Sunday, September 11, 2005

Si Kecik

HIS CODE NAME SI KECIK

Pagi Sabtu sesudah subuh berlalu, dapat SMS dari adik ipar. Julie dah selamat bersalin Sabtu pukul 4.30 pagi di HTAR. Julie mula sakit pukul 12 malam dan kedua bakal ibu bapa itu menghadapi malam-malam yang penuh kekaburan itu berdua. Seorang blurr dan seorang tengah bertarung dengan nyawa, akhirnya tersadai di HTAR dengan tiada dokumen sebab selama ini laporan perubatan Julie di buat di klinik swasta yang jaraknya agak jauh dari rumah.

Nasib baik Julie bersalin secara normal sebab sebelum tu doktor yang menjaga Julie kata bayinya songsang. Allah mempermudahkan perjalanan Si Kecik dan ibunya. Segalanya dipermudahkan. Saya yang lebih ecxited sebenarnya. Menghubungi semua kaum kerabat. Mengambil Yana di hostel dan balik terus ke CC. Sebab bapak si kecik kata 4.30 ibu dan anak itu akan dibenarkan keluar.

Tunggu punya tunggu. Si kecik tak lagi kencing . Tunggu dia kencing dulu baru boleh balik. Melewati pukul 4.30 masih lagi tidak berlaku aksi kencing pertama yang di nanti dari si kecik. Maka kami semua bergegas ke HTAR. Sampai-sampai jer bila nenek dia pegang dengan serta-merta si kecik kencing. Pandai sungguh dia tunggu nenek dia baru nak kencing.

Si kecik ni cute sungguh, bayi seberat 3.1 kg merupakan cucu ke-10 keluarga kami.* Baby Syikin pula sudah semakin gebu dengan berat sudah mencecah hampir 6 kg kini. Kehidupan mak dan abah di kampung sudah berubah. Kena jaga si kecik, Julie masih lagi kekok nak pegang bayi. Si kecik ni memang kaki tidor, masa ‘breast feed’ pun dia boleh sedap-sedap tido . Malam-malam siaplah orang tua tu kena jaga baby. Si kecik tidor dengan nenek dia. Julie masih terlalu lemah. Pengalaman yang amat mengerunkan kata Julie. Alhamdulillah segalanya berakhir dengan baik.

Satu-satunya adik yang tak banyak ‘menyusahkan’ hidup saya sudah mempunyai seorang anak lelaki. Pagi Ahad, saya dan mak menjemput tukang urut dari kampung sebelah. Pergi ke pasar membeli segala barang keperluan. Sempat juga menukar air 3 tank akuarium di bawah rumah.

Buat si Kecik, “Selamat Datang ke dunia ini, moga menjadi anak dan muslim yang cemerlang”. Sorrylah yer Nenek panggil Si Kecik jerr … Nanti bila mummy dan daddy sudah confirm nama tu barulah kita panggil nama sebenar. Ya, Si Kecik bukan nama sebenar dia.

Friday, September 09, 2005

Sumpahan

SUMPAHAN

Saya ingatkan hidup sudah terlalu sunyi sehinggalah saya berjumpa this a group of people yang memperkenalkan tentang benda baru ini. Saya sanggup ke UPM meminjam buku-buku tentang perkara itu, mendalaminya macam seseorang yang akan menyudahkan tesis Phd. Malah lebih teruk sanggup ke sana ke mari demi mendapatkan benda yang satu itu. Malam-malam pun sanggup meredah rumah orang untuk berjumpa mereka, belajar tentangnya. Hidup saya menjadi begitu sibuk dan cukup terisi. Setiap malam termimpi-mimpi.

Wang bukanlah penghalangnya, sedangkan selama ini cukup berkira, kini tidak lagi. Mereka menyumpah saya untuk mendapatkan yang terbaik dan terkini. Sentiasa berusaha untuk menambahkan koleksi yang ada. Saya sudah tersumpah kini.

Jangan cemas, saya masih waras. Cuma kegilaan yang baru ini memang luar biasa.

“Behind every man is a women and his discus tanks!”

This time saya benar-benar gembira, tiada lagi waktu untuk bermuram durja atau memikirkan hal-hal yang tidak perlu. Saya sudah mendapatkan sebahagian dari kegembiraan yang telah saya lenyapkan tanpa saya sedari.

Hidup ini cukup indah …

Thursday, September 08, 2005

Baik

BERITA BAIK

PUTRAJAYA: Cukai jalan bagi semua jenis kenderaan komersial diturunkan sebanyak 25 peratus, manakala cukai jalan bas sekolah yang kini RM10 setahun, dikurangkan kepada RM2.

Bagi kenderaan persendirian berkapasiti kurang 1,000 cc, cukai jalannya diturunkan kepada RM30 setahun, manakala potongan 50 peratus dikenakan ke atas cukai jalan kenderaan berkapasiti antara 1,000 cc hingga 1,600 cc.Selain itu, cukai jalan motosikal 151 cc hingga 250 cc dikurangkan 50 peratus. Semua potongan itu berkuat kuasa Isnin ini.

Penurunan cukai jalan ini adalah antara empat langkah utama yang diumumkan kerajaan semalam bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia yang mencecah AS$71 setong.

Tiga langkah lain ialah:
· Tidak menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak sehingga akhir tahun ini;
· Tidak menaikkan kadar tol bagi tahun ini dan tahun depan.
· Menambah kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada orang tua, daif, anak yatim, golongan miskin, keluarga yang hilang mata pencarian, uzur, cacat atau berpenyakit.

Hapuskan sahajalah cukai jalan tu pak menteri. Banyak sangat cukai yang perlu rakyat tanggung . Sebab toll pun sudah kena bayar, minyak naik mencanak-canak. Semua benda ada cukainya sendiri. Tapi takut pulak kalau cukai jalan dihapuskan, jalan raya tak berturap sampai ke sudahnya.


HEBOH

Ini kisah finalist program Mencari Cinta yang sudah berkahwin. Ini bukan kisah bohong, cerita perkahwinannya boleh dirujuk di majalah Wanita 2001 page 71. Hahhaa pilih punya pilih kan terpilih. Yelah, Khairul tu kaya. Kalau ikut sikap abang ipar Elly tu pun dia nakkan orang yang macam tu. Tapi biasalah, orang yang kaya, kacak akan ada package sampingannya juga. Tapi memang padanlah jugak dengan Elly itu. Cuma Khairul mengaku bujang, mungkin dia ni duda kot. Kalau duda bagitahulah awal-awal. Jadi senang sikit cerita. Jangan buat orang rasa heran umur mencecah 40-an, bekerjaya hebat tapi tak ada siapa yang nak, cukup memusykilkan.

Wednesday, September 07, 2005

Patah

PATAH

Hari ini masih lagi bercuti sebenarnya tetapi saya terpaksa datang ke ofis untuk menyiapkan Business Plan @ Bajet. Seronok juga bercuti sesekali. Tidak ke mana-mana hanya meluangkan masa bersama ibu bapa.

Teringat kata-kata Dewi Yull yang saya baca di akhbar “Hidup perlu patah agar tumbuh lebih subur”. Begitu dalam sekali maknanya. Kesan kedukaan, pengalaman hidup yang dilalui sepanjang kehidupan selalunya membuatkan kita menjadi lebih tabah dan tegar.

Ada sesuatu yang menjadi kekuatan seseorang. Kita perlu mencari kekuatan itu sendiri. Orang lain hanya memandang dari jauh atau tidak peduli.

Saya perlu menambah “kerana yang terluka adalah hati kita sendiri”.

Friday, September 02, 2005

Rezeki

Apakah hikmah atau manfaat daripada rezeki yang berkat?


Hakikatnya, terlalu banyak hikmahnya. Pertama, rezeki yang berkat, ia menjadi punca atau asbab kepada termakbulnya doa.


Ini diperkukuhkan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan Allah memerintahkan orang Islam (orang yang beriman), sebagaimana Allah perintahkan kepada para Rasul. Sesungguhnya Allah berfirman: Wahai sekalian rasul hendaklah kamu memakan makanan yang baik dan melakukan perbuatan yang soleh dan Allah menyebut juga, wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada perkara baik yang telah Aku kurniakan.

Kemudian Nabi bercerita: Seorang lelaki telah melalui perjalanan yang jauh sehinggakan pakaian dan penampilannya kusut masih. Lelaki itu menadah tangan berdoa kepada Allah menyebut, Ya Rabb, Ya Rabb tetapi lelaki itu makan makanan dan minuman yang haram serta memakai pakaian haram, dan dia diberi makanan yang haram. Oleh kerana itu bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?


Jelas di sini, biarpun doa seorang musafir di antara doa yang dimakbulkan, tetapi ia menjadi tidak termakbul kerana makanan, minuman dan pakaiannya terdiri daripada sumber yang haram.


Selain itu, rezeki yang berkat juga menjauhkan seseorang itu daripada api neraka. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Hakim : Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah lebih utama untuk dirinya.


Seterusnya, menerusi rezeki yang berkat ini juga menandakan kita telah menyahut dan melaksanakan perintah Allah, dan pasti mendapat pahala.


Sebagaimana firman Allah bermaksud: Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (al-Zalzalah: 7-8)


Selain itu, kita juga menjaga maruah umat Islam kerana melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Saya ingin berkongsi sebuah kisah berkaitan tajuk perbincangan ini, iaitu sewaktu saya menuntut di Madinah.


Sheikh Ismail al-Humaidi menceritakan pengalamannya sendiri sewaktu berkhutbah di Masjid al-Qiblatain.Seorang lelaki daripada keluarga miskin mendapat kekayaan daripada sumber yang haram.


Abangnya yang kaya dan mempu-nyai dua orang anak berpesan kepadanya supaya menguruskan harta-hartanya selepas dia meninggal dunia, kerana dua orang anaknya masih kecil.


Setelah mereka dewasa, harta tersebut mestilah dikembalikan kepada mereka. Tetapi lelaki tersebut tidak menunaikan amanah abangnya.


Sebelum lelaki tersebut meninggal dunia, dia ditimpa sejenis penyakit kulit yang menyebabkan bau busuk sehingga sesiapapun tidak sanggup mendekatinya.


Lebih menyedihkan, apabila hendak dikafankan, jenazahnya terpaksa disiram minyak atar, supaya baunya hilang. Malah, tidak ada yang sanggup menjunjung keranda dan mengebumikannya.


Inilah contoh yang ditunjukkan Allah di dunia terhadap orang yang tidak memperdulikan halal atau haramnya rezeki yang dimiliki.


Di samping itu, rezeki berkat juga membawa kesejahteraan dan ketenangan jiwa kepada empunya diri. Contohnya dengan rezeki yang sedi-kit, dia merasa cukup dan hatinya tetap tenang serta bersyukur.

Teks penuh sila rujuk di sini :

Thursday, September 01, 2005

MEGA SALE

MEGA SALE


Otak tepu jer dan sedikit mengantuk. Pagi tadi bertolak dari kampong pukul 4.30 pagi dan sampai di CJ pukul 6.30. Well, sekarang ni tengah mega sale di mana-mana. Elok kalau nak membeli belah. Cadang nak beli 'spek' baru sebab yang ada sekarang ni nampak sudah tak masuk gaya. Nak cari yang frameless pulak. Kerja banyak tapi takder mood nak buat satu benda hari ini. Tahu kalau takder mood macam ni baik saya mohon sambung cuti terus sampai Ahad. Ramadhan pun sudah hampir.

Tuesday, August 30, 2005

Tun M

TUN M & PEMIKIRANNYA


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengamatan berterusan terhadap persekitaran dan minat mempelajari mengapa sesuatu tindakan diambil, adalah antara perkara utama mempengaruhi corak pemikirannya.

