Saturday, October 30, 2004

Tudung Periuk

TUDUNG PERIUK



Tudung periuk, tudung periuk berikan hamba, kainlah yang buruk, kainlah yang buruk berikan hamba buat menyapu si air mata …” Ehh cam silap siaran jer. Semalam dapat hadiah periuk nasi elektrik untuk Raya tahun ini. Pemberi hadiah mestilah misteri memang susah nak kesan. Siap bagi ucapan “Semoga rajin-rajinlah memasak , jangan makan kat luar jer”. Makan kat luar memang tak sedap pun.

Petang ni akan ke Salak Tinggi untuk majlis buka puasa di sana tu. Tak tahu nak bawak apa. Mungkin nak bawak acar buah dan pisang rasanya. Esok baru balik kampong sebab nak jumpa Julie di Klang.

Dia call semalam agak lama dari selalu. Dia ajak buka puasa tapi masa cuti Deepavali nanti. Cehhh time semua orang KL dah cabut balik ke kampung baru plan nak carik aku.

“Kang kata tak ajak pulak”.

“Jangan ajak kalau terpaksa.”

Malaslah nak layan. Biarlah bukan rezeki dan bukan sesuatu yang penting untuk dipenuhi.

Aku ni manusia yang “Complicated”.

Friday, October 29, 2004

Buka Puasa di Ofis

BUKA PUASA DI OFIS


Hari ini ada majlis buka puasa di ofis. Setahun sekali kaum kerabat anak bini akan di bawa ke ofis tempat mak bapak depa kerja. Setahun sekali jumpa mereka semua. Paling best ada majlis pertukaran hadiah. Macam krismas plak, tapi benda ini memang menjadi satu tradisi masa aku perkenalkan acara itu 5 tahun dulu.

Setiap tahun rancang nak makan kat hotel segala, tapi masing-masing tak nak. Lebih meriah dan berbaloi jemput catering . Lebih separuh kos di taja dan setiap ahli hanya membayar RM 10 untuk 14 jenis lauk pauk yang mengalahkan majlis kahwin. Wang baki aku jadikan duit raya untuk cabutan bertuah.

Maybe aku pernah cerita kisah beberapa tahun lepas, aku lupa tutup handphone dan N call aku bertalu-talu . Sembahyang tak khusyuk jadinya. Ada yang menahan ketawa pulak tuu. Sebab nada dering phone aku sikit punyalah romantik lagu “My Baby You”- Marc Anthony. Sekarang taubat aku tak moh jadi isu hangat lagi macam tu.

Hujung minggu ni banyak juga jemputan berbuka puasa di luar. Aku tak pasti nak pergi ke tidak. Malas ler kalau buka puasa di luar ni. Rasa agak tidak selesa pulak. Tapi kadang kesian pulak hampakan harapan orang.


BOHONG


Seminit Kau Pujuk Rayu
Seminit Kau Marah Marah
Seminit Kau Diam Diri
Buat Tak Tahu


Apakah Sebenar Mahumu
Jadi Tanda Tanya
Mungkin Kau Sengaja
Buatku Begitu
Buat Ku Jemu


Angkat Kaki Melangkah Pergi
Membawa Diri
Beradu Nasib Diluar Sana Yang Menguji


Tak Sangka Begini
Akhirnya Kau Buat Diriku Ini
Bertapa Terbukti Kau Berbohong Selama Ini

Aku Harap dan Berdoa
Kau Puas Hati
Kalau Ku Pergi
Bolehlah Kau Cari
Pengganti


Lagu : Nor Fiqri (Maestro Publishing)
Lirik : Loloq (Luncai Emas Sdn, Bhd)
Nyanyian : Mas AF2

Thursday, October 28, 2004

Budak Kaca Mata

BUDAK KACA MATA


Hampir sejam aku panik tahap lipan berkaki 16. Semua benda yang aku lihat menjadi kabur dan aku terpaksa meraba-raba dalam terang. Aku terlupa di mana aku meletakkan kaca mata aku sesudah sembahyang subuh tadi. Tension bila spek itu tak ada di tempat yang selalu aku letak. Aku terlupa sungguh …

Semua ceruk bilik aku geledah. Akhirnya spek yang bertuah itu terletak cantik di atas tilam katilku. Mahu aku hilang akal sekejap kalau tak jumpa sedangkan aku banyak benda nak disiapkan di ofis. Pandangan tidak akan berasa puas kalau tidak memakai spek tersebut. Begitulah walau sebentar nikmat di tarik balik akibat kelalaian sendiri tapi kesannya amat mendalam. Macamanalah kehidupan orang buta yer? Hishhh …

Dulu pun pernah aku tercarik – carik kat mana spek yang aku letak. Kemudian housemate aku dengan selamba jawab “Tulah yang kau pakai tu apa?”. Hishhh kenapa nyer ada perasaan sebegitu. Aku dah semakin pelupa ker? Nasib baik ada kawan. Sekarang ni semua benda kena buat sendiri tak der siapa nak tolong.

YU YU


Setiap petang, sebab tak der benda nak buat aku nonton siri “Burning Flame II”. Best citer ni dan buat aku ketagih terutama watak budak kecil berumur 4 tahun di mana ayahnya seorang ahli bomba. Lakonan Yu Yu amat hidup dan natural sangat. Macam seronok sangat kalau ada anak perempuan yang sebegitu. Walaupun ibunya telah meninggal dunia dia tetap mendapat sepenuh kasih sayang daripada pak cik dan ayahnya.


Banyak konflik yang berlaku terutama corak layanan pak ciknya yang lebih memahami dan ayahnya yang sedikit tegas. Namun hubungan anak dan ayahnya tetap saling memerlukan.

AKU


Kenaikan gaji tidak seperti yang dijanjikan. Kecewa pak cik. Tapi bersyukurlah sebab ramai yang masih kantoi sebab artikel yang dihantar untuk Sharenet tidak memenuhi piawaian. Jadi kenaikan gaji mereka masih ditahan. Inilah cabaran yang ada bekerja di tempat aku ini. Kita kena pandai buat presentation, pandai menulis, pantas membuat kerja. Walaupun tahap kipas-mengipas memang kurang, tapi karenah HR memang sukar sekali dijangkakan.

Wednesday, October 27, 2004

Al_Fatihah

AL-FATIHAH


Dapat SMS ini semalam. Tapi petang baru aku terperasan gara-gara sibuk hingga tak sedar dunia sekeliling.

