulakan rutin seharian setelah semalam bercuti. Namun sesudah sahaja pintu subuh terbuka. Setelah mandi dan solat subuh, entah kuasa dari mana yang menggerakkan hujung jari ini menaip bilah bicara. Kuasa dalaman mungkin atau memang begitulah kehidupan perlukan 'passion' dan disiplin untuk berbuat sesuatu.

Tuntutan tugas dipejabat samada di syarikat swasta atau kerajaan telah menjelmakan satu gaya hidup baru. Non-executive berlumba-lumba untuk belajar dan memperbaiki taraf hidup dan golongan atasan atau yang berpangkat ingin memperkukuhkan lagi kedudukan. Walaupun seakan kehidupan seperti ini bercirikan duniawi dan material semata. Namun kita tidak boleh menolak hakikat inilah dunia penghidupan kita sekarang. Kita tidak mungkin maju jika kita menolak bulat-bulat cabaran untuk bersaing dalam dunia seperti ini. Apa yang penting ialah prinsip diri dan agama tidak digadaikan tetapi ditukar menjadi aset apabila menghadapi cabaran mendatang sewaktu bekerja. Bersainglah secara adil dan tidak menikam rakan sendiri.

Setiap dari kita membawa 'brand' masing-masing. Kita mempunyai cara dan kepakaran dalam bidang yang kita pelopori. Kita ingin menjadi yang terbaik dan menghasilkan tugasan paling sempurna setiap waktu. Soalnya dapatkah kita terus kekal di tangga pertama? Ada 2 langkah yang perlu kita perhatikan : Pertama, kita memperkenalkan sesuatu yang baru dan terbaik dalam bidang yang mungkin sudah lama diterokai. Kedua, kita juga boleh mencipta sesuatu yang baru dalam bidang yang benar-benar baru.

Konsep "Kaizen" atau "sentiasa berubah" untuk menjadi yang terbaik merupakan resepsi orang Jepun untuk berjaya. Mereka tidak setakat bekerja keras tetapi juga bekerja dengan bijak. Mereka berubah daripada mengusahakan buah fikiran orang lain kepada golongan masyarakat yang mula menjanakan idea sendiri. Kreativiti yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Inovasi timbul biasanya apabila ada keperluan yang berkehendakkan perubahan. Jika kita sentiasa berfikiran kreatif dan mampu mengenal pasti apakah yang perlu diubah dan apakah yang perlu dilakukan bagi memenuhi kehendak tersebut, tidak mustahil jika kita mampu mencipta sesuatu yang berguna, menarik dan mampu memberikan keuntungan.

Dr. Spencer Silver mencipta pelekat kuning "Post-It-Notes" atas galakan rakannya Al Fry. Fry merupakan seorang paderi yang sentiasa menggunkan penanda buku bagi menandakan pelbagai bahagian yang berbeza dalam buku bagi memudahkannya memberi syarahan agama. Malangnya penanda buku senang terkeluar dan penandanya sering hilang . Oleh itu, Silver mula mencari idea mencipta sejenis pelekat yang bukan sahaja mampu melekat dengan baik. Tetapi pelekat itu tidak boleh terlalu kuat kerana tugasnya hanyalah sekadar pelekat sementara. Penemuan yang boleh kita sifatkan mudah ini sebenarnya satu inovasi yang bukan sahaja lahir daripada pelbagai eksperimen. Akhirnya pelekat kuning ini telah memberikannya keuntungan lebih AS$300 juta setiap tahun.

Saya pula di sini memulakan tugas seawal pagi dan majikan mengharapkan kita bekerja lebih masa. Pulang tepat jam 5 dianggap sesuatu yang janggal, terlalu berkira dan tidak mahu menyumbang lebih kepada syarikat. Namun di Peranchis, undang-undang korporat meluluskan hanya boleh bekerja 35 jam seminggu, iaitu masa yang dibolehkan bekerja bagi semua syarikat yang beroperasi di negara itu. Sesiapa yang terlebih rajin dan ikhlas mahu bekerja lebih masa, pihak berkuasa Peranchis akan mengambil tindakan dengan mendenda mereka. Untunglah mereka ada banyak masa untuk bermalas-malasan di rumah.

Mengenangkan ini semua saya juga berazam untuk membuat perubahan dalam diri. Bekerja dengan lebih tekun dan cuba memberikan idea-idea bernas agar sekurang-kurangnya saya berasa seronok untuk memulakan tugas setiap pagi setelah pintu subuh terbuka!



Nota: Untuk dia yang sibuk dengan pelbagai mesyuarat hari ini. Lagu ini ditujukan khas untuknya. Moga diberikan kelapangan untuk memulakan "pusingan-pusingan sumo" yang seterusnya.

RIGHT HERE WAITING
Richard Marx
- written by Richard Marx

Oceans apart day after day
And I slowly go insane
I hear your voice on the line
But it doesn't stop the pain

If I see you next to never
How can we say forever

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you

I took for granted, all the times
That I thought would last somehow
I hear the laughter, I taste the tears
But I can't get near you now

Oh, can't you see it baby
You've got me goin' crazy

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you

I wonder how we can survive
This romance
But in the end if I'm with you
I'll take the chance

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you
Waiting for you

Saturday, September 27, 2003

ROMBAK KUASA VETO PBB

Dalam ucapan terakhir PM sebagai ketua kerajaan Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York 25 Sept.2003, PM menegaskan PBB perlu disusun semula khususnya dalam menghapuskan amalan tidak demokratik yang membenarkan biarpun satu negara menggunakan kuasa pembatal itu. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed menggesa negara-negara kuasa besar yang menjadikan PBB boneka untuk kepentingan mereka supaya kembali ke pangkal jalan dengan merombak sistem kuasa veto badan dunia itu.

Antara Isi Penting Ucapan PM

1. Beliau mencadangkan supaya keistimewaan itu diganti dan dipinda dengan dua kuasa veto memerlukan sokongan tiga negara anggota bukan tetap Majlis Keselamatan bagi menghalang sebarang resolusi PBB. Pindaan itu pun, kata Perdana Menteri, perlu dimansuhkan secara perlahan-lahan supaya keputusan akhirnya ditentukan oleh majoriti dalam Majlis Keselamatan. ``Agensi lain yang penting dalam PBB mesti bebas daripada penguasaan satu-satu negara. Ia perlu dijadikan lebih demokratik secara berperingkat-peringkat,'' katanya pada sesi ke-58 UNGA di PBB di sini. Pada masa ini, hanya lima negara kuasa besar yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan menikmati kuasa veto. Amalan kuasa veto itu yang dimulakan selepas Perang Dunia Kedua dilihat sebagai lambang struktur kuasa yang sudah ketinggalan zaman, tidak demokratik dan semakin disalah guna termasuk dalam menangani krisis dunia seperti di Iraq dan Palestin.

2. Dalam ucapannya yang berbaur kritikan, kekecewaan dan harapan untuk melihat kewibawaan PBB dipulihkan, Dr. Mahathir turut menekankan mengenai perlunya negara-negara kuasa besar dan kaya menghentikan manipulasi terhadap pasaran bebas, perdagangan, pertukaran mata wang, eksploitasi cukai serta campur tangan politik dalam negara yang hanya menguntungkan mereka. Dalam hubungan ini, beliau berkata, dunia sudah hilang arah dan bergerak terlalu laju maka ia perlu berhenti sejenak bagi membolehkan kembali ke pangkal jalan. "Terdapat pepatah Melayu yang menyatakan: Jika tersesat jalan, ia harus kembali ke pangkal jalan. Kita perlu kembali ke pangkal jalan,'' kata beliau dengan turut merujuk kepada isu Palestin.

3. Perdana Menteri menegaskan, banyak permasalahan yang dihadapi oleh dunia sekarang adalah berikutan tindakan merampas dan menduduki sewenang-wenangnya wilayah Palestin dalam usaha untuk mewujudkan negara Israel bagi menyelesaikan masalah Yahudi di Eropah. Di peringkat awal ucapannya, Dr. Mahathir menyatakan bagaimana negara-negara kuasa besar suka campur tangan dalam urusan negara membangun atas alasan berlaku penyalahgunaan kuasa. Tetapi katanya, apa yang mereka lakukan dengan menghapus dan membunuh penduduk pribumi suatu masa dahulu untuk mendirikan negara baru dan kemudiannya tanpa sedikitpun peranan pribumi, adalah lebih buruk. Beliau menambah, hari ini dunia menyaksikan kemunculan semula penjajahan Eropah yang bukan sahaja dalam bentuk penindasan ekonomi dan kewangan bahkan secara fizikal atau ketenteraan oleh pihak asing yang kemudian menubuhkan rejim boneka sebagaimana zaman lampau. Walaupun tidak menyatakan secara spesifik tetapi beliau merujuk kepada pencerobohan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Afghanistan dan Iraq dengan membelakangkan PBB.

4. Dalam keadaan sedemikian, Perdana Menteri berkata, PBB yang diletakkan harapan tinggi bersama lima anggota tetap Majlis Keselamatan yang sepatutnya menjadi pelindung, sudah menjadi institusi yang tidak lagi dapat membantu negara lemah dan miskin. Di sebalik itu, katanya, PBB dan organ-organnya disalah guna serta dijadikan boneka mengikut kepentingan mereka. "Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Perdagangan Dunia kini bertukar menjadi instrumen hegemoni untuk memiskinkan negara miskin dan memperkayakan negara kaya. Adalah tidak mengejutkan hari ini bahawa jurang di antara negara kaya dan miskin semakin besar,'' katanya. Menurut Dr. Mahathir, dengan kelemahan PBB, agensi-agensinya bertukar menjadi organ pihak yang kuat dan adalah malang bagi negara-negara kecil. Malah, katanya, jika negara yang lemah itu tidak bersalah sekalipun, tiada peluang untuk mengelak daripada menjadi sasaran dakwaan kesalahan yang dilaung-laungkan. "Kita merasakan amat perlu integriti dan kredibiliti PBB dipulihkan,'' tegas beliau.

5. Beliau turut memaparkan tentang fenomena ancaman yang dihadapi oleh semua pihak daripada negara kecil sehinggalah kepada negara yang kuat. Antaranya kesan daripada krisis ekonomi sebagaimana yang dihadapi oleh Malaysia pada tahun 1997, diikuti keruntuhan syarikat-syarikat Dot.Com angkara penipuan besar-besaran syarikat multinasional negara kaya, serangan pengganas pada 11 September dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan. "Dunia kini berada dalam ketakutan - yang kaya daripada serangan pengganas dan yang lain daripada menjadi sasaran syak wasangka dan pencerobohan atas alasan untuk mencegah ancaman,'' katanya sambil mengingatkan bahawa tiada jaminan bahawa satu lagi ancaman iaitu Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) atau jangkitan penyakit baru tidak akan berulang. Perdana Menteri juga menyatakan pasca Perang Dingin yang sepatutnya menjadikan dunia lebih baik untuk semua sebaliknya mencetuskan ancaman baru yang terhasil daripada dunia unipolar dan kapitalisme. "Unipolar yang dikuasai oleh negara demokratik membawa dunia kepada kemelut ekonomi, anarki politik, ketidaktentuan dan ketakutan,'' jelas beliau. Katanya, pemulihan dan keamanan yang berpanjangan tidak akan dicapai selagi ugutan dikenakan terhadap pembaharuan ekonomi dan politik ketika kebanyakan negara belum bersedia dan belum mahu melakukannya.


Ucapan Dr. Mahathir pada sesi UNGA itu merupakan yang terakhir sebelum beliau bersara selepas Oktober ini. Kali pertama beliau berucap pada forum tahunan terpenting dunia itu ialah pada sesi ke-37 pada 29 September 1982. Beliau berucap selama 13 minit bermula jam 10.55 pagi (1055 malam waktu Malaysia). Sebaik sahaja menamatkan ucapan, beliau yang juga Pengerusi Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) menerima tepukan bergemuruh para perwakilan dari 191 negara yang menghadiri perhimpunan itu sejak Selasa lalu.

Segalanya telah diluahkan namun samada mereka mendengar atau tidak itu cerita lain sekurang-kurangnya Malaysia berani menyuarakan pendapatnya. Memberikan idea-idea dan pandangan kepada orang tuli dan tidak berhati perut yang perasaan kemanusiaanya telah mati. Kadangkala seperti bercakap dengan dinding. Mana mungkin mereka mahu meninggalkan kerusi empuk kuasa veto tersebut. Namun kita telah berusaha, memberi pandangan dari sebuah negara asia yang kerdil ini. Bangga jadi rakyat Malaysia.
SELAMAT DATANG 31

Tinggal beberapa jam lagi aku akan meninggalkan usia 30. Banyak sekali yang aku lalui sepanjang usia 30 tahun ini. Kejayaan, kegembiraan dan kedukaan segalanya terjalin indah dan bertaut erat. Tidak mudah mengharungi hidup ini sendirian rupanya, tapi itulah jalan yang aku pilih.

Di usia 30 banyak yang aku doakan dan impikan. Alhamdullillah aku diberikan kekuatan untuk melakukan segalanya. Menyiapkan ijazah sarjana pada October 2002, memiliki rumah sendiri juga di usia 30. Mungkin bagi orang lain kejayaan ini terlalu kecil tapi buat aku amat besar ertinya. Aku menanti 6 tahun untuk aku menyambung pelajaran semula setelah selesai melunaskan tanggungjawab terhadap adik-adik.

Bertuah sekali, aku dikurniakan keluarga yang amat memahami aku dan tidak terlalu mendesak aku mencari pasangan hidup selepas dari satu "hempasan" ke "hempasan" yang lain. Aku katakan kepada mereka suatu hari nanti pasti ada juga yang mampu mengetuk pintu hati aku semula. Tapi buat beberapa tahun yang mendatang ini aku punya perancangan lain. Perkara-perkara ini juga memerlukan perhatianku yang bukan sedikit. Jadi maafkan aku atas sebab ini.