Dr Mahathir turut mengingatkan semua pihak tidak menganggap diri sebagai serba tahu sedangkan ada orang lain lebih berilmu.“Apabila kita rasa tahu semuanya, kita tak pandang orang lain dan kita tak akan berjaya. Tiada guna menyuruh orang menghormati kita kalau kita tak ada apa-apa... macam mana nak suruh orang pandang tinggi pada kita kalau kita di bawah.

“Kita perlu bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapainya, barulah kita akan dihormati dan tak perlu kita suruh, mereka akan lakukan (hormati) sendiri,” katanya.

Menjawab pertanyaan pada sesi dialog ‘Seminar Pemikir’ di sini semalam, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh berkata, jenis makanan yang diambilnya tidak mempunyai kaitan dengan cara beliau berfikir.“Saya makan semua... mi goreng, mi siam, kuetiau sampai kadang-kadang sakit perut. Makanan Cina, India, Mexico, Jepun, Barat pun saya makan, semua itu tak berkait dengan cara berfikir.

“Saya lihat bangunan di Eropah masih kukuh walau dibina 300 tahun lalu, maka dari situ saya pelajari mengenai perlunya kita berfikir jauh ke hadapan dan bukan membina sesuatu untuk kegunaan zaman sendiri semata-mata... itu sebab kita bina KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pemikiran Seorang Pemikir,’ bekas Perdana Menteri itu berkata, tiada salahnya untuk meniru kejayaan pihak lain seperti Jepun yang mampu membina semula negaranya selepas musnah akibat peperangan. Dr Mahathir berkata, kebanyakan kejayaan Malaysia hasil Dasar Pandang ke Timur yang terbentuk daripada pemerhatian perkembangan di negara Timur dan Barat.

Krisis ekonomi 1997, katanya, mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap penjajahan semula dan menimbulkan keinginan untuk mencari penyelesaian yang bukan hanya boleh memulihkan ekonomi dan kewangan negara, tetapi juga mengekalkan kemerdekaannya.“Tiada penyelesaian sempurna kerana risiko untuk gagal ada di mana-mana, namun kita mesti mempunyai pelan sokongan dengan mengumpul seberapa banyak idea dan melakukan analisis untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Monday, August 29, 2005

Keranamu

BENDERAKU

Saya tidak pernah mencacakkan bendera pada kereta sebagaimana orang lain lakukan ketika menyambut bulan kemerdekaan. Amat mengharukan bila melihat Jalur Gemilang bertebaran di jalan raya. Dilanggar kereta yang lalu lalang. Kemerdekaan bukan hanya pada mengingati Jalur Gemilang.

Hari Sabtu ketika melintasi Tol Sungai Besi terdapat perbarisan Human Chain sepanjang jalan ke Serdang. Mengibar Jalur Gemilang dengan megahnya. Harap generasi muda memahami erti perjuangan golongan terdahulu dan mengapa bangsa kita tercorak sebegini rupa. Sejarah sebenar kewujudan sesuatu bangsa merdeka perlu di hayati dan tidak terlalu dikaburi oleh budaya hedonisme yang keterlaluan. Kealpaan bangsa kita boleh meruntuhkan kemerdekaan yang selama ini dipertahankan.

Satu-satunya sticker yang ada pada kereta saya ialah slogan “Keep Kids From Drug”. Jika belia di negara kita mampu menghindari anasir dadah, banyak sumbangan yang mampu mereka lalukan untuk negara. Menjadi warga negara yang baik mampu memudahkan negara Malaysia mencapai apa juga yang diinginkan, seperti mencipta kereta nasional yang bertaraf dunia dari segi kualiti dan harga yang munasabah contohnya.

48 tahun dengan slogan yang tidak bertukar semenjak beberapa tahun merupakan satu contoh perbelanjaan berhemah dari kerajaan, semuanya adalah Keranamu Malaysia!

Thursday, August 25, 2005

Discus


My Baby Discus. "Lepaskan aku kembali ke sungai?" Oh tidak mungkin sayang ...


Ms. Olga Wanita Bermata Hijau

Dua hari Ms Olga bertandang ke universiti saya demi memenuhi undangan program kerjasama teknikal Malaysia. Wanita dari Uzbekistan ini merupakan ibu beranak dua yang cukup istimewa dan sentiasa merendah diri.

“Malaysia sama seperti New York”. Katanya spontan bila ditanya mengenai pandangannya tentang Malaysia. Beliau pernah belajar di NY semasa menyudahkan ijazah peringkat masters. Kami banyak berbincang tentang soal kerja, budaya dan politik semasa.

Hati begitu hiba saat dia menceritakan kisah kehidupannya di negara bekas Soviet Union itu. Tentang keperitan hidup di negaranya, sistem demokarsi yang berlangsung sekarang selepas perang dingin memberi impak yang terus dalam hidup seluruh rakyat Uzbek.

Saya terkejut bila wanita yang mempunyai 2 ijazah lanjutan ini hanya di bayar US$ 45.00 sebulan. Jumlah sebegitu hanya cukup untuk membeli keperluan makanan. Beliau telah berpisah dengan suaminya dan menjadikan kehidupan lebih memeritkan.

“Rakyat kami ada yang takut menggunakan komputer, takut terkena radiasi”. Mungkin ini disebabkan oleh kisah letupan nuclear di Chernobyl yang berlaku ketika beliau berusia 16 tahun. Persepsi masyarakat tentang perubahan corak kehidupan moden masih di tahap rendah bila taraf ekonomi yang jauh ketinggalan berbanding Malaysia.

Selama kami berbincang tentang tugas dan cara kerja di sini. Saya dapat mengesan wanita ini begitu tulus dan luhur. “Saya tidak mempunyai call card, hanya orang-orang penting sahaja yang ada di tempat saya”. Dia berterus terang ketika saya menghulurkan call card saya di hari terakhir pertemuan kami .

Moga segala kenangan dan pengalaman yang dikutip memberi manfaat kepadanya.

48 tahun kemerdekaan negara menjadi begitu bererti bila mendengar kisah keperitan hidup Olga dan negaranya.

Wednesday, August 24, 2005

Nice Guy

You Are A Nice Guy!

Baru lepas habis nonton program Mencari Cinta sebenarnya dan tengah menunggu “Desperate Housewives” lepas ni. Apa yang saya nampak dari sedutan yang lepas-lepas Elly selalu ada kata “You are a nice guy”. Wah kalau betul-betul bagus kenapa tidak sesuai. Banyak sekali misteri yang terungkap disebalik kata-kata itu. Penafsirannya agak menyakitkan. Jadi berhati-hatilah bila seseorang berkata begitu. Untuk memberi muka dan tidak memalukan orang lain barangkali. Maksudnya begitu mudah “Awak tidak cukup bagus/hebat buat saya”. Noktah.

No More Mr. Nice Guy then …

Semenjak dua menjak ini saya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga. Cuti Sabtu Ahad dihabiskan bersama mereka di kampong. Seboleh-bolehnya saya akan pulang ke kampong. Saya berkata begini mungkin disebabkan saya rasa kesunyian bila tinggal berseorangan. Tetapi sebenarnya saya tidak pernah puas meluangkan masa yang ada bersama mereka. Membawa mereka ke pasar petang Ahad dan membuat sesuatu perkara bersama, atau just duduk bergosip itu dan ini. Oh ya, saya juga telah membelikan baju raya untuk mak. Nak tahu tak semua tukang jahit di kampong sudah tidak mahu menerima sebarang tempahan baru. Tak tahulah baju yang saya belikan itu boleh disiapkan sebelum raya atau tidak.

Setiap bulan saya akan mula bercuti. Raya nanti giliran saya pula akan bertugas untuk hari raya yang ke –3. Tak apalah, dari sekarang saya kena habiskan cuti saya yang berbaki. Mulai tahun ini juga saya akan mengambil 2 hari cuti ketika hari jadi saya jika ia tidak jatuh pada hujung minggu atau cuti Am. Jangan ingat Agung jer yang boleh isytiharkan cuti. Saya juga nak buat perkara tersebut untuk diri saya juga. Saya nak sambut birthday saya bersama keluarga di kampong. Tak mahulah sambut sorang-sorang di CJ. Sedih beb …

Tadi petang saya betulkan kereta saya. Servis Aircond yang rosak. Nak betulkan mana-mana bahagian yang kemek. Kadang kita hanya memandang faktor luaran tanpa benar-benar memahami hakikat dalaman yang lebih memikat. Apapun semua orang lebih teruja dengan pandangan luar. Kita hidup dengan apa yang kita rasa selesa. Pedulikanlah apa yang orang lain kata.

Tuesday, August 23, 2005

Cuti

CUTI & RIBA

Saya bercuti hari ini . Pergi ke bank dan selesaikan hutang-piutang. Maklumlah hidup insan kebanyakkan macam saya ini beginilah (lainlah kalau saya perempuan, lawa pula tu sudah tentu ada harapan kahwin dengan anak raja). Bekerja untuk bank dan demi keuntungan mereka juga. Namun jika lambat sikit sahaja mereka sudah bising-bising. Siapa boss sebenarnya? Dia (pekerja bank) atau kita sebagai pengguna? Hidup ini macam tulah, kita tidak boleh silap sikit dengan orang lain. Pandai sahajalah mereka nak membelit. Belitan kita dia tak tahu lagi.

Ada beberapa bank yang saya ‘senarai hitamkan’ sebelum mereka senarai hitamkan kita baik kita senarai hitamkan servis mereka itu. Saya dah berkempen kepada ahli keluarga saya untuk menjauhi beberapa bank itu. Sekurang-kurangnya mereka telah kehilangan beberapa pelanggan yang berpotensi. Kalau satu generasi, sudah berapa orang dia rugi? Macam skim pyramid pulak. Tapi saya tak mahulah dedahkan nama bank tersebut. Untuk ahli keluarga saya sahaja. Penerangan mereka tidak lengkap, terlalu banyak perkara tersembunyi dan tidak mesra pelanggan.

Semua benda kalau mereka jual mesti mahal giler. Tapi time kita nak jual, murah giler. Merudum jatuh tergolek dok. Semua perkara akan ada interestnya walaupun kita menggunakan atau membeli produk mereka. Inilah kehidupan zaman sekarang. Terlalu banyak riba yang membelit para pengguna seperti saya. Pengguna miskin, kalau kaya lain cerita. Tapi orang kata, lagi kaya orang itu, lagi berkira mereka dengan duit. Itu juga saya setuju.

Kalau nak menjauhi riba bertukarlah kepada Islamik bank. Hahaha anda bergurau dengan saya? Siapalah yang menguruskan cara begitu? Rasanya ia akan menjadi aktiviti menyembelih secara terang-terangan. Keuntungan mereka sudah dikira hampir dua kali ganda. Habis apa yang tinggal untuk orang miskin seperti saya? Mengharapkan kerabat diraja meminang? Itu tidak mungkin terjadi. Apa yang pasti teruskan kehidupan seperti biasa dan bayarlah setiap sen yang mereka minta tepat pada masanya.

Malis Cinta

Tersentuh di hati sedalamnya
Seri suram dan tiada cahaya
Tika dikau memaliskan cintamu

Hilang semua hilanglah segala
Luruh hati ku tidak terdaya
Leka cinta yang teguh di binasa

Chorus:
Memalis cinta
Merajuk hiba
Terbukunya, pilu daku beradu
Tanpamu

Malis cinta mu
Sebak merayu
Hilangnya dikau
Membalas rindu ku

Seri cinta mu lama tersimpan
Seringnya daku terlayang pandang
Di kamar cinta pernah diundangnya
Dikau sayang

Memalis cintamu …

Lagu : Azlan Abu Hassan
Lirik : Ucu
Penyanyi : Siti Sarah

Sumbangan untuk MAKNA,

We are having a charity Duck Race on 04/09/2005. If you have the time, kindly help cancer children in need by adopting a duck.

Sila click laman web MAKNA untuk maklumat lanjut.

Sunday, August 21, 2005

Tahniah

TAHNIAH!

“Bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim, 26, selamat diijab kabul dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, 58, dalam satu majlis tertutup di ibu kota, malam tadi. Seorang tetamu yang menghadiri majlis berkenaan memberitahu Berita Minggu, majlis akad nikah berlangsung kira-kira jam 8.30 malam dan hanya dihadiri keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat kedua-dua pihak.”

Tahniah daripada saya. Tidak sangka akhirnya bertemu kerabat di raja. Azrinaz yang saya kenali semenjak dari zaman dia belajar dulu memang seorang yang cukup tegas dengan sesuatu yang dia inginkan. Sanggup menyambung program latihan praktikalnya di TV3 semata-mata ingin lebih mendalami bidang tersebut. Sanggup ‘memohon kerja tanpa gaji’ di station tv swasta tersebut kerana ingin mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran sebelum diserapkan sebagai kakitangan tetap. Sesungguhnya dia memiliki hati dan rupa yang rupawan. Selamat menempuhi satu alam kehidupan yang cukup berbeza, menuntut lebih dari apa yang ada. Insan biasa yang kini menjadi permaisuri raja!

TERIMA KASIH

Sabtu ada temu janji dengan Kak Sya untuk ke rumah adik lelakinya di Kg Melayu Subang. Seronok sekali mengenali Kak Sya sekeluarga. Pecah perut ketawa mendengar celoteh kakak Kak Sya yang seorang itu. Sudah lama tak ketawa tak ingat dunia macam itu.


Balik kampung dengan akuarium sebesar 4 kaki pemberian adik Kak Sya, terima kasih banyak-banyak. Tak terakam ucapan terima kasih dengan kata-kata. Sekarang akuarium itu berada di CC, memelihara ikan Discus (baby) yang diperolehi di Klang lebih 30 ekor kesemuanya. Ibu bapa saya tersenyum gembira melihat ikan berenang-renang. Kami letakkan akuarium itu di bawah rumah, di samping pangkin yang sengaja di bina untuk duduk bersantai.


Terima kasih untuk segalanya.

Friday, August 19, 2005

Universiti

UNIVERSITI TERBAIK DUNIA


Hari ini sudah Jumaat balik. Tak der mood nak menulis sebenarnya sehinggalah saya terpandang tulisan ini. Untuk memberi semangat pada diri sendiri dan menilai kedudukan kita di mata dunia. Rasa geli bila pihak pengurusan kita selalu menekankan "World Class" itu ini tetapi tidak sebanding dengan apa yang cuba di lakukan. Tidak mahu invest dalam perkara-perkara penting dan wajib, terlalu berkira bila kita inginkan sesuatu. Mereka lebih inginkan kuantiti pelajar berbanding dengan kualiti yang ingin dihasilkan. Ya, konsep perniagaan itu penting, keuntungan bukan hanya di ukur melalui ringgit dan sen tetapi bagaimana seseorang itu menjadi insan yang benar-benar membanggakan bekas universiti, majikan dan negaranya. Apapun bukankah mereka itu semua pernah melawat universiti-universiti tersebut? Jadi sendiri mahu ingatlah yer ...

Daripada senarai 10 universiti terbaik dunia, lapan daripadanya dimonopoli AS dan dua dari Britain, lapor stesen Sky News semalam.Universiti Oxford, antara institusi disegani di Britain dan dunia, bagaimanapun jatuh dua anak tangga ke kedudukan ke-10.

Institusi Jiao Tong, di Shanghai, China, mendahului kategori pendidikan tinggi bagi pelbagai kriteria termasuk kecemerlangan penyelidikan dan akademiknya.Berikutan kelebihan pusat pengajian tinggi AS menerima lebih banyak dana berbanding lainnya di seluruh dunia, terbukti membantu penguasaan mereka yang berterusan.

Universiti Stanford, bagaimanapun jatuh satu anak tangga di tempat ketiga, yang disusuli Universiti of California at Berkeley (keempat) dan Massachusetts Institute di tempat kelima.

Universiti Britain yang menduduki senarai 100 terbaik di dunia termasuk Imperial College,University College, Edinburgh, Manchester, Bristol, Sheffield, King's College, Nottingham dan Birmingham.

Faktor lain yang diambil kira termasuk bilangan alumni atau graduan yang memenangi anugerah Nobel, jumlah rencana yang disiarkan jurnal Science and Nature serta penyelidikan yang diketengahkan.Tahun ini misalnya, pemilihan itu turut menitik beratkan aspek sastera dan kemanusiaan berbanding sebelumnya. – Agensi

10 Universiti terbaik dunia
1. Universiti Harvard
2. Universiti Cambridge
3. Universiti Stanford
4. Universiti California at Berkeley
5. Massachusett's Institute of Technology
6. California Institute of Technology
7. Colombia University
8.Princeton Universitity
9. University of Chicago
10 Univesriti Oxford.

Thursday, August 18, 2005

Wawasan

FASA KE-2 WAWASAN

Kerajaan merumuskan strategi lebih khusus dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk pembangunan insaniah dan pendidikan sebagai persiapan memasuki fasa kedua ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020, 15 tahun lagi.

Strategi Fasa Kedua Wawasan 1 -Mempercepatkan pembaharuan pendidikan dengan penekanan kurikulum kepada teknologi baru 2 -Meneruskan penekanan kepada pembangunan insaniah 3 -Menerokai bidang baru sebagai tambah nilai kepada perkembangan ekonomi 4 -Mengembangkan sektor pertanian 5 -Pembangunan berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 6 -Wujudkan syarikat multinasional berasaskan model Petronas sebagai pemain global7 -Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menjadi pemain global.

Panel itu mengadakan perbincangan selama dua hari berakhir tengah hari semalam, bagi membantu Malaysia merumuskan strategi ketika negara memasuki fasa kedua Wawasan 2020 (2006-2020). Fasa pertama wawasan itu bermula 1990 hingga 2005. Abdullah berkata, strategi itu adalah antara input yang dicadangkan 10 anggota Panel Penasihat.


TERINGAT-INGAT

Suatu masa dulu masa umur dalam 8 tahun macam tu, ketika itu jambatan yang merentasi sungai di Kuala Selangor belum dibina. Bila mak nak ke rumah nenek di Ijok kami akan naik feri atau bot untuk menyeberang. Saya sentiasa ikut mak bila ke rumah nenek. Perkara paling seronok ialah mak akan belanja saya minum air batu campur bila sampai ke seberang. Air batu campur yang dibuat oleh seorang nyonya itu begitu sedap sekali. Terbayang-bayang kesedapannya sehingga kini. Sekarang nyonya tu dah tak ada. Gerai di bawah pokok besar itu sudah lama lenyap. Entah kenapa sekarang ini tidak pernah jumpa air batu campur yang sesedap itu lagi.

Abah pula setiap kali dapat gaji, dia akan beli beberapa bungkus Mee Hailam yang dibuat di Batang Berjuntai. Sedap sekali mee hailam itu. Dibungkus dalam plastik berlapikkan kertas surat khabar. Kesedapan yang tidak terperi. Restoran Cina yang membuatnya. Tapi memang ramai orang Melayu yang makan dan minum di situ. Sehinggalah bila ‘kesedaran’ tentang makan makanan yang disediakan oleh bukan Islam terbit, abah tidak lagi beli mee hailam yang sedap itu. Saya tak pasti pulak restoran itu wujud lagi atau tidak. Kalau masih ada, nak juga ke tempat itu. Nostalgia sungguh, bila kami adik-beradik tunggu abah yang mengayuh basikal tua balik dari ambil gaji. Seronok sekali …

Selain itu Apam Balik kecil yang rangup di CC juga sudah pupus, roti kaya 6 biji yang dihasilkan di Sekinchan juga sudah berkurun tak nampak di pasaran.

Banyak perkara dalam hidup kita akan menghilang dan meninggalkan satu titik kenangan yang tidak mungkin pudar. Kita hanya mempunyai ingatan terhadapnya dan tidak mampu menahan ia dari terus lenyap. Seperti makanan yang pernah mengenyangkan kita di zaman kanak-kanak. Memberikan kita senyuman bila tidur di malam harinya. Sesuatu perkara dalam hidup kita akan tetap terus berlalu pergi, walau sebagaimana berat hati kita mahu ia terus kekal. Mungkin kita masih mengingati bau dan keenakkannya, namun kita tidak mampu lagi mendapatkannya. Kita tidak mampu menahan segala perubahan akibat peredaran masa, walau begitu besar kesannya terhadap diri kita.

Kita hanya mampu mengimbau kisah-kisah lalu yang membekas di hati. Waktu akan tetap beredar meninggalkan bongkah kerinduan yang kian menebal.

Wednesday, August 17, 2005

Kreatif

MELAYU LEBIH KREATIF

“Orang Melayu lebih menonjol berbanding kumpulan etnik lain dalam mencetuskan idea kreatif pelbagai bidang tetapi perlu diperkasakan seperti diakui pakar industri tempatan. Presiden Kolej Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Tan Sri Lim Kok Wing, berkata pengalamannya lebih 20 tahun dalam teknologi kreatif termasuk sepanjang mengendalikan pelbagai program LUCT, kreativiti kaum Bumiputera lebih menyerlah.”

Saya kira ini satu pujian yang positif dan perlu diambil penekanan penting kearah yang positif juga. Saya memang agak tidak bersetuju jika pemimpin Melayu sediri memberikan penilaian negatif terhadap bangsanya sendiri. Jika tokoh bukan Melayu memberikan kenyataan tersebut saya terdiam seketika dan melihat kewajarannya.

Industri kreatif di negara kita banyak didokongi oleh orang kita ( perfileman, pengiklanan, seni persembahan dan lain-lain). Memang ramai orang Melayu yang berjaya dalam bidang ini dan mencipta nama besar seperti Yasmin Ahmad ( Iklan & Perfileman), Rizalman ( Fesyen) dan ramai lagi tokoh dalam bidang animasi. Itu adalah antara bidang yang kita nampak dan banyak lagi yang harus diteroka. Memang sesuatu yang boleh dibanggakan.

NAMUN ada juga kreativiti anak Melayu yang akhirnya memakan diri sendiri. Terlalu berani mencuba sesuatu yang baru sehinggakan mudah mengimport apa juga ‘lambakan fesyen dan budaya barat’ akhirnya keberanian mereka ini tidak bertempat dan ‘menyesatkan’ mereka. Ramai belia Melayu Malaysia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Akibat kepincangan perlakuan sosial dan budaya yang mempengaruhi mereka.

Pelajar Melayu memang bijak itu saya akui. Mereka sebenarnya lebih bijak daripada bangsa lain di negara kita. Tapi ada satu sikap yang saya tidak tahu mengapa mereka tidak menggunakan potensi yang ada ketahap maksimum sentiasa menjadi misteri. Mereka selesa lulus cukup makan, sedangkan bangsa lain walaupun mempunyai kepandaian yang ‘biasa’ tetapi rajin berusaha akhirnya mereka lebih berjaya. Mereka tidak rasa cemburu jika orang lain lebih berusaha untuk memajukan diri. Mereka selesa dengan pencapaian yang mereka perolehi. Harapnya generasi baru Melayu kita akan lebih serious untuk memajukan diri di dalam apa juga bidang yang mereka ceburi. Kikislah sikap tidak apa dan jauhi sikap negatif bangsa kita ( hasad dengki, mengadu-domba, kipas- mengipas) yang akhirnya akan memusnahkan kegemilangan dan potensi bangsa Melayu untuk lebih berjaya.

Nota : Macam ucapan wakil rakyat Cape Coral pulak pepagi nih !

Tuesday, August 16, 2005

BIARKAN SAHAJA

BIARKAN SAHAJA IA MENGALIR ...

