Friday, January 19, 2007

Puisi Cinta Islami

Puisi Cinta Islami


Aku baru hendak belajar menulis puisi untuk antologi puisi Islami kelolaan Pn Sifu Ainon Mohd. Memang sukar sekali ingin menerbitkan kata-kata indah dalam baris perkataan yang begitu terhad.

Ini adalah cubaan pertama :

Nafas (1)

Rindu yang kau kirim
Menyelinap dalam diam
Tidak upaya aku menahannya.

Hanya padaMu
Kalimah cinta itu bergetaran
Memberi nafas dalam jiwa.

Kekasih,

Dikaulah mimpi-mimpi sedih
yang kutinggalkan!

Azhan A. Kamal

Cyberjaya
19 January 2007




Jawapan Komen Pn. Ainon Mohd Sifu PTS :
Sdr MAL,
Bait-bait itu gerenti gadis remaja suka membacanya. Ringkas. Jelas. Tidak mengada-ngada.

Amat dinamis maknanya - berlapis-lapis-lapis! Lapisan-lapisan yang orang biasa-biasanya pun boleh fikirkan.

Ayat yang makna emotif-nya ringan, namun bisa memedihkan sanubari perempuan.



Sdr MAL,

Saya mahu terangkan kepada saudara apa yang disebut dengan istilah “pengalaman linguistik”.

Fenomena menikmati pengalaman linguistik berlaku apabila seseorang itu membaca ayat-ayat yang belum pernah dibaca ataupun didengar sebelumnya.

Seperti apakala membaca bait:

“Dikaulah mimpi-mimpi sedih yang kutinggalkan!”
Errmmm….

Thursday, January 18, 2007

Kelabu

HARI KELABU, SEMANGAT BIRU

Kawan aku yang patah tangannya itu sudah beransur baik. Bayangkan 2 kali urut sahaja tangannya sudah boleh digunakan untuk memandu. Alhamdulillah, syukur pada tuhan. Tapi semenjak balik dari TK dia senyap sahaja dan tidak menghubungi aku lagi. Hahaha ...

Dia menonton konsert IL DIVO, entah kenapa aku rasa sedikit jealous pulak. Yalah, aku membayangkan aku juga berada di tempat itu menonton konsert daripada penghibur yang ternama, mestilah lain suasananya. Oh! aku sendiri tidak pernah melihat konsert mahal seperti itu. Taraf dan kedudukan kami jauh berbeza. Kalau aku mampu pun, rasa sayang juga membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk sesuatu yang tidak kekal. Seronoknya hanya sekejap baik beli CD/kaset .... hahaha aku cuba memujuk hati sendiri.

Aku banyak kerja sekarang ini. Terlalu banyak, ada 4-5 projek besar berjalan serentak. AJKnya orang yang sama juga. Muka yang sama cuma kadang aku yang memerintah dan ada ketikanya aku diperintah. Adil begitukan? Bos nampaknya lebih suka berurusan dengan team di sini yang tak banyak kerenah. Yalah kami jarang sangat membantah setiap arahannya. Bukan takut boss tapi kami nak lakukan yang terbaik untuk organisasi ini. Namun kadang aku terfikir elok juga kalau bersikap sedikit memberontak. Hehehe ....

Semalam juga aku tersenyum panjang, hujung minggu depan aku dijemput/terpilih mengikuti barisan penulis tersohor berkursus bersama mereka. Aku terpilih kerana manuskrip /buku aku akan diterbitkan tahun ini, aku amat teruja. Aku hendak menimba pengalaman dan ilmu sebanyak-banyaknya. Macam mimpi ...

Tuesday, January 16, 2007

Putik Kapas

Penggunaan putik kapas boleh jejas pendengaran

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada mencukupi.

Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi bersama ialah berhubung penggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan telinga. Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak, masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan ada setiap hari. Daripada mereka seawal usia baru lahir sehingga ke warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya masalah ini.Satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar tersumbat dengan ‘tahi telinga’, atau lebih tepat lagi lilin telinga (ear wax) yang sudah termampat.

