Wednesday, June 27, 2007

Kecurangan

KECURANGAN?

Bila ada sahaja kes-kes berprofil tinggi di negara kita ada satu benda yang bermain difikiran saya, bagaimanakah isteri-isteri yang tertuduh itu mampu membiuskan diri mereka mendengar penghujahan tentang kecurangan suami masing-masing? Ianya memerlukan kekuatan dan tekanan mental yang bukan sedikit. Isteri Razak Baginda, Isteri Haniff Basree(siap mengandung lagi ketika itu), isteri Najib ( kes Kenny Ong, isteri dia bekerja di bank dan jual lampin bayi untuk menampung kehidupan).

Dan benarlah kisah-kisah ini tuhan tunjukkan kepada kita untuk kita menyedari kesilapan dan keterlanjuran diri. Supaya kita menginsafi diri, supaya mereka, kita yang lain jika melakukan kesilapan yang sama - pulang ke pangkal jalan.

Lihatlah kebesaran Allah, Dia menunjukkan sesuatu yang kita tidak nampak supaya tidak akan terus hanyut. Siapa kata kes-kes di mahkamah tidak penting? Baguslah ianya mendapat liputan media. Baguslah jika setiap hati pandangan mata kita terpaku di kaca TV mengikuti perbicaraan kes-kes sebegini ...

Monday, June 25, 2007

Puisi


CERITA DARI CEDERA JIWA (1)

Mereka datang dan membinasakan
Makna kemanusiaan
Tanpa undangan mengirim sengsara
di tangga kehidupan sebuah negara.

Bagai hujan darah memenuhi
segenap pandangan
Wanita dan kanak-kanak
Menjadi habuan peperangan.

Engkau seorang ibu
Di tanah gersang
Di hujani peluru
Berlari-lari tanpa sepatu
Tidak tahu ke mana di tuju.

Duniamu bernafas dalam kesedihan
Mencari damai di antara timbunan
Kesengsaraan.

Kami datang membantu,
Menyembuhkan luka-luka
Walau luka di hatimu
Entah bila akan sembuhnya.


Kamal
23 April 2007
Cyberjaya, Selangor


Mmmmm masih lagi dalam proses menjernihkan makna. Penat kepala memikirkan perlambangannya. Akhirnya puisi itu menjadi dua bahagian dan saya telah kirimkan ke penerbitan BM. Tunggulah kalau editor tertarik dia akan siarkan. Kalu tidak tidak mengapa.

Wednesday, June 20, 2007

Sibuk

SIBUK

Sekarang ni tengah sibuk dengan kerja-kerja akhir pendokumentasian. Sudah nak siap dah. Ada 14 hari lagi ni. Hidup macam tulah banyak rutin sahaja. Tak ada faedah didokumenkan kat sini pun.

Oh ya aku sedang membaca novel Hlovate - "5 Tahun 5 Bulan", sempoi bahasa dia. Aku sudah jatuh cinta dengan novel-novel Jemari Seni. Aku selamba je baca novel masa tunggu order makanan kat restoran atau kat mana-mana sahaja. Tak kisahlah bila orang pandang semacam je peduli apa aku. Aku dengan dunia aku, sebuah buku dan masa aku sendiri! Best siot!

AKHIRNYA ...
AKU YANG TERLALU MALU
(MENYATAKAN SAYANG ITU)

Aku sentiasa mendoakan dirimu
Berbahagia selalu
Walau terlalu payah untuk kunyatakan
Sayang itu sentiasa menggebu dijiwaku.

Dikaulah ayah ibu yang mengasuhku
Tanpa jemu membelai jiwa nuraniku
Menjadi seorang lelaki berani di gelanggang
kehidupan ini.

Akulah anakmu itu
Yang terlalu malu menyatakan betapa
Aku terlalu menyayangimu,
Walau dalam kejauhan
Walau dalam ketiadaan,
doa restumu adalah kekuatan buatku.

Mungkinkah tanpa kata-kata,
Dapatkah kauizinkan rasa kasih itu
Kembali menjalar seperti dulu?


Cyberjaya, Selangor
(Berita Minggu, Ahad 17 Jun 2007 )

Friday, June 15, 2007

Bahagia dan sedih

BAHAGIA

Hari ini saya mendapat balance bonus tahun lepas. Alhamdulilah dapatlah saya membeli baju raya untuk ibu saya. Maklumlah tukang jahit kat kampung saya itu 'hangin satu badan' bila mendapat tempahan baju raya bila dekat nak raya. Dia akan suka hati dia sahaja kata nak tolak baju yang dihantar walaupun kita ini pelanggan sain mati dia.

Saya berkira-kira untuk menempah blazer baru dengan duit bonus ini. saya beli yang dah siap sahaja rasanya. Mungkin juga saya akan beli hp murah sebab hp lama saya itu sudah nazak sangat sehinggakan malu saya nak mengeluarkannya di tempat umum.

Banyak kehendak dengan duit yang sikit. Apa-apapun saya bayar cukai tanah dulu. Ini pun dah terlebih tarikh dia.