Sekarang ini rasa berdebar-debar sungguh. Banyak sangat perkara kena uruskan. Soal kerja, soal diri sendiri dan macam-macam lagi. Manusia hidup memanglah sarat dengan dugaan dan tanggungjawab. Ada ketikanya rasa tak terdaya pulak. Tapi bila difikir-fikirkan setiap apa yang diberikan dan diduga pasti ada hikmahnya. Memanglah sesetengah dari perkara tersebut berpunca dari diri sendiri juga. Tidak dapat elak ( ker sengaja cari pasal?)

Ada seseorang mahukan saya lebih bersikap terbuka. Tidak perlu terlalu berhati-hati, apa kata orang tu “belasah ajer”. Tapi tak nak lah macam tu kan. Saya ni kan “LMM”, kang hilang title “Lelaki Melayu Millenium” tu kang. Saya rasa tak bersedia untuk membuka ruang-ruang baru . Biarpun ruang-ruang yang lama ini makin tepu sekalipun, akan tetap saya biarkan begitu. Ambil satu langkah dalam satu masa. Walaupun saya boleh langkau sahaja semua itu, tapi saya tidak mahu berbuat begitu. Saya tak sanggup melukai diri sendiri .

Pastinya apa yang dinanti akan berhasil juga. Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus. Moga Allah permudahkan segala urusan. Permudahkan perjalanan kehidupan ahli keluarga saya …

Dan di sini kisah ku mulai
Menuturkan segala tentang hidup
Kurasakan ada yang terluka
Biarlah kupendam sendiri

Cinta kapankan menghampiriku
Sepi bila memang tiada cinta
Hampanya hati selalu kurasa
Waktu itu kau belum ada

Biar saja ini mengalir
Biarlah memang harus begini
Kuhayati sgala perasaaanku ini
Yang kuinginkan hanya cintaku

Belum jelas harus bagaimana
Kuturuti semua kata hati
Andaikan luka itu tak ada
Mungkinkah kita kan bersama.

Melly Goeslaw - Biar Saja Ini Mengalir

Saturday, August 13, 2005

Cerah

LANGIT KEMBALI CERAH

Best sangat bila bangun pagi tadi, awan kembali terlihat dari jendela bilik saya. Rasa sangat lega. Di Kuala Selangor pula darurat jerebu sudah di tarik balik Bacaan indeks pencemaran udara kembali stabil tidak lagi amat merbahaya seperti 2 hari yang lepas.

Saya mengambil peluang untuk berjalan-jalan di Mines petang tadi. Cadang nak menonton wayang tetapi tidak jadi sebab bila kira hitung masa, nanti dalam panggung masa maghrib pulak. Berdosa sangat … Sudah berbulan lamanya tak ke Mines. Kali terakhir tahun lepas. Banyak sekali pembaharuan yang berlaku di kawasan sekitarnya. Yelah saya ni hanya tahu, ofis-bilik tidur-kampong. Hidup yang bosan ker? Takdelah banyak benda boleh dibuat dalam masa-masa bersendirian ini.

Minum –minum dan memerhatikan gelagat manusia di tepi terusan sambil melihat awan yang cerah amat lega sekali. Udara pun sungguh nyaman. Pulang sebelum maghrib.

Jumaat, hari yang amat memeningkan kepala. Boss panggil bertugas. Saya berada di Hospital Banting sebab bawak Kakak dan baby Syikin buat pemeriksaan darah. Cadang lepas tu nak balik kampong tak dapat. Call mak di kampong cakap tak dapat balik kampong minggu ini. Rasa hampa jer orang tua tu. Next week ni, tak kira pak cik nak cuti jugak.

Oh ya, tadi N call. Dia kata pasal persahabatan, sayang nak lepaskan persahabatan yang terjalin. Saya bila diutarakan pertanyaan sebegini tak tahu nak cakap apa. Siapa yang pergi dan siapa yang jadi mangsa? Apa yang pasti jerebu di hati ini dah berlalu. Apa nak jadi sudah tidak menjadi hal. Tiada siapa yang rugi sebenarnya. Alah, saya tahu itu hanya pertanyaan dari seseorang yang kesepian bila tiada orang di sisi. Kalau mereka semua ada, saya hanya menjadi jerebu yang menyesakkan dirinya.

Friday, August 12, 2005

Kacau

KACAUNYA JIWA INI

PM menyeru umat Islam melakukan solat hajat mohon jerebu di negara kita cepat reda. Moga hujan turun selebat alam dan mencuci segala kekotoran yang dilakukan oleh manusia-manusia dari tangan-tangan mereka sendiri. Jerebu ini bukan benda baru. Cuma kritikal atau tidak sahaja. Setiap tahun berlaku perkara yang sama.

Bila dah kritikal ini buat sahajalah pembenihan awan itu, nak tunggu sampai bila lagi? Pelik pulak rasanya, bila jerebu ini seolah-olah berhenti di kawasan ini. Seakan angin tidak mampu menolak mereka ke kawasan yang lebih jauh melintasi Semenanjung. Pergilah tengah laut tu ker? Hahahha jiwa kacau betul bila tak boleh buat apa. Risaukan orang tua sebab indeks pencemaran yang paling teruk ialah di Kuala Selangor. Kasihan my parents, mesti depa tidur dan makan tak selesa tuhh. Esok lepas sembahyang Jumaat nak balik kampung. Aduh pergi ke kawasan ‘bencana’. Di CJ pun keadaannya teruk juga. Tidak banyak bezanya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengisytiharkan darurat jerebu bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang berkuat kuasa serta merta. Sehingga 11 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor mencecah 531, manakala di Pelabuhan Kelang berada pada tahap 529, paras yang diketegorikan sebagai "sangat membahayakan kesihatan". Bagaimanapun, pada jam 5 petang, catatan IPU di Pelabuhan Klang telah turun kepada 486, manakala di Kuala Selangor adalah 527.” (Utusan Malaysia, Khamis 11 Ogos 2005)

Orang selalu kata kalau nyanyi tak sedap, hujan akan turun yer? Hahahaha …

Thursday, August 11, 2005

Cuti


The Star (10 August 2005, Wednesday)



CUTI DUA HARI

Petang tadi dapat memo dari Dato’ Prof …

“This is to inform that I am declaring the Cyberjaya Campus to be closed for two days (11th & 12th August 2005) because of the worsening haze condition. The API index is now 197, 3 points below the critical level. The unhealthy level is 100-200. Above 200 is critical. All staff and students are hereby given leave for the 2 days. The Melaka Campus shall operate normally.”

Jadi dua harilah saya bercuti di sini. Nak balik ke CC, Yana masih ada kelas, jadi terpaksalah balik pagi Sabtu. Saya bolehlah membuat urusan yang tertangguh. Keadaan di CJ memang begitu teruk dan sudah masuk tahap bahaya. Udara tercemar sudah masuk dalam ofis mahupun dalam rumah. Mana ada ruang udara sahaja akan masuk dan menyesakkan pernafasan, rasa gatal-gatal dan ketidakselesaan.

Kalau ikut indek pencemaran dari laporan Utusan Malaysia ( 10 Ogos 2005) :

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Lima kawasan di Lembah Klang dan sekitarnya catat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap berbahaya pada jam 5 petang hari ini. Kawasan-kawasan tersebut ialah Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Putrajaya dan Petaling Jaya.
Selain itu, dua kawasan lain catat IPU tahap sangat tidak sihat iaitu Kuala Lumpur dan Tanjung Malim.

IPU diukur berdasarkan tahap 0-50 baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301-500 berbahaya.

Berikut bacaan IPU sehingga 5 petang 10 Ogos:
Kawasan-kawasan yang catat IPU tahap berbahaya:

1. PELABUHAN KLANG – 424
2. KUALA SELANGOR – 418
3. SHAH ALAM – 349
4. PUTRAJAYA – 337
5. PETALING JAYA – 304

Risau juga bila teringatkan orang tua di kampong. Kuala Selangor sudah mencapai tahap bahaya. Tadi call parents di kampong keadaan memang teruk. Harap mereka tidak keluar ke mana-mana. Tapi rumah kampong dan tidak beraircond tetaplah sama walau berada dalam rumah.

Masa ambil dia di Putrajaya tadi pun rasa sesak nafas dan tak selesa. Panas semacam jer. Dia bagi gelang manik kayu setelah balik dari Sabah, selama 3 hari untuk ‘team building’. Dia suruh saya pakai jam tangan di tangan kanan.

Esok nak memulakan project baru itu. Mungkin kali ini hasilnya akan lebih memberangsangkan.





Wednesday, August 10, 2005

EPF

EPF
Ada usul yang dikemukakan oleh EPF supaya suami mencarumkan minimum RM 50.00 setiap bulan untuk isteri yang tidak bekerja. Sudah pastilah Kementerian Pembangunan Wanita & Masyarakat amat menyokong perkara ini. Memandangkan tugas sebagai surirumah juga menuntut komitmen yang bukan sedikit dan tidak mendapat MC serta terpaksa ‘bekerja’ tanpa henti seumur hidup. Satu cadangan yang dikira amat bertepatan sekali.

Saya rasakan EPF patut juga mempertimbangkan semula cadangan supaya EPF boleh dikeluarkan untuk pencarum yang beragama Islam menunaikan Haji. Usul ini sering ditolak kerana ia melibatkan pengaliran wang keluar. Apa nak kisah, sebab lama kelamaan umat Islam di negara ini tetap juga akan keluar negara untuk menunaikan Haji. Ini soal masa dan had umur. Kita tak mahulah terpaksa menunggu sampai ‘kertu’ baru boleh . EPF patut membuka peluang ini, katakan ketika umur 40 atau 45 tahun. Pasti ianya akan memuaskan hati semua pihak.

Apalah gunanya duit yang banyak kalau tidak boleh digunakan ketika masih sihat. Memanglah ada kajian wang EPF akan habis dalam tempoh 3 tahun setelah dikeluarkan. Habis nak buat macamana semua benda kena disettledkan sebelum kita dijemput pula ke alam kekal.

Jika pengeluaran lain boleh dilakukan untuk kesihatan, pendidikan dan perumahan. Rasanya pengeluaran untuk tujuan yang baik ini tidak boleh dikesampingkan. Bila ada title Haji rasanya para pekerja sudah mula sedar diri dah semakin tua dan tidaklah mereka lakukan perkara-perkara yang menjerumuskan mereka kepada perbuatan keji kerana tindak tanduk mereka sentiasa diperhatikan. Maklumlah dah Haji :)

Tuesday, August 09, 2005

Mawi


Mawi juara AF3

ADUH SALIHA
Ofis saya diserang oleh suara Mawi, semua PC staff di ofis ini menjerit-jerit dengan Seroja dan Aduh Saliha. Kalau saya tak bercakap tentang Mawi rasanya kewujudan saya saat ini tak cukup World. Macam tak wujud di dunia saat ini. Semua suratkhabar paparkan berita kemenangan dia. Lelaki Felda yang dulu tak kenal dunia hiburan tiba-tiba disimbahi rezeki kurniaan Allah. Kesan kemurahan hati rakyat Malaysia juga.

Lebih suku juta nilai hadiah yang dimenanginya. Paling mewah dengan kemenangan bergaya menyapu bersih segalanya. Mahu membawa orang tua menunaikan haji dengan duit kemenangan. Boleh terus masuk meminang si dara pujaan. Semua pihak nak jadikan dia idola dan jadi jurucakap kempen “Belia Benci Dadah”. Mungkin juga Mawi sesuai juga untuk kempen “Tak Nak”, “Pertahankan Dara dan Teruna”. Aura Mawi cukup hebat saat ini. Paklah pun tidak mendapat tempat di hati kita sehebat Mawi.

Rezeki orang tidak terduga. Rezeki terpijak? Masa depan kita ditentukan oleh kita sendiri. Kita yang berhak berusaha mengubahnya. Setiap peluang yang terbentang perlu direbut. Usah persiakan. Kita tidak tahu sejauh mana kemampuan kita sebelum mencuba.