Menerusi soal selidik dijalankan, hampir semua daripada mereka mengakui menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan. Mereka, atau kita juga mungkin beranggapan putik kapas digunakan akan dapat membersihkan saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya menolak masuk lebih ke dalam lilin telinga dan hanya sedikit yang melekat padanya dan dikeluarkan. Sedangkan, saluran telinga kita sudah dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya menyebabkan sedikit demi sedikit, lilin telinga akan tertolak semakin ke dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu konduksi bunyi daripada punca rangsangan.Keadaan ini disebut gangguan pendengaran jenis konduktif ( conductive hearing loss ).Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ini ialah ada kemungkinan bahagian kapasnya itu tertanggal dan tertinggal di dalam saluran telinga. Ia juga akan mengganggu pendengaran dan jika terbiar lama akan mengundang jangkitan kuman pula. Jadi, berhati-hatilah menggunakan putik kapas terutama kanak-kanak.

Selaras dengan slogan ‘Mencegah lebih baik daripada merawat’, marilah sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat. Kita sudah dicipta dalam sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi tanggungjawab kitalah untuk menjaganya dengan selamat.

DR IRFAN MOHAMAD,
Jabatan ORL-HNS (ENT)
Hospital Universiti Sains Malaysia
Kota Bharu, Kelantan.
(BH, 15 Jan 2007)

My dad menghadapi masalah pendengaran, masalah ini berlaku kira-kira 3 bulan yang lalu di mana telinganya merasa sakit. Bila dibawa ke hospital di TK, depa bagi ubat air yang dimasukkan ke dalam telinga. Itu sahaja. Then bila ke klinik swasta barulah tahu puncanya ada bisul di dalam telinga. My dad korek telinganya hingga berdarah then sampai sekarang kepalanya berdengung, sakit etc. Hilang pendengaran di salah satu telinganya.

Bila aku bercakap dengan dia, patutlah dia macam tak heran sahaja. Rupanya dia ada masalah telinga ini. Katanya bila telinga sakit, rasa dengung di kepala hilang. Bila sakit hilang rasa dengung pulak dalam kepala. Hishhh pening aku dibuatnyalah. Plan nak bawak jumpa doktor ENT juga.

Friday, January 12, 2007

Patah

PATAH

My friend jatuh motor dan tangan dia 'teralih' dari kedudukan asalnya. Walaupun doktor sudah masukkan tangan tu di tempatnya tetapi dia rasa ada yang tak kena lagi. Mungkin kesan keretakkan atau sebagainya, tangannya tidak bersimen. Aku mencadangkan dia berurut di tempat aku di TK, ada beberapa tukang urut yang pandai hal-hal kepatahan ini. Mungkin boleh dicuba. Company dia hanya tanggung gaji dia untuk sebulan setengah sahaja sedangkan dia perlu bercuti sekurang-kurangnya 3 bulan, selepas itu kalau tangannya masih tidak baik dan dapat berfungsi lagi dia tidak mendapat gaji lagi.

Aku akan membawa dia ke TK esok, hari Sabtu. Dia bersetuju setelah beberapa rakannya memberi kebenaran. Aku tak tahulah keputusan aku ini betul atau tidak, aku hanya ingin membantu mana yang terdaya. Sebenarnya aku boleh membiarkan dia kesakitan sahaja, bersikap tidak kisah kerana itu bukan urusan hidup aku. Tabi bila difikirkan balik tentang "apa yang kita tanam itulah yang akan kita tuai di kemudian hari" amat menginsafkan aku. Bagaimanakah jika adik-beradik atau ahli keluarga aku menghadapi situasi yang sama dan rakan-rakan dan orang sekeliling bersikap lepas tangan dan melihat sahaja?

Kita hidup saling bersandaran, kita saling memerlukan. Walau apa pun yang terjadi dalam hidup kita, ada titik-titik cinta sesama manusia yang terus subur. Cinta adalah memberi dan yang pasti ianya bukan cinta asmara!

Thursday, January 11, 2007

Jalur




JALUR SINAR DI CELAH DAUN

SEPERTIMANA yang telah diketahui sebelum ini, novel nostalgia daripada Zaharah Nawawi bertajuk 'Jalur Sinar di Celah Daun' telah pun siap dicetak dan kini sedang menanti anda di kedai-kedai buku sekarang.