Aku pernah berkata kepada seseorang untuk mengubah penampilan aku. Menambah berat badan, ubah itu dan ini. Tapi aku tidak perlu itu semua. Untuk apa menjadi orang lain dan hanya untuk memuaskan hati mereka itu. Jadi terimalah aku seadanya. Aku tetap seperti dulu, walaupun agak bersikap radikal dan sukar dijangkakan. Payah juga untuk mengerti apa yang sedang aku fikirkan. Tapi itulah diri aku yang sebenar.

Aku menemui sesuatu yang sebenarnya aku minat. Menulis, membaca dan menyelami kehidupan. DJW menjadi sesuatu yang terindah tercipta untuk aku memcurahkan segala rasa hati. Segalanya yang berlaku aku coretkan, bukan mengundang simpati cuma untuk "memindahkan" apa yang terbuku di dada. Sukar untuk berbicara pada mereka semua, mana mereka punya masa untuk mendengarnya.

Kepada seseorang yang mula aku kenali. Terima kasih kerana sabar melayani karenah aku dan segalanya. Buat B yang sentiasa punya masa menjawab panggilan telefon dan kiriman SMS moga B sekeluarga dirahmati Allah selalu hendaknya. Juga tak lupa untuk semua yang sentiasa ada bersamaku di sepanjang usia 30. Kepada teman-teman cyber yang sentiasa memberikan nasihat dan pandangan : Merryhearted, Larawanabe, Jolikens, M, Kak Rohani dan mereka yang tidak dapat saya sebutkan namanya terima kasih di atas perhatian dan masa yang diberikan.

Esok adalah hari baru dan perjalanan hidup ini adalah atas izin dari Nya. Moga aku mampu menjalankan tanggungjawab aku dengan baik dan dikurniakan nikmat kesihatan yang sempurna. Banyak yang aku fikirkan dan akan aku lalui di masa mendatang ini. Doakan aku terus sihat dan tabah menjalani hidup ini.

DI AMBANG TAUBAT

Telah kuruntuhkan istana jahil dan fasiq demi-MU
Pengabdian ini menyusup dalam sedar yang damai
menghijaukan rimbun takwa menuju rumah bening makrifat.

Sepanjang jalan kusebut nama-Mu
memohon redha berteduh di bawah arasy-Mu

Tuhan, akulah busa perlimbahan yang daif di sisi-Mu
bakal hancur luluh oleh qudrat, qada dan qadar-Mu
di setiap pintu wahyu yang Kau utuskan
memanggilku pulang ke negeri asal

- Alipah Jn

Buat semua terima kasih di atas ucapan selamat hari lahir yang dikirimkan.

Salam
Azhan Assaha Kamal
Cyberjaya

Friday, September 26, 2003

KISAH CHANTY DAN MERENUNG DIRI

KISAH CHANTY DAN MERENUNG DIRI

Tersentuh hati saya bila membaca artikel "Bringing Chanty Home", Readers Digest June 2003 pp :21- 27. Chanty merupakan antara ribuan anak - anak terbiar yang ditinggalkan di Cambodia. Mendapat sinar baru bila Pete dan pasangannya bersetuju mengambilnya menjadi anak angkat dan memulakan kehidupan baru yang lebih terjamin di Amerika Syarikat. Sesuatu yang terjadi itu memang ada hikmah disebaliknya. Biarpun kehadiran Chanty tidak diterima oleh keluarga asal yang membuangnya lantaran kesempitan hidup mungkin. Tuah manusia siapalah yang tahu. Manis sekali senyuman kanak-kanak perempuan itu. Tindakan Pete dan pasanganya menjadikan Chanty anak angkat mereka wajar dipuji. Menolong orang yang dalam kesusahan tanpa memikirkan batas agama, warna kulit dan halangan budaya. Mereka sanggup terbang ribuan kilometer untuk merealisasikan impian mereka mendapatkan Chanty sebagai anak angkat kedua bagi pasangan tersebut.

Walaupun jika kita lihat seolah-olah masyarakat kita hari ini bersikap terlalu individulistik iaitu hanya mementingkan kesenangan sendiri-sendiri namun kita mungkin boleh berpandukan pendapat seorang ahli psikologi dari Universiti New York, Prof. Martin Hoffman. Menurut beliau " Dalam masyarakat hari ini masih terdapat banyak bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kebanyakkan orang akan tersentuh hatinya ketika menjumpai orang lain dalam keadaan yang menyedihkan atau mengkhuatirkan. Maka apabila keadaan demikian berlaku orang akan memberikan pertolongan secara spontan." Namun apa yang dilakukan oleh Pete dengan hanya melihat gambar kanak-kanak malang tersebut melalui Internet hatinya terus meronta-ronta untuk mendapatkanya dan mengambilnya sebagai anak angkat mereka amat saya kagumi.

Namun apakah pula sebabnya seseorang manusia itu enggan memberikan pertolongan? Menurut Latane dan Barley, ada tiga sebab yang jelas membuatkan seseorang itu enggan memberikan pertolongan. Pertama, seseorang itu mungkin khuatir akan pertolongan yang diberikannya, jika kemudiannya pertolongan itu ternyata tidak diperlukan.

Kedua, kemungkinan kita menarik kesimpulan daripada kenyataan yang ada, bahawa ada orang yang tidak senang diberi pertolongan . Dan adalah kewajipan memberi pertolongan biasanya menjadi tanggungjawab kepada mereka yang berada. Tetapi walau bagaimanapun ada orang yang menolong orang lain tanpa memperhitungkan kedudukannya. Dan orang seperti ini adalah orang yang dapat menguasai hidupnya dan tidak perlu mencari kata sepakat daripada masyarakat asalkan dia berfikir bahwa tindakannya itu adalah betul. Orang ini adalah tergolong kepada golongan orang yang jujur dan ikhlas.

Namun demikian adalah jelas bahawa motif untuk memberikan pertolongan kadang-kadang berunsurkan untuk kepentingan diri sendiri dan juga perilaku sosial dalam erti kata untuk kepentingan orang lain harus bersifat alturuistic atau tidak harus selalu mementingkan orang lain. Dalam tindakan yang berunsurkan kepentingan diri sendiri, Thomas Hobbes, seorang ahli falsafah abad ketujuh belas menyarankan, "Bahawa kita selalu bertindak demi kepentingan diri sendiri."


Dennis Krebs dan Christine Russel, dua orang ahli psikologi dari Kanada berpendapat kemungkinan besar kita menolong orang lain bukan kerana kita dapat merasakan penderitaan mereka, tetapi kita dapat mengerti bagaiman dunia memandang mereka. Hal serupa ini adalah suatu perspektif penerimaan. Apabila seorang itu dapat merasakan penderitaan orang lain, mungkin dia akan memberikan pertolongan dalam bentuk apa sekalipun.

Dalam majalah Better Homes and Gardens, seorang penulis wanita menulis, bahawa melakukan sesuatu yang baik bagi seseorang sebenarnya sama dengan mengusir masa-masa depression atau tertekan dalam dirinya. Ini adalah sutu kenyataan yang tidak dapat kita nafikan.

Akhirnya, dalam memberikan pertolongan, jiwa yang bersih dan jujur sangat penting, kerana apabila perbuatan ini dilakukan dalam keadaan yang dipaksa-paksakan, walau apa pun alasanya, mungkin kita tidak akan memperolehi keuntungan sama ada dari segi jasmaniah atau batiniah. Dan perbuatan ini juga dinamakan ikhlas dan dituntut oleh agama Islam kita.

Hari ini Jumaat, terlalu pantas masa berlalu, 2 hari lagi … tak tahu apa yang akan menanti saya di waktu itu.

Saya teringat beberapa ungkapan sajak "Terhempas" Allahyarhamah Zaihasra ( daripada antologi Laut Pohon dan Kota) yang mengabadikan kata-kata berikut:

Apakah ada erti esok
setiap kali mentari terbaring
memadamkan garis tanda di dada bulan
yang sekian lamanya dicipta
padat dalam ilusi seorang pencari
harga diri.

Adakah harus membuat andaian
antara ragu dan cemburu
tetapi tiba-tiba menyembunyi diri
di sebalik mimpi dan igau
pada mengumpul harapan yang terasa hilang
di celah geram.



Thursday, September 25, 2003

MEMBACA KEHIDUPAN

Ahad lepas semasa menonton The Italian Job di KLCC teringat petikan kata yang lebih kurang begini :"Aku memang mempercayai semua orang, cuma kita tidak tahu kejahatan yang ada dalam dirinya." Aku pun seperti itu juga mudah mempercayai orang. Kadangkala berdasarkan gerak hati. Bila tiba-tiba hati kita berasa lain. Namun selalunya aku tiba dalam waktu dan keadaan yang silap. Itu aku kira bukan salah aku, tapi memang nasib aku telah ditakdirkan sebegitu rupa. Pasrah sahajalah nak buat macamana yer tak?

Kadangkala hidup aku menjadi seperti kisah klasik. Tapi bila difikirkan kisah ini juga tidak perlu dihiraukan sangat macam apa yang dikatakan oleh Stanley Lee pengkritik sastera Amerika yang mengemukakan satu teori (1980) yang disebut sebagai Reader Response Theory. Menurut teori ini, pembaca boleh membuat apa sahaja tafsiran terhadap sesebuah teks ( ini termasuk cerita ) tanpa merujuk atau mengindahkan makna atau mesej yang ingin disampaikan oleh pencipta teks itu. Jadi menurut teori ini , teks itu dianggap bebas daripada penciptanya dan pembaca bebas memberikan tafsirannya sendiri, walaupun mungkin bukan itulah yang dimaksudkan oleh penciptany teks asal. Seolah-olah pengarang sudah mati atau 'death of an author", seperti kata Michel Foucault, ahli falsafah Peranchis.

Kisah dongeng aku bermula bila saban waktu kami berkirim email. Tapi aku tidak boleh lebih-lebih pulak kerana dia sudah berpunya. Perlu tahu batas dan hak. Jangan masuk kawasan larangan nanti kena tembak. Boleh tinjau dari luar tapi masuk jangan sekali. Dia juga ada mengingatkan aku tentang itu berkali-kali. Seharusnya begitulah dan aku harus sedar bahwa wujudku hanyalah "debu-debu yang hadir di bawa angin lalu". Yang hanya mengisi kesunyian dan kebosannya bila berjauhan. Aku tetaplah keutamaan paling akhir dalam semua program hidupnya. Mungkin juga dari tidak berbuat apa lebih baik melayan karenah aku, mungkin begitu. Dan aku tulis mungkin begitulah sebab itulah yang aku atau kami rasa.

Seharusnya bagaimana kisah ini harus ditulis? Aku tak tahu bagaimana nak memulakannya. Tapi aku tahu kesimpulan atau penamatnya. Aku banyak makan garam juga dalam hal ini. Mungkin begini, kerana inilah sesuatu yang aku pelajari darinya : "Lebih baik disayangi sebagai seorang sahabat dari dibenci oleh seorang kekasih." Bunyinya agak melankolik, sedikit kejam tapi itulah kenyataannya.

Anda semua sebenarnya sedang membaca kehidupan aku. Membaca kehidupan yakni kehidupan yang berpusatkan kepada kehidupan manusia, kemudian aku mencatatkannya seperti apa yang sedang aku lakukan ini; padahal diri sendiri yang membaca catatan ini pun sebenarnya sedang mengalami proses kehidupan itu juga. Maka membaca kehidupan itu adalah proses kehidupan itu sendiri.

Masih keliru? Maka membaca kehidupan adalah membaca sistem berlangsungnya kehidupan itu. Duduk atau berada di dalam kehidupan memerhati gelagat manusia dan membuat tafsiran sendiri-sendiri, tanpa teks cuma bezanya di DJW aku menulisnya saban hari. Ada yang cuma kita lihat dan perhati, ada pula yang kita baca. Maka duduk dalam kehidupan itu pun adalah dengan sendirinya menghayati kehidupan, sambil dengan sendirinya juga menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sekaligus memberikan kesan terhadap kehidupan. Membaca kehidupan merupakan amalan individu yang kurang memperlihatkan kesannya terhadap orang lain kecualilah apabila "bacaan", pemikiran itu dicatatkan.

Tulisan itu pada asasnya adalah hasil catatan terhadap aspek-aspek tertentu kehidupan. Membaca tulisan adalah membaca interpretasi seseorang atau beberapa orang terhadap aspek-aspek tertentu kehidupan. Membaca tulisan adalah membaca fikiran, pandangan dan perutusan orang lain.

Sejujurnya kadangkala aku juga keliru didalam mambaca kehidupan aku sendiri. Aku harus memilih watak apa yang aku inginkan, apakah peranan dia dalam cerita ini dan sebagainya. Akhirnya aku sedar kehidupan ini bukan kisah dongeng tetapi realiti yang aku harus telan biarpun pahit.

Selembut Awan
Katon Bagaskara

Cinta selembut awan
Masih tersimpan di hati
Pesona mu menawan
Ku dilanda sepi
Mengapa hanya pada mu
Tercurah seluruh rasa
Hadir di setiap nafas ku
Bayang mu menyapa.

Meskipun ku tahu
Dirimu kini tiada lagi sendiri
Namun ku tak rela melepaskan segala mimpi
Oh mengapa hanya diri mu
Yang mampu mengisi hampa sanubari
Kini ku mengerti
Angan ku hanya lamunan
Kisah kita berakhir menjadi kenangan
Aaaa ... Aaaa ... Aaaa ...

Wednesday, September 24, 2003

BABI !