Satu nilai positif yang membekas tentang kejayaan mawi . Jadilah diri sendiri dan jalanilah hidup ini dengan seikhlas hati. Tidak perlulah dengki mendengki, mengadu-domba. Terus berusaha tanpa menghiraukan apa orang kata. Hidup kita kita yang menentukan hala tujunya.

Hidup Siti Khominah sekeluarga (Bersamamu TV3) pula tidak sebaik Mawi. Kehidupan kais pagi makan pagi. Mempertaruhkan nyawa melintasi sungai demi rezeki dari longgokkan sampah. Dicaci cerca santapan harian. Busuk bau badan tidak apa, kerana perkara yang paling mendera adalah karenah orang yang tidak memahami penderitaan kita. Namun hidup juga perlu terus.

Kemiskinan adalah kudis masyarakat. Bila miskin kita tidak punya sesiapa yang sudi membantu. Semua orang menjauh.

Benarlah kita perlu membantu diri sendiri, kemudian keluarga kita bila berkemampuan.

Sunday, August 07, 2005

Baby Syikin

BABY SYIKIN

Sabtu pagi saya balik ke CC. Jemput mak dan abah ke Banting. Tengok baby Syikin yang cute jerr . Berat dia 3.6 paun ker kilo yer (musykil pak cik). Melantak buah rambutan sampai sakit perut. Abang pun sakit perut, muntah jer setiap masa. Bapak dia hantar ke klinik. Bila nenek dia datang makan pun nak bersuaplah semuanya tu. Mana yang tak demam pun mengangga bukak mulut mintak nenek suap. Macam anak burung mintak makanan pulak. Teringat my mum selalu suap kitaorang masa kecil. Siap dukung adik bila time makan sambil jalan-jalan keliling rumah, kitaorang yang ikut kat belakang ni pun disuapkan sekali.

Ambil Yana di Kolej juga. Pagi Ahad pergi ke Bandar Banting. Yana nak carik stock makanan dia. Antara yang dia beli biasanya sekotak air mineral. 2 minggu dah habis. Tak mahu langsung minum air yang dimasak sendiri. Pelik betul adik aku seorang nih. Orang dah belikan cerek elektrik pun buat perhiasan jer.

Tadi baby Syikin kena pergi hospital sebab nurse yang datang ke rumah pagi tadi suruh my sis hantar dia ke hospital check darah. Nurse ni tiap hari datang ke rumah, tengok perkembangan baby Syikin. Ahad pun dia datang. Baguskan perkidmatan nurse nih. Yelah bukan setiap hari orang bersalin yer tak? Harap baby Syikin taklah demam kuning.

Lepas makan tengahari hantar Yana balik ke hostel. Saya pula balik ke CJ. Pening pulak, bila bangun tidur sakit kepala.

Saya teringat kena cari barang yang hilang. Berpeluh jugalah membuka kotak-kotak yang ada di dalam bilik nih. Hampir putus asa nasib baiklah kotak yang terakhir jumpa barang yang hilang tuuh. Selama nih asyik bukak kotak yang salah jer manalah nak jumpa barang tu kan? Hidup pun macam tu agaknya. Selalu tersilap membuat pilihan dan yang datang hanyalah kekosongan. Tiada makna.

Seseorang itu sentiasa menghubungi saya. Rasa best bila ada orang ingat. Tapi saya tak kenal dia di dunia realiti. Kawan maya. Tidak salah berkawan. Tapi tuggulah tahun bila kalau nak jumpa ker apa. Malas nak fikir. Nak betulkan jalan hidup dulu, terlalu banyak simpang-siur yang membelit. Kena lihat satu-satu, tidak boleh terus terkam mana yang datang.

Sedang mengumpulkan bahan untuk project seterusnya.

Saturday, August 06, 2005

Merayau

MERAYAU

Suka juga merayau sensorang bila tension dan untuk melepaskan kepenatan. Satu aktiviti paling best dan tidak memerlukan modal untuk melakukannya ialah melawat kedai akuarium di sekitar tempat tinggal. Selalu bila lapang saya memandu sensorang ke Dengkil-Puchong- Kajang-Bangi semata-mata melihat ikan-ikan berenang-renang di kedai akuarium itu. Bukan beli sangat pun, tapi kadang berjam juga melihat dan mengkaji gelagat manusia dan koleksi ikan yang ada.

Selalunya saya andaikan tahap kemajuan sesuatu tempat itu dengan melihat bagaimana sambutan penduduk terhadap kedai akuarium di kawasan itu. Kalau maju, maka tempat itu memang ramai penduduknya dan taraf hidup mereka juga agak memberangsangkan. Maklumlah kedai ikan dan akuarium hanyalah untuk hobi. Biasanya manusia meletakkan perkara ini paling bawah setelah memenuhi keperluan utama yang lain.

Saya juga melihat corak pembeli yang datang, ikan apa yang dipelihara dengan melihat makanan ikan yang dibeli. Anak ikan, cengkerik dan sebagainya selalunya untuk ikan-ikan mahal seperti Arowana. Waktu puncak biasanya selepas waktu pejabat, ramai yang berpusu-pusa datang untuk mendapatkan makanan hidup untuk ikan kesayangan.

Kagum bila orang cina boleh berjaya dengan mengusahakan kedai ikan hiasan yang kadang harga ikannya jauh lebih murah dari pesaing mereka yang lain. Selalunya memang tiada persaingan. Memang ada kaum cina tertentu yang menumpukan minat dalam bidang perniagaan ikan hiasan ini.

Hari ini tidak dapat menahan diri untuk menangguk ikan di akuarium dan menambahkan lagi koleksi ‘guppy’ yang ada.

PERMAINAN

Kubuka sebuah pintu dengan tangan yang
Berdarah
Dan impian pecah di dalam genggaman
Ketika di hatiku tiada lagi laut dan hutan
Untuk menyembunyikan segala rahsia
Seorang manusia bernama lelaki

Kini aku tak lagi takut menghadapi dendam
Yang dikirimkan oleh sunyi
Atau dusta yang selalu menari di depan matahari

Kerana telah kutemui wujudku
Di tengah pikuk serta muslihat dunia
Dan fikiran tidak akan kulacurkan
Di tengah ini permainan.

Marsli NO
Kuantan

Saya suka sekali sajak ini. Begitu bermakna dan dalam maksudnya.

Selamat berhujung minggu semua !

Friday, August 05, 2005

Program realiti

PROGRAM REALITI

“KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai isu program realiti di stesen televisyen tempatan, jelas menunjukkan kebimbangan kerajaan yang mahukan penerbit program itu tidak terus terjerumus menjadi pencedok budaya asing dan menjadi ejen pencemar akal budi generasi muda hari ini.”

Malaysia memang tak mahu kalah dan sentiasa ingin bersikap terbuka dan setaraf dengan negara lain di dunia. Kalau nak buat program realiti yang betul-betul elok ikut langkah TV3 – Bersamamu. Rasanya inilah program realiti TV paling berkesan. Namun oleh kerana pengsms biasanya terdiri daripada anak muda belia, maka jumlah sms tidak semeriah program realiti lain.

Saya ingin mencadangkan program realiti berikut untuk stesen televisyen tempatan.

Tema : Realiti TV – Dari Lorong Gelap Ke Menara

Para peserta : 10 peserta terdiri daripada kalangan pel*c*r di Lorong Haji Taib, Bukit Bintang dan kawasan sekitar.

Sinopsis :

Para peserta dalam program reality TV ini akan dibimbing oleh seorang lelaki yang mempunyai latar belakang keagamaan dan berpendidikan tinggi. Mereka semua akan tinggal di sebuah banglo terpencil di sebuah pulau di Malaysia. Setiap peserta akan diajar aspek keagamaan, kemahiran hidup, pendidikan yang berkaitan agar mereka berketrampilan dan berkeupayaani untuk mencari rezeki di dalam bidang yang mereka minati. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menarik mereka keluar dari dunia gelap ke kehidupan normal. Setiap minggu peserta akan diuji melalui aspek kemahiran dan penonton program realiti ini hanya perlu mengemail peserta mana yang perlu diundi keluar. Peserta yang menerima email tertinggi akan di Voted Out!

Pakaian : Semua peserta akan memakai Jilbab/Purdah. Hanya nampak mata dan tangan sahaja supaya identiti sebenar mereka dilindungi.

Hadiah
Pekerjaan tetap dan kalau nasib baik akan mendapat calon suami.

Entah ler ada ker stesen TV nak terbitkan rancangan seperti ini yer?

KELAHIRAN

Pagi tadi my sister selamat melahirkan anak perempuan. Semua selamat. Cucu dan anak buah ke – 9 keluarga kami. Bulan sembilan nanti akan muncul lagi muka baru, kali ini dijangka lelaki pula.

LAWATAN KE UiTM

Lawatan tadi memang successful. Banyak yang kami pelajari. Melihat perkembangan kampus UiTM menjadi mega universiti dan menjadi universiti bertaraf dunia. Memang sungguh mengkagumkan.

Thursday, August 04, 2005

Guru


Terpalit kenangan zaman persekolahan yang penuh keindahan dan keperitan saling bertindan.


BEKAS CUBITAN GURU

Guru-guru di negara kita wajib dibekalkan ilmu “Face to Face With the Media”. Aspek ini perlu dimasukkan sebagai salah satu kurikulum wajib di maktab perguruan di negara kita. Semua bidang di negara kita termasuk guru tidak terlepas dari perhatian media elektronik dan cetak di negara kita . Semua isu boleh dijadikan kisah sensasi di dada akhbar dan menjadi tontonan di media elektronik arus perdana.

Semua guru perlu bersedia untuk bertemu pihak media jika cuba mencuit, menampar atau memukul anak-anak murid di zaman ini. Adalah nampak tidak professional jika pengetua mengeluarkan kenyataan seperti “ Kalau ini sekolah samseng jangan hantar anak anda ke sini”. Marah benar tu …

Begitulah bila ibu bapa zaman sekarang bersikap terlalu protektif. Siapalah tak sayang anak kan? Ibu bapa sendiri tak pernah nak mencuit anak kesayangan mereka. Bila orang lain melakukan perkara tersebut ketika di bawah kawalan sekolah. Ibu bapa akan melenting. Media massa mengambil peluang untuk memancarkan ‘tragedi’ ini di kaca televisyen.

Kadang kala masalah itu boleh diselesaikan di peringkat dalaman sahaja. Tidak perlu kehadiran media. Tapi bila hati tengah marah mana nak ingat itu semua kan? Media massa pula ambil peluang sebab terlalu prihatin dengan isu ‘human interest’ sejak akhir-akhir ini.

Zaman saya dulu guru pukul tangan dengan pembaris kayu kuning sedepa untuk setiap kesalahan latihan ilmu hisab. Seorang guru lelaki berambut kerinting itu pula suka mencubit di bahagian dada dan lebih tepat di bahagian t*t*k. Sakit sangat, nasib baik ler tak putus. Walaupun budak lelaki tak ler penting sangat benda tukan. Alhamdulillah, takderlah kesan calar yang kekal. Saya tak pernah beritahu orang tua tentang ‘penderaan’ yang guru buat ketika itu. Takut kena marah lebih teruk dan adik beradik lain ketawakan. Bila kena pukul dan cubit ketika berjalan kaki ke rumah tidak seceria selalu. Tali beg sandang hijau yang penuh corak diletakkan di kepala. Jalan nonong jer, menahan sakit. Malamnya buat kerja rumah dengan lebih tekun, harap esok tidak kena pukul kalau tidak mendapat markah yang sepatutnya.

Zaman sekarang kalau kena macam tu harus wartawan TV datang membuat liputan. Anak-anak zaman sekarang kuat berlakon kalau sakit sikit. Suka mengadu berlebihan. Ibu bapa pula akan mudah membuat keputusan dan akibat sakit hati laporan polis akan dibuat. Golongan pertengahan seperti mereka mempunyai ‘network’ yang baik dengan orang dari pelbagai latar profesion yang mahu menangguk di air keruh.