Mengimbau nostalgia novel yang pernah mendapat perhatian daripada pembaca suatu ketika dahulu telah menggamit penerbit Alaf 21 untuk menerbitkan semula novel ini. Tersentuh hati ketika membacanya bagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh sepasang suami isteri muda, Dali dan Tijah yang menjadi peneroka di sebuah daerah untuk meneruskan hidup semata-mata ingin memiliki geran sebidang tanah yang baru diteroka. Namun, satu kebakaran secara mendadak mengheret mereka ke dalam pancaroba hidup menyebabkan si suami terpenjara dan si isteri tersisih di desa bersama anak yang masih kecil.

Dengan bahasa yang mudah, Zaharah Nawawi berusaha menjalin sebuah novel kehidupan rumah tangga yang mencabar. Beliau ternyata ingin meyakinkan kepada pembaca bahawa seseorang wanita tetap dapat menjadi ilham utama yang berkesan kepada lelaki. Dan, setiap cabaran hidup sebenarnya dapat cepat memperkaya dan mendewasakan lahir dan batin seseorang.

Untuk mengetahui kisah seterusnya, sila dapatkan novel ini sekarang. Selamat Membaca!

Tajuk: Jalur Sinar di Celah Daun
Halaman: 256
Harga: RM11.00
Untuk Langganan :http://www.alaf21.com.my/buletin/form-borang%20langganana.htm


Novel ini merupakan novel yang sentiasa evergreen, bahasanya mudah dan isu yang diketengahkan memang sentiasa segar. Teringat ketika masih bersekolah rendah, aku meminjam buku ini di sebuah perpustakaan bergerak (van). Lepas itu sampai ke hari ini aku tak pernah menjumpai buku ini di mana-mana lagi. Kisahnya cukup mengesankan. Sampaikan aku boleh hafal plotnnya walau kali terakhir aku membaca buku ini ialah lebih 25 tahun yang lalu.

Kisah yang hebat memang tidak memerlukan kata-kata yang baik. Zaharah Nawawi merupakan penulis yang aku kagumi. Selain buku ini kisah "Pesisir Hitam" juga wajar diberi perhatian.


TOK LI : RESTORAN NASI PADANG & SUCH ...

Kawan aku telah membuka sebuah restoran di ibu negara setelah lama sangat dia plan nak buka akhirnya segala kerja keras dan hajat tertunailah sudah dalam tahun 2007.

"Tok Li : Restoran Nasi Padang & such..." .

Alamat :
No. 95, Jalan SG 3/1, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Keistimewaannya sudah pastilah masakan Padang tu, juga makanan tempatan dan Western.

Sudi-sudikanlah singgah dan beritahu rakan-rakan tentang kewujudan restoran ini.

Untuk kak Honeytar and family selamat maju jaya!

Website :

Wednesday, January 10, 2007

Pasir


Di Atas Pasir Terlukis Sebuah Kehidupan!

“Dua orang sahabat karib sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. A dan B. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba sahaja tercetus pertengkaran di antara mereka berdua. A telah menghadiahkan B satu tamparan yang hinggap di pipinya. B berasa sangat sakit hati tetapi tidak bertindak balas.

Tanpa berkata apa-apa, B menulis di atas pasir : Hari ini, sahabat baikku telah menampar mukaku. Kemudian mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka menemui sebuah kawasan subur di padang pasir. Mereka mengambil kata sepakat untuk mandi di oasis tersebut sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh.

Dalam mereka asyik membersihkan diri masing-masing. B nyaris tenggelam dan lemas tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya, A. Ketika B mulai sedar dari lemas dan hilang rasa takut, dia menulis di atas sebuah batu : Hari ini, sahabat baiku telah menyelamatkan nyawaku.

A bertanya: “Kenapa setelah aku melukai hatimu, kau menulis di atas pasir. Dan sekarang kenapa pula kau menulis di atas batu? Sambil tersenyum, B berkata: “Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar angina maaf datang menhembus dan menghapuskan tulisan itu. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup sang bayu.”

Moral cerita, dalam kehidupan seharian kita, sering terjadinya perbezaan pendapat dan konflik disebabkan oleh pandangan kita yang juga berbeza-beza. Oleh kerana itu, cubalah untuk saling memaafkan dan melupakan perselisihan lalu. Belajarlah menulis di atas pasir.”