12 Ramadhan pulangnya bonda tercinta ke rahmatullah … Darinya kita dtg kepadanya kita kembali. Dia seorang ibu yg paling istimewa di dunia ini. Al-Fatihah.
26-Oct-2004 11:30:54

Salam takziah buat Farman sekeluarga. Maaf kerana tidak dapat datang menziarah. Walaupun hanya kenal di alam cyber, terasa ikatan persaudaraan terjalin erat.

Aku teringat SMS dia yang terdahulu.

Kadangkala Allah hilangkan sekejap matahari then didatangkan kilat dan guruh di langit. Puas kita menangis mencari Matahari … Rupanya Allah nak hadiahkan pelangi yang cantik.
13-Oct-2004 21:46:06

Moga tabah menghadapi ketentuan dari-Nya. AL-Fatihah.
<http://rahsiasuarahati.blogspot.com/>

KEMANISAN HIDUP



Paling manis bila kita mendapat apa yang kita harapkan. Paling manis bila segalanya mengikut perancangan. Tapi segala yang manis tidak juga elok untuk kesihatan. Hidup selalunya tidak bergerak terlalu mudah ke destinasinya. Ada sahaja kerikil tajam yang membekas di kaki.

Menghargai kemanisan hidup juga mungkin satu seni yang paling misteri. Kita tidak pasti bila ianya datang dan hanya tersedar bila ia direntap dari genggaman kita. Jadi kita perlu menghargai setiap detik dan segala apa yang memang telah menjadi milik kita. Pahit, manis, suka, duka adalah sesuatu yang memang telah ditakdirkan untuk kita jalani. Bersyukurlah kerana kita masih bernafas dan meneruskan hari-hari baru ini dengan lapang dada. Apa juga yang hadir dalam hidup kita harus di lakukan sebaiknya.

Banyak perkara yang menyedarkan aku perihal manusia dan kehidupan. Sering kita sendirian di saat –saat kita paling memerlukan seseorang.

Tuesday, October 26, 2004

Eratkan Silaturahim

ERATKAN SILATURAHIM


Daripada Abu Hurairah, katanya, aku dengar Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang ingin dimurahkan rezekinya dan diberkati penghidupan dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini, Rasulullah mengingatkan hubungan silaturahim adalah prasyarat untuk menjamin kehidupan harmoni. Antara sebab berlakunya kesempitan hidup dalam kehidupan seseorang adalah tidak memberi tumpuan lagi kepada hubungan silaturahim terutama sesama keluarga dan saudara seagama.

Kesimpulannya antara faktor untuk memperbaiki taraf dan keselesaan kehidupan ini adalah dengan mempereratkan perhubungan silaturahim. Kalau tali ini rapuh, maka akan rapuhlah kehidupan dan runtuhlah keharmonian dalam kehidupan masyarakat.

Sumber : BH 26/10/2004

Agak sibuk hari ini. Kena siapkan bulletin dept dan biz plan 10 tahun. Pagi tadi tak sempat nak bersahur. Malas nak bangun ...


Monday, October 25, 2004

Hujan tak sudah

HUJAN TAK SUDAH


Semalam hantar Yana berurut. Pak cik tukang urut tu sudah manjadi ayah angkat Yana sebenarnya. Dia memang mahir tentang urut dan teknik-teknik urutan dia juga memang bagus. Dia mengurut di depan saksi, bukan di dalam bilik ker apa. Memanglah begitu sebaiknya tidak menimbulkan syak. Tapi kalau orang ramai segan juga sebab dia mengurut di tempat terbuka. Alhamdulillah kaki Yana yang terkehel dan pernafasan dia yang sesak itu telah pulih. “Miracle “ ini kali kedua aku lihat benda ini (dengan izin Allah) yang pertama ketika pak cik tu datang ke hospital semasa dia mengurut Yana di hospital tempohari yang doktor tak tahu nak buat apa.

Teknik mengurut ini perlu dipelajari dengan betul. Sebabnya memang terlalu banyak tukang urut di sesebuah kampung itu. Namun perbezaannya ialah cara dan kaedah mana yang dipraktikkan. Terfikir pula orang yang selalu pergi berurut dan pusat-pusat urut tradisional. Di mana tukang urut dia orang-orang muda. Bahaya tuu …

Berbuka bersama keluarga di kampung memang best sangat. Tak terkata keberkatannya.

Selepas berbuka aku cadang nak balik ke Cyber. Tapi hujan tak sudah sampai tengah malam. Terlelap dan aku balik selepas subuh pagi tadi. Dua jam aku drive dan sampai di ofis 7.20 am.

Semalam dia call aku lagi. Tanya khabar. Ada sesuatu yang membuatkan aku sungguh kecewa dengan sikapnya. Terlalu kecewa …

Saturday, October 23, 2004

Jangan Curang

Jangan Curang!


Juruperunding kardiologi di Guy's and St Thomas Hospital Trust, London, Dr Graham Jackson dalam kertas kerja bertajuk ‘Seks, Jantung dan Ketidakupayaan Ereksi (ED)’

Kajian yang dijalankan di Jepun, Frankfurt dan Berlin mendapati 75 peratus mereka yang membuat hubungan sulit mempunyai risiko kematian mengejut akibat serangan jantung. Sebaliknya, risiko serangan jantung bagi mereka yang melakukan hubungan seks normal adalah rendah yang mana kajian masing-masing di Jepun, Frankfurt dan Berlin menunjukkan hanya 0.6 peratus, 0.18 peratus dan 1.7 peratus kematian mengejut disebabkan melakukan hubungan seks,” katanya yang menyatakan pesakit boleh meneruskan aktiviti seks seperti biasa selepas dua hingga tiga minggu daripada tarikh itu sekiranya tidak mengalami sebarang komplikasi.

“Dianggarkan kira-kira 1.6 juta lelaki Malaysia mengalami ED yang mana kurang daripada 10 peratus mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah mereka. Antara alasan mereka tidak tampil mendapat rawatan ialah ia suatu perkara yang membabitkan maruah dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya.


Sumber : Nor Afzan Mohamad Yusof, “Sakit jantung parah jika curang”, Berita Harian 22 Oktober 2004
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Keluarga/20041022081041/Article/

PRINTER BARU!