Semua profesion terutama yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pendidikan terdedah dengan saman menyaman serta liputan media. Memanglah diakui ada perkara-perkara yang perlu didedahkan di dada akhbar. Namun katakan seorang juvana membunuh dia tidak boleh di hukum di atas kesalahannya itu kerana di bawah umur. Kanak-kanak menjadi bertambah ganas bila mengetahui undang-undang berpihak kepadanya. Bila mereka mengetahui perkara ini kesan lebih dahsyat akan berlaku. Samseng dan buli tidak akan berkurang.

Guru –guru menghadapi tekanan untuk memastikan anak murid berdisiplin sedangkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengatasinya. Tindakan berbentuk kekerasan tidak boleh dipraktikan kerana kesannya akan memakan diri sendiri.

Jadi inilah dilemma yang perlu dihadapi oleh kita semua. Anak orang tetap anak orang.



Wednesday, August 03, 2005

Asid


Sepasang mata menikam kalbu.



COBALAH UNTUK SETIA

Lawak pun ada, kesian pun ada bila terbaca kisah askar(30 thn) yang di simbah asid oleh isterinya. Itu baru meluahkan hasrat untuk beristeri dua, kalau sudah berkahwin lagi harus terus ‘dibobbitkan’ agaknya. Bila sudah melecur separuh badan siapalah yang rugi, dua-dua rugi. Suami bakal tidak lagi handsome sepanjang hayat, marah pada isteri dan silap gaya kena cerai. Si isteri, umor pun lebih tua (50 an) dari sang suami, kenalah mengalah sikit. Yelah dah tahu Islam benarkan berkahwin sampai 4 kalau mampu, nak buat macam manakan? Masa macam ini ada tali pinggang hitam taekwando pun sudah tidak berguna.

Sebenarnya sangat ramai lelaki setia di luar sana. Balik kerja ‘on-time’. Terkejar-kejar nak hantar anak ke tuisyen, ambik anak dari sekolah segala. Pendek kata ramai jugalah suami dan bapa mithali di luar sana tu. Ramai juga yang boleh saya jadikan contoh bila diri sendiri berumahtangga nanti. Banyak kisah benar yang boleh dijadikan panduan.

"Moral of the story', janganlah buat lawak nak beristeri 2 ker di depan isteri, sedangkan masa bercinta jeling perempuan lain pun dia sudah 'muncung sedepa'. Sendiri mahu ingatlah yer. Berhati-hati sebelum terkena. Malang tidak berbau.


JEREBU

Cyberjaya berbau hangit akibat kebakaran hutan paya di kawasan sekitar. Udara jadi tidak sihat untuk dihidu. Aktiviti ‘mengeteh’ pun jadi tidak selesa. Habis kerja kena berkurung di rumah.

Tuesday, August 02, 2005

Si kecil


Si Kecil


TERBUANG

“ALOR STAR 30 Julai - Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan pagi ini nyaris mati akibat sesak nafas setelah diletakkan di dalam sebuah beg bertutup yang ditinggalkan di hadapan tandas lelaki Masjid Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini.”

Zaman jahiliah, dan sikap barbaric yang tidak berkesudahan. Benih sendiri di buang merata-rata. Mungkin inilah salah satu kesan yang diutarakan hasil kajian Profesor Madya Dr Lekhraj Rampal dari Universiti Putra Malaysia :

“Secara keseluruhan, kebanyakan rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks sebelum kahwin. Kebanyakan rakyat negara ini hilang dara atau teruna menjelang usia 22 tahun, sebelum kebanyakan mereka melangkah ke gerbang perkahwinan.”

Hebat tak negara kita ini? Glokal juga dalam aspek-aspek tersebut. Mungkin kalau ramai sangat anak di luar pernikahan dilahirkan di negara ini. Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan orang bujang lelaki dibolehkan/dipermudahkan mendapatkan anak angkat. Memanglah menjaga anak bukan seperti memelihara haiwan peliharaan. Sedangkan memelihara kucing parsi juga perlukan kos yang tinggi, lebih baik orang bujang seperti saya ini mengambil anak angkat jika berkemampuan. Sokongan dari keluarga dan saudara terdekat pastinya memberikan ruang untuk anak itu membesar menjadi warga negara yang berguna.

Apakah pandangan masyarakat bila lelaki bujang mengendong bayi ke mana-mana yer? Tohmahan masyarakat pasti tak boleh dielak. Kalaulah saya sendiri mengalami situasi tersebut dapat dijangkakan kesannya. Kenapa tak kahwin? Bela anak sendiri? Tiada beban batu digalas?

Di universiti ini ada disediakan taman asuhan kanak-kanak. Rasanya boleh sahaja dilakukan. Cuma tahap kesediaan mental dan emosi kena kuat. Teringin juga mendapatkan anak angkat bila masanya sesuai.

Saya jangkakan bila usia meningkat nanti dan JIKA masih sendiri, perkara ini boleh dipertimbangkan semula. Rezeki itu sudah ditentukan. Rasanya kaum kerabat saya subur-subur belaka. Saya .... errrr not yet tested lerr heheh!


Aku Ingin Kembali

Ya Ghafur
padamkanlah semua titik-titik dosa
yang tercipta semalam
sama ada sedar atau lupa
aku ingin kembali memiliki diriku
yang wangi
yang suci
biar penghujung nafasku
dalam iman yang kukuh
yang utuh!

Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka
(Mingguan Malaysia 31 Julai 2005)

Sunday, July 31, 2005

Minyak

NAIK LAGI SEPOSEN!!

“Kerajaan memutuskan harga runcit diesel dinaikkan 20 sen lagi seliter, petrol naik 10 sen seliter dan harga runcit LPG bertambah lima sen satu kilogram, berkuasa hari ini. Dengan kenaikan itu, harga Semenanjung bagi seliter Petrol RON 97 meningkat kepada 162 sen, Petrol RON 92 (158sen), diesel (128.1sen) dan LPG (145sen).” ( BH 31Julai 2005)

Akan terus naik dan naik lagi. Kalau mencecah RM 2.00 seliter nanti nak ke mana-mana kena baget ler. Nak balik kampong tiap minggu pun dah tak boleh nanti. Setakat 31 Julai 2005, kalau isi RM20.00 dapat dalam 12 liter lebih dan boleh ler kereta saya pergi dalam 200 km. Satu alasan yang baik untuk terus kekal menggunakan kereta nasional terutama Proton yang taklah kuat ‘menelan’ minyak seperti kereta import.

Setakat ini saya boleh berjalan kaki ke pejabat. Gunakan kereta bila nak ke bank atau semasa nak ke Masjid di Dengkil. Tetapi kalau nak balik kampong tiap minggu rasa perit juga. Kalau tak balik rindu pulak kat keluarga, lagi pun boleh ‘mengngong’ kalau duduk sensorang di CJ ni.

Nasib baiklah saya tak suka ‘ngeluyur’. Hidup saya sentiasa tetap di kawasan ofis dan tempat persinggahan sahaja. Kalau ada ‘mambang’ yang duduk jauh-jauh lagilah parah yer tak? Bayangkan kalau dapat buah hati di Trengganu/Kelantan tuhh …sendiri mahu ingatlah yer. Kena carik orang satu negeri, sekampong lagi baik.

Sekarang buat sesuatu kena buat kajian dulu. Buat analisa kos, mesti tahu kos melepas dan impak yang bakal diperolehi.

Kadang terfikir adakah kerajaan sekarang mewarisi sebuah kerajaan yang hampir muf...? Tampung kebocoran di sana-sini?

Oppps!

“ … pembiayaan subsidi secara berterusan, mengakibatkan pengurangan perbelanjaan bagi projek pembangunan seperti sekolah. hospital dan jalan raya.”


BACA CERPEN BEST INI …”Jalan Bukit Tidak Berbulan”

Karya Siti Hajar Mohd Zaki (BM, Sastera, 31 Julai 2005 p:8). Rasanya berdasarkan kisah benar tentang remaja yang di tahan di Zouk dulu. Sarat dengan hujah yang padat dan menyedarkan. Kupasan isu sosial yang mantap, penuh nilai keislaman yang sarat.

“Mereka miskin pakaian. Fakir akhlak. Papa kedana sifat malu. Benar ujar Rasulullah, kalau kamu tiada rasa malu, berbuatlah apa saja! Pakaian arahan-Nya yang berkehendakkan melindungi gemerlap mutiara seorang wanita telah dimalapkan oleh rekaan ‘up-to-date’ kononnya. ‘Up-to-date’ yang hanya menutup ‘yang perlu’ bukannya yang mudah diterjemahkan penuh nafsu.”

Bacalah Berita Minggu Ahad 31 Julai 2005. (***** bintang untuk cerpen ini)

SUKA PUISI INI JUGA …

Lelaki Yang Lari

Dia adalah lelaki yang lari
Menebang rindu di belantara kacau
Menarah bukit di cenuram lurah
Membakar jerami huma di lerengan,
Tiba-tiba ketika sampai di penara
Dia kehilangan suara.

Tanpa menanti, dia kecewa
Gondolan suasana menjadi angin berlari
Ruang terbuka dipanahi mentari
Untuk apa menanti lagi, bisiknya sendiri.

Alam semestinya memarahi
Ketelanjuran seorang lelaki
Biarlah dalam pelarian, dia mati.

Jamaludin D
Langkawi
(BM, 31 Julai 2005 p:8)

Balik kampong. Mak dan abah sihat. Tiada isu berbangkit. Semuanya aman damai seperti angin yang menyelusup masuk dari celah tingkap. Membuai-buai lembut langsir biru. Menyegarkan dan memberi tenaga. Namun, tiada siapa yang tahu seorang lelaki itu, menahan gempa dalam diri!

Saturday, July 30, 2005

Cinta


Cinta ini ...

Tentang Cinta

Ungkapan cinta Pablo Neruda . . .

“I do not love you as if you were salt-rose, or topaz or the arrow of carnations the fire shoots off. I love you as certain dark things are to be loved in secret, between the shadow and the soul.

Love you as the plant that never blooms but carries in itself the light of hidden flowers thanks to your love a certain solid fragrance risen from the earth, lives darkly in my body.

I love you without knowing how, or when, or from where I love you straightforwardly, without complexity or pride I love you because I know no other way than this where I does not exist, nor you.

So close that your hand on my chest is my hand, so close that your eyes close as I fall asleep.”

Doa Hayati …

"Jika cinta itu satu dosa, ampunilah dan maafkanlah! Hamba akan turut perintah-Mu, hamba tak akan melanggar larangan , tak akan menghentikan suruhan. Akan hamba simpan, biarlah orang lain tak tahu, tetapi izinkan hamba ya Tuhan.”

( Hamka . “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, Pustaka Dini :2004, p: 46 )

Kata-kata Basri kepada Rita

“Cintamu, cinta yang berputik dalam keadaan rusuh. Cinta hari-hari rusuhan tak upaya kau bawa ke mana-mana."

Kata –kata cinta yang terlafaz adalah kata-kata pengorbanan. Arghh kalaulah dia terus meyakini itu …

“Selagi bangsa kita tidak melontar jauh-jauh feudal mind yang terpasak dalam batang tubuh kita ini, selagi itulah kita tak akan mampu menyaingi bangsa-bangsa lain di dunia ini. Kita menerima pengukuhan-pengukuhan itu sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Teguh dan tidak mungkin digugat lagi. Ketaatan dan kesetiaan mudah dijual beli dengan habuan kebendaan dan inilah ciri feudal mind yang paling bodoh serta hodoh dan punca sebenar kerendahan taraf bangsa kita …”

( Faisal Tehrani. “Cinta Hari –Hari Rusuhan”, Creative Enterprise:2000 , p: 1-2)

Saya menerima HANYA ini daripada seseorang yang pernah diberikan seluruh cinta ,

Apa nak buat kalau berat dah 65kg? Nak puasa tak larat. Rindu pulak nak gaduh dgn awk. :)
29-July-2005 17:26:31

Sudah hilang tidak usah di cari lagi. Biarkan ianya tersimpan di lubuk paling dalam. Berikan ruang untuk kenangan baru bercambah subur. Menanti, bukan penantian lagi. Saya sudah lama berhenti berharap.