Setelah membaca kisah ini tiba-tiba aku terfikir siapakah kawan baikku? Aku berfikir sesaat dan hanya dia yang boleh aku katakan sahabat baik. Memang ramai orang yang baik di luar sana, tetapi kebanyakkanya baik ada makna. Mereka meninggalkan kita setelah kita tidak memberi keuntungan kepadanya. Sahabat seperti ini senang dijumpai dan tidak sukar untuk dikesan kehadirannya.

Sahabat sejati sanggup bersusah payah dan memahami kita. Dia menemankan ketika kita memerlukan seseorang, saat kita kesusahan dan bersama meraikan hari-hari indah kita. Namun jika kita hanya mempunyai seorang sahaja sahabat seperti ini, rasanya kitalah orang yang cukup bahagia di dunia ini.

Untuk seseorang : Sukar untuk aku memisahkan benci dan rasa yang satu lagi itu.

Monday, January 08, 2007

Hari yang baru


Eyes On Malaysia -- Jom kita naik bersama dan mengintai hidup dari atas sana. Melihat betapa sesuatu itu berpusing dan menangkap bayang yang pernah kita lepaskan. Banyak yang kita lepaskan ...

Hari Yang Baru

Hari Sabtu lalu, aku ke Taman Permata untuk menghadiri kursus penulisan Teknik Surah Yusof. Menarik dan kadang menginsafkan juga. Insaf untuk menulis hanya yang terbaik di masa akan datang. Insaf bahawa aku ini terlalu hijau berbanding rakan-rakan yang lain seperti penulis dan penyajak tersohor Masli N.O. Juga insaf bahwa beratnya tanggungjawab kita menulis dan seterusnya berdakwah. Memanglah kita tidak boleh mengubah masyarakat, tapi jika sebahagian kecil mampu memahami apa yang kita tulis dan mengamalkannya maka kita sudah dianggap berjaya.

Hari ini aku kena buat presentation melalui Video conferencing tentang ISO untuk staff di Melaka dan Cyberjaya. Slide semua dah siap. Ini untuk memberi kefahaman kepada semua staff tentang projek kami tahun ini. Busy dan dalam waktu yang sama banyak lagi kerja rutin yang terpaksa aku pikul. Tangan hanya ada dua sahaja. Tapi cabaran, kita kena lalui juga walaubagaimanapun. Kejayaannya nanti adalah kemenangan secara berkumpulan, bukan kemenangan individu. Bukan mengejar nama. Memang akan menerbitkan kepuasan dalam bekerja, tapi itu setelah kita diperah sejat segala-gala yang kita ada.

Kita tidak boleh lari dari masalah, kita kena lalui juga. Sebab inilah kehidupan kita. Semakin kita berusaha melarikan diri dari sesuatu, jiwa kita tidak akan tenang. Sekarang ini kita kena bersikap mencabar keupayaan diri kita, jika tidak kita tidak tahu kita mampu melakukannya.

Friday, January 05, 2007

Claims

CLAIMS

Beberapa tahun yang lalu aku paling malas nak submit borang claim selain claim untuk duit tol. Sebenarnya aku di sini boleh buat meal claims juga. Kalau orang lain yang book transport tu yang aku malas nak buat meal claims. Sebab orang tu yang akan keluarkan duit untuk tol. Kita yang menumpang kenderaan tu tak terfikir untuk bersusah payah sedikit buat tuntutan 'meals'.

Jadi sekarang kami berpakat untuk setiap apa sahaja yang melibatkan claim akan dilakukan serentak. Masing-masing akan inform jika terlupa. Bila diconggak-conggak banyak juga yang boleh kita dapat setiap bulan. Lagi banyak meeting di luar, lagi banyaklah elaun tuntutan yang boleh di buat. Boss tak akan remind kita pasal hal-hal tuntutan ini, bagi dia lagi bagus kalau staff tak claim apa-apa. Jadi pandai-pandailah kita kan. Bila zaman orang berkira, kita pun kenalah berkira sama.

Aku teringat peribahasa ini : "Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak" - Maknanya tidak ada manusia yang sempurna, apa yang pasti setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Hujung minggu ini kemungkinan tidak balik ke TK. Ada kursus penulisan di KL pada sepanjang hari Sabtu. Aku ada mengajak beberapa orang kawan tetapi mereka menarik diri di saat-saat akhir. Tidak mengapa sebab kejayaan hidup kita ini, kita sendiri yang menentukannya, bukan orang lain. Orang lain hanya boleh memberi dorongan dan pencetus, diri sendiri yang perlu berusaha mencapai apa yang diinginkan.