Saya dilahirkan di Batang Berjuntai, Kuala Selangor sebelum berpindah ke TK. Amat segan sekali bila guru dan rakan-rakan bertanya di mana saya dilahirkan. "Batang Berjuntai" memberikan makna yang kurang menarik dan sedikit lucah tetapi itulah yang tercatat di sijil kelahiran saya. Saudara mara sebelah ayah ramai yang menetap di Bukit Badong dan sebelah emak di Ijok.

Sejak kebelakangan ini Batang Berjuntai semakin dikenali ramai. Bukan disebabkan keunikan namanya dan bukan juga disebabkan sebuah universiti akan beroperasi sepenuhnya di kawasan tersebut tetapi disebabkan BABI. Nama yang sedikit lucah itu dipadankan pula dengan isu yang tidak kurang sensitifnya.

Sebuah pusat pemotongan babi di Jalan Rawang-Batang Berjuntai akan beroperasi sepenuhnya dalam waktu terdekat ini. Pusat seluas 80 ekar dengan kos RM 30 juta itu terletak lebih kurang 5 kilometer dari Jalan Rawang-Batang Berjuntai. Dijangka 3,500 ekor babi akan disembelih setiap hari apabila operasi pusat itu bermula. Pusat berkenaan dikendalikan oleh Tip Top Meat Sdn Bhd.

Pusat pemotongan babi ini dijangka menghasilkan kira-kira 1.75 juta liter atau 1.750 meter padu (m3) efluen atau air kumbahan sehari. Jumlah itu adalah pengiraan bagi 3,500 ekor babi yang akan disembelih dalam sehari di pusat pemotongan babi berkenaan. Seekor babi menghasilkan kira-kira 500 liter atau 0.5 m3 efluen sehari.

Pengarah Institut Pengurusan Alam sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr. Zaini Ujang menjelaskan dalam sebuah akhbar harian efluen yang dihasilkan itu banyak dan adalah mustahil ia boleh dilupuskan menerusi sistem kolam terbuka dan sejatan, sistem yang akan dilaksanakan di pusat pemotongan berkenaan.

Isu yang lebih membimbangkan ialah wujudnya parit yang menyalurkan air dari kolam takungan pusat pemotongan babi ke tasik atau kolam berhampiran. Ini akan menyebabkan efluen atau air kumbahan dari pusat pemotongan ini mengalir ke tasik atau kolam berhampiran seterusnya mencemari sungai yang menjadi sumber air bersih. Menerusi sistem kolam terbuka , efluen ini akan menyerap ke dalam tanah dan mencemarkan air bawah tanah atau melimpah keluar apabila kolam penuh terutama jika banjir berlaku. Keadaan ini menyebabkan pengguna, khususnyanya di Lembah Klang berkemungkinan besar meminum air yang dicemari najis babi, lebih-lebih lagi sehingga kini tiada syarikat pengeluar air yang mempunyai teknologi untuk merawat air yang dicemari najis babi.

Struktur kolam takungan sisa rawatan tersebut tidak bersimen dan dilapik dengan bahan water proofing (anti telap),ini akan mengakibatkan sisa rawatan tadi diserap kedalam tanah lalu bercampur dengan air bawah tanah sebelum mengalir ke sungai. Tambahan pula pemilik pusat tersebut telah mengorek saluran dari kolam takungan berkenaan untuk dialirkan sisa rawatan sembelihan tadi ke kolam dan tasik sebelum bertumpu ke Sungai Sembah yang akan terus mengalir ke Sungai Selangor,yang menempatkan Loji Pam dan Rawatan Air dengan kapisiti 2,700 juta litre sehari.

Syarikat pengeluar air masih menggunakan sistem konvensional sedangkan mereka perlu menggunakan sistem rawatan canggih, yang dilengkapi karbon teraktif dan membran untuk merawat air yang dicemari najis babi. Najis babi mengandungi banyak logam berat seperti kadmium (Cd) dan zink (Zn), disebabkan makanan mereka yang banyak mengandungi bahan ini, bertujuan untuk mengeraskan tulang haiwan ini. Malangnya sistem rawatan air di negara kita pada masa ini tidak mempunyai keupayaan untuk merawat logam berat ini.

Berdasarkan undang-undang pusat pemotongan itu tidak perlu menjalani EIA kerana saiznya yang kurang daripada 50 hektar. Namun kes ini memerlukan perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Kita berhadapan dengan satu ancaman yang mendedahkan masyarakat sekitar dengan bahaya-bahaya dan kemungkinan-kemungkinan yang memang telah dijangkakan. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling ( Kumbahan dan Efluen-Efluan Perindustrian) 1979, Jabatan Alam Sekitar seharusnya memantau secara ketat dan seharusnya memastikan pengusaha pusat berkenaan mematuhi syarat berkenaan.

Berdasarkan peraturan itu, pusat pemotongan babi perlu mematuhi Standard A, yang menetapkan tahap pencemaran yang lebih rendah, seperti permintaan oksigen biologi atau pencemaran biologi (BOD) tidak melebihi 20 miligram per liter (mg/l), permintaan oksigen kimia atau pencemaran kimia (COD) 50 mg/l, partikel terampai 50 mg/l, kadmium 0.01 mg/l, kuprum 0.20 mg/l, zink 2.0 mg/I dan sulfida (yang menghasilkan bau) 0.50 mg/I.

Terdapat ulasan dan maklumat yang kontra antara JAS dan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Alam sekitar yang menyebut pengusaha pusat pemotongan babi perlu mendapat lelulusan EIA daripada JAS sedangkan Ketua Pengarah JAS, Rosnani Ibrahim yang mengatakan pengusaha pusat pemotongan babi itu tidak perlu menjalani EIA. Kita bercakap tentang babi di sini, bukan ternakan ikan talapia. Sesuatu isu yang amat berat dan sensitif tetapi dipandang sebelah mata oleh pihak-pihak berwajib. Seharusnya mereka ini lebih tegas dengan keputusan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Tidak dapat dibayangkan jika suatu masa nanti air yang digunakan untuk makan dan minum, mandi, bersolat tercemar dengan najis babi. Kita tidak akan tahu apa yang ada dalam kandungan air yang kita minum dan gunakan. Maklumat sentiasa sulit sehinggalah ianya disebarluaskan oleh media. Sesuatu perlu dilakukan sebelum ianya terlambat. Tidak tahu pula apalah sangat kesannya terhadap ekonomi negeri Selangor yang amat saya cintai ini jika pusat penyembelihan ini ditutup. Lebih baik buat ditempat lain sebabnya penduduk tidak mahukan sesuatu yang memudaratkan dan menyesakkan lagi persekitaran serta menimbulkan kebimbangan kepada lebih 4 juta penduduk di Lembah Klang.






Tuesday, September 23, 2003


JADILAH PEMBACA YANG HEBAT



Teknologi telah menganjakkan kita ke satu peringkat yang lebih tinggi. Internet telah menjelmakan satu medium yang hebat di mana maklumat boleh di akses dan mengubah cara kita membaca. Pengkalan data atas talian yang memuatkan ratusan ribu journal pelbagai topik, tesis dan kertas persidangan juga e-books memungkinkan maklumat diperolehi dengan cara yang mudah , cepat dan menyeronokkan. Sehubungan itu ramai penyelidik cuba mengkelaskan golongan pembaca supaya strategi setepatnya boleh dirancang untuk menggalakkan minat membaca di samping menggiatkan penggunaan semua sumber maklumat seperti perpustakaan ke tahap maksimum.

H. Anuar (1985) mengkelaskan pembaca kepada: pembaca yang tidak membaca, pembaca berkala (spasmodic reader), pembaca yang 'hebat" dan pembaca ikhtisas. Idealnya ialah pembaca yang 'hebat' iaitu yang sentiasa ingin mengetahui tentang sesuatu hakikat dengan membaca pelbagai bahan bacaan daripada pelbagai disiplin ilmu. Misalnya, masalah pencemaran udara. Maka pembaca yang 'hebat' akan cuba mencari sebab kepada masalah tersebut dengan membaca buku Sains Alam sekitar misalnya Urbanization and the Atmospheric Environment in the Low Tropics (Sham Sani, 1987).

Kemudian pembaca yang 'hebat akan meneruskan penerokaan ilmu dengan membaca kesan pencemaran udara terhadap manusia, hidupan serta biosfera. Maka pembaca ini akan menelaah buku Microbial Ecology (Atlas, 1981) atau Environmental Engineering (Peavy at. el., 1986). Setelah mengetahui tentang mekanisme pencemaran udara, pembaca 'hebat' akan cuba meluaskan ufuk pengetahuannya kepada aspek kemanusiaan pula. Maka pembaca'hebat' akan mencari buku Pembandaran dan Pembangunan Negara (Sulong Mohamad dan Rahimah Abd. Aziz (Ed.), 1985) atau Ekologi Manusia (Zuraina Majid, 1989). Jiwa ilmu pembaca 'hebat' terus bergelora untuk mengetahui pula tentang sebab sebenar wujudnya pencemaran udara. Kerana melalui baha-bahan bacaan sebelum ini, pembaca 'hebat ' faham bahawa masalah pencemaran udara merupakan satu makanisme sosial yang melibatkan manusia sebagai aktor utama, dan bukan fenomena mendadak yang wujud secara semulajadi. Maka pembaca 'hebat' akan membaca pula buku-buku yang mengaitkan hubungan antara manusia dan alam seperti Man and Nature (Nasr, 1988) dan The Touch of Midas ( Sardar, 1988).

Dan akhirnya, pembaca hebat akan tertanya-tanya: Kenapa manusia sering mementingkan diri sehingga memudaratkan alam dan penghuninya? Mungkin, di pelayaran ilmu tersebut pembaca hebat akan terpaksa membaca buku tentang pemikiran serta keinsanan manusia seperti Philosophy in the Twentieth Century (Ayer, 1987), Deals and Realities (Salam, 1984) dan Thinkers of East ( Ideries Shah, 1982). Akhirnya pelayaran tersebut singgah di pelabuhannya, apabila pembaca hebat merasa amat khusyuk dalam kesyahduan yang abadi dengan meneliti baris-baris ayat yang penuh makna AL-QURAN, mukjizat kenabian Muhammad s.a.w yang secara epistemologinya merupakan sumber utama ilmu yang hakiki.

Mungkin kini segala maklumat hanya perlu di muat turun dari pangkalan data seperti Ebsco Host, Emerald dan IEEE dan proses memperolehi sumber ilmu itu menjadi lebih pantas dan mudah. Pencarian maklumat bukan sesuatu yang menuntut masa yang keterlaluan lagi, segalanya telah tersedia dihujung jari. Penerokaan ke dunia ilmu pengetahuan amat menyeronokkan dari perkara yang paling asas kepada yang paling kompleks merupakan perjalanan ke dunia penjelajahan itu. Apa juga bidang yang kita terokai kita akan juga berbalik semula pada al-quran.

Bukankah menjadi pembaca hebat itu menyeronokkan?



MENGAPA TIDAK KAU BALAS EMAIL KU?



PC aku tengah di defragmented, kepala aku berserabut macam pc ini juga. Hidup menjadi begitu bercelaru macam pc aku ini dan perlahan-lahan cuba memperbaiki setiap ruang lopak yang tertinggal. Banyak memori yang terdelete meninggalkan tompok-tompok kosong. Lambat tapi terpaksa juga diperbaiki, tidak mahu segalanya melambatkan lagi perjalanan hidup aku. Bila semuanya telah tersusun dan teratur mudahlah ia berfungsi dengan kelajuan dan kepantasan normal. Hidup macam riwayat sebuah pc kadangkala terkena virus, ada fail yang perlu didelete dari CPU. Bila banyak pula fail dan mendowload entah apa-apa jadi masalah dan CPU berserabut performance jadi slow.

Seperti selalu aku menanti email darinya. Tiga hari ku kira tempoh yang cukup lama dan selesa baginya untuk menghantar sepatah bicara. Walau cuma sebaris ayat, ianya mampu membuatkan aku tersenyum sepanjang hari. Datanglah beratus email. Email yang satu itu tetap aku nanti. Penuh debar dan aku tidak mahu membohongi diri aku yang ianya memang sesuatu yang aku nantikan.

Hidup aku tiba-tiba menjadi resah tanpa email itu. Mungkin dia sibuk, maklumlah aku ini bukan orang penting dimatanya. Bukan insan yang perlu diberi perhatian sentiasa. Cukuplah hanya bila ada waktu senggang, itu pun kalau punya kelapangan. Beban tugasnya juga amat banyak. Seperti aku juga, sibuk sentiasa dan kadangkala terpaksa buat-buat sibuk supaya prestasi sentiasa di kemuncaknya.

Dia mengatakan kalau terlalu banyak tugasan, memang tak menang tangan. Ada waktu-waktunya juga boleh bersilang kaki di ofis. Itu apa yang dia katakan dalam emailnya yang terdahulu. Jadi maafkanlah aku kalau aku berasa tersiksa dengan penantian email ini. Aku tidak tahu status kerja dia di sana setakat hari ini. Sebabnya dia langsung tak menghantar email buat aku di sini. Aku tak tahu apa yang berlaku. Aku perlu berprasangka baik bahawa dia sibuk dengan tugasnya. Dan berharap tuhan berikan dia kelapangan untuk membalas emailku.

Bukan penting sangat pun email tersebut. Cuma aku rasa ianya cukup membuat aku gembira bila dia membalasnya. Cuma itulah sebabnya, aku rasa setiap orang perlu mencari kegembiraannya sendiri. Aku seperti meminta kegembiraan itu darinya. Bukan mahal pun, cuma email yang ringkas itu. Cuma itu, jadi mengapa tidak kau balas email ku?