Rasanya baru sahaja aku mintak printer baru kat officemate, diorang dah dapatkan a brand new printer (hp laserjet 1150). Last time aku mengadu malas nak bangun ambil kertas kat meja sebelah tu hari ini dah dapat. Mudah ler kerja aku sekarang. Bukan tak pernah ada printer, dah 2 -3 kali aku dapat printer tapi disebabkan meja aku 'semak' aku malas nak share printer dengan orang lain. Jadi diorang tempatkan printer tu kat meja lain. Hari ini berkat bulan Ramadhan redha sahajalah siapa nak share printer ini dengan aku.

Selama 5 tahun akau bekerja ni, PC aku dah bertukar 3 kali rasanya. Kerja 'overload' agaknyalah.

Hari ini kena balik kampong. Yana habis exam pukul 5 petang. Aku akan ke rumah my sis di Banting dan lepas berbuka bertolak ke CC. Last week Yana jatuh tangga hostel dia dan pengsan. Selalu mengadu sesak nafas dan aku kena hantar dia berurut di Ijok. Macam-macam adik aku seorang ni.

Aku berharap akan dapat menyelesaikan segala misi yang berselerakan di depan aku ini dengan jayanya.


Di Dalam Sepi Itu

Serasa diri ini
Terpinggir di batas nan sepi
Tak sesiapa menemani

Di dalam sepi itu
Kembali ku mengingati mu
Lalu hati jadi rindu

Aku terperangkap dalam diri
Aku terpedaya oleh mimpi
Aku dikejari bayang-bayang
Keterpaksaan menyiksakan

Lama ruang hati kekosongan
Lama ku menangis sendirian
Lama hanyalah hitungan masa
Tak terluntur kenangan indah
Di antara kita

Di dalam sepi itu
Bertakhta bayangan dirimu
Mencengkam sanubariku

Sudirman (Manan Ngah/Habshah Hassan)

Friday, October 22, 2004

MENANTI HUJAN TEDUH (II)


Semalam petang hujan turun selebat alam semasa aku sedang tawaf di Pasar Ramadhan. Terpaksa berteduh di salah satu gerai itu menanti hujan teduh. Adalah lebih kurang 45 minit aku terpacak berdiri memandang kosong hujan yang turun. Pukul 6.00 petang redah juga hujan, tidaklah basah mana pun.

Teringat kisah seorang wanita tua yang sentiasa menangis mengenangkan nasib anak-anaknya tak kira hari hujan atau panas. Sebabnya bila hujan dia risaukan anaknya yang berkerja sebagai tukang kasut, dan bila panas dia risaukan pula anak yang kerjanya menjual payung pula. Dalam hidup kita ini sentiasa ada seseorang yang sentiasa mengingati kita tidak kira susah atau senang iaitu ibu, juga keluarga terdekat kita.

Dalam hidup kita akan menerima banyak kejutan. Hanya kecekalan yang membolehkan kita mengharungi segalanya.

Ofis aku ini sejuknya lain macam pula. Terpaksa pakai baju tebal-tebal. Kalau dikatakan produktiviti menurun sebab ‘kesejukan’ pun boleh rasanya dijadikan alasan. Teruklah … kerja banyak yang menanti. Otak pula beku tak ada idea …

Salam Jumaat semua.

Thursday, October 21, 2004

Sepetang di pinggiran

SEPETANG DI PINGGIRAN


Pasar Ramadan di kampus ni agak menyenangkan juga. Tak payahlah aku keluar ke Putrajaya atau ke Dengkil demi sesuap nasi. Ada banyak pilihan dan orang-orangnya pula aku dah kenal. Dari hari pertama aku beli makanan di gerai yang sama sahaja sebab aku tahu kualiti makanan dia macamana. Aku tahu ikan itu ikan semalam atau fresh dengan melihat cara masakan mereka. Biasanya aku membelanjakan tak sampai RM5 jer untuk berbuka. Amat menjimatkan sekali. Itu pun selalunya tak habis.

Aku beli “Ondeh-Ondeh” dua biji semalam. Aku memang teruk, seringgit dapat 5 aku mintak dua biji jer. Mak cik tu senyum jer “ Cukup ker dua biji”. Bebudak keliling senyum-senyum jer. What?

6.30 petang sudah terconggok depan TV nonton “Jejak Rasuk 10”. Tahun ini dokumentari Jejak Rasul antara siri yang paling mantap setelah beberapa tahun macam kehilangan arah sahaja. Tahun ini lebih fokus, informatif dan banyak footage yang menarik. Tak boleh miss rancangan ini setiap petang, macam sudah ketagih pulak.

Semalam Dia call tanya khabar, buka makan apa dan segala mak nenek yang dia nak tahu. Masa tu pulak aku tengah menonton Jejak Rasul jadi jawab antara dengar dan tidak. Kali terakhir dia call ialah masa hari Ahad (10/10/2004). *Waduh aku boleh ingat tarikh cayalah*. Nothinglah …

Masing-masing hatinya sudah berkarat :

Sabda Rasullullah bermaksud: “Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi.”

Lalu orang bertanya:”Wahai Rasullulah, bagaiman membersihkannya?”

Jawab Rasullullah: “Membaca al-Quran dan mengingati mati.”

Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran dalam hati yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.

Syukur aku masih di landasan yang betul.

Wednesday, October 20, 2004

Isteri

ISTERI

Semalam terbaca hadis ini di BH (19/10/04),

Daripada Anas ibnu Malik berkata bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Seorang isteri apabila menunaikan solat fardhu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatan diri dan mematuhi suaminya, maka berhaklah dia memasuki syurga, menerusi pintu mana yang dia suka.”

Huraiannya :

Berdasarkan hadis ini, setiap isteri perlulah menunaikan tanggungjawab terhadap agama dan suami dengan menunjukkan kelakukan yang baik dan terpuji. Jika berhadapan dan berbual dengan suami, dia hendaklah menundukkan pandangannya, diam dan mendengar ketika suami bercakap. Ketika suami pulang ke rumah, dia hendaklah bangun dan menghormatinya. Begitu juga isteri harus sentiasa mengenang jasa dan budi suaminya walaupun kecil, menghormati keluarga suami dan sentiasa mengutamakan kebersihan ketika di samping suami.

Selain hadis ini , banyak hadis lain yang menceritakan balasan yang diperolehi isteri jika melakukan kebaikan kepada suami, antaranya:

- Sekali suami minum air yang disediakan dengan layanan baik oleh isteri, ia seolah-olah lebih baik bagi isteri daripada berpuasa sunat setahun.
- Isteri yang siang malam menggembirakan suami akan diberi keredaan kepada Allah.
- Seorang wanita yang hamil, dicatat ganjaran di langit sebagai seorang syahid dan khidmatnya kepada suami sebagai jihad.
-Jagaan dan peliharaan baik isteri kepada anak akan menjadi benteng daripada neraka manakala pandangan mesra ke wajah suami menjadi tasbih.
- Isteri yang bersifat pemalu serta menjaga diri dan harta suaminya ketika suami tiada di rumah dan mengekang mulut daripada perkara yang tidak enak didengar suami ketika suami datang kepadanya akan diberi ganjaran syurga.