Untuk projek penulisan manuskrip ke-2 rangka penulisan sudah siap. Cuma sedang berusaha gigih untuk menciptakan setting, latar tempat dan membuat penyelidikan tentang watak dan perwatakan . Juga perlu menghubungi beberapa pertubuhan untuk membuat temubual bagi mendapatkan fakta yang tepat. Itulah, aku tetap percaya 'sepicisan manapun sesebuah karya itu dihasilkan ianya menuntut kesungguhan dan pengorbanan'.

Untuk manuskrip novel remaja, aku masih berguru dengan Pn. Ainon Mohd untuk mempelajari teknik penulisan Surah Yusof. Bila dah tua ini, ilmu lambat masuklah. Sebab banyak juga pantang larang yang perlu diikuti.

Thursday, January 04, 2007

MARI MEMASAK

MARI MEMASAK

Antara resolusi untuk tahun baru ini ialah makan malam di rumah. Kurangkan makan di luar terutamanya makan malam. Kurangkan pengambilan MSG. Teman serumah amat rajin memasak. Aku hanya pastikan peti sejuk terisi dengan bahan mentah yang sepatutnya dan mereka akan memasak untuk kami semua.

"Saya masak yang simple-simple saja, takut nanti muak pulak makan masakan saya." Lee yang amat merendah diri. Tapi ketika kami sibuk menonton Buletin Utama segala macam masakan sudah tersedia. Terlebih masin di sana sini itu adatlah.

"Saya tak kisah janji ada orang masak. Saya tak reti nak masak." Aku selalu memberi alasan. Masak nasi pun lembik (hahaha ...). Buat air teh tu tahulah.

"Apa kata esok you pulak jadi chef?" Lee ni biar betul. Manalah aku tahu nak masak ni semua. Harap dia sahajalah yang tahu 'area dapur' tu.

Makan di rumah lebih menjimatkan. Kalau habislah apa yang dimasak. Bayangkan kalau untuk makan malam sahaja jika di luar untuk seorang bujangan paling koman pun RM 7.00 termasauk air. Kalikan 25 hari sebulan bersamaan dengan RM 175 sebulan. Kalau kita belanjakan seorang dalam rumah itu RM 100 sebulan untuk membeli bahan mentah hisss banyak tau. Lagilah kalau dapat housemate yang tak banyak kerenah dan makan sikit macam aku ni.

Makan malam bersama banyak faedahnya, boleh mengeratkan silaturrahim, berkongsi idea dan masalah dan tidak kurang juga sesi kutuk mengutuk. Hidup perlu "happy", sebab terlalu banyak tekanan di luar itu. Sekurang-kurangnya, bila kita kenyang kita mampu tidur dengan lena dan mimpi yang indah-indah. :)

"Jangan sampai ke sudah saya jadi tukang masak awak sudahlah ..." Lee dah mula komplen, dia bagi 'hint' suruh saya cepat-cepat cari orang rumah. Teruk!

Wednesday, January 03, 2007

Tahun Baru

SELAMAT TAHUN BARU!

Selamat tahun baru teman! Tahun 2007 datang tanpa aku sedari. Aku tertidur lantaran dingin udara yang menerobos dari celah jendela membuatkan aku lebih rela berada dalam selimut dan tidur awal. SMS masuk bertalu-talu tetapi hp aku telah kehabisan kredit. Atas alasan jauh untuk ke kedai dan dingin malam yang menggigit aku telah berkira-kira untuk tidur sahaja.

Petang sebelum itu aku telah bermati-matian cuba menghubungi seseorang sedangkan akhirnya aku hanya menemui suara tanpa perasaan. “Ehhh …Aku tengah bersiap untuk sesuatu …” dan akhirnya talian dimatikan. Aku rasa saat itu aku juga perlu memadam nombornya di handphoneku dan juga dalam ingatan.

Setiap tahun ketika menyambut tahun baru pasti aku menemui ‘kedinginan’. Betapa dinginnya perasaan dan saat itu azam tahun baru aku pun ikut menjadi pelik dan luarbiasa. Menjadi bahan gelak si Wan yang tidak sudah-sudah akan mengatakan. “Ianya cuma untuk tempoh 24 jam dan tidak akan lebih lama daripada itu .”