Dedaunan kering itu
tidak langsung menggigit
ketika aku memijaknya
Aku seperti dedaunan kering itu
Terbaring lesu merinduimu.





Mal,
Sorry, lama tak reply sebab server
down.Tungguuuuu........OK.





Kalau inilah yang dikatakan kebahagiaan. :)


Monday, September 22, 2003

KU LAKAR PENGALAMAN DI DETIK JANTUNG WAKTU
Siti Zarinah Husain
SARINA October 2003 pp:110-111

Pernahkah anda melayari laman web http://azhan.blogspot.com? Laman web yang dimiliki Azhan Assaha Kamal ini memaparkan perjalanan harian yang dilalui dalam tempoh sesuatu bulan. Dalam pada itu, pemiliknya turut menyertakan pandangannya terhadap sesuatu isu. Contohnya mengenai isu jenayah yang berlaku di tanah air. Laman web ini diinspirasikan oleh pemiliknya pada awal tahun ini.

"Mulanya saya telah menulis kisah perjalanan hidup saya secara offline semenjak saya mengikuti kursus peringkat sarjana di UiTM. Hidup sendirian di Cyberjaya membuatkan saya begitu sunyi dan saya perlukan satu medium di mana saya dapat mencurahkan segala pengalaman, pemerhatian dan rasa sakit dalam kehidupan dan persekitaran saya. Idea untuk mewujudkan jurnal ini tercetus apabila saya sering melawati jurnal kawan-kawan saya yang lain terutamanya saudara Amd dan saudari Syati. Mereka juga adalah penulis jurnal yang aktif. Detik Jantung Waktu (DJW) terhasil setelah saya merasakan perlu ada semangat untuk mengembangkan penulisan di dalam bahasa Melayu. Dunia pekerjaan telah menutup kebolehan saya untuk mempraktikkan bahasa Melayu. Segala laporan dan kertas kerja perlu disediakan di dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris memang menjadi keutamaan. Cuma saya berpendapat Bahasa Melayu itu terlalu indah dan penuh nilai estetikanya. Saya Masih baru di dalam dunia penulisan ini," ujar Azhan Assaha Kamal.

Ketika ditanyakan mengenai kemahiran yang diperolehi untuk membangunkan laman web sendiri, Kamal memberitahu selama ini dia lebih banyak belajar dari rakan-rakannya. Malah baginya sesiapa juga mampu untuk melakukannya biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang ICT.

"Saya belajar dari rakan-rakan bagaimana untuk memprogramkan HTML dan Photoshop. teknologi e-publishing begitu advance dan begitu mudah untuk dipelajari, cuma memerlukan sedikit kesabaran. Namun saya bertuah rakan dari Geng Jurnal seperti saudara Amd tidak putus-putus memberikan tunjuk-ajar," jelasnya.

Azhan yang bertugas sebagai salah seorang penolong pengurus di sebuah universiti swasta yang mempunyai 2 kampus di dua lokasi yang berbeza menuntut begitu banyak masa peribadinya. Namun dia mendisiplinkan diri untuk datang bekerja seawal pukul 7.00 pagi menulis atau update jurnalnya.

"Kebetulan saya tinggal di kawasan kampus universiti ini memudahkan akses saya pada internet. Itulah yang saya lakukan sepanjang 6 bulan saya mula menulis. Jika saya 'out station' saya pasti membawa buku nota dan kadangkala rakan-rakan saya mencadangkan topik-topik tertentu. Ada juga masa-masanya saya terjaga dari tidur dan terus menulis. Telah banyak kali juga DJW berubah taglinenya dari "Apa yang dapat aku lakukan tanpa mu" sehinggalah yang terbaru "Kisah sesudah hujan teduh". Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya."

Jika ditanya apakah arah tuju penulisan jurnal di kalangan muda-mudi atau rakyat di Malaysia? "Saya berpendapat penulisan jurnal di negara kita masih bersifat jurnal peribadi. Ada juga penulis jurnal yang membuat kritikan sosial tapi saya lebih tertarik pada catatan dan pengalaman peribadi. Saya berpendapat "tacit knowledge" itu sesuatu yang amat berharga. Ilmu yang ada pada seseorang itu sesuatu yang amat bernilai. Pendapat seseorang tentang hidup boleh sedikit sebanyak memberikan kita idea tentang sesuatu perkara. Jika orang lain ingin menjadikan penulisan jurnal sebagai alternatif media saya lebih selesa dan berasa santai menulis tentang hidup saya. Sebab apa yang saya tulis adalah apa yang saya rasakan dan alami," ujarnya.


Nota: Sarina mengungkap realiti kehidupan. Banyak kisah kehidupan, misteri dan pengetahuan am yang boleh dipelajari. Membacanya umpama menjelajah ke seluruh cakerawala, sebuah ensiklopedia dalam realiti kehidupan.
SIAPA KHALAYAK PEMBACA NOVEL MELAYU?

Ketika melalui Shah Alam dalam perjalanan pulang ke Sepang, Yana mengajak aku ke Kompleks PKNS. Yana dan Ajak hilang di tengah-tengah hiruk pikuk orang ramai di komplek itu. Aku malas nak berjalan-jalan tanpa tujuan lantas singgah di kedai buku. Antaranya kedai buku Marwilis. Walaupun tidaklah sehebat Kino atau MPH, koleksi buku - buku yang ada amat menepati khalayak sasaran. Sedang aku sibuk membelek-belek buku yang ada di kedai tersebut terjumpa 3 buah novel yang amat menarik.

i. "Mereka yang menebus dosa", Maulana Syamsuri (1988)
ii. "Konserto terakhir", Abdullah Hussin (1989)
iii. "Bila lagi kompang berbunyi", Marwilis Haji Yusuf (1993).

Untuk ketiga-tiga buku itu aku hanya perlu membayar RM 6.00 sahaja! Tebal tiap satunya mencecah hingga lebih 300 muka surat. Seperti terjumpa harta karun aku petang itu!

Banyak sekali novel-novel Melayu, terbaru dari Faisal Tehrani juga ada. Kali terakhir aku membeli novelnya "Cinta Hari-Hari Rusuhan" & "Lagi-Lagi Cerpen Underground". Boleh dikatakan rancak juga industri penerbitan di negara kita. Membaca novel juga banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Setiap satunya di tulis penuh falsafah yang perlu dirungkaikan melalui jalinan konflik yang dibentangkan. Ianya lebih baik dari berchatting atau main video game.

Memanglah tidak dinafikan di mana-mana di dunia ini, seni dan sastera hanyalah santapan golongan minoriti sahaja. Berbeza dengan hasil tulisan dalam Bahasa Inggeris (BI) yang mana golongan minoritinya itu besar juga angkanya jika dibandingkan dengan golongon minoriti yang membaca tulisan dalam bahasa Malayu, bayaran royalti yang diterima oleh penulis-penulisnya jauh lebih tinggi dari yang diterima oleh novelis tempatan.

Penulis-penulis seperti Gabriel Garcia Marquez, Saul Bellow dan Thereaux memang hidup senang-lenang dan boleh menjadi jutawan hanya dengan memakan bayaran royalti yang diterima dari buku-buku mereka. Disebabkan konsep dan strategi pemasaran yang baik Gabriel Garcia Marquez hanya diganggu satu kebimbangan sahaja iaitu mungkin terpaksa membayar cukai pendapatan yang tinggi. Dia tidak perlu bimbang untuk mencari pembaca. Penduduk dunia sudah mengenalinya dengan "One Hundred Years of Solitude" dan setakat ini buku-bukunya belum mengecewakan.

Seperkara lagi yang harus diambil kira ialah sistem didikan dan pembesaran kelas menengah di negara barat mahupun negara-negara Eropah Timur, masing-masing telah terdidik dengan buku dan aspek-aspek penghayatan terhadap seni, sastera dan kebudayaan. Dalam masyarakat mereka kecanggihan seseorang dinilai dari kemampuannya berfikir, memberikan hujah-hujah yang bernas dan kekayaan pengetahuannya mengenai perkara sejagat.

Tetapi golongan kelas menengah di negara kita walaupun serupa inspirasi dan impiannya terhadap keperluan materialisme dengan kelas menengah di barat tetapi tetap berbeza dalam keperluan santapan rohaninya. Golongan kelas menengah keturunan India dan Cina tidak akan membaca buku-buku dari A.Samad Said, Anwar Ridhwan, mahupun Lin Yu Tang atau Rabindrananath Tagore.

Golongan kelas menengah Melayu yang fasih BI juga tidak akan menghubungkaitkan diri mereka dengan hasil tulisan-tulisan penulis-penulis berbahasa Melayu walaupun mungkin terdidik sejak kecil dengan budaya membaca itu, sebaliknya lebih selesa dengan James Joyce Frederick Forsythe dan Le Carre atau setidak- tidaknya Enid Blyton. Juga kebanyakkannya berhenti membaca selepas meninggalkan universiti. Pendek kata membaca buku tidak menjadi satu tabiat, hanya menjadi keperluan untuk masa-masa tertentu.

Jadi siapakah yang membaca buku-buku sastera Melayu? Tidak ramai cuma peminat-peminat sastera Melayu sahaja. Daripada 23 juta rakyat di negara kita aku tak pasti berapa jumlahnya.

Saturday, September 20, 2003

MELEWATI MUSIM-MUSIM TERINDAH

Perjalanan dari Banting ke TK bukanlah satu perjalanan yang menyenangkan. Jalan belum siap dan banyak lopak-lopak yang begitu mendera kereta aku. Dengan kelajuan 40km sejam aku mengambil masa 2 jam setengah untuk sampai ke TK. Sepanjang perjalanan aku diam sahaja. Malas nak melayan Yana dan Ajak yang duduk di sebelah. Lagu "Mungkin" begitu menguasai .

"Biarkanlah saja diriku sendirian tanpamu, biarkanlah aku merindu sekian lama, bukan maksud untuk membisu sepi tanpa kata, Terpisahnya kita kerana mengejar impian ...".

Kalau dikenangkan memanglah begitu terdera bila berpisah atau ditinggalkan. Kita begitu tersiksa dan terdera, tapi dia bergembira dan berseronok dengan teman baru. Percayalah lelaki juga terseksa walaupun tidak akan menunjukkannya secara zahir. Ada masa-masanya bila sendiriaan segalanya akan terbayang diruang ingatan. Kenyataannya lelaki juga sukar untuk menghadapi detik perpisahan yang berlaku. Macam itu jugalah sukarnya seseorang lelaki meluahkan rasa hatinya untuk menyayangi dan memberi komitmen.

Memanglah seperti kata Wan buat apa nak susah-susah satu pergi sepuluh akan datang. Tapi hati lelaki yang terguris sukar sekali menerima cinta yang baru kerana takut menerima nasib yang sama. Mungkin ada yang mendapat pengganti dan meneruskan kehidupannya tanpa perlu bersedih-sedihan. Namun segalanya menuntut pertimbangan individu tersebut. Pilihan di tangan kita.

Seperti aku, beban tugas dan tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya membuatkan ada waktu-waktunya ia hilang dari ingatan. Namun dalam ketika yang lain pula imejan itu menjelma semula. Yang pasti segalanya perlu dihapuskan. Tetapi kita tidak boleh membunuh kenangan kerana kenangan tetap utuh. Dia tidak akan mati. Aku mula belajar untuk membina semula keyakinan diri, mengubah kepada sesuatu yang lebih baik dari segala apa yang berlaku. Tampil lebih hebat supaya suatu hari nanti dia akan menyesal kerana meninggalkan aku. Tergelak pulak aku, macam pembalasan sebuah dendam. Tapi bukan dendam yang membinasakan diri, dendam yang boleh membuatkan kita lebih menghargai diri dan sentisa berfikiran positif.

Aku memang bukan seorang yang sosial atau menghabiskan hujung minggu melepak di club dan berpeleseran. Itu bukan aku, hidup aku dalam lingkungan yang tersendiri hanya bersama keluarga dan orang-orang yang aku kenali. Mungkin aku perlu memiliki lebih ramai teman. Untuk menghapuskan kesunyian hidup. Aku mula bersahabat dengan teman-teman sealiran, juga pembaca jurnal aku ini. Mereka jugalah yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan yang membina. Teristimewa untuk J, yang emailnya sentiasa kunantikan. Moga dia tidak bosan melayani setiap pertanyaan dan usikan aku. Mungkin dalam melewati musim-musim terindah itu aku telah menemui satu ruang yang lebih aman untuk aku memberikan segala yang aku rasa.

Untuk J dan semua, terima kasih kerana memahami aku!

Nota : Kali pertama menulis di sebuah CC di TK.

Friday, September 19, 2003

AKU, ADIK & MEREKA

"Angah boleh tolong ambik kitaorang pagi esok tak? Hantar kat stesen komuter Nilai, nak balik TK." Yana call aku malam tadi pukul 11.15 malam. Aku baru cuba nak menidurkan diri aku cantik-cantik. Supaya dapat mimpi yang indah. Potong stim betulah.

"Ko nak balik dengan sape? Balik ler hari Sabtu jer kang susah seharian kat bas baru sampai TK".

" Dengan Ajak bolehlah Angah?".

"Hisss balik jer hari Sabtu ". Jawabku keras, sedikit mengarah. Akhirnya Yana tiada pilihan dari terus mengikut arahan aku. Lega tak adalah nanti mak asyik call aku tanya dah sampai mana adik kau tu. Aku yang akan kerisauan dan diorang boleh pulak pergi dating kat mana-mana.

