Di sebalik penukaran jantina
LIPUTAN berita dan maklum balas masyarakat umum baru-baru ini tentang perkahwinan antara seorang lelaki yang telah menjalani pertukaran jantina dengan seorang lelaki yang lain menunjukkan bahawa rakyat umumnya belum mempunyai gambaran tepat tentang gender dan seksualiti.
Seksualiti bukan hanya bergantung kepada struktur dan fisiologi kelamin seseorang itu, malah ia terutamanya bergantung kepada perasaan.Setiap insan mempunyai kesedaran dalaman dari segi psikologi tentang jantinanya, sama ada merasakan dirinya perempuan atau lelaki. Kesedaran ini tidak boleh diubah dan dikenali sebagai identiti gender.
Identiti gender seseorang mulai ketara apabila seseorang berumur dua setengah tahun. Ramai orang beranggapan identiti gender dikaitkan dengan sifat fizikal seseorang yang dapat dicam melalui organ kelaminnya. Akan tetapi, terdapat sekumpulan minoriti yang mempunyai identiti gender yang tidak serasi dengan sifat fizikal kelaminnya.Mereka memang telah wujud dalam dunia ini sejak azali lagi, di mana-mana juga dan dalam semua budaya.
Istilah yang tepat untuk merujuk kepada mereka ini ialah `transgender'. Identiti gender memanglah merupakan salah satu daripada asas kehidupan setiap insan. Apabila seorang bayi dilahirkan, sudah tentu orang ramai ingin tahu sama ada ia akan hidup sebagai seorang lelaki atau wanita.Akan tetapi, oleh kerana identiti gender lebih berkait dengan perasaan, ia tidak boleh ditentukan pada saat kelahiran.
Apa yang ketara pada saat kelahiran ialah ciri-ciri fizikal organ kelamin, yang digunakan oleh orang ramai untuk ``mengandaikan'' identiti gendernya.Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai ciri-ciri fizikal organ kelamin lelaki kemungkinan besar akan menjalani hidup dengan merasakan dirinya sebagai orang lelaki, menepati ``andaian'' orang ramai. Tetapi, untuk golongan transgender, ``andaian'' ini tidak tepat.
Barangkali seseorang yang dilahirkan dengan ciri-ciri organ kelamin lelaki akan merasakan dirinya sebagai seorang perempuan.Maka, keadaan menjadi rumit apabila golongan transgender dipaksa oleh masyarakat sekeliling untuk menjalani hidup bersesuaian dengan ``andaian'' yang dibuat berdasarkan ciri-ciri fizikal mereka semata-mata.Ini bermaksud bahawa mereka sebenarnya dipaksa untuk menjalani hidup sebagai jantina yang bertentangan dengan naluri mereka.
Mereka tidak mampu mengubah identiti gender mereka walau betapa kuat pun mereka berusaha.Seorang mak nyah akan merasakan dirinya sebagai seorang wanita.Jika kita memaksanya untuk hidup sebagai seorang lelaki, ini bermaksud bahawa kita sebenarnya sedang memaksanya untuk melakukan sesuatu yang amat pedih dan memang tidak mampu dilakukannya.
Situasi ini seolah-olah memaksa seorang wanita hidup sebagai seorang lelaki.Di kalangan transgender, ada juga yang melalui pembedahan untuk menukar jantina fizikal untuk mengurangkan percanggahan antara identiti gender dan ciri-ciri fizikal kelamin mereka. Orientasi seksual ialah daya tarikan seseorang terhadap orang lain dari segi emosi, romantik, seksual dan kasih sayang.
Kebanyakan orang tertarik kepada jantina berlainan (heteroseksual) sementara segolongan kecil manusia tertarik kepada jantina yang sama (homoseksual / gay).Orientasi seksual seseorang itu mulai ketara sejak awal remaja dan tidak boleh diubah sesuka hati. Seorang mak nyah mempunyai gender identiti sebagai seorang wanita. Ini bermakna, mereka mempunyai perasaan dan daya tarikan seperti orang wanita walaupun mereka mempunyai ciri-ciri fizikal lelaki.
Maka, untuk seorang mak nyah yang tertarik kepada orang lelaki, sebenarnya orientasi seksualnya bersamaan dengan seorang wanita heteroseksual dan bukannya lelaki gay.Oleh itu, jika dia berkahwin dengan seorang lelaki, adalah tidak tepat untuk merujuk kepada perbuatan tersebut sebagai ``perkahwinan sejenis''.
Orientasi seksual tidak mempunyai kaitan dengan identiti gender. Keadaan ini dapat dilihat melalui pengalaman individu dan pemerhatian pakar perubatan. Namun, masyarakat umum kurang dapat memahami perbezaan di antara kedua-duanya. Oleh itu, masyarakat umum seringkali membuat andaian bahawa seseorang mak nyah itu sebenarnya ialah seorang lelaki gay. Ada juga yang membuat andaian bahawa lelaki gay mempunyai keinginan untuk menukar jantina kepada wanita.
Sebenarnya, berlainan dengan golongan mak nyah, seorang lelaki gay mempunyai gender identiti sebagai seorang lelaki dan dengan itu, tidak mempunyai keinginan untuk menukar jantina mereka. Masyarakat bimbang bahawa gay, transgender dan keinginan untuk penukaran jantina itu adalah sesuatu yang boleh ``merebak''.
Akan tetapi, identiti gender dan orientasi seksual seseorang tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya, dan ia tidak boleh bertukar disebabkan oleh ``pengaruh orang lain''. Oleh itu, masyarakat sebenarnya tidak perlu bimbang jika mereka telah mengkaji fakta-fakta di sebalik isu ini.
Kepelbagaian identiti gender dan orientasi seksual di kalangan manusia sebenarnya menjadi ciri masyarakat sejak azali lagi merentasi semua budaya di dunia.Maka, tindakan mengharamkan penampilan golongan minoriti seksual sebenarnya tidak akan mengubah seksualiti mereka tetapi akan memaksa mereka untuk menjalani kehidupan yang penuh dengan penderitaan.
Oleh itu, hujah di sebalik desakan untuk mengharamkan penampilan golongan minoriti seksual bukan sahaja akan menyebabkan penderitaan ramai insan yang tidak bersalah, malah ia hanya akan menimbulkan ketakutan yang tidak berasas di kalangan masyarakat umum.
- PROFESIONAL PERUBATAN, New York, Amerika Syarikat.
Utusan Malaysia 23 Nov 2005
Nota : A good article about this issue. Takut hilang (maklumat yang wujud namun gagal di kesan bila dikehendaki ditafsirkan hilang) so I letak di sini supaya semua orang boleh memahaminya.