Islam ini begitu indah. Mudah sekali golongan isteri mendapat pahala daripada Allah. Bersyukur sekali jika suami dan bakal suami yang mendapat isteri yang taat dan beriman. Namun malangnya, apa yang berlaku dalam kehidupan moden ujian sentiasa datang dalam sesebuah rumahtangga itu. Ada isteri baik dan taat mendapat pula suami yang kejam dan tidak bertimbang rasa dan sebaliknya pula. Cabaran hidup memang tidak mudah dijangkakan. Kehidupan sebelum dan selepas berkahwin amat berbeza. Sebab itulah mungkin ramai yang begitu berhati-hati ketika memilih teman hidup hinggakan ada orang mengatakan : “Orang lelaki tidak pernah risau tentang hidupnya sehinggalah dia berumahtangga, bagi wanita pula sehingga dia mendapat suami’.

Aku? Tunggulah sehingga tempoh berhibernasi aku tamat.

Tuesday, October 19, 2004

ZAKAT FITRAH SELANGOR RM4.70



Kadar Zakat Fitrah di Selangor meningkat 20 sen daripada RM4.50 tahun lalu kepada RM4.70 pada tahun ini. Peningkatan ini berdasarkan pertambahan penduduk sama ada kelahiran baru atau mereka yang berhijrah ke Selangor. Mais dijangka mengutip RM 9.16 juta tahun ini berbanding RM8.2 juta tahun lalu , iaitu peningkatan RM 1.14 juta.

Seramai 718 fakir dan 10,332 miskin di Selangor berdasarkan bancian terakhir tahun ini. Asnaf fakir bakal menerima RM500 dan RM750, asnaf miskin antara RM450 dan RM700 seorang. Pusat Zakat Selangor memperuntukkan RM 11.77 juta untuk diagihkan kepada fakir miskin pada Ramadhan dan sambutan Aidilfitri.

NEVER GIVE UP!



Ini nama satu rancangan yang pernah aku tonton di CH9 rasanya. Rancangan dari Jepun. Menariknya ialah cara mereka membantu golongan susah di negara mereka. Selalunya bantuan akan diberikan dari segi latihan dengan pakar dan peralatan restoran untuk mempertingkatkan jualan.

Peserta bersama pasangannya akan dilatih mempelajari sesuatu jenis masakan Jepun yang unik dan mendapat sambutan. Pakar akan mengajar teknik masakan yang betul. Ada sesi latihan sebenar.

Menariknya restoran tersebut biasanya akan melonjak dari segi pendapatan bila mendapat liputan dari TV. Ini merupakan kejayaan sebenar setelah mereka hampir tersungkur.

Malaysia ada juga rancangan begini. Tapi lebih kepada promosi tempat makan “Jalan-Jalan Cari Makan”. Hehehhe …

YM DI TEMPAT KERJA



Ramai yang kata aku takder kerja sebab YM sentiasa ‘on’ setiap masa. Memang benar YM aku sentiasa tersenyum minta perhatian. Penggunaan YM dalam skop kerja aku memang banyak membantu. Ia memudahkan aku mendapat bantuan dari luar ketika aku tercari-cari idea dan sokongan. Aku boleh menghubungi rakan sejawatan aku dengan mudah di Melaka mahupun di serata pelusuk dunia. Aku boleh kejutkan kawan aku di University Melbourne atau University of Sydney sesedap rasa bila kepala aku ‘jammed’ takder idea nak menulis proposal. Atau aku boleh tanya Mak Andeh tentang sesuatu yang aku tak pasti.

YM bukan hanya untuk berborak kosong. Ianya boleh menjadi suatu alat komunikasi ‘real time’ yang banyak membantu mempertingkatkan mutu kerjaya kita. Syaratnya kita mestilah ada ‘contact’ yang mantap dengan golongan yang sama profesion. Groupkan mereka mengikut bidang kemahiran.

Lagi satu bila aku menggunakan YM bil telefon di tempat kerja aku juga rendah walaupun pihak pengurusan memberikan limit RM 50.00 setiap bulan. Penggunaan internet di tempat aku bekerja adalah percuma.

Namun penggunaan YM di jabatan kerajaan memang tidak dibenarkan. Ianya juga memang tidak sesuai dan harus diharamkan di kalangan peringkat non-executive, mereka yang banyak terlibat dengan khidmat pelanggan atau segala tugas yang berkait rapat dengan interaksi manusia secara langsung. Takut pelanggan akan memberikan komen yang tidak enak di dengar.

Sudah bertahun YM ini terpasang dan membantu kerja aku berjalan lancar. Malahan aku pernah mendapat grade SR untuk pencapaian prestasi kerja aku. SR merupakan tahap kedua tertinggi yang jarang benar boleh diperolehi.

Apa juga anggapan pihak luar atau mereka yang tidak mengalami situasi kerja seperti aku ini mereka pasti akan mengatakan perkara ini menyalahi etika kerja. Kalau mereka bekerja dengan kerajaan mungkinlah. Tapi orang seperti aku ini bekerja 24 jam sehari. Sentiasa memikirkan tentang tugas setiap masa. Perjalanan kerja kena tip-top. YM hanyalah alat komunikasi yang boleh menjadi mata pisau tajam yang berguna jika kita bijak mengaplikasikannya untuk tujuan yang berfaedah.

Kita ini bekerja menggunakan PC 24 jam. Penjelajahan tetap berlaku, cakerawala ini terlalu besar dan tidak dapat dijangkau!

Monday, October 18, 2004

Fragmen 2

FRAGMEN 2



5.30 petang, semalam selepas menonton Jejak Rasul bergegas ke Putrajaya. Mendung hitam dan gerimis pula. Suasana lenggang, huh mereka dah pindah ker? Apasal pasar ramadhan dia tak der orang? Selalunya bersebelahan pasar tu sahaja. Beli roti dan cepat-cepat ke Street Mall. Restoran tu pun tutup. Nasib baik ada satu gerai di station bus tu buka. Makanan dia biasalah ‘over cooked’ semacam. Tapi takpelah sebab aku belanja RM 3.00 jer untuk juadah berbuka semalam. Amat menjimatkan.