Kerisauan aku memang bertempat. Sekarang ini tidak boleh percaya sesiapa. Suami sendiri boleh tetak isteri. Kes rogol bunuh bakar (RBB) berleluasa. Tidak selamat bagi anak gadis untuk berjalan keseorangan tanpa muhrim. Akhbar hari Rabu lepas melaporkan seorang suri rumah mati ditetak oleh suaminya ketika menyusukan anak bongsu yang berusia dua bulan di Rumah Panjang Jibong, Hulu Lijau dalam Daerah Song di Sibu. Kejadian berlaku Jumaat lepas. Bayangkan sedang si isteri tengah menyusukan anak mereka. Suami mangsa yang berdiri di sebelahnya secara tiba-tiba mencapai parang tajam lalu menetak leher mangsa sebelum wanita itu tersungkur dengan berlumuran darah.

Barangkali kita tidak seharusnya menyalahkan si suami namun cuba memahami situasi yang berlaku. Kenapa manusia sekarang ini boleh bertindak di luar batas "kebinatangan" ( binatang pun kadang kala lebih nilai kemanusiaannya). Sebenarnya terdapat beberapa punca luar kawal yang mendorong seseorang melakukan jenayah. Bagi Profesor Dr. Azhar Md Zain, pakar perubatan dari Universiti Pertanian Malaysia, faktor keseimbangan hormon testoran merupakan dalang di sebalik kesemua jenayah sadis yang menggemparkan negara. "Berdasarkan kajian, apabila paras hormon testosteron atau androgen tinggi, seseorang itu akan menjadi ganas biarpun mereka tidak mempunyai masalah genetik. Namun begitu ada sesetengah yang mengambil hormon testosteron untuk menguatkan otot dan stamina, misalnya ahli sukan. Itulah sebabnya sewaktu bersukan mereka bertindak agresif dan ganas."

Aku juga pernah berbincang dengan Wan tentang bagaimana anak-anak akan menyalin sedikit sebanyak sifat ibu bapanya. Dan sebab itulah masyarakat kita selalu mahukan bakal menantu mereka dari keluarga yang baik-baik keturunannya. Sebab jenayah juga ada kaitan dengan faktor keturunan atau genetik. Sekiranya pasangan penjenayah berkahwin dan memperolehi anak, kemungkinan besar anak yang lahir akan turut membesar sebagai penjenayah ( nauzubillah). Sama ada ia mewarisinya secara pembelajaran, modeling atau genetik. Ini kerana penjenayah biasanya mengalami masalah gangguan personaliti psikopath yang boleh diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Sekiranya ia benar-benar terjadi, kita akan berhadapan dengan manusia yang paling sadis dan ekstrem. Manusia sebegini tidak tahu rasa belas kasihan atau bersalah. Bagi mereka undang-undang dan peraturan yang wujud adalah untuk dilanggar. Mereka merupakan 70 peratus daripada golongan yang menjadi penghuni penjara selain individu yang mempunyai kandungan genetik XYY.

Namun faktor psikologi dan sosial juga menyumbang perlakuan jenayah. Masalah psikologi melibatkan individu yang berhadapan dengan konflik dalam diri. Penderaan semasa kecil dan pengalaman semasa kanak-kanak. Faktor kekecewaan juga paling banyak menyumbang perlakuan jenayah. Terserempak dengan peluang untuk melakukan jenayah dan kecenderungan lelaki terhadap seks memungkinkan jenayah rogol terjadi. Insan yang murung juga cenderung untuk melakukan jenayah.

Cubalah kita memahami penjenayah ini, bunyinya amat pelik. Kita tidak boleh menghukum seseorang begitu sahaja dan melabel mereka jahat dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak memahami mereka. Mungkin "mereka" ini ada dalam setiap diri kita sendiri. Malangnya kita tidak dapat menjangkakan siapakah mereka ini, bila dan di mana. Maka berhati-hatilah dan berwaspada sentiasa. Kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku.

Jadi adalah wajar aku bersikap "protective" terhadap Yana, gadis berusia 19 tahun ini. Sampai bila? Mungkin sehingga dia berkahwin. Atau sehingga aku benar-benar yakin ada seseorang yang dapat mengganti tanggungjawab aku dan ahli keluraga yang lain.


INFO DJW

Penduduk Malaysia 23.3 juta tahun 2000 seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan. Ini adalah hasil banci Penduduk dan Perumahan Malaysia pada tahun 2000 ialah 23, 274,690 orang.

Bilangan penduduk lelaki adalah melebihi wanita iaitu 50.9 peratus berbanding 49.1 peratus. Bilangan penduduk lelaki berumur 15 hingga 44 tahun adalah 50.9 peratus berbanding 49.1 peratus. Jadi lelaki tiada alasan untuk berpoligami sebab jumlah lelaki dan perempuan hampir seimbang?

Jumlah warganegara mengikut etnik ialah :
Melayu - 11.7 juta
Bumiputera lain - 2.6 juta
Cina - 5.7 juta
India - 1.7 juta
Lain-lain kaum - 269,000.

Jumlah mengikut negeri :
Selangor - 4.2 juta
Johor - 2.7 juta
Sabah - 2.6 juta
Perak & Sarawak masing-masing -2.1 juta
Kedah - 1.6 juta
Wilayah Persekutuan KL - 1.4 juta
Kelantan, Pahang & P. Pinang masing-masing - 1.3 juta.
Terengganu - 899,000.
Negeri sembilan - 860,000
Melaka - 636,000
Perlis - 204,000
Wilayah Persekutuan Labuan - 76,000.

Jika diperhalusi jurang perbezaan antara Melayu dan non-malay ( termasuk bumiputera lain semakin hampir) 11.7 juta berbanding 10.3 juta non-malay di negara kita. Ianya terlalu hampir dan makin mencemaskan ditambah pula dengan perbezaan ideologi politik orang Melayu, permasalahan seperti penagihan dadah, gejala sosial yang lain dan seterusnya masalah lambat kahwin dikalangan golongan profesional akan merapatkan lagi jurang perbezaan yang ada. Kata-kata sakti "Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia" akan hanya terpahat di Muzium dan akhirnya Malaysia akan menjadi seperti Australia dan Amerika. Mungkin itulah yang sebenarnya akan terjadi tidak berapa lama lagi.

EMAIL

Aku mula merindui emailnya. Setiap waktu terluang aku cuba melihat kotak email. Kalau-kalau dia punya masa membalas emailku. Kami mula bertukar-tukar pendapat tentang hidup. Lebih kepada mengenali diri masing-masing. Segalanya bermula Isnin lepas setelah dia sudi membalas email dariku. Aku mengumpulkan seribu kekuatan untuk memberitahunya tentang DJW. Mungkin dia telah membacanya. Aku tidak pasti tentang itu. Aku harap dia akan lebih memahami aku melaluinya.

Mungkin aku ini gila kerana dia telah berpunya. Tidak seharusnya aku merindui walau cuma emailnya. Tidak seharusnya begitu. Salam persahabatan yang dihulur patut kusambut sejujurnya. Perlu kubuang jauh-jauh walau sekecil zarah rasa hati itu. Kerana aku sedar selalunya aku insan yang paling akhir menemui kebahagiaan, atau hanya sisa-sisa yang ditinggalkan. Dia seorang yang menarik, matang dan penuh dengan pengalaman hidup.

Untuk Dia terima kasih kerana sudi menjadi sahabat dan pendengar yang setia.


Nota : N call aku semalam melalui no hp baru dia. Akhirnya dia mengalah dan membeli hp setelah setahun lebih pulang ke tanahair. Aku save nombornya dan aku call dia semula. Ada satu kenyataan yang membuatkan aku sakit hati lalu memutuskan perbualan. Emosi pulak hahhaaa.

Thursday, September 18, 2003

CITRA WANITA DUA BENUA : APAKAH KESETIAAN ITU MELUKAKAN?

Kalau khalayak pembaca kisah memoir begitu mengkagumi keberanian Hillary Rodham Clinton melalui bukunya Living History, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan penerbitan buku "Siti Hasmah Citra Wanita Dua Zaman". Buku bergambar setebal 236 muka surat ini adalah terbitan Persatuan Siswazah Wanita Malaysia dan ditulis oleh Azizah Mokhzani, Farida Habib Shah, Nik Safiah Karim, Normah Dali dan Rokiah Talib. Buku ini diterbitkan pada Januari 1999.

Buku ini dibahagikan kepada 10 bab yang mewakili topik-topik tertentu. Antaranya :Dipangkuan Keluarga, liku-liku hidup dikampus, alam perkahwinan dan kerjaya, ibu penyayang sehinggalah kepada permata dalam dua zaman. Wanita pertama yang sentiasa berbaju kurung ini merupakan simbol kejayaan seluruh wanita di negara kita.

Biografi bergambar Siti Hasmah Citra Wanita Dua Zaman cuba menggariskan kepintaran dan keprihatinan Siti Hasmah dalam melaksanakan lima peranan utama yang ditanggungnya setiap hari. Peranan-peranan ini mencakupi tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri dan ibu mithali, doktor perubatan yang dedikasi, pemimpin masyarakat yang disegani di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan pendorong aktiviti sukan dan seni. Apa yang paling dikagumi adalah mampu menjalankan semua peranan ini tanpa menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan keluarga dan rumah tangga. Kehidupan beliau menjangkau zaman pra dan pascamerdeka justeru dipenuhi limpahan kenangan.

Mungkin ketika kita membaca buku ini, Hillary pasti mencemburui kebahagiaan yang dimiliki oleh Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali iaitu kebahagiaan rumah tangga dan suami yang setia. Hillary terpaksa melalui pengalaman pahit skandal seks suaminya iaitu Clinton bersama Monica Lewinsky dibongkar dan diketahui dunia.

Pelbagai pandangan dicatat mengenai reaksi Hillary pada pagi Sabtu 15 ogos, 1998 bila suaminya membangunkannya daripada tidur dam memberitahu bagi kali pertama mengenai hubungannya dengan Monica Lewinsky. "Saya sesak nafas, tercungap-cungap menarik nafas, saya menangis sambil menjerit-jerit," Hillary bercerita. Pengkhianatan Clinton dianggap sesutu yang paling "merosakkan, mengejutkan dan menyakiti sepanjang umur saya".

Hillary mengakui dalam bukunya bahwa emosinya cukup terdesak kerana orang mempersoalkannya kenapa dia masih terus ingin bersama dengan Bill, dan terusan memberi sepenuh kepercayaan pada Bill. Maka tidak hairanlah Hillary begitu bekerja keras menyelamatkan jawatan presiden suaminya daripada cubaan undi tidak percaya yang tidak menurut kehendak perlembagaan dan bermotifkan politik.

Kesetiaannya terhadap Bill begitu mengharukan."Walau apa juga yang dilakukannya, beliau tidak patut menerima layanan kesat. Kebebasan peribadi saya, kebebasan peribadi Monica Lewinsky dan kebebasan keluarga kami telah dicabul secara kejam dan tidak wajar. Saya percaya apa yang telah dilakukan oleh suami saya adalah tidak bermoral. Demikian juga pembohongan terhadap diri saya dan perbuatan mengelirukan Amerika. Namun, saya juga sedar bahawa kelemahannya bukan mengkhianati negaranya. Segala sesuatu yang saya pelajari daripada peristiwa Watergate meyakinkan saya bahawa tiada alasan untuk membawa usul tidak percaya kepada Bill" kata Hillary di dalam bukunya Living History setebal 562 halaman dan dilancarkan pada 2 Jun 2003.

Cordinal Richlieu, seorang negarawan Peranchis di zaman silam mengatakan :"Wanita yang intelek tidak begitu menyenangkan". Presiden Nixon pula menegur semasa kempen Clinton untuk jawatan presiden dan peranan Hillary dalamnya. Nixon berkata "Kalau sang isteri kelihatan terlalu kuat dan pandai maka sang suami akan dianggap lemah semangat".

Kesetiaan dua wanita pertama ini terhadap suami masing-masing memang mengkagumkan. Seperti kata Eleanor Roosevelt, isteri mendiang Presiden Roosevelt bahawa tiap wanita yang terlibat dalam politik "mesti berkulit tebal seperti kulit badak sumbu". Kedua wanita pertama ini tetap setia berdiri dibelakang suami masing-masing disepanjang tempoh pemerintahan. Hillary sendiri mengakui bahawa emosinya begitu terdesak, tetapi "pada suatu peringkat lain, saya percaya kepada Bill sebagai seorang manusia yang baik dan seorang Presiden yang gagah".

Seperti disebut oleh Hillary: "Beliau bukan sahaja suami saya. Beliau juga presiden saya. Pada hemat saya walau apa juga yang berlaku bill telah memimpin Amerika dengan cara yang saya terus menyokong". Clinton ialah Presiden Amerika yang ke-42 dari 1993 hingga 2001. Beliau kemudian menulis :"Hillary sekarang menjadi ahli Dewan Senat manakala saya tidak lagi berkecimpung dalam politik pilihan rakyat".

Buku Living History berisi pengalaman Hillary sebagai wanita pertama AS selama hampir 2 penggal kerana kepresidenan Bill Clinton. Manakala Citra Wanita Dua Zaman merupakan biografi wanita pertama kita dan tiada apa yang disensasikan melalui buku ini. Segalanya digarap sebegitu jujur dan teliti selaras dengan keperibadian tulus wanita timur. Suatu biografi lengkap Siti Hasmah.

Siti Hasmah berpegang teguh dengan institusi perkahwinan yang sedia ada. Keluarga, mengikut beliau , terdiri daripada ibu bapa yang telah berkahwin secara sah serta anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut. Perkahwinan hendaklah dibina atas kasih sayang dan kebahagiaan. Beliau menolak konsep hidup bersama tanpa berkahwin dan kelahiran anak luar nikah. " Dalam zaman moden ini yang penuh dengan kemajuan dan kecanggihan ", kata beliau, "kita harus mara ke hadapan dalm suasana hidup berkeluarga yang aman dan bahagia, dan tidak perlu melangkah ke belakang, ke arah cara hidup yang primitif dan tidak berundang-undang." Dengan ikhlas Siti Hasmah menyatakan "Ada isteri di belakang setiap lelaki yang berjaya." Baginya isterilah yang bertungkus lumus membantu kejayaan suami bukannya sebarangan wanita ( wanita simpanan?).

