CUTI BERSALIN
Bila adik I Julie dapat anak pertama pada tahun pertama perkahwinannya hidupnya berubah terus. Kepenatan menjaga anak kecil yang tidak terhingga dan terpaksa bekerja hingga lewat malam setiap hari. Bila balik kampung dan si Aiman yang kerap menangis malam dan hanya akan memberi response terhadap ibunya cukup membuatkan Julie kepenatan. Kadang terfikir begitu 'azab' sekali proses membesarkan seorang bayi menjadi seorang insan. Aiman pula selalu demam dan sakit-sakit Julie kerap juga bercuti disebabkan masalah bayinya. Inilah antara dilemma mempunyai anak kecil dan kerjaya yang perlu dipertahankan.
Rasional mohon cuti bersalin 84 hari
Oleh Nor Affizar Ibrahim (BH 2/8/2006)
Lebih 119 negara maju, dunia ketiga menepati ketetapan Konvensyen Seal 183
APAKAH pentingnya atau kebaikan yang timbul apabila tempoh cuti bersalin dilanjutkan daripada 60 hari kepada 84 hari untuk pekerja wanita di negara ini? Apakah rasional di sebalik tambahan cuti itu, adakah permintaan itu hanya bersifat peribadi atau wanita memang sengaja meminta-minta cuti tambahan itu demi kepentingan diri semata-mata? Tidak cukupkah daripada 42 hari kepada 60 hari dan kini berterusan mendesak, menjadikannya 84 hari?Barangkali, persoalan dan kenyataan seumpama ini yang berlegar di fikiran ramai, terutama di kalangan tidak mengerti atau memahami kenapa perkara itu diutarakan. Malah, persoalan lain turut timbul mengapakah pula perkara ini hanya dibangkitkan wanita?Jawapannya mudah, wanita yang mengandung, melahirkan anak dan mengambil cuti bersalin. Jadi, sudah pasti ia dibangkitkan wanita, tetapi jika hukum alam berlaku sebaliknya, tidak mustahil lelaki juga akan menyuarakan perkara sama.
Sebenarnya, bagi memahami dan menerima cadangan melanjutkan tempoh cuti bersalin, sewajarnya keadaan itu tidak hanya dilihat sebagai isu wanita saja. Sebaliknya, perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh yang dikatakan memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara serta bakal generasi tenaga kerja pada masa depan.Pengerusi Jawatankuasa Wanita Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Noorlaila Aslah, berkata selain melahirkan zuriat, pekerja wanita juga banyak berkorban dan memberi sumbangan kepada ekonomi dan pembangunan negara. Oleh itu, sewajarnya pengorbanan dan sumbangan itu dihargai dengan menjaga keperluan kesihatan dan sosial mereka.Beliau berkata, antara pentingnya melanjutkan cuti bersalin ialah untuk memberikan masa rehat mencukupi kepada wanita yang baru bersalin dan juga memberinya ruang untuk menyusu bayi mereka, selain dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anak baru dilahirkan.
Ini berikutan, secara umum hubungan dan penyusuan ibu memberi kesan dari segi psikologi serta fizikal kepada kedua-dua ibu dan bayi. Wanita bukan saja menjadi tenaga kerja, tetapi juga melahirkan generasi guna tenaga pada masa depan. Jika kebajikan dan kesejahteraan wanita tidak dijaga serta dipandang remeh, bagaimanakah mereka dapat melahirkan guna tenaga kerja produktif yang diperlukan negara pada masa depan, katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Noorlaila berkata, sejak beberapa tahun lalu, kesatuan ada mengusulkan cadangan supaya cuti bersalin untuk pekerja wanita sama ada sektor swasta mahupun kerajaan diselaraskan kepada 90 hari. Gesaan itu sejajar dengan ketetapan Pertubuhan Buruh Kebangsaan (ILO) yang dibuat melalui Konvensyen Seal 183 Metaliti Protection 2000. Ketetapan itu menggariskan sekurang-kurangnya 12 minggu cuti bersalin, walaupun 14 minggu adalah cuti yang dicadangkan oleh ILO. Selain itu, perlindungan kesihatan ibu dan anak yang ditetapkan ILO juga ialah majikan wajar menyediakan keperluan tertentu sepanjang tiga fasa kehidupan reproduktif wanita - kehamilan, melahirkan bayi dan selepas bersalin. Hasil ketetapan berkenaan, lebih 119 negara di dunia sudah pun menepati piawaian ILO itu pada masa ini termasuk negara maju dan beberapa negara dunia ketiga seperti Laos dan Vietnam.