Tidak ! Untuk kali ini ianya akan menjadi kekal. Aku cuba membekukan segalanya. Tapi dingin malam menjadikan aku lebih ‘berpeluh’ dalam selimut menyambut tahun baru.

Tahun baru kali ini memang berbeza kerana aku telah mengisytiharkan yang dia telah mati dalam ingatanku. Kerana tahun ini juga aku bakal diuji dengan tanggungjawab yang besar untuk meng”ISO”kan jabatan aku di CJ dan MLK. Ianya menuntut begitu banyak masa dan bebanan yang terpaksa aku pikul.

2007 datang dengan debaran. Novel sulongku bakal berada di pasaran pada pertengahan tahun ini (insyaAllah).Walaupun aku masih tidak pasti tarikhnya. Ianya akan muncul juga tahun ini kerana itulah janji editorku yang kini masih menekuni naskah itu untuk diperbaiki.

Ohh! Aku telah mencukur misai dan janggutku. Sebenarnya pak cikku yang bersungguhan meminta aku berbuat demikian. Tanpa misai dan janggut itu, aku masih aku yang dulu, tidak ada bezanya. Cuma aku tidak mahu menjadi sepertinya yang hanya prihatin terhadap kami setelah kami besar dan bebas. Kenapa tidak dia menjadi prihatin ketika ibu bapaku tercunggap-cunggap membesarkan aku dan ahli keluargaku yang lain? Kini, misai dan janggutku, juga dengan siapa aku keluar begitu menarik perhatian mereka.

Kitaran itu tidak akan berterusan. Aku tidak mahu menjadi seorang pak cik yang hanya datang setelah anak-anak saudaranya menjadi 'orang'. Sungguh, aku akan terus dan akan tetap membantu anak-anak saudaraku berjaya menggapai cita-cita mereka. Aku ingin melihat mereka berjalan jatuh dan menjadi peniup semangat di saat-saat mereka teraba-raba mencari arah hidup. Anak-anak kecil tidak seharusnya terbeban dengan permasalahan keluarga. Mereka seharusnya merasai keindahan hidup ini. Bukan rasa kedinginan dan ketakutan dihempap tekanan hidup yang tidak berkesudahan.

Ya, aku tidak mahu kitaran itu berlaku lagi. Aku ingin pastikan mereka mendapat apa yang seharusnya mereka miliki. Sekecil mana ingatan mereka nanti pasti akan tetap menjadi sesuatu yang bererti. Sekurang-kurangnya aku berhak untuk memberi komen dan nasihat ketika mereka dewasa nanti.

Azam tahun baru adalah berkaitan apa yang kita inginkan dan lalui. Sekadar menulis sesuatu dan berusaha mencapainya jika berkesempatan. Ya, aku tidak mahu lagi kedinginan di sepanjang tahun menghadapi 2007 yang amat mendebarkan ini. Kehadiran kalian pasti menghangatkan dan memberi inspirasi untuk aku dan kita melangkah dengan lebih gagah.

Hari ini baru hari yang ke-3, belum terlewat untuk melakukan sesuatu dan aku telah mula ditimbuni dengan begitu banyak tugasan.

Harapnya, bersama-samalah kita melalui tahun 2007 ini dengan segala rahmat dan keazaman yang jitu. Moga kita menjadi lebih baik, menjadi lebih waras dan mampu menunaikan kewajipan kita terhadap tugas dan tuntutan agama sebaik-baiknya.

Salam Tahun Baru 2007!

Tuesday, December 26, 2006

Renyuk

RENYUK (SIRI SATU)

Hujan di mana-mana. Di Selatan tanahair, di pantai timur, juga di hati. Di hati kita. Hujan yang satu itu tidak akan ada sesiapa pun yang menyedarinya. Tiada siapa yang mampu menyukatnya. Melimpah dan tak terbendung lagi.

Bulan berganti dan Disember telah hampir ke penghujungnya. Masa memang pantas berlalu. Bukankah masa dicipta untuk ditinggal-tinggalkan? Bukan dinanti, bukan dipaksa setia. Dia pasti datang dan meragut usia kita sekali.