Jika Living History disensasikan dengan pengalaman kekecewaan Hillary terhadap skandal suaminya. Kita tidak memerlukan kisah sensasi itu untuk terus mengingati dan menyayangi Siti Hasmah.

Apakah kesetiaan itu melukakan? Hillary mempunyai jawapannya dalam Living History yang kebetulan suaminya yang ternama dan berkuasa itu tersasar perlakuannya. Siti Hasmah pula membuktikan betapa berbaloinya dia menumpahkan kesetiaanya selama ini kepada suami yang amat menyintainya.

TENTANG N

N menghubungi aku semalam ketika aku bersiap untuk pergi ke Street Mall makan tengahari. Dia menghubungi aku dari Starhill, sedang menunggu seseorang atau bersama seseorang ( macamlah aku peduli ). Seperti biasa dia bertanyakan kesihatan aku dan hal-hal semasa. Mungkin dia ingin mengetahui bagaimana kehidupan aku tanpanya. Aku menjawab segalanya baik dan tidak perlu dia risaukan. Terkesan nada yang dia agak serba salah dan cuba berlucuan. Getar suaranya, dan hembusan nafasnya tetap seperti itu. Cuma dia bukanlah lagi N yang pernah aku kenali dulu. Aku tidak lagi mengenalinya atau cuba tidak lagi mengenalinya. N adalah sejarahku, cuma yang paling tersiksanya sejarah itu tidak dapat kubunuh kerana kenangan itu tetap ada di situ. Sesuatu yang terbaik menjelma darinya adalah aku tidak lagi perlu risau tentangnya. Bagaimana aku mengenangnya adalah sesuatu yang terlalu peribadi.

Aku tetap akan membantunya, jika dia mahu aku berbuat begitu. Aku tak pernah memusuhinya kerana memusuhinya akan membuatkan dia lebih gagah menggengam emosiku. Aku perlu bebas dari genggaman emosi dengan melepaskannya pergi.

Wednesday, September 17, 2003

KETIKA DIAM BUKAN EMAS

Kenapa saya menulis hal-hal yang menjadi trauma dalam hidup saya? Membiarkan orang lain melihat ke dalam diri, menghayati perjalanan hidup dan kenangan masa lalu? Apa yang berlaku seolah-olah amat melegakan perasaan setelah saya menulisnya dalam Detik Jantung Waktu. Inilah yang saya lakukan hampir setiap pagi, seawal pukul 7 pagi di pejabat saya di Cyberjaya.

Menulis ternyata memberi kesan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental. Hal ini dibuktikan oleh James W.Pennebaker, seorang profesor psikologi dari Universiti Texas dalam bukunya "Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotion (1990)". Pennebaker telah melakukan berbelas kajian terhadap pelbagai kelompok: pelajar , suri rumah dan para pesara. Daripada penelitian itu , Pennebaker mendapati mereka berasa lebih bahagia dan sihat setelah menulis kenangan pahit yang menyebabkan 'trauma" yang mendalam. Pennebaker juga mendapati bahawa mencurahkan isi hati ( self-disclosure) dapat memberikan pengaruh positif bagi perasaan, fikiran dan kesihatan tubuh. Melakukannya amat mudah: Ceritakanlah dari hati ke hati kepada orang yang anda percayai atau lebih baik lagi, nasihat Pennebaker ialah "Tuliskanlah secara bebas di catatan peribadi".

Penelitian Pennebaker juga mendapati stres juga boleh diatasi dengan menulis. Memang kita sering menghadapi berbagai tekanan sehingga tenggelam punca dalam mencari jalan penyelesaian. Dan menulis merupakan cara "terhormat" untuk mengatasi stres atau tekanan-tekanan lain. Meskipun para penyelidik belum dapat memastikan secara jelas kesan menulis terhadap kondisi kesihatan. Pennebaker memberikan hujah bahawa ianya terletak pada hubungan yang masih lagi misteri antara stres dan penyakit. Tetapi secara logiknya dapat dibuktikan bahawa stres berpanjangan dapat melemahkan sistem kekebalan, memberi peluang timbulnya penyakit jantung dan memperlemah arthritis, asma dan berbagai penyakit lain.

Terpukau saya dengan cara penceritaan Merryhearted dalam blognya yang menulis tentang sejarah silam yang amat menghantuinya. Gaya bahasanya mudah difahami dan jelas. Juga berbangga dengan Joliekiens yang mencuba menulis dalam bahasa Melayu. Menulis pengalaman pahit sebagai terapi tidak harus memperhatikan kaedah bahasa. Nasihat Pennebaker yang paling berkesan saya kira adalah : "Lepaskanlah semua dan tuliskan emosi yang terdalam anda. Apa yang anda rasakan dan mengapa anda merasakan seperti itu. Teruskanlah menulis. Jangan fikirkan tata bahasa, ejaan atau struktur ayat. Jika sudah tidak ada lagi yang mampu anda tuliskan atau anda menemui halangan mental, ulangi semua yang anda tuliskan." Dalam dunia digital masakini tatabahasa akan mudah dikesan kesilapannya, namun isi yang baik perlukan masa untuk menzahirkannya.

Dairi hidup saya begitu jauh darjatnya dengan apa yang dijelmakan oleh Anne Frank melalui catatan hariannya yang menggemparkan. "The Diary of A Young Girl" oleh Anne Frank merupakan buku harian yang paling terkenal dan paling banyak dibaca orang di seluruh dunia. Diterjemahkan lebih daripada 30 bahasa. Beberapa buah filem dan filem dokumentari diadaptasikan dari buku harian itu. Ayah Anne, iaitu Otto Frank dan ibu Anne serta kakaknya Margot Frank telah menyembunyikan diri di sebuah ruang rahsia di Amsterdam. Ketika itu askar Nazi Jerman menduduki Belanda pada 1941 mengancam dan memburu bangsa Yahudi. Zaman penaklukan Hitler telah merampas masa kanak-kanak Anne semenjak 4 Julai 1942 itu. Dia tersepit dalam ruang rahsia. Akan tetapi fikirannya bebas, tetap bebas berkat buku harian hadiah ulang tahunnya yang ke-13, yang diterimanya seminggu sebelum itu. Pada halaman pertama Anne menulis "Saya harap kamu semua dapat membantuku dan menyenangkanku".

Dua tahun di tempat rahsia, keluarga tersebut telah ditangkap oleh Gestapo dan di bawa ke kem maut Auschwitz. Anne meninggal dunia pada Mac 1945. Hanya ayahnya telah terselamat dan menemui semula buku harian Anne Frank. Otto telah menerbitkan buku itu pada 1947. Ianya kemudian diterbitkan semula pada 1995 dan dikenali sebagai "Anne Frank : The Diary of a Young Girl".

Buku harian Anne menggambarkan rasa ingin tahunya tentang seks, keraguannya terhadap agama, kejengkelannya terhadap orang tuanya, komentarnya tentang situasi saat itu sampailah kepada kehidupan sehari-hari di kamar atau ruang tersembunyi dari kaca mata seorang remaja. Anne mewakili umat manusia yang mencari erti hidup yang dihempap penindasan. Namun Israel tidak pernah belajar mentafsir kisah ini ketika mereka menghalau dan menghumban bangsa Arab keluar dari Palestin. Apa yang berlaku kepada Anne terjadi pula pada remaja dan anak-anak Palestin.

Kalaulah saya dapat menghasilkan sesuatu yang hebat seperti itu. Namun seperti yang tercatat pada blog rakan yang lain : "Aku menulis bukan kerana nama" - tetapi sejujurnya atas rasa ketagihan untuk mencoretkan sesuatu agar di suatu masa nanti ianya , sekurang-kurangnya mampu mengimbau kenangan pada suatu masa yang pernah terdetik dalam jantung waktu yang berlalu. Cuma itulah, dan moga kalian faham kenapa saya menulis kisah lampau itu.

Ketika diam bukan emas. Siapa kata "Silence is Golden?". Luahkanlah segalanya dan bebas …

Tuesday, September 16, 2003

RETRO DJW : JANGAN PISAHKAN

Semalam terdengar lagu ini semasa memandu ke Street Mall. Sentap sekejap, terasa zaman di SA terbayang di ruang ingatan. Memohon pada yang ESA agar tidak memisahkan dua insan yang bercinta sehingga ke akhir hayat. Namun selalunya tidak berakhir begitu. Kita akan dipertemukan dengan orang-orang yang tidak sesuai, untuk menguji dan memberi pengajaran barangkali. Hidup tidak semudah impian. "Jangan Pisahkan" harapan itu sesuatu kekuatan juga.

Sekitar 1995/96, meminati H dari jauh. Kalaulah aku mendengar kata pensyarah aku " zaman belajarlah waktu yang paling sesuai untuk mencari calon teman hidup". Tapi aku memilih untuk sentiasa serius dengan pelajaran tanpa memikirkan hal-hal yang tidak pasti itu. Nantilah bila telah bekerja, pasti lebih mudah. Ketakutan jika gagal, membuatkan aku begitu sibuk dengan urusan akademik, namun aktif juga dalam persatuan segala. Takut tidak dapat kemudahan hostel di semester mendatang. Dekan aku selalu mengenakan aku dengan H semasa kuliahnya. Memberi assignment yang sama, menyoal H tetapi meminta aku memberikan jawapannya dan pelbagai lagi. Aku juga sanggup masuk PBSM semata-mata H ada di situ sedangkan geng aku yang lain memilih Kesatria.

Namun semakin rakan-rakan sekuliah mengiat dan memadankan kami. Semakin itulah kami jual mahal. Macam tiada apa yang berlaku, tetapi hanya tuhan sahajalah yang tahu rempuhan rasa setiap kali mata kami bertentangan dan berpandang. Oleh kerana aku tidak pernah tinggal di asrama sebelum ini, aku menjadikan perpustakaan tempat belajar yang tetap. Setiap masa berharap yang dia juga ada di situ. Satu bonus kalau dapat jumpa kelibatnya. Akhirnya kami mencuba untuk berkawan. Hinggalah percubaan kali ke-3 setelah on and off yang berlangsung selama 8 tahun itu berakhir. Dia memberikan maklumat yang tidak tepat tentang statusnya. Mana mungkin aku tahu yang dia tidak punya sesiapa ketika itu. Walaupun kami hampir benar untuk mengikat tali pertunangan. Terlalu hampir, terlalu hampir dengan kebahagiaan mutlak. Namun dia memilih untuk tidak memberikan jawapan yang tepat.

Bila terdengar semula lagu ini "Jangan Pisahkan", aku kembali mengenang dia. Rasa terharu dan simpati terhadap nasib yang menimpanya. Namun aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia lebih berhak keatasmu. Aku tetap mendoakan H dan suami bahagia, tapi itu adalah jalan yang kau pilih bukan. Betullah apa yang tertulis di blog Ceqtie "Hanya diperlukan waktu seminit untuk menaksir seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang, tetapi diperlukan waktu seumur hidup untuk melupakan seseorang."

Jangan Pisahkan

Biar cinta
Terhalang gunung dan samudera
Aku tetap
Memegang janjiku padamu

Biar jurang
Yang terjal ada didepanku
Takkan goyah
Sumpahku kepada diri

Kita bagai kumbang dan bunga
Hatiku pasti hatimu jua
Namun mengapa ada saja
Yang benci tulus cinta kita

Jangan pisahkan, aku dan dia
Tuhan tolonglah, ku cinta dia
Biarkan kami tetap bersama
Di dalam suka dan duka

Deddy Dores & Mayang Sari

Kubenamkan segala rasa yang cuba menjalar. Tak ku izinkan mengingatimu lagi walau dalam mimpi. Tapi itulah lagu ini membawa aku mengingati mu semula.


INFO DJW

Tabung Haji telah mengumumkan kadar baru tambang untuk jemaah haji untuk tahun depan. Jemaah haji dari semenanjung hanya perlu membayar RM 8,937 sebelum ini RM 9, 445. Dari Sarawak RM 9,054 (9,530) dan dari Sabah RM 9,096 ( RM 9, 575). Kalau buat potongan gaji RM 100 setiap bulan kita akan mengambil masa lebih kurang 7 tahun 5 bulan untuk mencukupkan duit. Tapi selalunya kita boleh mendapatkan jumlah tersebut dengan lebih cepat kalau kita mahu. Pasang niat dulu dari sekarang ...

Harga rokok baru telah di iklankan di semua akhbar tempatan semalam. Geng COP aku sengih jer, maklumlah mungkin kadar kenaikan harga tidak begitu memberi cabaran pada poket diorang. Persidangan asap tetap berlangsung dengan meriahnya seperti selalu selepas makan tengah hari. Tetap meriah ...

Monday, September 15, 2003

YANG TERBELA & TERBUANG

Pagi Ahad pergi ke Muzium Negara melihat dan menghayati pameran "Burung dan Kucing Eksotik". Wan seperti biasa meneman aku dan secara tak langsung menjadi jurugambar aku. Kami naik komuter dari Serdang tambangnya cuma RM.1.70 sampai ke KL Sentral. Kemudian naik teksi ke Muzium yang bersebelahan sahaja dengan KL Sentral. Aku ni memang "buta jalan" tak tahu nak drive kat KL. Malanglah siapa yang dapat aku nanti.