Selepas maghrib nonton 3R sambil mengunyah makanan (mengelamun selebihnya). Best jugalah rancangan 3R ni, informative dan menyedarkan kita banyak benda terutamanya pada khalayak penonton perempuan. Aku sendiri pun banyak yang tak tahu. Harus disyorkan pada Yana untuk menonton benda yang tak akan diajarkan di sekolah hatta di universiti sekalipun.

Terawih 8 rakaat sahaja membuatkan aku nak kiok. Sudah tua agaknyalah. Momentum tak menyala lagi. Atau dah lemau.

Entah kenapa aku menulis catatan ini pun aku tak tahu. Ramai penulis blog yang aktif telah menutup blog mereka kerana mereka tidak mahu kehidupan mereka di baca oleh orang lain. Itu hak masing-masing.. Jangan menulis benda-benda yang sensitif dan boleh menjerumuskan kita pada ISA sudah. Kalau dulu menulis di anggap terapi tapi kini tidak lagi. Ianya lebih kepada menguruskan lantunan emosi. Kadang duka, gembira, bahagia dan derita. Maklumat adalah data-data yang memberi makna kepada sesuatu. Ilmu pengetahuan pula sesuatu benda baru yang diperolehi akibat proses ini.

Kadang ianya tidak membawa apa-apa makna baru dalam hidup. Tetapi jika kita menulis semuanya tentang kehidupan orang lain, apa yang tinggal untuk kita? Jadi aku menulis sesuatu yang boleh aku miliki dan seharusnya kekal begitu.

Sebenarnya tiada apa yang harus di tulis pada hari ini.

Sunday, October 17, 2004

FRAGMEN 1

FRAGMEN 1

Banyak yang berlaku dalam kehidupan aku akhir-akhir ini. Rasanya aku ingin memejam mata dan hidup semula di tahun hadapan. Atau, cepatlah masa berlalu dan aku tidak perlu melalui semua ini. Namun bila difikirkan, segala yang berlaku adalah disebabkan kelalaian aku juga. Jadi aku harus menghadapi setiap kemungkinan ini dengan sebaiknya. Ini ujian dari Allah juga. Tuhan tidak akan menguji setiap dari hambanya dengan sesuatu yang diluar kemampuannya. Begitulah lebih kurang yang aku faham.

Aku mendapatkan nasihat daripada beberapa orang yang aku kenal. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Segalanya menuntut pertimbangan akal yang waras. Aku masih mampu tersenyum. Aku masih mampu melakukan segalanya dengan lapang dada, walaupun dentuman rasa yang kadang membuatkan aku menggigil juga.

Ini bukan aku … Aku amat berharap segalanya ini hanya mimpi. Ke mana pun aku pergi, segalanya akan datang balik menerpa padaku juga. Baiklah aku tunggu dan hadapinya sendiri-sendiri.

Ketika pulang aku amat mengharapkan kedamaian zaman kecil. Tidak perlu aku memikirkan hal-hal sebegini berat. Bebas berlarian ke mana sahaja mahuku. Kini aku ingin menjerit namun suaraku tersangkut dihalkum.

Aku masih mampu tersenyum dalam seribu pengertian. Aku bernafas dalam desakan waktu yang menguji. Aku hanyalah hambaMu … berikanlah aku peluang untuk melihat kembali catatan ini di kemudian hari.

Harapan Ramadhan
(Man Bai & Raihan)

Ku mengharap Ramadhan kali
ini penuh makna
Agar dapat kulalui dengan
sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah Nya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu
membelenggu diri tiada
henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan
berlalu sajaTuhan pimpinlah daku yang
lemah mengharungi
segalanya dengan sabar

Kita memohon pada Tuhan
diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan
diterima amalan
Selangkah demi selangkah...
dengan Rahmat Mu oh
Tuhanku.. ku tempuh jua

Lagu : Man Bai/Farihin
Lirik : Man Bai/Farihin
bum : Maafkan - Raihan 1999

Thursday, October 14, 2004

Ramadhan 2004

RAMADHAN 2004



Puasa kali ini paling syahdu. Aku duduk sensorang dan pergi terawih berseorangan juga. Padan muka aku sebab memilih kehidupan sebegini. Masing-masing ada teman hidup.
Aku mula terfikir tentang ini dua tiga malam yang lalu. Kalau ada apa-apa yang terjadi kepada siapa harus aku minta bantuan (superman pun dah mati).

Tapi aku pasti tidak sunyi. Masa aku habiskan di tempat kerja. Hujung minggu aku cabut balik kampong. Tiada apa yang kurang. Lebih baik begini dan cara ini lebih sesuai untuk aku.

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Selamat berpuasa segala segi
Selamat berterawih setiap malam
Selamat bagi perokok
Selamat segalanya … (Cuma duit yang tak akan selamat).

Ofis aku balik pukul 4.30 petang tapi rehat hanya 30 minit. Tidak kisahlah. Rehat banyak-banyak pun nak buat apa.

Segalanya akan seperti biasa sahaja. Esok aku balik kampung. Ingin berbuka puasa dengan keluarga. Mungkin balik dengan Yana. Tapi dia ada exam hari Ahad. Aku suruh dia jangan balik, duduk sahaja di hostel. Aku nak berlamaan di kampung.

Aku sebenarnya rindu pada seseorang. Tapi mengenangkan apa yang telah dia buat pada aku. Aku tendang sahaja rindu itu dalam longkang. Sebagaimana dia lakukan itu pada aku. Aku akan berpuasa daripada mengingati dia. Aku akan cuba …

Aku rindu pada Allah . Rindu yang lebih kekal …

Wednesday, October 13, 2004

Superman

SUPERMAN



Christopher Reeve yang lumpuh seluruh badan meninggal pada 11 Oktober 2004. Pelakon hikayat orang terbang sudah tiada. Saya sendiri pernah meminati siri ini ketika zaman kanak-kanak. Kini terdapat siri yang sama dengan kupasan yang lebih mantap melalui siri Smallville. Sebenarnya siri sebegini diwujudkan sebagai satu escapism kepada ketegangan permasalahan atau untuk mentertawakan diri sendiri sahaja.

Saya tidak memerlukan superman datang membantu ketika saya amat berharap seseorang memberi pertolongan. Kerana kesakitan yang saya alami sering tercicir di awangan. Saya akan membiarkan segalanya berlalu dalam kesibukan membunuh setiap ingatan itu.

Saya tidak memerlukan superman.


Tuesday, October 12, 2004

Datuk

DATUK


Big boss aku dapat anugerah Datuk juga. Panjang ler nak menyebut nama dia ni bila terserempak kat mana-mana nanti. Yg Berbahagia Prof Datuk Dr GJ, harus tergeliat lidah. Dia dapat Darjah Mulia Seri Melaka. Sekarang ni kalau ke Melaka kena berhati-hati. Kalau memandu kena tengok kiri kanan juga, sebab kebarangkalian kita terserempak dengan orang yang dapat title Datuk amatlah tinggi. Silap-silap bila ke Mahkota Parade tersenggol bahu dengan depa semua tu.

Aku baru habis buat presentation tadi. Aku sendiri yang bagi presentation rasa boring bila orang dengar dan tidak presentation kita. Benda yang agak informative memang agak membosankan. Aku sendiri tak suka dengar orang bagi syarahan. Jadinya aku memendekkan presentation aku tadi. Malas nak bersungguhan. Lepas tanggungjawab aku, Sebenarnya aku lebih suka menulis daripada membuat ucapan. Tapi bila kita bekerja, kita kenalah berkongsi maklumat juga dengan orang lain. Aku Cuma rasa seronok bila orang memahami apa yang kita sampaikan atau cuba dengan tekun memberi perhatian. Katakan sahajalah mereka penat sebab perjalanan jauh. Kalau begitu hantar email sahajalah dan aku jawab. Tak banyak kos dan membuang masa.


Untuk aku sendiri :

Usah memendam perasaan, yang lama tak akan pergi dan yang baru tak akan datang …”
Juga sajak ini :

Ketika Langit Sedang Tidur

Ketika langit sedang tidur
Dengan sepenuh cinta
Kupetik si bintang timur.

Angin dan awan terdiam
Gunung seperti terfana
Dalam kilau pengalaman.

Kepesonaan yang menakjubkan
Menakluk teluk nurani
Aku mula menghirup sinar.

Tuhan, Kaulah kekasih abadi
Menganugerahkan ketenangan
Ketika aku resah mencari.

Wadi Leta S.A.
Kota Bharu, Kelantan.
Berita Minggu, 10 Oktober 2004 p:7.



Monday, October 11, 2004

Bunga-Bunga Berguguran

BUNGA – BUNGA BERGUGURAN


Ketika aku berjalan masuk ke pejabat. Aku lihat mak cik yang sorang itu begitu tekun menyapu sampah. Musim gugur ketika ini. Pokok-pokok di depan ofisku yang mengeluarkan bunga ‘pink’ dan ‘putih cream’ itu gugur semahunya. Bertimbun –timbun dan seperti bunganya luruh tak mahu berhenti. Pokok-pokok itu mengeluarkan bunga yang cantik tapi kos ‘maintenancenya’ juga tinggi. Lumrahlah barang yang cantik selalunya menuntut kos yang tinggi . Ada kos melepas yang perlu ditanggung.

Mak cik itu selalu berlawan dengan aku siapa yang beri salam dulu. Kadang aku terasa kekok kalau dia yang beri salam. Sedangkan aku berjalan dengan memikirkan begitu banyak hal. Kadang aku tidak perasan dia ada di situ sedang tekun menyapu kuntum-kuntum bunga yang luruh. Namun dia tetap sedar akan kelibatku .

Aku pula selalunya berjalan dengan tidak menghiraukan orang disekeliling. Berjalan dengan langkah yang deras. Pagi ini aku berasa kekok buat sekian kalinya lagi … Mak cik itu memberikan salam dahulu walaupun tanganya terus tangkas memunggut sisa kuntum bunga yang berguguran.

SEWAKTU MENGURUNG DIRI

Sewaktu merapatkan jendela
Menutup sekali pintu hati
Tak ingin mendengar
Desas desus
Umpat dan keji.

Sewaktu mengurung diri
Lalu hujan pun turun
Menitis melalui lubang paku
Menimpa batang hidung.

Sewaktu melarikan diri
Masalah kian kusut masai
Ujilah ketahanan diri
Fikirlah mengatasinya
Hadapi sehingga selesai.

Hashim Yahya
PSPN Selangor.
Mingguan Malaysia, Ahad 10 Oktober 2004 p: 30
.

Saturday, October 09, 2004

MI – TUNGGU SEKEJAP

MI – TUNGGU SEKEJAP


Malam tadi nonton MI sensorang. Mantap sungguh persembahan si Jac tu. Dia membawakan lagu itu seperti darah yang mengalir dalam dirinya sahaja. Begitu menggigit rasa. Sesuatu kepuasan tahap maksimum. Jarang ada penyanyi lain yang boleh menyanyikan lagu P.Ramlee sebaik itu. Ditambah pula dengan penghayatan yang cukup mantap. Kita sudah tahu siapakah pemenang MI walaupun keputusannya malam ini. Pemilihan lagu favourite yang bertepatan oleh para juri.

Memanglah agak berbeza jika seseorang yang sudah berpengalaman dan hidup mati dengan nyanyian dan seseorang terlalu baru untuk berentap dengan Jac. Dina memberikan vokal yang baik namun pemilihan lagu tidak sesuai malam tadi. Saya tidak tahu kenapa dia memilih lagu P.Ramlee juga. Mungkin sebab Jac berbuat demikian terpaksalah dia mengikut jejak langkah ‘kakak’ dia itu. Sayang sekali persembahan Dina dilihat ‘terlalu’ mudah dan tidak meninggalkan impak yang mendalam. Saya suka suara Dina, walaupun jika dia gagal menjadi MI saya pasti dia mempunyai masa depan yang cukup cerah kerana dia masih muda 19 tahun. Banyak masa lagi untuk dia menimba pengalaman. Rasanya dia juga berpeluang besar untuk menang MI tetapi peluang itu telah di sia-siakannya.

Tunggu sekejap
Wahai kasih
Kerana hujan masih renyai
Tunggu sekejap
Dalam pelukan asmaraku

Jangan bimbang
Walaupun siang akan menjelma
Malam ini
Belum puas ku bercumbu
Dengan dinda

Tunggu sekejap
Wahai kasih
Tunggulah sampai hujan teduh
Mari kudendang
Jangan mengenang orang jauh

Jangan pulang jangan tinggalkan
Daku seorang
Tunggu sekejap kasih
Tunggu

Suka pulak dengan lagu ini (dendangan Jac). Rasa ini adalah salah satu persembahan terbaik dia. Lagu ‘Gemilang” juga serasi dengan vokal Jac.

