Arthur Miller pernah memberikan definasi paling sempurna untuk menggambarkan maksud personaliti :
“Nobody wants to be a hero – but in every man there is something he cannot give up and still remain himself – a core, an identity, a thing that is summed up for him by the sound of his own name on his own ears. If he gives that up he becomes a different man, not himself [ New York Times, 8 August 1958]
Sebab itulah kadang kita dapat melihat stail penulisan seseorang itu begitu dan orang lain dapat mengesan perbezaan cara dan penghujahannya. Di dunia blog ini contohnya, stail penulisan dan cara penyampaian yang unik mengambarkan identiti yang tersendiri.
Masa akan mematangkan kita, bila kita tahu arah tujuan kenapa kita menulis setiap hari. Tidak perlu mengajar orang lain yang lebih pandai tentang hidup atau juga berlagak serba tahu tentang segala benda. Aku mencatat segala apa yang dirasakan ‘berbaloi’ untuk dikenang dalam hidup yang singkat ini.
Teringat kisah perjanjian antara Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan ibunya (bagi yang belum pernah terbaca begini kisahnya). Ianya tentang tuntutan berakhlak mulia.
Syeikh Abdul Qadir Jailani telah menceritakan : “Sejak kecil, aku telah membuat perjanjian dengan keluargaku untuk bercakap benar. Suatu hari, aku bermusafir dari Makkah ke Baghdad untuk menimba ilmu, lalu ibuku memberikan kepadaku 40 dinar sebagai wang perbelanjaan dan aku dikehendaki bercakap benar walaupun dengan sesiapa jua.
“Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba muncul sekumpulan perompak lalu mereka merompak rombongan yang aku sertai. Lalu datang seorang perompak kepadaku, lalu bertanya : “Apa yang kamu ada?’. Aku menjawab bahawa aku mempunyai 40 dinar. Dia hairan dengan sikap jujurku, lalu dia membawaku bertemu dengan ketua perompak.
“Ketua perompak pun bertanya tentang apa yang ada padaku, lalu aku menjawab dengan jawapan yang sama juga. Ketua perompak itu kehairanan dengan jawapanku lalu bertanya: “Apa yang membuatkan kamu bercakap benar?”. Jawabku:”Aku telah berjanji dengan ibuku untuk bercakap benar, oleh itu aku takut untuk mengkhianati janji”.
“Tiba-tiba ketua perompak itu berasa gementar lalu berteriak: “Awak takut untuk mengkhianati janji dengan ibumu sedangkan aku tidak takut mengkhianati janji Allah?!!. Kemudian ketua perompak mengarahkan agar dikembalikan barang-barang yang dirompak daripada rombonganku seraya berkata:”Aku bertaubat kepada Allah di hadapan kamu”. Lalu semua prompak itu mengikut jejak langkah ketuanya dengan bertaubat kepada Allah, hasil daripada keberkatan bersikap jujur dan benar”.
Anak saudara aku yang menceritakan kisah ini semasa aku melawat mereka di Banting. Entah kenapa aku masih teringat kisah ini, walau diceritakan olehnya dengan pelat yang pekat. Aku tertarik dan teringatkannya. Teringat tentang betapa ilmu itu diperolehi tidak kira dari siapa sahaja, yang tua atau muda. Dan hari ini, aku menulis di DJW untuk dikongsi pada semua, sesuatu yang berbaloi untuk diingati dan diambil pengajaran.
Aku ingin menulis tentang kehidupan. Personaliti itulah yang ingin aku jelmakan dalam setiap entri yang aku tulis sekarang. Harap ianya tidak membuang masa kalian membacanya untuk kesekian kali.