Nota : Entry yg amat personal

Friday, July 29, 2005

Blog

NON - CONVENTIONAL MALAY BLOG

Saya terpanggil untuk menulis komen saudara Azhan Jusoh tentang penulis blog Melayu di negara kita . Memetik tulisannya yang tersiar di Berita Harian 27 Julai 2005,
“Saya sedih dengan kegilaan masyarakat sekarang dengan kebangkitan rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia. Bukan saja remaja, malah mereka yang sudah berumur juga tidak kurang ketinggalan mempersoalkan isu remeh ini.

Kebangkitan blog (laman internet) yang mengupas rancangan ini, sama ada mengenai persembahan pelajar, tarian, baju dipakai tidak kena dengan lagu dan lain-lain, turut melambangkan pemikiran orang Melayu.

Rata-rata blog ini dibangunkan orang Melayu yang mempunyai pekerjaan tetap. Saya hairan, mana mungkin mereka mempunyai banyak masa untuk menulis perkara remeh seperti itu, melainkan menggunakan masa bekerja di pejabat.

Ini amat mengecewakan kerana selain mensia-siakan masa yang ada, majikan juga akan kerugian dengan perilaku kakitangannya yang tidak bertanggungjawab ini.
“


Terlebih dahulu saudara perlu memahami konsep blog yang ada, pengisian yang ingin mereka buat dan komitmen yang dilakukan. Rasanya tiada siapa melarang seseorang menulis mengikut minat dan kepakaran mereka. Terdapat begitu banyak penulis-penulis blog yang membicarakan tentang isu sosial, keagamaan, ulasan buku dan seribu satu perkara yang berdetik di dunia ini. Mungkin saudara Azhan Jusuh tidak berkeupayaan membuat pencarian 'blog-blog super' yang menjurus kepada pengisian ilmiah yang selalunya tidak menonjol dan kurang perhatian dari khalayak pembaca.

Namun blog-blog ini terus dikemaskinikan bertahun lamanya dan mencipta reputasinya yang tersendiri. Memanglah diakui blog yang membicarakan topik hangat semasa contohnya tentang AF akan mendapat hits berpuluh ribu sehari berbanding blog yang menulis perkara yang bersifat ilmiah. Namun konsep penulisan seseorang itu amat berbeza. Bukan sedikit penulis blog yang menulis tentang pengalaman kehidupan yang memberi manfaat kepada pembaca serta ditulis cukup bersahaja dengan gaya bahasa yang teratur.

Ada juga blog AF ditulis dengan gaya bahasa terkawal dan cukup enak didengar. Itulah identiti blog tersebut dan dengan hits yang begitu tinggi diharapkan ianya dapat mencambah-biakkan semangat pembaca untuk mendalami isu-isu yang lebih mencabar minda. Semangat menyelusuri blog-blog yang lebih serious topik perbincangannya secara tidak langsung akan terjadi.

Saya menyeru kepada mereka yang terbabit menggunakan pemikiran mereka untuk memartabatkan bangsa. Banyak lagi isu semasa yang boleh dikupas untuk tujuan perbahasan bersama. Banyak lagi agenda Melayu yang perlu kita perjuangkan.
Sepatutnya, dengan adanya prasarana internet, kita boleh berbincang dan berkongsi pendapat dengan segenap lapisan masyarakat mengenai isu lebih penting.

Kita memerlukan pendapat dan saranan yang utuh untuk terus mengemudi negara.

Saya berharap pemilik blog Melayu janganlah terus alpa dengan isu remeh rancangan realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Bangkitlah dan terus menjana masa depan negara berteraskan sahsiah Melayu Glokal.

AZHAN JUSOH,Sri Damansara, Selangor.
Sumber : Surat Email ( Berita Harian 27 Julai 2004)

Blog merupakan media alternatif. Apa sahaja yang ingin ditulis akan tersiar tanpa tapisan dan kawalan. Pembaca akan memberikan input sebagai maklum balas. Pembaca juga terdiri dari pelbagai golongan. Tidak semuanya mahir tentang apa sahaja topik yang ingin diperdebatkan. Tidak hairanlah isu-isu serious biasanya tidak mendapat maklumbalas yang diinginkan walaupun sudah ditulis semudah yang mungkin. Namun ramai pembaca senyap akan memahami sesuatu perkara itu melalui pembacaan yang singkat ini. Rasanya jika ini berlaku, matlamat penulis untuk menyebar-luaskan maklumat dan ilmu itu telah tercapai.

Soal bagaimana penulis blog mencuri masa mengemaskinikan blog mereka bukan persoalan pokok. Tetapi komitmen dan masa yang dikorbankan itu lebih penting. Ramai penulis blog menulis sekadar hobi dan menambahkan kenalan di dunia cyber, mereka menulis untuk kepuasan peribadi. Lagipun terdapat kekangan jika terlalu ‘terbuka’ dan ‘celupar’ pasti musibah akan menimpa diri seperti apa yang terjadi kepada seorang penulis blog yang menulis tentang Islam Hadhari tahun lepas.

Untuk blog-blog Melayu yang menulis di luar kebiasaan, teruskan menulis. Suatu hari nanti pembaca akan bijak memilih antara kaca dan permata. Blog sudah menjadi wadah merakam kehidupan dan ilmu pengetahuan. Menyampaikan pemikiran bangsa tanpa sempadan.

Biar bermula sebagai picisan daripada tidak menulis langsung.

Thursday, July 28, 2005

Semut

ENJET-ENJET SEMUT

Tun M mengulas isu AP dengan begitu hangat sekali. Katanya “In the Umno general assembly, the minister made several claims that were not correct. During a television interview, she also alleged that I had forgotten this and that. Although I am already 80 years old, I am not senile yet.” (The Star 27 July 2005).

Saya malas nak mengulas isu AP. Sebab ianya kudis yang hinggap pada beberapa orang Melayu sahaja. Bukan golongan mahrin seperti saya. Cuma saya tertarik pada komen Tun M, “Walaupun saya berumur 80 tahun saya belum nyanyuk lagi”. Tun menjadi penasihat kepada beberapa badan korporat seperti Penasihat kepada Proton, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Pembangunan Tioman dan Penasihat Petronas. Selain itu Tun juga menjadi canselor UTP dan satu-satunya canselor yang bekerja dan mempunyai pejabatnya sendiri di kampus. ( Canselor lain tidak seaktif beliau, datang ke kampus buat kerja). Juga mempunyai pejabat yang cantik di Yayasan Kepimpinan Perdana. Tun menggunakan sepenuh kudrat dan masanya berfikir jadi mana mungkin dia nyanyuk.

Ayah saya juga sentiasa mengaji. Suaranya terdengar begitu syahdu .Memang semakin tua kita, jika rajin menggunakan daya pemikiran kita kebarangkalian kita dirundung kemurungan dan nyanyuk amat tipis. Sentiasa berfikir maksud saya.

Tapi saya sendiri pelupa orangnya. Terutamanya lupa nama orang dan nombor-nombor penting. Saya tidak mengingati nombor. Otak saya gunakan membuat kerja lain. Adakah masalah lupa saya ini disebabkan banyak termakan semut secara tidak sengaja?

Penyelidik dari University of Pittsburg menyarankan “Jika sesorang itu sering terlupa nama sejurus selepas mendengarnya, atau tidak dapat menggingati 5 barang yang ingin dibeli ketika pergi membeli belah, sila check tekanan darah anda”.

Kajian telah dilakukan keatas orang yang bekerja dengan tekanan darah normal dan tekanan darah tinggi. Otak akan merekod tindakbalas yang diterima di bahagian otak yang berlainan ketika ujian dijalankan.

“Individu yang mempunyai tekanan darah normal mempunyai daya ingatan yang tajam berbanding mereka yang mempunyai masalah hypertensi ketika ujian daya ingatan dijalankan. Mereka juga mempunyai perjalanan darah ke otak yang lebih baik, yang memungkinkan salah satu faktor penting ke atas keupayaan daya ingatannya,” menurut Richard Jennings seorang Psikologis.

Jenning juga menyatakan bahawa memastikan tekanan darah di tahap yang memuaskan juga akan melindungi jantung kita. Dan perkara ini secara tidak langsung akan memberikan impak kepada keupayaan daya ingatan yang lebih baik.

Jadi kenyataan ini juga memberi jawapan kepada masalah pelupa yang dihadapi oleh sesetengah dari kita.

Bukan sebab termakan semut sahaja rupanya.



Wednesday, July 27, 2005

Tentang sahabat

TENTANG SAHABAT

Hari ini saya ingin menulis tentang seorang sahabat. Anehnya hanya dia yang saya rasa amat memahami susah senang diri ini. Masalah dan kegembiraan yang dikongsi. Sahabat sejati ialah seseorang yang kita tidak segan-silu berterus terang dan dia boleh membaca perubahan riak wajah kita. Namun kewujudannya amat sedikit di dunia ini. Bukan selalu kita berpeluang menghargai apa yang seorang sahabat boleh lakukan kepada kita.

Selain ibu kandung, siapa lagi yang mampu bersusah payah dan membantu tanpa syarat bila kita mengalami kesusahan hidup? Adik-beradik kita faham benar keadaan mereka. Hanya sahabatlah jalan terakhir bila berada di lorong gelap tanpa cahaya.

Kami bekerja satu ofis, pernah tinggal serumah. Saya pernah mengambil upah menyiapkan tesis kesarjanaannya dulu. ( Upahnya lumayan sekali, 4 angka. Mencari bahan dan menaip sekali tapi sorry yer dapat B+ sahaja sebab salah dia tak selalu merujuk supervisor).Yup dia mengalami glaucoma/masalah penglihatan. Ketika itulah juga perkahwinanya retak.

Tadi saya berkata padanya. Saya akan namakan anak saya sempena namanya jika diberikan rezeki suatu hari nanti. Tapi saya paksa dia ambil nama saya untuk anaknya pula. Pastilah dia geleng kepala. Lantas dia mencadangkan pelbagai nama untuk ‘anak’ saya nanti.

Tapi, saya terpaut pada nama Azhan Uthmani. Menggingati seorang sahabat pada nama anak yang entah bila akan dilahirkan kadang seperti kerja gila. Memang agak gila bila bekerja extended working hours seperti sekarang ini. Hidup dalam lingkungan cubicles, hanya pada merekalah kita menumpang gembira, seperti sebuah keluarga mengisi kehidupan.

Tuesday, July 26, 2005

DEB

DEB
“Presiden Gerakan, Lim Keng Yaik mengesyorkan agar para pemimpin Melayu mengkaji punca sebenar kegagalan orang Melayu mencapai 30 peratus ekuiti setelah 35 tahun DEB diguna pakai.”

Saya agak bersetuju dengan syor Lim Keng Yaik ini mengapa kita tidak dapat mempertahankan ekuiti yang kita miliki dan setelah 35 tahun ianya semakin merosot. Maka Melayu UMNO mahukan ianya diteruskan. Dibuat lebih baik dan selamat kerana sebelum ini berlaku ‘kebocoran’.

Jika dilaungkan sebagai Melayu sudah pasti ianya Melayu UMNO. Pelbagai kelompok Melayu di negara kita memakai topi kepimpinan yang berbeza. Kita sendiri belum bersatu hati. Bangsa Cina walau nampak pelbagai parti tapi nawaitu mereka tetap satu untuk memperjuangkan bangsa mereka. Perhimpunan mereka sendiri dilakukan dalam bahasa Cina. Kita (Melayu UMNO) mencanang strategi biar semua orang tahu dan meminta pula pandangan bangsa lain tentang apa yang diusulkan itu. ‘Dia’ itu sesiapa? Kenapa perlu meminta pandangan dan terasa bersalah membantu bangsa sendiri?