Tambahan cuti bersalin kepada 90 hari sudah lama disuarakan MTUC, tetapi hingga kini hanya ada Akta Pekerjaan 1955 yang memberi cuti bersalin sekurang-kurangnya 60 hari kepada pekerja wanita. Pelaksanaan itu pula tidak semua kerana bagi majikan di sesetengah sektor swasta ada yang menetapkan beberapa syarat tertentu sebelum cuti bersalin itu dapat dimanfaatkan pekerja wanita. Jadi, selepas lama menyuarakan isu ini, kesatuan amat berharap cadangan melanjutkan cuti bersalin dari 60 hari ke 84 hari dapat diterima. Lebih-lebih lagi, difahamkan Singapura sudah pun menerimanya tahun lalu, katanya yang turut kecewa ada segelintir majikan tidak prihatin dengan kebajikan pekerja wanita.
Noorlaila berkata, persepsi bahawa cuti bersalin terlalu panjang akan menyebabkan pekerja wanita lebih selesa duduk di rumah dan akhirnya, mengambil keputusan berhenti kerja selepas beberapa bulan kembali bertugas tidak wajar dijadikan alasan untuk menolak cadangan berkenaan. Tenaga pekerja berhenti kerja sama ada lelaki atau wanita adalah fenomena biasa dan berlaku di mana-mana sektor pekerjaan, katanya.Mengenai aspek seperti kewangan, produktiviti dan daya saing di sesebuah organisasi beliau berkata, perkara ini tidak patut timbul kerana jika wanita bersalin diberi rehat yang mencukupi, kesihatan lebih baik dan apabila kembali bertugas mereka boleh menyumbangkan tenaga dengan lebih produktif. Kajian juga sudah pun membuktikan, wanita adalah tenaga pekerja yang rajin dan sering memberikan komitmen dalam tugas mereka di samping begitu berperanan penting dalam pelbagai industri utama.Memperkatakan kebimbangan pihak tertentu jika berlakunya segelintir majikan meletakkan kuota tertentu dalam pengambilan pekerja wanita kerana tidak mahu menanggung risiko cuti bersalin yang panjang, Noorlaila menegaskan, sikap itu jelas menunjukkan mementingkan diri sendiri dan ketidakprihatinan majikan.Cuti bersalin bukan saja isu wanita, tetapi isu pembangunan keluarga, sekali gus ada kaitan jalinan hubungan suami dan isteri serta membina kehidupan institusi keluarga. Kita juga tidak mahu wanita terus dipersalahkan menjadi punca kerapuhan institusi keluarga dan gagal mendidik anak sehingga terjebak dengan gejala sosial tidak sihat.
Cuba bayangkan pula apakah akan berlaku jika wanita pula menetapkan kuota atau memboikot terus untuk tidak melahirkan anak kerana ingin bekerja. Adakah pembentukan institusi keluarga ini dapat dibina? Jika wanita tidak mahu melahirkan anak, adakah negara dapat menyediakan sumber tenaga kerja kelak? Perkara seumpama inilah harus difikirkan kerana ketika ini sudah pun ada segelintir wanita yang lebih banyak menumpukan kerjaya sehingga enggan mendirikan rumah tangga. Apa akan terjadi jika golongan kecil ini semakin bertambah bilangannya dan adakah kita ingin terjadi seperti di Singapura yang mana kerajaan terpaksa mengadakan kempen menggalakkan kehamilan, katanya.Kesimpulannya, cadangan melanjutkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 84 hari bukan demi memenuhi hak wanita sebagai tenaga kerja saja, tetapi juga untuk memikirkan kesan jangka panjang yang bakal dihadapi masyarakat dan negara kelak.
Ibu pasti penat selepas 9 bulan mengandung
PERMINTAAN melanjutkan cuti bersalin bukan saja berasas, tetapi juga mesti dilihat secara positif oleh semua pihak agar hak, kepentingan dan kebajikan pekerja wanita sentiasa diberikan perhatian serta dinilai dari aspek kemanusiaan serta fitrah semula jadi wanita itu sendiri.