Kelmarin kita dipertemukan, hari ini kita mencari arah yang berbeza. Semalam kita ketawa, sesudah subuh air mata berjuraian. Hidup memang begini. Jika sentiasa mudah, akhirnya pasti akan kecewa.

Apakah sudah tertulis begitu dalam perjalanan ini. Hujan pasti merenyukkan hati-hati yang tulus. Mendinginkan rasa dan hati manusia yang tidak pernah mengerti? Kebahagiaan itu sebenarnya milik siapa? Siapa sahaja sanggup bertarung dalam hujan setelah kemarau merentap sisa bahagia yang ada. Kita tidak akan rasa bersalah merenyukkan segala apa yang kita ada. Padanya, ianya cuma hati yang tiada harga. Mungkin hujan ini tidak pernah kita nantikan. Kita biarkan ia datang dan membilas semusim kemarau. Inikah yang kita nantikan selama ini? Inikah yang aku mahukan?

Dalam kereta menuju ke Melaka. Seorang anggota polis berada di antara lorong memerangkap si pemecut masa. Cuaca dingin pagi melenyapkan debar. Senyap-senyap memasuki perangkap. Bisu ... Sebuah kereta memasuki perangkap. Mangsa dan pemangsa di pagi Selasa.

"Saya bekerja dengan penuh kesabaran, yang rasanya seperti memiliki sebuah kuasa ( Elizabeth Barrett Browning - Penyair era Victoria)." Mungkin itulah yang diungkapkan oleh anggota polis itu, yang berada dalam dingin pagi di antara lorong lebuh raya. Aku hanya memandangnya.

Hujan telah merenyukkan hati. Renyuk, dihempas hujan yang mencurah!

Thursday, December 21, 2006

Positive Psychology

Positive Psychology(PP)

Sekarang ini aku mengamalkan 'positive psychology'. Saya melihat dan mengkaji mengapa sesuatu itu begitu dan begini ke arah yang lebih positif. Apapun halangan dalam hidup, cabaran dan tanggungjawab yang diberikan. Aku mula sedikit sebanyak menerapkan konsep PP ini. Kita di beri pilihan untuk terus merungut atau bersikap ceria dan menangani segala masalah itu sebagai salah satu daripada lumrah kehidupan. Mahu atau tidak kita kena menempuhinya juga.

Persekitaran mempengaruhi kita juga. Contohnya kita akan berhadapan dengan rakan sekerja yang bersikap terlalu negetif dan suka lepas tangan ( gaji tinggi nak pulak). Jadi kita kena bersikap positif juga walaupun ada bidang psychology yang mengkaji mengapa permasalahan itu terjadi tetapi PP pula lebih menekankan mengapa seseorang itu lebih bahagia dan berjaya. Apakah faktor yang lebih menggalakkan ke arah itu.

Jadi PP lebih berbaloi untuk diamalkan.

Tuesday, December 19, 2006

Pengorbanan


PENGORBANAN

Sudah 2 bulan musim hujan berlalu. Pepohon tampak menghijau dari jauh , saujana mata memandang. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau." katanya. Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang."Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan begitu kurus dan lemah sekali, mengapa? Tanya daun hijau. "Sudah lama aku mencari-cari daun hijau sebagai makananku hari ini tetapi hampa. Adakah engkau sudi untuk membantu?" tanya ulat kecil.

"Tentu sekali. Datanglah lebih dekat," ujar si daun sambil di dalam hatinya berkata: "Jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Cuma badanku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tidak mengapalah." Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah kenyang, ulat berterima kasih kepada daun hijau yang rela menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau.

Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana sini namun ia berasa sungguh puas hati dan gembira kerana dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar. Tidak lama berselang. Ketika musim panas datang, daun hijau menjadi kering dan berubah warna.

Akhirnya ia jatuh ke tanah , disapu orang lalu dibakar. Mesejnya, apa yang terlalu bererti dalam hidup kita sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja sesama kita? Bukankah dunia ini fana. Pada akhirnya, semua yang ada akan mati juga.

Berkorban kesenangan dan kepentingan diri diri sendiri demi kepentingan orang lain sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah , tetapi indah. Ketika berkorban, diri kita sendiri menjaga seperti daun hijau yang berlubang namun itu sebenarnya tidak mempengaruhi kehidupan kita kerana kita akan tetap menghijau.