Keseluruhannya pameran tu boleh tahan. Banyak maklumat yang boleh diperolehi dengan membaca segala informasi yang disediakan. Banyak juga kucing yang dipamerkan lebih 20 ekor. Antaranya species Maine Coon, Siamese, Bengal ( species ini memonopoli pameran). Antara yang paling menarik ialah spesis yang tidak berbulu kucing Sphynx. Mana-mana yang alah pada kucing bolehlah bela kucing ini. Tapi muka dia "gerun" sedikit sebab macam seorang bayi yang tak berpakaian camtu.

Kucing adalah makhluk yang kuat tidur. Tetapi ada yang mengatakan kucing lebih bijak dari anjing. Memanglah kucing tak boleh buat tricks macam anjing. Kucing haiwan pembersih. Namun kalau dilihat tak sangguplah nak bela kucing-kucing macam ni. Tak larat nak maintain, dari segi perhatian, makanan dan perubatan. Rasa kucing-kucing ini lebih beruntung dari sesetengah kita. Disayangi dan dilimpahkan dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Mengenang Sabra & Shatila

15 September - 17 September 1982, terakam dalam sejarah dunia peristiwa pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di Sabra dan Shatila. Kira- kira 2, 750 orang awam di sembelih , dirogol dan dibunuh dalam kekejaman yang melampaui batas kemanusian itu angkara Yahudi dan Militan Kristian. Pada tahun 1982, Israel menceroboh Lubnan dan membunuh pelarian Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila. Serangan yang tidak berperikemanusiann ini cuba di lupakan dari sejarah kekejaman dunia.

Militia Kristian dikenali sebagai Falangis yang direstui oleh Ariel Sharon terlaknat itu telah menyerbu dan menyembelih pelarian Palestin yang tidak berupaya melawan. Orang tua, wanita dan kanak-kanak turut di bunuh kerana mereka berketurunan Palestin. Walaupun setelah badan siasatan mengumumkan bahawa Sharon bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu beliau kini menjadi PM Israel. Bukan sahaja terlepas daripada tuduhan jenayah perang malah menerima sokongan tidak berbelah bahagi dari AS.

Peristiwa ini terus membangkitkan kemarahan umat Islam dan rakyat Palestin sehingga mereka terusan melancarkan serangan ganas secara sendiri dan menjelmakan ratusan pejuang berani mati. Sikap pilih kasih dunia terhadap merekalah yang memungkinkan mereka melakukan semua ini sebabnya semua pintu rundingan bagaikan telah tertutup.

Melepaskan Anjing Tersepit

Semalam seorang kawan meminta tolong mencarikan hotel berdekatan sekitar Serdang waktu itu hampir pukul 7 malam. Oleh kerana semua hotel penuh aku bersusah payah lah ke Bangi dan IOI Resort cari bilik untuk dia. Bila ada bilik dia kata mahal, takpelah aku carikkan juga yang harga dia rendah sedikit. Bila aku dah dapatkan bilik di Hotel Mint boleh dia kata "Bila ko nak balik?" sejurus sahaja dia dapat kunci bilik. Hello aku datang pun dia yang nak mintak tolong. Bila masalah sudah selesai buang kita camtu jer. Wah ingat kita ni apa. Tahulah kawan dia yang nak datang tu lebih penting. At the first place mengapa tak mintak tolong dengan kawan kau tu sahaja. Kalau aku tahu camtu tak hingin aku membuang masa menolong kawan yang buat aku macam sampah bila dah ditolong. Bertambah pulak dosa aku membebel sepanjang perjalanan balik tu. Mengapa entah orang selalu perlukan aku masa diorang susah dan campak aku camtu jer bila dah senang. Musykil aku ...

Saturday, September 13, 2003

BAJET 2004 DAN KESANNYA TERHADAP ORANG BUJANG

TURUN
1. Kadar faedah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turun dari empat ke tiga peratus. Jadual bayaran balik selepas tahun ketiga graduan bekerja. Selama ini 6 bulan graduate jer dah kena bayar atau mohon tangguh bila dah dapat kerja. Kalau dah masuk 3 tahun bekerja baru bayar balik baguslah. Masa tu sekurang-kurangnya telah stabil.

2. Cukai jalan bas untuk pekerja dikurangkan 50 peratus.

3. Kos menunaikan haji secara muasasah bagi 2004 dikurangkan lima peratus. Setahun berapa ramai dari Malaysia yang boleh menunaikan haji? 24 ribu jemaah dari Malaysia akan mendapat manfaatnya. Aku lama lagi akan menunaikan haji cadang umur 40 tahun.

NAIK

4. Duti import dan eksais rokok dan keluaran tembakau naik 20 peratus. Naiklah 100% pun orang tetap akan merokok. Remaja kita tetap akan merokok. Kalau naik 20%, jumlah perokok baru akan tetap meningkat 50% setahun. Jadi tidak memberi kesan. Kalau di UK harga rokok 20 batang ialah 8 pound, dalam RM 48.00 duit kita. Jadi kalau rokok di Malaysia dinaikkan hingga 20 % pun harganya masih sekitar RM 6 - 7, orang masih mampu beli. Naikkanlah sampai RM 15 ker baru terduduk orang nak merokok. Kalau benar-benar nak mengurangkan perokok di Malaysia. Again ianya juga sumber pendapatan negara. Aku tak merokok jadi naiklah banyak mana pun aku sikitpun tak kisah. "Param sikit pun tak nangis".

5. Duti import dan duti eksais minuman keras naik 10 peratus. Aku tak minum jadi tak berkaitan. Rokok dan alkohol akan memberikan pulangan cukai sekitar 150 juta kepada kerajaan.

6. Duti eksais kereta import dikenakan mulai 2004. Baru cadang nak beli kereta import, tapi kalau harga kereta import lebih kurang jer dengan kereta tempatan. Jadilah pengguna bijak.

MANSUH

7. Cukai jalan motosikal berkuasa tidak melebihi 150 cc. Ni strategi politik, ok jugak mak bapak aku tak payah bayar cukai jalan untuk motorsikal diorang. Ramai juga yang masih menunggang motosikal terutamanya pelajar. Baguslah boleh diorang beli benda lain. Baju baru nak raya ker, ada duit lebih nak nonton wayang etc.

8. Duti import 10 peratus makanan sokongan kesihatan. Harga weight gain akan naik turun ker? Baguslah boleh aku menyihatkan badan.

INSENTIF

9. Bonus setengah bulan lagi kepada kakitangan kerajaan menjadikan sebulan gaji. Best ler Kak Baie tuu.

10. Menetapkan satu peratus daripada jawatan perkhidmatan awam kepada orang kurang upaya.

11. Elaun bulanan RM 25 seorang kepada pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah.

12. Elaun RM 300 seorang kepada pelajar kurang upaya pendengaran turut dinikmati semua pelajar kurang upaya di IPT.

13. Diskaun 20% bagi golongan orang kurang upaya membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah.

14. Peruntukan RM 10 juta bagi orang kurang upaya yang mengidap penyakit kronik.

15. Syarikat Prasarana Negara memberi diskaun 50% tambang perjalanan bagi golongan kurang upaya.

16. Cukai Jalan dikecualikan bagi kereta, van dan motosikal buatan tempatan yang dimiliki oleh orang kurang upaya.

PENGECUALIAN

17. Duti antilambakan kertas akhbar yang diimport bagi kuantiti yang tidak dapat dibekalkan oleh pengeluar tempatan.

18. Potongan cukai dari RM200,000 dinaikkan kepada RM300,000 kepada sektor swasta untuk menaja persembahan kebudayaan dan kesenian.

19. Kemudahan rawatan perubatan percuma kepada bekas anggota Sarawak Rangers dan isteri serta isteri bekas anggota Force 136 dan British Army.

20. Pelepasan cukai untuk anak dinaikkan dari RM800 kepada RM 1,000 bagi setiap anak dibawah 18 tahun kepada pembayar cukai individu. Mana yang ada anak oklah, kalau bujang macam aku ni kena ambil anak angkat ker? Tapi tak berbaloilah, bela anak kos dia bukan sedikit. Jangan carik pasal. .

21. Tahap kelayakan pendapatan bercukai IKS untuk tertakluk kepada cukai korporat 20 % dinaikkan dari RM 100,000 kepada RM 500,000.

Bagaimana pula dengan harga makanan? Yang ni naik segala. Bagaimana pula dengan petrol dan tol?. Masihlah orang yang seperti aku tidak mendapat kesannya secara langsung. Bajet ini lebih memberi kepentingan kepada golongan tertentu dan orang bujang seperti aku ni tetaplah macam itu jugak.
MY LIFE IS GREAT

Dua hari yang lepas N called, masa tu aku tengah bersiap nak balik dari ofis. Bertanya khabar dan melawak seperti selalu. Sedikit pun tak berubah. Bila aku tanya macam mana kehidupan dia sekarang dia jawab, "My life is great". Aku gembira bila dia juga gembira. Seorang kawan perlu mendoakan kebahagian kawannya juga.

Bila dia tanya kehidupan aku pulak. Aku jawab juga seperti biasa, tak banyak berubah dari dulu. Cuma aku kata sekarang agak sibuk dan hujung minggu selalu balik ke TK. Dia gelak dan jawab "Baguslah nanti 2 ekor angsa kat kampong tu kenal awak, tak lagi kejar dan cubit seperti selalu". Pandailah dia tu.

Malam tadi aku cuba call beberapa kawan, berbual-bual dengan mereka. Yang dah kahwin hidup mereka memang sibuk jarang ada masa untuk diri sendiri. Nak keluar minum teh pun kena buat appointment awal sekurang-kurangnya seminggu. Takut bini marah kot, alah bawak jerlah bini sekali kalau takut sangat. Beberapa kawan aku mengadu yang bini diorang mula syak suami mereka ada skandal di luar. Itulah dah kahwin pun nak menggatal lagi. Thats why lah kot orang bujang macam aku ni tak kahwin-kahwin, habis anak dara semua mereka dah kebas tak tinggal kat aku.

Banyak juga nama kawan-kawan aku yang dah tak aktif aku delete, macam buat "spring cleaning" plak dalam handphone aku. Aku catatkan dalam organizer jer, taklah sesak hp aku tu. Bila aku fikirkan semakin berumur, manusia akan hanya memikirkan tentang kehidupannya sendiri sahaja. Kawan-kawan semakin menjauh disebabkan tuntutan hidup masing-masing. Komitmen terhadap keluarga, isteri dan anak-anak. Sibuk memanjang dan jarang ada masa untuk urusan lain. Kawan yang ada terhad pada kawan seofis. Balik kerja dah penat, hujung minggu sibuk dengan keluarga.

Bagi yang bujang macam aku ni, hujung minggu bila tak balik kampong. Memanglah takkan buat apa. Apalah sangat yang ada di Cyberjaya ni, nak keluar ke KL malas. Malaslah nak berhimpit dan bersesak atau lepak-lepak di Coffee house tu. Sekali-sekala bolehlah. Terfikir juga nak aktif dengan kerja-kerja kebajikan. Tapi selalunya menuntut komitmen yang tidak berbelah bagi. Tak boleh hangat-hangat jer. Itulah yang aku tak boleh janji nak buat komitmen 100% tiap masa lapang aku. Takut bila masa aku malas, aku memang malas tahap beruang kat zoo tu yang tidur jerr.

Ada satu jenis kawan pula bila masa aku perlukan diorang, manjang jer tak available. Tapi bila diorang perlukan aku, aku kena sentiasa ada dan bersedia. Hantu betullah, kalau kita start kata sibuk ker apa, mahu diorang kejung time tu jugak. Mungkin hidup ini macam tulah, apa yang kita paling harapkan itulah yang kita tidak akan dapat.

Apapun hidup perlu terus, hidup aku juga hebat dan cuba sedaya mungkin untuk membahagiakan diri sendiri. Keluarga perlukan aku dan aku perlu terus bersemangat untuk menempuh hidup kerananya!


Friday, September 12, 2003

TAMPIL HEBAT HIDUP PASTI LEBIH BERMAKNA

Rutin setiap pagi ketika bersiap hendak ke tempat kerja ialah memadankan tali leher dengan pakaian. Kadangkala belasah sahaja, asal sedap mata memandang maklumlah tak ada bini nak komen atau tolong ikatkan. Nasib baik jarak ke tempat kerja hanya tak sampai 5 minit atau 10 minit kalau berjalan kaki. Setiap pukul 7.10 pagi dah tercongngok di depan PC untuk mengupdate DJW. Begitulah rutin seharian sepanjang 7 bulan yang lalu.

Tali leher memang diakui dapat memberikan penampilan imej positif kepada pemakainya. Namun para penyelidik percaya perbuatan mengikat tali leher terlalu ketat meningkatkan risiko penyakit mata terutamanya di kalangan ahli perniagaan dan eksekutif. Kajian mendapati pemakaian tali leher yang terlalu ketat menjerut vena jugular di bahagian leher yang secara tidak langsung meningkatkan tekanan dalam salur darah dan biji mata. Ia akan menambahkan bahaya kepada mata yang dikenali sebagai glaucoma dan memberi kesan kepada penglihatan. Mereka juga mengenalpasti tekanan darah dalam mata yang meningkat adalah faktor terpenting pembentukan glaucoma. Malah memakai tali leher ketika membuat ujian mata boleh membawa kepada diagnosis yang tidak tepat. Jadi janganlah ikat tali leher terlalu ketat nanti susah pula nak bernafas.

Selain itu menghargai diri juga adalah perkara utama untuk menampilkan imej positif seseorang. Kita sememangnya tidak mahu diperlekehkan oleh rakan sejawatan hatta orang di bawah kita, iaitu staff kita yang lain.

Dalam menjalankan tugas seharian kita kadangkala melakukan kesilapan. Jika ini berlaku janganlah terlalu menyalahkan diri sendiri. Kita perlu menganggap ianya salah satu rencah kehidupan dan semua orang pernah melakukan kesilapan. Belajar dari kesilapan itu dan jangan ulanginya lagi. Ini akan hanya memberikan tekanan kepada diri kita.