Tetapi jika Jac membuat album, saya hanya akan membeli album Melayunya sahaja. Dia terlalu ‘keFantasiaan’ sangat. Lebih baik beli terus album si Fantasia itu. Bersepah sudah gaya suara sepertinya di pasaran antarabangsa terutama geng kulit hitam. Dia perlu lebih original untuk menembusi pasaran antarabangsa. Secara peribadi Dina lebih menggambarkan ciri-ciri Malaysian Idol dari Malaysia yang sebenar. Namun pengundi biasanya lebih memihak kepada Jac disebabkan terpesona dengan pakej yang dipersembahkan. Itu tidak salah.

Dia

Hari ini ‘Birthday’dia. Aku wish dia semalam lagi. Dia terkejut aku masih ingat birthday dia. Apa pun yang terjadi. Tiada satu detik pun yang aku boleh lupa tentang ini.

Selamat Hari Lahir moga segalanya berjalan seperti apa yang kau impikan. Segala yang berlaku kehendakmu.

Friday, October 08, 2004

Entah

ENTAH

Baru habis meeting pagi tadi. Sarapan pun tak sempat. Depa bagi ‘mineral water’ jer ni mesti sebab harganya dah turun. Perut kosong …

Pagi tadi tak sempat nak update DJW. Malas pulak nak menulis. Sebab tak banyak yang berlaku . Ehh maksud aku, banyak benda yang aku belum teroka, jadi tak adalah idea nak menulis. Aku terlupa apa yang aku dok fikir masa meeting tadi. Nantilah kalau aku ingat aku tulis.

Ada presentation yang aku kena buat untuk esok dan hari Selasa. Rasanya hari banyak dah berlalu tapi tak banyak yang selesai.

Dapat call Man semalam. Ada perkara yang dibincangkan.

'Dia' tak call aku lagi. Esok birthday dia. Katanya dia nak tengok “Malaysian Idol” kat Genting dengan kengkawan dia. Dia tak ajak aku pun. Rasa kecik hati juga. Tapi aku bukannya suka sangat ke tempat macam tu. Aku pasti si Jac akan menjadi Idol kita yang pertama. Ehhh penting ker itu semua?

Rasanya nak melawat pameran MAHA di Mines. Masuk pun percuma. Tapi esok kerja.

Thursday, October 07, 2004

NAK MENJADI PETANI?


Semenjak akhir-akhir ini kerajaan berkempen menggalakkan siswazah dan belia di negara kita menceburi bidang pertanian semula. Memang diakui bidang pertanian memberi peluang pekerjaan yang besar kepada siswazah yang mengganggur di negara kita. Ada ramai petani yang hidup mewah di negara kita. Asal rajin berusaha rezeki Allah ada di mana-mana. Berpendapatan 5K sebulan bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kita menceburi bidang ini.

Latihan dan kepakaran telah tersedia. Modal dan tanah boleh dicari. UPM pun sudah di minta membuka semula bidang-bidang yang dibekukan kerana visi dan penumpuan universiti yang beralih arah sedikit masa dulu. Soalnya sejauh mana bidang pertanian boleh menarik minat belia di negara kita?

Kalau diikutkan kehidupan penternak yang mempunyai 17 ekor lembu di kampong jauh lebih bahagia dan selesa berbanding dengan kehidupan seorang eksekutif di ibu negara. Hidup mereka lebih aman tenteram tanpa ‘stress’ yang melampau akibat tekanan hidup di kota besar.

Pengalaman hidup saya sendiri sebagai anak petani banyak membentuk kehidupan saya sekarang. Petani/pesawah kecil memang banyak pancarobanya. Walaupun kerajaan menyediakan subsidi namun kos input pertanian semakin tinggi. Soal pengairan bila kemarau, musuh perosak tanaman dan rumput rumpai yang degil begitu mendera. Namun teknologi sekarang banyak mencorakkan bidang pertanian di negara kita. Orang tengah dihapuskan, kaedah pertanian moden yang serba canggih boleh mambantu meningkatkan hasil. Penyelidikan baka baru dilakukan. Memang bertuah jika memilih bidang pertanian sebagai kerjaya. Namun kita juga perlu ada modal, latihan dan tanah untuk diusahakan.

Bidang pertanian memakan masa bertahun juga untuk pulang modal. Tiada jalan singkat untuk berjaya dalam hidup.
Kalau ditanya kepada saya nak menjadi petani moden? Saya memang tak sanggup (dari segi modal, tanah pun tak ada). Lagipun saya telah membesar dalam 'kenangan masa lalu' yang cukup menginsafkan. No thanks! Saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang. Mungkin masa pencen nanti (kalau panjang umur). Nak juga membela ayam itik, lembu kambing di kampong.

Wednesday, October 06, 2004

Hadiah Nobel

ANUGERAH PERUBATAN NOBEL 2004

Setiap kali ada orang luar menang Anugerah Nobel. Setiap kali itu jugalah hati terdetik. Bila pula rakyat Malaysia dapat menggenggam anugerah paling berprestij itu? Rasanya hentikanlah membuat sesuatu yang luarbiasa tetapi tidak memberi impak langsung walaupun menelan jutaan ringgit untuk sekadar nama. Rasanya Tun Dr.M telah berjaya membuatkan Malaysia gah di mata dunia. Jadi, tidak perlulah kita membuktikan itu ini dengan melakukan sesuatu yang sia-sia dan bersifat sementara (*anda mungkin tahu apa*)

Terbaru, dua saintis Amerika Syarikat , Richard Axel dan Linda Buck menjadi pemenang Anugerah Perubatan Nobel 2004 kerana kajian gen yang menjelaskan fungsi deria bau manusia, menurut pihak hospital Universiti Karolinska di Sweden .

Kebolehan manusia menghidu bauan sudah lama dikenal pasti sebagai deria paling mengkagumkan. Asas untuk mengenal pasti dan mengingati kira-kira 10,000 bau yang berlainan selama ini tidak difahami.

Seebelum penemuan kajian Axel dan Buck deria bau sesuatu yang misteri. Kedua-dua saintis berkenaan menemui sebuah keluarga gen yang besar iaitu kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan 1,000 gen berlainan dan ia berfungsi sebagai reseptor.

Ia adalah sekumpulan sel yang bertindak khusus untuk mengesan perubahan pada persekitaran dan mencetuskan impak dalam sistem saraf deria.