Siapa yang menghina bangsanya sendiri? Siapa yang menjahanamkan bangsanya sendiri? Siapa yang melakukan pengkhianatan terhadap bangsanya?

DEB seharusnya bukan berkaitan soal kekayaan sesetengah golongan terpilih penyokong kerajaan sahaja. Kekayaan negara harus dinikmati oleh semua orang. Soal tidak makan, setinggan, keciciran dari mendapat pendidikan seharusnya sudah dapat diatasi. Bukan soal siapa dapat apa di syarikat korporat mana.

Sepatutnya Melayu Muslim di negara kita kaya raya. Wang zakat sahaja sudah berjuta-juta dikutip setiap tahun. Namun mengapa kemiskinan terus membelenggu? Mengapa ada yang masih tidak cukup makan? Mengapa ada yang berterusan meminta-minta di negara sendiri.

Cuba renungi semula kata – kata Datuk Dr Norraesah Mohamad bahawa “Pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin mengekang. Sebelum DEB jurang perbezaan dalam pendapatan atau income disparity ratio antara Melayu dan Cina ialah 1:2.29. Pada tahun 1999 ia menurun kepada 1:1.74 dan kini berada pada tahap 1:1.83.

Ianya memberi maksud setiap 1 ringgit yang diperolehi oleh orang Melayu, rakan Cinanya memperolehi hampir 2 kali ganda . Ianya semakin meningkat kini. Ianya juga memberi maksud bahawa matlamat kesamarataan iaitu aspek penyusunan semula masyarakat jauh dari sasaran.

Menjiwai semula matlamat DEB amat penting. Namun ianya perlu dilakukan lebih menyeluruh. Bukan memberi kekayaan pada golongan Melayu terpilih sahaja.

Ibu Bapa

Garis panduan melayani ibu bapa

DALAM Islam warga tua mempunyai kedudukan tinggi, lagi istimewa. Untuk itu, Islam memberikan beberapa garis panduan bagaimana mereka seharusnya dilayani.


Inti pati garis panduan itu dijelaskan dalam ayat 23 dan 24, surah al-Israa’ yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai pada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).


“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.”


Secara umumnya, anak dituntut untuk berbuat baik kepada orang tuanya. Tuntutan ini memang patut bagi membalas segala budi dan jasa mereka yang membela dan memelihara anak daripada kecil hingga dewasa.


Oleh itu, menjadi tanggungjawab anak untuk memelihara ibu bapa.
Lima prinsip yang perlu diberi perhatian anak dalam melaksanakan tanggungjawab ini mengikut ayat di atas ialah:


1. Jangan bercakap kasar dengan mereka dengan perkataan seperti “Ha” atau “Ah”.
Dalam kata lain, jangan mengeluarkan perkataan yang menggambarkan rasa tidak senang si anak kepada ibu bapa atau mengeluh dengan kerenah mereka. Hal ini kerana perkataan itu merendah-rendahkan kedudukan mereka sebagai ibu bapa serta akan melukakan hati mereka.


2. Jangan menengking mereka.
Alangkah mengeluh pun tidak boleh, inikan pula menengking atau menyergah mereka.


3. Anak hendaklah berkata dengan ibu bapa dengan kata-kata sopan, hormat dan penuh kasih-sayang serta menggunakan nada lembut dan suara perlahan.


4. Anak hendaklah merendahkan diri di hadapan orang tuanya. Setinggi mana pun ilmu atau pangkat si anak itu, ia perlu merendahkan dirinya di hadapan kedua-dua orang tuanya.


5. Anak perlulah berdoa untuk orang tuanya agar Allah mengasihi mereka dan mengurniakan nikmat dan rahmat selama umur mereka masih ada.


Doa itu adalah antara usaha kita membalas budi ibu bapa yang memelihara sejak lahir.


Sumber : Berita Harian
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Agama/20050725002611/Article/


Bila baca artikel ini, saya teringat kepada mak dan bapak di kampong. Dua hari di kampong dan melihat rutin mereka. Pergi ke pasar malam, masak dan buat itu ini sibuk sekali. Yana dah balik ke kolej mesti mereka sunyi. Rambut sudah putih, termenung di tangga mengingati masa lalu.

Selalu saya berkata pada sendiri . Berilah saya kelapangan masa agar selalu dapat bersama mereka. Berilah saya kekayaan dunia moga dapat memberikan mereka hidup yang lebih selesa. Saya sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kesihatan mereka.

Terlalu banyak yang mereka beri, terlalu singkatnya masa.

Monday, July 25, 2005

Tiada dikau

TIADA DIKAU, TIADA MAKNA

Saya bercuti hari ini. Hantar Yana balik ke kolej. Mak datuk penat sangat, segala macam benda nak diangkut balik. Dari mineral water sampailah segala macam snek. Saya dulu tak derlah macam tu. Satu beg jer bila balik ke asrama. Perempuan semua benda kena lengkap.

Banyak benda berlaku . Seorang staff perempuan saya kehilangan bonda tercinta pada Sabtu malam Ahad minggu lepas. Kebetulan saya berada di kampong. Tak dapat melawat jenazah di Melaka. Tadi bila saya tengok dia di ofis, masih bersedih pilu. Seminggu sudah berlalu. Tapi yelah bonda kita. Siapa tidak terasa kehilangan. Namun hidup perlu diteruskan. Al-fatihah.

Semalam melawat Julie yang sudah sarat, bulan September dia dijangka bersalin. Masa berlalu terlalu pantas.

Satu berita gembira, Pn S sudah bertugas semula hari ini. Kesian dia, selepas melahirkan, kena denggi pula. Satu keluarga pulak tu. Nasib baiklah baby dia tak apa-apa. Rasa seronok sebab bolehlah saya menumpukan seluruh kudrat pada dept sendiri. Tidaklah lagi terkejar-kejar.

Tengah tunggu kawan nih. Nak bagi baulu yang dia pesan dari CC. Baulu yang dibuat kat sini lembut jer tidak keras.

TIADA DIKAU TIADA MAKNA

Hatiku retak
Mengejar bayang
Puas ku dakap
Kau terus menghilang

Kemarilah sayang
Kembalikan bahagia
Kini dan untuk selamanya

Usah kau prasangka
Resah dan meneka
Daku damba cintamu Cuma
Kau teristimewa

Kesilapan
Tiada kemaafan
Kau tinggalkan daku
Bersama harapan

Tiada dikau tiada makna
Maghligai yang telah kita bina
Hancur berkecai

Hatiku ini retak
Mengejar baying
Puas ku dakap
Kau terus menghilang

Kemarilah sayang
Kembalikan bahagia
Kini dan untuk selamanya

Usah kau prasangka
Resah dan meneka
Daku damba cintamu Cuma
Kau teristimewa


Lagu & Lirik : Hazami
Penyanyi : Siti sarah

Saturday, July 23, 2005

Rindu


The Neon Tuxedo Guppy.



Dia rindu kat saya ...

Dia call saya di ofis. Dia macam takut-takut bila bercakap. Yelah hari tu macam dah tak mahu sangat nak cakap dan berkawan dengan saya. Rasa sudah tak ada hari esok lagi rasanya. Sudah tak ada langsung kebaikan yang pernah saya buat untuknya. Dia marah dan saya juga angin ketika itu. Berminggu senyap. Masing -masing tak mahu mengaku kalah. Teori-teori yang dipelajari sudah tak boleh pakai. Maklumlah ketika kepala tak betul SMS pun lebih kepada benda-benda yang tak betul sahaja. Tadi saya menahan ketawa ketika berbicara dengannya, baru dia rasa ... best jugak kenakan orang macam tu sekali sekala. Sekarang saya sudah bahagia dan kegembiraan yang diperolehi membuatkan saya juga tidak memerlukan dia lagi (sebagaimana dia juga). Keadaan menjadi begitu formal sekarang. Bila dia cuba melawak saya hanya terdiam, ya menelan segala kata-kata pahit yang pernah terhambur.

Awak ... saya tidak pernah berdendam. Rezeki orang biarlah.

Friday, July 22, 2005

Dan

Dan

Dan
Bila esok datang kembali
Seperti sedia kala
Di mana kau bisa bercanda

Dan
Perlahan kau pun
Lupakan aku mimpi buruk mu
Dimana telah ku tancapkan duri tajam
Kau pun menangis menangis sedih
Maafkan aku

Dan
Bukan maksud ku
Bukan ingin ku melukaimu
Sedarkah kau di siniku pun terluka
Melupakanmu menepikanmu
Maafkan aku

Lupakanlah saja diriku
Bila itu bisa membuatmu
Kembali bersinar
Dan berpijar seperti dulu kala
Caci-maki saja diriku
Bila itu bisa membuatmu
Kembali bersinar
Dan berpijar seperti dulukala

Sheila On 7

Dan aku tahu waktu itu tidak akan kembali lagi … Aku sudah terlalu penat dan letih. Hujung minggu yang amat kunantikan. Minggu yang amat menduga. Penilaian prestasi sudah sampai ke kemuncaknya. Boss pun tidak dapat memberikan kata putus.

Semalam seorang staff kontrak meminta aku menyokong permohonannya menyambung kontrak. Itulah bila diberi peluang, tidak mahu menggunakan sebaiknya. Bila sudah hilang dalam genggaman, baru menggelabah. Boss marah dia bersungguhan , aku jadi saksi . Seingat aku mak aku sendiri tidak pernah marah aku sebegitu. Tadilah baru aku rasakan seperti rezeki itu datang dari langit, membuka hatinya memberi keizinan. Sedangkan sudah berkali-kali boss menyatakan kontrak staff itu sudah ditamatkan. Kadang aku terfikir kenapa sesetengah orang tidak menghargai rezeki yang diterimanya, kerja main-main tidak bersungguh hati. Aku tidak tahu apa yang membuatkan dia begitu.

Sedangkan aku waktu cuti pun aku pergi ke pejabat. Hahaha yelah aku tinggal di sinikan.

Thursday, July 21, 2005

Isu AP

ISU AP

AP ( Permit Import) – Terhangat di pasaran. Sampai nangis-nangis mempertahankan tindakan. Al-Quran menjadi saksi. Semua benda nakkan bukti. Tak buat nanti kena maki.

AP ( Ayah Pin) – Sudah terang lagi bersuluh. Entah apa ditunggu lagi. Kaki dan tangan terikat mati. No Action Talk Only!

AP (Aku Penganggur) – 80,000 graduan Melayu tak bekerja. Nak buat macamana?

AP ( Ambil Peluang) – Kahwin free di KL ini. Siapa berhajat marilah sini.

AP (Ayu Pintar) – Ayu jelita belum dimiliki, mencari cinta di TV. Gadis muslim dan 9 jejaka. Punya citarasa pintar pula.

AP ( Angkut Potong) – Semua benda bernama besi, pasti diangkut tak kira apa. Tanda jalan di sana sini, di potong di cincang sesuka hati.

AP ( Ambil Peduli) – Yang satu ini tidak sensasi, tapi penuh tragedi. Ada keluarga makan siput babi, sebak dan sengsara tidak dipeduli.

AP (Aku Penagih) – Pusat Serenti sedia menanti penagih tegar meningkat tak henti. Apa sudah jadi bangsaku ini?

AP (Ada Peragut) – Berhati-hati bila berjalan, ada peragut sedang berkeliaran.

AP ( Ada Perhimpunan) – Di PWTC berlangsung kini, perhimpunan Agung pak cik dan mak cik , berteriak melaung mencari publisiti. Siaran langsung lagi …

Hehehe … jangan marah yer