NON - CONVENTIONAL MALAY BLOG
Saya terpanggil untuk menulis komen saudara Azhan Jusoh tentang penulis blog Melayu di negara kita . Memetik tulisannya yang tersiar di Berita Harian 27 Julai 2005,
“Saya sedih dengan kegilaan masyarakat sekarang dengan kebangkitan rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia. Bukan saja remaja, malah mereka yang sudah berumur juga tidak kurang ketinggalan mempersoalkan isu remeh ini.
Kebangkitan blog (laman internet) yang mengupas rancangan ini, sama ada mengenai persembahan pelajar, tarian, baju dipakai tidak kena dengan lagu dan lain-lain, turut melambangkan pemikiran orang Melayu.
Rata-rata blog ini dibangunkan orang Melayu yang mempunyai pekerjaan tetap. Saya hairan, mana mungkin mereka mempunyai banyak masa untuk menulis perkara remeh seperti itu, melainkan menggunakan masa bekerja di pejabat.
Ini amat mengecewakan kerana selain mensia-siakan masa yang ada, majikan juga akan kerugian dengan perilaku kakitangannya yang tidak bertanggungjawab ini. “
Terlebih dahulu saudara perlu memahami konsep blog yang ada, pengisian yang ingin mereka buat dan komitmen yang dilakukan. Rasanya tiada siapa melarang seseorang menulis mengikut minat dan kepakaran mereka. Terdapat begitu banyak penulis-penulis blog yang membicarakan tentang isu sosial, keagamaan, ulasan buku dan seribu satu perkara yang berdetik di dunia ini. Mungkin saudara Azhan Jusuh tidak berkeupayaan membuat pencarian 'blog-blog super' yang menjurus kepada pengisian ilmiah yang selalunya tidak menonjol dan kurang perhatian dari khalayak pembaca.
Namun blog-blog ini terus dikemaskinikan bertahun lamanya dan mencipta reputasinya yang tersendiri. Memanglah diakui blog yang membicarakan topik hangat semasa contohnya tentang AF akan mendapat hits berpuluh ribu sehari berbanding blog yang menulis perkara yang bersifat ilmiah. Namun konsep penulisan seseorang itu amat berbeza. Bukan sedikit penulis blog yang menulis tentang pengalaman kehidupan yang memberi manfaat kepada pembaca serta ditulis cukup bersahaja dengan gaya bahasa yang teratur.
Ada juga blog AF ditulis dengan gaya bahasa terkawal dan cukup enak didengar. Itulah identiti blog tersebut dan dengan hits yang begitu tinggi diharapkan ianya dapat mencambah-biakkan semangat pembaca untuk mendalami isu-isu yang lebih mencabar minda. Semangat menyelusuri blog-blog yang lebih serious topik perbincangannya secara tidak langsung akan terjadi.
Saya menyeru kepada mereka yang terbabit menggunakan pemikiran mereka untuk memartabatkan bangsa. Banyak lagi isu semasa yang boleh dikupas untuk tujuan perbahasan bersama. Banyak lagi agenda Melayu yang perlu kita perjuangkan.
Sepatutnya, dengan adanya prasarana internet, kita boleh berbincang dan berkongsi pendapat dengan segenap lapisan masyarakat mengenai isu lebih penting.
Kita memerlukan pendapat dan saranan yang utuh untuk terus mengemudi negara.
Saya berharap pemilik blog Melayu janganlah terus alpa dengan isu remeh rancangan realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Bangkitlah dan terus menjana masa depan negara berteraskan sahsiah Melayu Glokal.
AZHAN JUSOH,Sri Damansara, Selangor.
Sumber : Surat Email ( Berita Harian 27 Julai 2004)
Blog merupakan media alternatif. Apa sahaja yang ingin ditulis akan tersiar tanpa tapisan dan kawalan. Pembaca akan memberikan input sebagai maklum balas. Pembaca juga terdiri dari pelbagai golongan. Tidak semuanya mahir tentang apa sahaja topik yang ingin diperdebatkan. Tidak hairanlah isu-isu serious biasanya tidak mendapat maklumbalas yang diinginkan walaupun sudah ditulis semudah yang mungkin. Namun ramai pembaca senyap akan memahami sesuatu perkara itu melalui pembacaan yang singkat ini. Rasanya jika ini berlaku, matlamat penulis untuk menyebar-luaskan maklumat dan ilmu itu telah tercapai.
Soal bagaimana penulis blog mencuri masa mengemaskinikan blog mereka bukan persoalan pokok. Tetapi komitmen dan masa yang dikorbankan itu lebih penting. Ramai penulis blog menulis sekadar hobi dan menambahkan kenalan di dunia cyber, mereka menulis untuk kepuasan peribadi. Lagipun terdapat kekangan jika terlalu ‘terbuka’ dan ‘celupar’ pasti musibah akan menimpa diri seperti apa yang terjadi kepada seorang penulis blog yang menulis tentang Islam Hadhari tahun lepas.
Untuk blog-blog Melayu yang menulis di luar kebiasaan, teruskan menulis. Suatu hari nanti pembaca akan bijak memilih antara kaca dan permata. Blog sudah menjadi wadah merakam kehidupan dan ilmu pengetahuan. Menyampaikan pemikiran bangsa tanpa sempadan.
Biar bermula sebagai picisan daripada tidak menulis langsung.