Presiden Persatuan Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan, berkata cadangan melanjutkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 84 hari seharusnya tidak perlu lagi dikaji kerana penyelidikan terperinci kesan baik buruknya terhadap semua negara di dunia sudah pun dibuat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebelum resolusi ditetapkan. Beliau berkata, kajian keseluruhan kesan kebaikan dan keburukan cuti panjang bersalin dibuat ILO tidak saja terhad kepada negara maju dan membangun, tetapi juga merangkumi negara yang mana pertumbuhan ekonominya kurang memberangsangkan seperti di India dan Vietnam.Keputusan untuk menambahkan cuti bersalin tidak harus dilihat di kalangan wanita yang tidak berminat bekerja, tetapi mestilah mengambil kira mereka yang ingin terus menyumbangkan tenaga dan sama-sama membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Lagipun, wanita menyumbangkan hampir separuh daripada tenaga kerja di Malaysia, katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelaksanaan cuti bersalin tiga bulan dibenarkan kepada pekerja wanita di negara ini. Pelaksanaannya mungkin boleh dipertimbangkan dengan pelbagai cara pilihan termasuk, dua bulan cuti bergaji penuh dan sebulan lagi ditanggung menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Pekerja ataupun pilihan cuti tanpa bergaji oleh pekerja wanita berkenaan.Silam berkata, dengan adanya peruntukan seperti itu mengelakkan diskriminasi terhadap wanita selepas pantang. Kontrak pekerjaan mereka juga lebih terjamin apabila tempoh cuti itu tamat dan boleh bekerja semula di tempat sama. Faedah ini diharapkan dapat dijadikan satu undang-undang dalam akta supaya semua pekerja wanita mendapat faedah penuh peraturan itu sama ada mereka yang bekerja dengan kerajaan ataupun di sektor swasta.
Silam turut menegaskan, pembangunan negara mestilah seimbang dan tidak hanya menumpukan pada aspek ekonomi, politik serta sosial, tetapi pembangunan manusia juga mesti dilihat penting dan berperanan besar sebagai pemangkin membentuk sesebuah negara maju. Tiada guna jika sesebuah negara itu hanya maju dari segi ekonomi sedangkan, tanggungjawab sosial diabaikan. Justeru, pembangunan produktiviti dan manusia perlu stabil serta seimbang, sekali gus membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 seperti dicita-citakan.Perubahan minda perlu ada untuk membuat sesuatu keputusan yang memberikan kebaikan kepada semua. Selepas sembilan mengandung dan bersalin, wanita tentu penat apabila terpaksa melalui semua itu.
Jadi, janganlah dipaksa wanita bekerja kerana ia tidak mungkin membantu meningkatkan reputasi organisasi,katanya. Silam turut mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan bekerjasama supaya membuat kajian terhadap bilangan statistik tenaga kerja wanita di negara ini yang terpaksa mengambil cuti sakit selepas beberapa bulan kembali bekerja daripada cuti bersalin.Berdasarkan aduan diterima, ada pekerja wanita yang terpaksa kerap mengambil cuti sakit selepas bersalin kerana keadaan kesihatan kurang memuaskan selepas bersalin, selain ada yang terpaksa mengambil cuti kerana bayi perlu membuat pemeriksaan kesihatan pada tempoh tertentu dalam peringkat tumbesaran.
Katanya, senario pembangunan yang lebih mencabar dan kos kehidupan semakin meningkat pada masa kini tidak mungkin membuatkan wanita menjadi suri rumah sepenuh masa sebaliknya, mahu tidak mahu mereka harus keluar bekerja dan sama-sama membantu suami menambahkan sumber pendapatan keluarga.Menangkis alasan akan berlaku kesan kekurangan tenaga kerja dalam bidang pekerjaan kritikal seperti pendidikan, perubatan, penyelidikan dan pengurusan tertinggi pentadbiran apabila dibenarkan pekerja wanita cuti bersalin yang lama, Silam berkata, perkara itu sukar diterima
Berhenti kerja selepas dapat anak
DI KEBANYAKAN negara di dunia, pekerja wanita yang hamil menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji dan risiko kesihatan ekoran kekurangan aspek penjagaan keselamatan oleh majikan.
Sedangkan, pendapatan wanita adalah penting untuk menyumbang kepada keperluan keluarga dan rumah tangga di kebanyakan negara itu. Malah, kajian pernah dibuat beberapa tahun lalu juga menunjukkan kira-kira 30 peratus wanita menjadi penyumbang utama kepada keluarga dan rumah tangga di dunia. Di Malaysia, sumbangan pekerja wanita dalam ekonomi negara juga dilihat penting. Pembabitan wanita dalam pasaran buruh didapati meningkat daripada 44.8 peratus pada 2000 kepada 46.7 peratus pada 2002 dan 47.7 peratus pada 2003. Jika diteliti, sejak tahun 70-an apabila negara beralih kepada sektor perindustrian, wanita adalah kumpulan besar yang membantu pembangunan ekonomi negara.