Setiap sel reseptor berkenaan mempunyai satu jenis reseptor bau dan ia mampu mengesan sejumlah bau-bauan.

Pemberian anugerah kepada Profesor Universiti Colombia, Axel yang berusia 58 tahun dan Buck, 57 dari Pusat penyelidikan Barah Fred Hutchinson di Seattle kerana kejayaan nya membutirkan sistem deria khusus untuk pembauan (olfaktori) dari tahap molecular hingga susunan setiap sel.

Tuesday, October 05, 2004

ISA

ISA


Menulis sesuatu isu berkaitan agama dan apa juga isu sensitif yang boleh memecah-belahkan keharmonian di Malaysia boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA). Tidak ada istilah “ini laman web saya, saya boleh tulis apa yang saya suka”. Sudah beberapa kali Polis Di Raja Malaysia dan MIMOS singgah di DJW. Tiada apa yang mengelirukan dan kemungkinan mereka akan ketawa sendirian bila membaca apa sahaja yang tercatat di sini. Kisah seorang hamba Allah di muka bumi ini yang penuh dengan masam manis kehidupannya.

Bila Cyberlaw di negara kita masih lagi belum mantap (skeleton) maka tindakan di bawah ISA difikirkan sebagai langkah terbaik. Menyediakan ruang terbuka di alam siber, maka kita hendaklah bersedia dengan pelawat yang pelbagai karenah. Itu adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi.

Ada baiknya kita mempunyai self-censorship terhadap isu-isu sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka. ‘Invisible college’ boleh dilakukan di kedai-kedai kopi, YM dan sebagainya. Dasar langit terbuka di negara kita tetap mempunyai jaringan yang memerangkap kuman-kuman yang terlepas ke langit!

DIA

Kini baru aku tahu siapa dirinya yang sebenar.

Monday, October 04, 2004

Naik Minyak

NAIK MINYAK


Umum telah mengetahui yang harga petrol telah naik berkuatkuasa 1 Oktober. Harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dinaikkan lima sen seliter atau sekilogram , berikutan kenaikan harga minyak mentah sedunia daripada RM 126.27 kepada RM 180.386 satu tong. Harga petrol RON 97 adalah RM 1.42 seliter di semenanjung, RM 1.40 di Sabah dan RM 1.42 di Sarawak, manakala RON 92 dijual pada harga RM 1.38 di seluruh negara.

Bagi harga baru diesel di Semenanjung pula (83.1 sen seliter), Sabah (83.4 sen) dan Sarawak( 82.8 sen), manakala harga LPG RM 1.40 sekilogram di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak (1.48).

Harga ini masih dikatakan rendah berbanding kenaikan harga minyak dunia. Amatlah tidak wajar kita membuat perbandingan dengan negara bukan pengeluar minyak. Harga seliter minyak di Singapore pada 1 September ialah RM 3.28 seliter, Di Hong Hong (5.75 seliter). Manakala di Malaysia harganya pada ketika itu ialah RM.1.37 seliter. Malaysia adalah antara pengeluar minyak dunia. Petronas mendapat ratusan billion setahun untuk mencarigali sumber asli ini di negara kita. Ada pihak-pihak tertentu yang mencadangkan Petronas ‘menyerap’ kos yang ditanggung oleh kerajaan itu demi menjamin kestabilan harga minyak di negara kita. Rasanya syarikat milik kerajaan ini tidaklah akan rugi jika berbuat demikian.

Kebimbangan tentang kenaikan harga minyak di negara kita sudah mula dirasai. Berasaskan pengiraan mekanisme penetapan harga automatik (APM), harga petrol RON97 di Semenanjung sepatutnya RM 2.34 seliter, Sabah (RM 2.35) dan Sarawak (RM 2.33). Harga petrol RON92 di Semenanjung pula sepatutnya RM 2.26 seliter, Sabah (RM 2.25) dan Sarawak (RM 2.23). Ramai yang akan beralih kepada motosikal jika harga petrol naik mencecah RM 2.00. Dengan kenaikan petrol semua barang keperluan harian dengan sendirinya naik. Nilai wang kita semakin mengecut tidak sepadan dengan kenaikan harga barang keperluan asas di negara kita.

Kisah ayam cucuk, daging ayam dan babi turut mencetuskan kebimbangan di luar sana. Saya memang sudah lama tidak makan daging ayam (kecuali jika ibu saya yang memasaknya). Harganya sudah naik daripada RM 5.40 kepada RM 6.00. Namun kita percaya kerajaan Malaysia sudah melakukan sehabis baik sebelum sesuatu kenaikan harga barangan itu dilakukan.

Semua benda naik tetapi gaji tidak naik sepadan dengan kenaikan harga barang keperluan asas ini. Tidak boleh berkata apalah sebabnya saya tidak maju DJW menjadi Scr**nshots yang dipantau Bukit Aman bila menulis tentang Islam Hadhari. Saya tetap berfikiran waras ketika menulis. Walaupun realiti kehidupan di luar sana lebih dahsyat. Anda semua mesti merasakan sesuatu.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada hari ini. Kemungkinan ianya tidak akan kekal begitu, selamanya. Bersedialah …

Friday, October 01, 2004

Puas

PUAS

Malam tadi dapat tidur dengan lena sekali. Presentation untuk gathering tu dah siap. Aku tak sangkalah pulak ppt tu boleh buat kecanggihan juga. Aku selalu anggap ia tak sesuai untuk majlis besar. Rupanya kreativiti yang penting. Orang mungkin tak sangka itu adalah ppt . Setanding flash pulak aku rasakan.

Malam ini ada meeting di IOI Resort, Putrajaya. Semua AJK diminta hadir. Tapi biasalah aku tak pernah datang meeting walau sekalipun. Tapi kerja tetap tip-top. Malas nak travel kesana-kemari untuk kerja-kerja amal ni. Mana yang boleh dibuat secara online aku lebih prefer macamtu. Lagipun aku memang tidak mahu menonjolkan diri sangat. Kita akan menghasilkan banyak benda-benda yang hebat kalau kita tidak kisah siapa yang akan mendapat penghargaannya.

Aku dapat banyak kawan baru bila join komuniti ini. Ianya bukan tentang hiburan semata, tetapi demi membela nasib seseorang dan sesama umat manusia.

Petang ni aku, Kak Yah dan Yana akan balik ke Cape Coral. Rindu kat masakan Mak …
Selamat berhujung minggu.