ROGOL ISTERI
Langkah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam) meminta kerajaan menjadikan tindakan suami ‘merogol’ isteri sendiri sebagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan menimbulkan pelbagai persoalan. Pengerusi Suhakam, Tan Sri Othman Talib antara lain berkata, suami yang tidak memberi nafkah dari segi wang ringgit selama berbulan-bulan tetapi masih ingin layanan seks daripada isterinya, melanggar hak asasi si isteri.
Perbuatan suami itu dianggap sebagai satu penderaan seks dan keganasan dalam sesebuah perkahwinan. Saranan itu mengundang bantahan keras daripada ulama dan pendakwah yang mempersoalkan kewajaran langkah itu. Seperti kata Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harrusani Zakaria, ia bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan kesucian institusi perkahwinan.
Dalam Islam, pernikahan menghalalkan hubungan seks malah kesediaan wanita untuk perkahwinan dengan suaminya menggambarkan wujudnya kerelaan di pihak isteri. Kegagalan suami menanggung nafkah isteri baik zahir dan batin pula membolehkan wanita itu mengemukakan tuntutan cerai atau faskh. Dalam pada itu, seperti kata seorang peguam syarie, isteri boleh menolak ajakan hubungan jika suaminya dijangkiti HIV, menagih dadah atau berpenyakit kelamin. Ini demi mengelakkan si isteri pula ditimpa kemudaratan. Persoalannya siapakah solongan sasaran Suhakam . Ini perlu diperjelaskan kerana hukum perkahwinan dalam Islam sudah mencukupi bagi menangani sebarang masalah yang timbul dalam sesebuah rumahtangga.
Banyak lagi yang boleh diperjuangkan oleh Suhakam, kes cerai berai yang tertangguh, soal penderaan dalam perkahwinan yang lebih menyeluruh dan sebagainya seharusnya ditangani segera. Kes rogol isteri boleh di masukkan bersama kes-kes rumahtangga yang lain. Kalau tidak ‘banjirlah’ makhamah syariah /sivil di negara kita dengan kes-kes airmata ini.
Sumber :
Salah suami `rogol' isteri -- Suhakam anggap seks di luar kerelaan langgar hak asasi (UM 22/08/04) oleh Rihani Ibrahim
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman meminta kerajaan menjadikan tindakan suami `merogol' isteri sendiri sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan negara ini.
Beliau menegaskan, Suhakam menganggap perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri adalah melanggar hak asasi manusia.
``Suami yang tidak memberi nafkah dari segi wang ringgit selama berbulan-bulan dan masih inginkan layanan seks daripada isterinya juga boleh dikatakan melanggar hak asasi seorang wanita dan isteri,'' jelasnya.
Menurut Abu Talib lagi, kedua-dua perbuatan di atas disifatkan sebagai perlakuan ganas dalam perkahwinan dan perlu dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau yang juga bekas Peguam Negara berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa pilihan bagi membincangkan pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah di bangunan Parlimen hari ini.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad.
Ia turut dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen termasuk Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), K. Devamany (Cameron Highlands), Che Min Che Ahmad (Pasir Puteh) dan Teresa Kok (Seputeh).
Abu Talib berkata, penderaan seks dan keganasan yang berlaku dalam sesebuah perkahwinan adalah satu perbuatan melanggar hak asasi seorang wanita.
``Artikel Dua Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita menggariskan perbuatan suami merogol isteri (marital rape) sebagai perbuatan ganas yang menafikan hak asasi dan kebebasan asas wanita,'' katanya.
Malaysia, tambah Abu Talib, sudah menandatangani deklarasi tersebut bagi peringkat ASEAN pada 30 Jun lalu.
``Oleh itu sudah sampai masanya Malaysia menghapuskan penderaan seksual dan keganasan yang berlaku kepada wanita di dalam sebuah perkahwinan dengan memasukkan kesalahan terbabit di dalam Kanun Keseksaan,'' jelasnya.
Pada pertemuan itu, Abu Talib turut menyerahkan satu kertas pembentangan kepada jawatankuasa pilihan terbabit yang turut memuatkan alasan Suhakam meminta kerajaan memasukkan kesalahan terbabit di bawah Kanun Keseksaan.
Antara alasan yang diberikan Suhakam ialah penderaan seksual dan keganasan yang berlaku kepada wanita dalam sesebuah perkahwinan akan menjadikan golongan wanita lebih `lemah' dan menjadikan kaum lelaki lebih `berkuasa'.
Satu lagi alasan yang diberikan ialah mengikut Artikel 16(1)(c) Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita PBB, setiap pasangan mempunyai hak yang sama di dalam sebuah perkahwinan.
``Seorang isteri bukanlah tertakluk di bawah kekuasaan suaminya ataupun harus diperhambakan oleh seorang suami,'' kata Abu Talib lagi.
Tambah beliau, penderaan seksual dan keganasan yang dilakukan oleh seorang suami ke atas isterinya tidak harus dibezakan dengan perbuatan sama yang dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ke atas seseorang wanita.
Kertas pembentangan Suhakam itu juga menjelaskan bahawa satu kajian yang dijalankan di negara ini pada tahun 1994 mendapati 39 peratus daripada wanita berkahwin didera secara fizikal oleh suami mereka.