Tetapi, kecenderungan wanita untuk berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama juga adalah satu aliran berterusan di Malaysia menyebabkan peratusan wanita bekerja di negara ini berkurangan. Walaupun, pekerja wanita hamil di negara ini boleh dikatakan mendapat faedah lebih baik, berbanding negara lain, tetapi belum dapat menjamin kesejahteraan pekerja wanita.Ini termasuk, cuti bersalin 60 hari diberikan kepada pekerja wanita yang termaktub dalam Akta Pekerja 1955. Malah, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyebut, Malaysia adalah antara 25 daripada 152 negara menyediakan cuti bersalin selama 60 hari atau kurang. Justeru, memenuhi ketetapan Pertubuhan Buruh Kebangsaan yang dibuat melalui Konvensyen Seal 183 Mentalilti Protection sudah sampai masanya, cuti bersalin bagi pekerja wanita di negara ini patut diselaraskan.
Bagi wanita di negara ini khususnya di sektor awam tentu berasa lega apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut menyokong cadangan melanjutkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 80 hari.Baru-baru ini, Shahrizat turut menyatakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan reaksi positif mengenai cadangan yang dibuat kementerian itu dalam memberi kemudahan cuti bersalin kepada kakitangan awam wanita di negara ini. Perkara itu dijangka akan dibawa ke Kabinet secepat mungkin. Jika ini menjadi kenyataan, pastinya ia membawa khabar berita yang menggembirakan bagi wanita di Malaysia kerana ia juga sejajar dengan hasrat dan janji kerajaan untuk memberi hak serta menjaga kepentingan wanita dalam segala aspek kehidupan.
INFO: Cuti bersalin di beberapa negara di dunia
· Malaysia 60 hari
· China 90 hari
· India 12 minggu
· Iran 16 minggu
· Laos 90 hari
· Myanmar 12 minggu
· Pakistan 12 minggu
· Filipina 60-78 hari
· Thailand 90 hari
· Vietnam 120 hari
· Afrika Selatan 16 minggu
· Itali 17 minggu
· Kanada 17 minggu
· Republik Czech 28 minggu
· Sepanyol 16 minggu
FAKTA:
Antara ketetapan yang dicapai dalam Persidangan ILO di Geneva mengenai pekerja hamil:
· Dalam artikel (3) Peruntukan Perlindungan Kesihatan Pekerja Wanita memperuntukkan bahawa mana-mana pekerja wanita terutama yang hamil dan menyusui bayi berhak mendapat perlindungan kesihatan semasa bekerja.
· Pekerja wanita diberi hak mendapat cuti bersalin selama 14 minggu dengan bergaji sebanyak dua pertiga, berbanding 12 minggu sebelumnya. Ini termasuklah jaminan waktu rehat untuk ibu menyusui bayi mereka.
· Dalam Artikel 10 ketetapan dibuat terhadap kepentingan penyusuan ibu. Ia demi memastikan kesihatan ibu dan anak. Justeru, pekerja wanita diharapkan dapat diberi satu atau lebih cuti rehat atau diberi sekali atau lebih pemotongan masa untuk menyusui bayinya. Majikan boleh membenarkan (memberikan pelepasan) pekerja wanita untuk menyusui bayi mereka sama ada pada waktu rehat atau sebelum pulang ke rumah selama setengah jam.
· Dalam Artikel 5, ketetapan dibuat meluluskan cuti sakit kepada pekerja wanita sekiranya kesihatan mereka tidak mengizinkan atau terdapatnya sebarang komplikasi semasa mengandung atau selepas cuti bersalin.
· Dalam Artikel 8 ialah mengenai perlindungan pekerja dan tidak ada sebarang diskriminasi oleh majikan terhadap mana-mana pekerja wanita denga pekerja lelaki yang lain. Artikel ini juga banyak menyentuh mengenai perlindungan semasa mengandung, masa cuti bersalin dan cuti yang berkaitan dengan komplikasi semasa dan selepas kelahiran.
· Majikan perlu memastikan bahawa pembuangan pekerja wanita itu tiada kaitan langsung dengan kehamilan atau cuti bersalin pekerja berkenaan. Sekiranya tiada sebab yang munasabah pekerja wanita itu boleh mempertikaikan semula dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan.