Tuesday, March 27, 2007

HURT

HURT

Lagu Christina Aguilera "HURT", tu memang sedap dan indah melodinya. Terasa sarat dengan peristiwa yang berlaku dalam lirik lagu itu. Bahasanya simple tapi disampaikan dengan cara yang begitu mantap. Pernah dengar tak?

Terkesan dan antaranya liriknya ...

"Ohh I'm sorry for blaming you
For everything I just couldn't do
And I've hurt myself, ohh ..."

Lagu yang simple tapi menarik dari segi senikata dan susunan muziknya. Layan jugak masa nak pergi dan balik kerja ...

MENGUTIP KATA-KATA

Hargailah pasangan anda, biarlah dia menangis kerana kehilangan anda janganlah anda menangis kerana kesilapan anda yang tidak menghargainya. (YD, Klang)

Hal paling kejam yang seseorang lakukan kepada orang lain adalah membiarkannya jatuh cinta sedangkan kita tidak berminat untuk menangkapnya.

Di saat kita fikir telah melakukan yang terbaik untuknya tetapi tanpa disedari kebaikan mungkin dibalas dengan kesakitan.

Monday, March 26, 2007

HARI YANG INDAH (UNTUK BERSENDIRIAN)


Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awan
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.


Seindah ini warna alam
telah kau lepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.


Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.


Hari ini amat indah untuk bersendirian
Kau bukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kau hilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.


Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.


Kamal
25.03.07


Hari yang indah untuk bersendirian. Alhamdulillah ... syukur di panjangkan usia sehari lagi. Paling tidak kita masih punya masa untuk mengucapkan betapa bertuahnya kita ini. Semalam dapat membeli satu cadar baru dari Aussino corak berbelang-belang biru hijau putih. Supaya dapat lena tidur, dapat lebih banyak ilham. Dapat menangkap segala kebimbangan dan menghumbannya keluar dari tingkat 14 apartmen aku itu. Kronik ? Hehehe ...

Thursday, March 22, 2007

Sedih

KESEDIHAN

Tiba-tiba saya rasa begitu sedih sekali. Suara saya tidak keluar ketika bercakap. Sebak sekali ... Hari ini dah hari seterusnya akan lebih menguji. Dunia ini penuh dengan segala kemusykilannya. Haruskah kita mengetahui segala jawapannya? Jawapan untuk segala yang diselerakkan di depan mata?

Tuesday, March 20, 2007

PUISI

CINTA DALAM PUISI

Saya agak sibuk sejak kebelakangan ini. Selain tugas-tugas menyiapkan ISO, aktiviti sambutan 10 tahun universiti ini tetap berjalan. Tolonglah mana yang patut, masuk mana-mana AJK yang biasa-biasa. Yalah, kita ni manalah orang kenal.

Saya mula diperkenalkan dengan puisi semenjak mengikuti Kursus Teknik Penulisan Surah Yusof yang dikendalikan oleh Ibu Ainon. Kalau diikutkan genre puisi paling saya minati. Mungkin sebab 'kesakitan' penghasilan sesuatu karya itu tidak terlalu panjang, tidak seperti novel yang mengambil masa yang lebih lama.

Saya percaya kita mesti berguru bila memasuki bidang baru. Mesti ada yang membimbing dalam industri tersebut jika tidak jadilah kita penulis syok sendiri. Menulis selain untuk kepuasan diri sendiri kita juga menulis untuk orang lain iaitu pembaca kita. Jadi setelah beberapa bulan menekuni genre ini. Inilah hasilnya ... moga yang indah akan terus menjelma!

Koleksi Puisi Cinta Kamal di Universiti Terbuka PTS <http://www.universitipts.com/?cat=35>

Monday, March 19, 2007

Al-Fatihah

AL-FATIHAH BUAT HISYAM

Arwah merupakan jiran saya. Kami membesar di ruang lingkup yang sama. Cuma nasib lebih menyebelahi saya dan mampu keluar dari Jalan Mayang Rotan untuk membina hidup di tempat lain, tapi masih di Selangor.

Banyak juga kenangan zaman kanak-kanak yang terimbas kembali. Dia 'istimewa' orangnya. Tersenyum dan melambaikan tangan setiap kali kami bertentangan di mana-mana. Sekadar bertanya khabar. Dia atau saya yang menjauhkan diri itu saya tidak pasti. Kami meneruskan hidup dengan cara sendiri.

Pagi Ahad yang cerah, saat dia menghadap Ilahi telah tertulis di Luh Mahfuz. Kami yang hidup seakan tersentak dengan kehilangan ini. Saya yang bertugas tidak dapat menziarahinya. Kerana jenazah dikebumikan pada petang itu juga. Saya menangis di atas kehilangan ini, untuk sahabat yang saya tahu atau mungkin jika saya berpeluang mengenalinya dengan lebih dekat lagi ...

Al Fatihah untuk Arwah Hisyam dan keluarga. Pastinya kehilangan ini lebih membekas di saat keluarga itu menerima menantu. Dan untuk pemandu kereta yang melanggar lari arwah ... tidak akan ada sesaat pun masa dalam hidupmu, kamu dapat melelapkan mata dari terus mengingati peristiwa ini! Tidak akan ada ...

Al Fatihah ..

Monday, March 12, 2007

HUJUNG MINGGU

HUJUNG MINGGU YANG BEST

Hari Sabtu saya ke Bengkel Penulisan Jibunsyi kelolaan MyJICA dan PTS di Hotel Impiana KLCC. Sungguh best dan mantap seperti selalu. Ibu Ainon dengan segala daya dan cara keibuannya mendidik kami dengan tekun tanpa jemu. Maklumlah bila mendapat anak murid yang sudah 'kertu' dan lambat macam saya ini mestilah pening kepala.

Sempat bertentang mata dengan Datuk A. Samad Said, dan mendapat buah tangan daripadanya. Buku-buku beliau yang tidak ternilai itu. Buku terbitan Wira Bukit http://www.wirabukit.com/. Buku "Dari Salina ke Langit Petang" harus di baca kepada semua bakal penulis dan peminat sastera Malaysia. Buku "Cinta Fansuri" pula begitu indah untuk dinikmati seenaknya. Kalaulah saya dapat menulis sebaik itu.

Program ini adalah tajaan MyJICA sepenuhnya ( terima kasih daun keladi). Kemudian kaki melangkah ke KLCC mengisi petang yang damai. Bertemu teman lama bertanya khabar berita dan kehilangan yang tiba-tiba itu. Dia bakal menjalani pembedahan laser mata untuk membuang katarak. Dia tetap begitu lucu dan segala kata-katanya membuatkan saya terlupa pada kisah lalu. Di Dome, meja kami menghadap pancuran. Kami ketawa tak ingat dunia tentang kisah-kisahnya semasa di Korea menikmati permainan ski, di Jakarta dan bakal menunaikan umrah pada penghujung April. Bertuahnya dia ...

Tuah saya belum nampak di kaki.

Monday, March 05, 2007

Escapism

ESCAPISM

Jumaat malam Sabtu aku ke JJ, Puchong. Dengan segala kelam-kabutnya aku terlupa kat mana entah aku letak tiket parking tu. Hilanglah pulak. Aku ni jadi pelupa semenjak dua menjak ni. Akhirnya terpaksalah jumpa pihak security, isi form dan bayar RM20.00. Kalau tiket tu boleh ditemui lagi dalam tempuh 48 jam RM 19.00 akan dikembalikan. Halalkan sahajalah entah kat mana benda tu terjatuh.

Hari Sabtu ke ofis, cadangnya nak siapkan 'Quality Manual' untuk ISO. Tak ada mood pulak. Aku rasa penat dan pening kepala tiba-tiba. Kemudian ke bilik kuliah dengar ceramah. Kerja kat Univ memang penuh dengan ilmu antara nak dengan tak nak sahajalah kan ...

Tajuk ceramah tu "Antara Kejayaan & Kegagalan". Banyak juga yang dibincangkan. Antaranya kata penceramah itu : "Hidup kita ini ada 2 jalan yang membawa kita kepada kebahagiaan yang tidak kekal dan satu jalan yang cukup panjang namun kemanisan kejayaannya lebih lama." Boleh juga menggunakan konsep "SMARTER" untuk matlamat jangka pendek dan panjang kita.

S - Specific (Spesifik)
M- Measurable ( Boleh diukur)
A- Attainable (Boleh dicapai)
R- Reasonable (Munasabah)
T - Time frame (Jangkamasa)
E- Exciting ( Menyeronokkan)
R - Rewarding( Ganjaran).

Ini adalah pendekatan SMARTER, tapi aku pada hujung minggu yang lepas tak smart mana dalam memenuhi masa aku. Berehat-rehat, membaca dan kemudian membeli sepasang ikan "Oscar" berharga RM 10.00 di kedai akuarium di Seri Serdang. Ohhh ... aku sedang mencari 'escapism' dalam segala banyak tugasan yang menanti di bulan Mac ini.

Thursday, March 01, 2007

Hari



HARI BUKU SEDUNIA

Hidup tanpa buku sungguhlah sunyi. Segala-galanya yang ada di dunia ini akan berakhir di dalam buku. Sekecil-kecil perkara akan ada bukunya untuk dirujuk. Semua benda ditulis dan didokumenkan. Sungguh menarik bukan? Walaupun internet menjadi antara muka yang paling digemari buku tetap wujud walaupun teknologi berubah setiap saat.

Walaupun e-books, online books dan yang seerti dengannya muncul, manusia tetap memilih buku dengan segala 'kesenangan' yang diberikannya. Buku akan tetap wujud selamanya. Makin dicintai dan digilai setelah manusia mendapat perkara yang mengujakan hati.

Hiduplah buku selamanya!