Jika kita berada dipihak yang benar, kita patut memandang atau mempertahankannya. Bersikap menentang dan meluahkan ketidakpuasan hati secara langsung akan menambahkan keyakinan pada diri kita. Baru-baru ini ada satu kes hangat yang melibatkan rakan sejawatan. Pihak pengurusan mahu beliau menulis surat memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab terhadap satu kes yang beliau tidak lakukan. Ianya memang melibatkan jabatannya namun kesilapan yang berlaku bukan dilakukan olehnya. Sistem maklumat yang tidak tepat dan pengauditan tidak dilakukan mengakibatkan masalah tersebut tidak dapat dikesan sedari awal. Beliau berkeras mempertahankan pendiriannya. Sekurang-kurangnya beliau mencuba mempertahankan maruahnya dan kami semua memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bagi. Inilah gunanya kawan . Berani kerana benar. Keberaniannya meletakkannya di tempat tertinggi di mata kami. Walau mungkin dia terpaksa memperjudikan kerjayanya di sini.

Apapun yang berlaku kita perlu berpandangan jauh. Sentiasa mengingati sesuatu yang negetif akan mempengaruhi pemikiran kita secara total. Kita akan pesimis dan tidak mempunyai keghairahan untuk hidup. Lebih elok mengharapkan perkara yang baik dan berusaha untuk meraih segala impian. Sentiasa membayangkan saat-saat indah. Yang ingin dicapai dalam hidup. Ini secara tidak langsung akan membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk menjalani hidup.

Perlu juga bersikap terbuka dan berfikiran positif. Benar setiap kita ada kekurangan. Tetapi kita juga banyak kelebihan berbanding orang lain. Berbanggalah dengan sikap-sikap positif yang kita ada. Bukan semua orang berpeluang mengecapi apa yang kita ada sekarang. Kita ini memang beruntung. Jadi kita perlu yakin yang kita mampu menyelesaikan setiap masalah yang datang melanda. Lakukan yang terbaik di atas segala tindakan kita.

Rakan-rakan pula adalah umpama cermin kita. Maklumlah mereka jugalah yang terlebih dulu mengesan kebotakkan kepala kita berbanding diri kita sendiri. Apalah gunanya kawan kalau tidak dapat menolong ( memetik kata Merry ). Carilah rakan-rakan yang benar-benar dapat menerima kita seadanya. Memberikan sokongan ketika berada dalam kesulitan dan turut bergembira di saat kita meraih kejayaan. Jauhilah rakan-rakan yang memberikan kesan yang negetif. Ianya akan membuatkan kita kelihatan semakin buruk. Pemilihan rakan-rakan juga penting untuk membina keyakinan diri yang tinggi seterusnya tampil lebih yakin di depan khalayak.

Namun perkara asas yang perlu dilakukan ialah jika kita ingin tampil dengan lebih yakin di depan khalayak, kita perlu menghargai diri kita terlebih dahulu. Tali leher, cara berpakaian hanyalah unsur luaran. Namun ianya perlu diusahakan dengan keyakinan bahawa apa yang kita lakukan adalah yang terbaik dan tidak boleh disangkal oleh sesiapapun. Kita sahaja yang mampu mengubah diri kita sendiri dan membuat diri kita tampil hebat depan khalayak.

Sekarang ini pula orang akan menilai kita juga dengan apa yang kita ada. Kereta apa yang kita pandu, apa yang kita pakai dan bagaiman kita membawa diri di depan khalayak . Semua ini memberikan satu statement secara tidak langsung siapa diri kita sebenarnya. First impression itu juga penting, cuma tampilkan diri kita yang sebenar, jangan berpura atau berlagak!




Thursday, September 11, 2003

PILIHAN

Semenjak kebelakangan ini, kehidupan aku mula teratur semula. Kenangan tetap utuh di situ. Suatu tempat yang istimewa, di sudut memori. Kalau ditakdirkan kita hanya ada kenangan, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kita pernah rasa gembira bersamanya. Biarlah orang lain tidak bersandarkan pada kenangan. Mereka lebih kepada apa yang menyenangkan hidup masing-masing, apa yang tersedia di depan mata. Juga apa yang mudah baginya. Pendik kata kenangan lampau hanyalah masa silam yang berlalu pergi.

Masa kini adalah apa yang kita inginkan. Hidup juga kerananya, kegembiraan kita adalah atas usaha kita juga. Kalau kita memilih untuk berduka. Buatlah sampai puas, berdukalah semahunya. Tapi mungkin kedukaan kita akan lebih memberi derita kepada orang yang benar-benar menyayangi kita tanpa syarat. Kedua ibu bapa kita misalnya, merekalah yang paling terseksa bila melihat kita seperti telah putus asa dalam hidup. Mereka jadi serba salah jika kita mendiamkan diri dan tidak bermaya.

Kebahagiaan yang kita kecapi akan terpancar dari sinar mata. Kita tidak boleh membohongi diri kita sendiri, orang lain mungkin. Perjalanan masih panjang, usah menggigil menghadapinya walau sendirian. Memang payah pada mulanya tapi masa juga akan menyembuhkan segala luka. Mana ubatnya? Kita perlu menyembuhkannya sendiri. Ubatnya adalah bila kita telah sedar bahawa segala yang berlaku adalah atas ketentuanNya. Semuanya telah tercatat di Luh Mahfuz. Bila kita menyedari tidak semua orang berfikiran selari dengan kemahuan kita.

Untuk apa bersandarkan pada kenangan? Lupakan sahajalah, bina segalanya dari keruntuhan itu. Bina ruang baru untuk sesuatu yang baik buat diri kita sendiri. Mungkin kita tidak mampu menempuhinya semula. Tapi itu adalah kitaran yang perlu kita lalui. Dalam hidup ini kita punya pilihan, kerana itulah titik mula segalanya. Kerana pilihan jugalah dia melangkah pergi. Dia memilih untuk meninggalkan segala kenangan yang ada. Biarkanlah, mungkin itu lebih baik baginya.
Mungkin dia akan lebih bahagia tanpa kita disisinya.

Apa yang tertinggal? Hanya lara hati? Itu bagi kita yang rasa kehilangan. Percayalah bila kita mahukan sesuatu kita sanggup melakukan apa sahaja untuknya. Tapi jika kita tidak ingin, dipaksa pun tak akan berganjak walau seincipun. Kita pun sebenarnya sama dengan dia. Jadi teruskan sahajalah, hidup dengan apa yang kita mahukan. Pedulikan mereka, capai apa yang kita termampu. Kegembiraan itu telah tersedia di depan mata, kita sahaja yang buta atau memilih untuk memejamkan mata.

Tolong aku kalau aku tak nampak!



Wednesday, September 10, 2003

MOGA IMPIAN JADI NYATA

Patutlah aku tak boleh tidur malam semalam. Pukul 1.40 dah terjaga. Solat Isyak dan kemudian sembahyang hajat sekali. Rupa-rupanya memang ada sesutu yang menunggu keesokan harinya. Bidadari yang tersenyum-senyum simpul menanti setiap mata yang memandang. Aku apa lagi terus menekan punat lensa kamera dan mempotretkan semua keindahan ciptaan manusia itu. Ciptaan tuhan memang telah tersedia untuk ditengok. Aku paksa mereka senyum dan bergaya manja seadanya. Mereka akur malah nampak suka sesuka sukanya.

Amat berbaloi sekali dengan pelaburan yang hanya RM15.00 dapat memuaskan hati aku sepenuhnya. Rakus sekali mata aku memandang setiap satunya. Kubelek, kupegang, kuhentak semahunya. Keletihan yang amat sangat maklumlah terpaksa menjenguk setiap satu dari satu tempat ke satu tempat yang berasingan. Bermimpi mimpian dicelah-celah kesesakkan itu. Selamat datang ke KLIM'03!

KL International Motorshow'03 (KLIMS) dengan bertemakan "Leading the way forward" berlangsung pada 5 hingga 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pameran ini menampilkan 104 model kereta, 5 kereta konsep, kepala lori trailer, model motosikal dari 10 negara. KLIMS 2003 dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan ini merupakan pertunjukkan kelima dalam siri pameran berkenaan selepas yang terakhir dianjurkan pada tahun 2000.

KLIMS lebih kepada pameran , imej serta mambangkitkan kesedaran pengguna terhadap sesuatu jenama atau model terkini daripada syarikat tertentu. Sudah tentu mereka juga mahu menjual produk tapi wujud kesinambungan diantara menjual produk, jenama serta membina imej. Memang banyak brosur, "price list" dan paper beg yang diberikan kepada pengunjung. Syarikat-syarikat tersebut juga bermurah hati memberikan poster-poster jenama kereta mereka sebagai cenderahati. Dapat poster pun jadilahkan. Kuiz dan juga cabutan bertuah juga diadakan. Pengunjung juga berpeluang memenangi SAAB 93 bernilai RM 200,000. Manalah tahukan tuah masing-masing.

Ramai juga jelitawan yang menjadi model memperagakan kereta. Walaupun tak pasti apa fungsinya. Tapi mungkin sebagai penyedap mata yang keletihan melihat produk kereta yang dipamerkan. Ini juga merupakan faktor mengapa aku dan Wan mampu bertahan hingga 5 jam untuk membelek setiap satu produk yang dipamerkan. Memang berbaloi menjelajah setiap ceruk di 11 ruang dewan di kawasan seluas 30,000 kaki persegi itu. Rasa tak rugi bila kami bercuti semata-mata untuk ke KLIMS.

Aku senaraikan kereta-kereta pilihan aku yang juga menjadi impian aku selama ini. Sonata terkeluar dari senarai sebab masa aku tengok kereta tersebut jurujual kereta tersebut buat tak pandang jer kat aku . Orang lain dia layan pulak. Maklumlah aku ni tak nampak macam taukeh-taukeh kaya. Tak apa, aku haramkan kerabat-kerabat aku yang lain dari membeli kereta ini sampai ke anak cucu aku kalau ada.

Maka senarai akhirnya ialah seperti berikut :

Pilihan Pertama

Model Honda CivicRX 1.7 liter Vtec yang sporty dan bergaya habis. Harga dia bila aku tanya RM 109, 900. Tak pasti pulak termasuk insuran atau tidak. Tapi mungkin kalau dikira akan mencecah RM 113,000 juga. Kereta ini memang menepati citarasa aku. Warna pilihan mestilah "dark blue" atau hitam biar nampak misteri. Prestasi kereta ini sudah teruji dan antara yang paling terkenal di Malaysia. "Resale Value" tidaklah jatuh menjunam sangat, alat ganti juga mudah diperolehi. Cuma agak sukar untuk membuat trade-in kereta lama aku.

Pilihan Kedua

Perdana V6 model terbaru. Bila aku masuk ke dalam kereta ini, terasa lapang dan penuh bergaya sekali ruang dalamannya. Mesti selesa sekali bila orang tua aku dapat kemana-mana dengan Perdana V6 ini. Harga OTR RM 98, 961.94. Sebagai model tempatan, alat ganti mudah diperolehi dan tidak terlalu mahal. Injin pula 2.0 prestasi mestilah mantap. Man juga rekemenkan aku ambil saja Perdana V6. Lagi satu layanan jurujual dia Marcus Wong juga "superb'. Ini membuatkan aku lebih jatuh cinta lagi dengan model ini. Pilihan warna "Deep Red' atau "Midnight Blue".

Pilihan Ketiga

Chevrolet Optra 1,8. Harga tanpa insuran RM 89,999.00. Memang mantap dan diimport sepenuhnya. Menepati ciri-ciri kereta yang aku idamkan. Tetapi ini merupakan model baru dipasaran tentulah alat ganti mahal dan "second hand value" mungkin jatuh. Walaupun Chevrolet adalah pengeluar kereta paling laris di AS. Memandangkan harga kereta ini masih munasabah, pertimbangan jitu juga wajar difikirkan. Oh ya layanan jurujual dia juga "mesra alam". Best setiap apa yang aku tanya dia jawab panjang lebar. Warna hitam menjadi pilihan utama untuk model ini.


Syarikat kereta lain setakat hanya ambil gambar dan berposing serba sedikit di sebelah model dan kereta, buat kenang-kenangan. Kalau harga lebih RM 150,000 memang tidak berbaloi untuk kereta bagi aku. Baik beli aset seperti rumah atau masukkan duit dalam fixed deposit sahaja. Sebab kereta akan susut nilai. Walau beli mahal ratusan ribu bila jual balik cuma berbaki RM 40 ke RM 60 ribu memang tidak berbaloi dan membazir. Aku bukan orang kaya. Kereta pulak hanya untuk pergi kerja dan bawak orang tua aku jenjalan rumah sedara mara atau pergi pasar.

Namun bila kita hidup ini nak juga merasa itu ini. Sebabnya hidup kita ini terlalu pendek jadi kena rasa semuanya dalam masa yang sesingkat ini. Aku rasa setelah hampir 2 bulan inilah satu-satunya hari yang aku rasa cukup gembira. Terima kasih untuk Wan sebab sanggup buat Emergency Leave semata-mata jadi jurugambar aku semalam.

Buat bakal "penaja" aku kalau tak dapat Honda Civic tu dapat Perdana V6 pun amat bersyukur. Kena tunggu berapa lama yer? Tahun ni ker tahun depan? Ker dah boleh bermimpi dari sekarang? Hahahahaaa …. Selepas 15 Sept baru tahu ker? Kalau tak dapat sekalipun , dapat bermimpi pun jadilah sebab dari impianlah menjelma Honda Civic tu macam tagline Honda - "The Power of Dreams".