SEDIH

Perkara sedih, bila saya dapat emel dari 'yang berkuasa' dan dia memberi kata dua. Saya tahu saya pacal yang hina. Saya akan tunggu juga agar yang indah itu menjelma juga. Budak baru nak mengenal dunia penulisan beginilah. Perjalanan penuh liku untuk mengecapi kejayaan. Suatu hari nanti saya akan ingat emel dia itu. Saya tahu dia tertekan dan saya maafkan dia. Saya juga doakan kesejahteraan dia selalu.

Thursday, June 14, 2007

JOG

JOGGING

Setelah membaca laporan akhbar yang masyarakat di sebuah negeri di Amerika amat gemar berjogging sebab takut sakit manakala kita hanya bersenam dan berjogging bila dah sakit maka saya pun mengambil langkah pencegahan dengan melakukan perkara yang sama. Selepas waktu pejabat detik 5.30 ptg saya pun menukar pakaian kerja dan mula berlarian ( ehhh rasanya lebih banyak berjalan cepat ) di Taman Tasik Cyberjaya. Ramai juga yang berjogging, rakan setugas pun ada 4-5 orang yang turut serta. Mereka tu semua nak kuruskan badan demi suami tercinta. Ya! kebanyakkan yang saya jumpa semasa berjogging ialah mereka yang mempunyai masalah berat badan ( kenyataan walaupun pahit).

Walaupun kurus kita kena membina stamina. Lebih-lebih lagi bulan 8 nanti saya akan mendaki Gunung Nuang. Takut pancit dan tak boleh turun gunung, itu yang membuatkan saya mula berjogging semula. Best lah badan jadi ringan dan rasa malas tu macam hilang. Bersemangat nak mulakan kerja dan tidur pun tak terjaga di tengah malam macam selalu.

Our staff Ana, selamat melahirkan anak perempuan 3.7 kg, lewat 3 hari dari jangkaan. Hahaha dapat anak degilah ni. Orang kata kalau anak lahir awal sikit dari tarikh due ikut cakap ibu bapa dan kalau lambat dari tarikh due degil . Heheheh ...

Thursday, June 07, 2007

Selamat



Paklah dan Jeanne Abdullah, 53


SELAMAT PENGANTIN BARU PAK LAH!



Betullah kesedihan akibat kehilangan tidak akan lama. Paling lama seminggu. Kemudian kita akan menempatkan memori tersebut di satu sudut terpencil di hati kita. Kita cipta kebahagiaan baru di hari mendatang. Di hati kita banyak ruang yang boleh diisi untuk mencipta memori baru.

Pak lah pun sudah mendapat kebahagiaan barunya, tidak perlu ulas banyak lihat sahaja sidang media di Buletin Utama malam tadi. Cahaya kegembiraan terpancar jelas di wajahnya. Hidup perlu diteruskan. Cinta datang dan pergi. Hilang dan akan tumbuh cinta baru.

Kalaulah perkara itu menjadi begitu mudah. Kalaulah ...

"Even if it hurts sometimes
I want to keep feeling you
At least I have my memories to comfort me
I’ll always have you here"'

Arigatou' - Kokia

Wednesday, June 06, 2007

Kesederhanaan

KESEDERHANAAN

Bila dikenangkan kehidupan orang lain dan kehidupan kita banyak yang perlu difikirkan semula. Ya, kita perlu mengukur baju di badan sendiri. Hiduplah dengan apa yang kita rasa selesa dan tenang. Azizi Ali, si jutawan itu pernah berkata "Kalau kita mampu memandu Perdana, belilah Waja atau Kancil sahaja supaya kehidupan kita tidak membebankan diri kita di kemudian hari". Logiknya, wang lebihan yang ada adalah untuk simpanan dan keperluan lain.

Saya terfikirkan sebuah kehidupan yang simple. Memandu kereta kecil (Viva) dan tinggal di sebuah rumah atau apartment sederhana di kawasan pinggiran yang tidak jauh dari tempat kerja. Di depannya ada pasaraya dan Masjid juga sekolah. Dengan wang gaji yang begitu-begitu sahaja dan kemudian menikmati kehidupan sekadarnya pasti membahagiakan. Setiap kali berlaku perubahan dalam hidup kita, contohnya bila gaji naik otak mula terfikir untuk tukar kereta baru. Atau bila kereta sudah habis bayar mahu beli kereta lain yang lebih 'menggiurkan'. Lama kelamaan, kehidupan kita begitu sahajalah ... kita jadi hamba bank tak sudah.

Bayangkan kalau kita hidup simple ( tapi bukanlah nampak sengkek) dengan wang gaji yang sama. Duit lebihan ada untuk tabungan, senang nak pergi melancong, boleh beli banyak buku setiap bulan alangkah indahnya. Kemudian fikiran kita tenang tidak perlu memikirkan hutang bank yang banyak, kecualilah hutang beli rumah. Dapatlah juga kita membantu kedua ibu bapa kita. Kalau dulu mungkin kita membantu sekadar yang termampu, kali ini dapatlah kita memberi lebih. Pasti jiwa kita menjadi lebih tenang.

Sebenarnya kehidupan yang simple, bebas hutang akan lebih membahagiakan. Ahhh ... semua itu tanyalah diri sendiri. Kehidupan kita kitalah yang menentukan. Bagaimana pula bagi kita yang sudah 'terlanjur'? Bolehkah berpatah balik? Mungkin masih belum terlambat...

Saya masih menghitung hari ...