``Sementara itu, 68 peratus daripada mereka didera ketika sedang mengandung,'' kata Abu Talib. Selain kesalahan suami merogol isteri, Suhakam turut membangkitkan penjelasan mengenai organ wanita iaitu vagina yang sering dibangkitkan di dalam kes rogol di negara ini. Mungkin Kanun Keseksaan perlu menjelaskan beberapa lagi organ pada alat sulit wanita untuk memastikan kesalahan merogol mempunyai definasi yang lebih jelas di dalam Kanun Keseksaan negara ini,'' tambah
Isu anggap hubungan seks tanpa kerelaan isteri sebagai rogol - Suhakam `dibelasah' (UM 22/08/04) oleh Nazeri Nong samah … [et. Al]
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Mufti dan cendekiawan Islam membantah sebarang usaha untuk menghukum suami `merogol' isteri sendiri di bawah Kanun Keseksaan kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh merosakkan kesucian institusi perkahwinan.
Selain itu pelbagai pihak lain seperti pengamal undang-undang dan aktivis wanita menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang beranggapan perbuatan suami `merogol' isteri patut dihukum, sebagai pandangan yang berasaskan perjuangan hak asasi manusia di Barat.
Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri sama sekali tidak boleh dianggap sebagai merogol isteri dan tidak boleh dianggap kesalahan di dalam hukum Islam.
Beliau yang menganggap permintaan Suhakam itu sebagai menentang hukum Tuhan, turut berpendapat bahawa pandangan sedemikian adalah pengaruh dari Barat yang kini memberikan hak secara berlebihan kepada golongan wanita.
Katanya, masyarakat Barat berbuat demikian bagi membetulkan kesilapan silam dan perasaan bersalah golongan lelaki mereka yang satu ketika dulu beranggapan seseorang wanita itu bukan manusia.
``Dalam Islam, hubungan kelamin suami isteri ada batasan dan had-had tertentu umpamanya waktu isteri sedang dalam haid, suami tidak dibenarkan menyetubuhi isterinya.
``Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan cadangan Suhakam kerana seseorang suami berhak menyentuh isterinya manakala si isteri wajib taat. Jika isteri enggan, jatuhlah hukum nusyus dan tidak wajib ke atas suami memberi nafkah kepada isterinya,'' katanya kepada Mingguan Malaysia. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman yang disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia hari ini yang meminta kerajaan menjadikan tindakan suami `merogol' isteri sendiri sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana ia satu penderaan seks dan keganasan di dalam sesebuah perkahwinan. Abu Talib berkata, Suhakam menganggap perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri adalah melanggar hak asasi manusia. Tambahnya, suami yang tidak memberi nafkah dari segi wang ringgit selama berbulan-bulan dan masih inginkan layanan seks daripada isterinya juga boleh dikatakan melanggar hak asasi isteri.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar pula berpendapat undang-undang sedia ada sudah memadai dalam menangani perbuatan suami yang bertindak ganas terhadap isteri. ``Selain itu istilah merogol isteri dalam perkahwinan yang sah sendiri bertentangan dengan hukum syarak kerana salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan seksual. Saya percaya agama lain juga menggariskan perkara yang sama. Oleh itu budaya dan adat Timur yang dipegang oleh rakyat Malaysia tidak harus dicampuradukkan dengan gaya hidup Barat,'' katanya.
Sementara itu Pensyarah Undang-Undang Wanita dan Kekeluargaan, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Noor Aziah Mohamed Awal berkata, bagi orang Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan melalui ikatan perkahwinan dan kerelaan wanita untuk berkahwin dengan suaminya menggambarkan bahawa berlaku `kerelaan' pada pihak isteri. Bagaimanapun, kerelaan seks seorang isteri bukanlah hak mutlak suami sebab itu jika isteri berasakan tindakan suaminya itu sebagai keterlaluan hingga mengundang kepada unsur kezaliman, maka tuntutan fasakh berdasarkan taklik boleh dibuat,'' tegasnya.
Pendakwah bebas wanita, Siti Nor Bahyah Mahmud yang turut tidak bersetuju dengan pandangan Suhakam, berkata, perkahwinan itu sendiri sebenarnya menghalalkan perkara yang haram di antara lelaki dan wanita. ``Istilah rogol tidak sepatutnya timbul apabila merujuk kepada perhubungan suami isteri kerana Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah Ayat 187 yang bermaksud, isteri kamu adalah pakaian bagi kamu (suami) dan kamu juga adalah pakaian bagi isterimu,'' katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, jika ada kes keterlaluan suami terhadap isteri termasuk dalam hubungan kelamin, istilah yang wajar digunakan adalah keganasan atau penderaan seksual dan bukannya rogol; kerana Islam sendiri tidak menggalakkan seorang suami menyakiti isterinya.
Seorang peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Zain berkata, saranan Suhakam itu jika dipenuhi oleh kerajaan, boleh mengelirukan institusi perkahwinan dan masyarakat Islam.
Beliau berkata, seseorang isteri hanya berhak untuk tidak memberikan layanan seks kepada suami jika suaminya menghidapi penyakit kelamin, jangkitan HIV ataupun menagih dadah dan berhak memohon cerai di Mahkamah Syariah secara fasakh.
Profesor di Jabatan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi pula menegaskan bahawa jika kerajaan menuruti saranan Suhakam itu, ia hanya membawa lebih banyak keburukan termasuk mengundang perbalahan lebih serius di kalangan suami isteri.
Sementara itu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta Suhakam meminta perhatian kepada usaha menangani masalah perceraian di kalangan umat Islam dan berhati-hati sebelum membuat sebarang cadangan agar tidak bercanggah dengan agama.
Pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah berpendirian bahawa cadangan Suhakam itu membelakangkan tuntutan agama kerana menafikan hak suami untuk mendapat layanan seks daripada isteri yang dikahwini secara sah dan tidak boleh dianggap sebagai kes rogol.