Bagi daun hijau , berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan . Dia bahagia melihat rakan-rakan penghuni alammya yang lain tersenyum riang kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari tidak akan selamanya hidup sebagai daun hijau. Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Itu sebabnya, isilah hidup ini dengan hal-hal yang murni baik tutur kata mahupun perbuatan kita. Berkasih sayanglah! Jadikanlah pengorbanan itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan membawa nikmat serta kepuasan peribadi yang tersendiri.

Berkorban dapat dilaksanakan dalam banyak situasi - orang tua kepada anak-anak, sesama adik-beradik, dari sahabat untuk sahabat, jiran tetangga yang kaya, membantu yang miskin, mendahulukan kepentingan bangsa dan agama, ataupun paling tidak pengorbanan sesama insan yang tidak saling mengenali atas dasar perikemanusiaan.

Pendek kata , kita memberikan apa yang kita punyai apatah lagi keputusan yang paling kita sayangi dan masih banyak lagi pengorbanan yang dapat kita lakukan sebenarnya. Yang mana yang sering sering kita lakukan? Menjadi ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi daun hijau yang senang memberi.

Cerita ini menginsafkan. Kadang kita terlalu inginkan orang lain menuruti kehendak kita tetapi kita tidak pernah memikirkan kehendak mereka pula. Kadang kita terlupa orang-orang yang kita kenali dan sayangi itu juga memerlukan perhatian dan kasih sayang kita. Kita mungkin terlupa memperlihatkan kesudian kita untuk membantu dan mengucapkan terima kasih tiap kali kita mendapat bantuan dan sokongan mereka.

Banyak yang kita lakukan dalam hidup ini dan kita menganggapnya sesuatu yang lumrah. Kita tidak pernah tersenyum pada mereka yang saban waktu memberikan kita kekuatan dan memberi bantuan tanpa kita sedari. Memang benar, ramai yang mengambil kesempatan di atas kebaikan kita. Siapalah yang sudi menghampiri kita tanpa agenda tersembunyi. Namun pasti kita akan mendapat seseorang yang seikhlas hati mengasihi dan menyayangi kita tanpa syarat!

"Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi. Cinta membawa penderitaan tetapi tidak pernah berdendam, tidak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta, di situ ada kehidupan manakala kebencian membawa kepada kemusnahan." Mahatma Ghandi.

Monday, December 18, 2006

Bengkel

BENGKEL

Hujung minggu lepas menghabiskan masa menghadiri bengkel penulisan di Taman Permata KL. Yalah, ilmu kena di cari dan dituntut. Kalau tidak nanti kita jadi penulis 'syok sendiri'. Memang teruja dengan industri buku negara. Kalaulah tahu peluang itu memang banyak begini, selepas SPM dulu lagi aku dah mula menulis.

Well, tak apalah. Biar lambat dari tidak menulis langsung. Tengah menghasilkan novel cinta remaja. Hahaha ... yang ini lebih islamik. "Syariah Compliant" dan tiadalah adegan yang tidak sesuai untuk golongan itu. Kita kena didik remaja bahawa sesetengah perkara itu salah. Kalau novel kita menjelaskan benda yang tidak sepatutnya nanti mereka ingat benda itu telah diterima dalam masyarakat kita ini. Ini satu perkara yang amat berdosa sekali.

Bercinta itu indah, lebih indah jika kita mematuhi hukum-hakam yang telah termaktub dalam Al-quran. Jadi cabaran penulis ialah untuk menghasilkan kisah yang mampu merubah tanggapan pembaca terhadap novel popular.

Friday, December 15, 2006

Tangis

Tangis


Hapus lah namaku hapuslah semua
Kisah kasih antara kau dan aku
Dan tak ku harap lagi kau hadir disini
Hanya menambah luka dihatiku

Ku anggap semua tak pernah terjadi
Hati kita tak pernah bertemu
Sudah cukup sudah kau taburkan luka
Dihati yang lemah dan tiada daya

Jangan jangan jangan datang lagi
Cinta yang kau bawa menyakitkan hati
Biar biar kini ku sendiri
Meniti hari-hari tanpa dirimu

Tiada bererti pengorbanan diri
Atau pun maafku selama ini
Kau yang lebih setia pada kegelapan
Mana mungkin aku harus ikut denganmu


Hetty Koes Endang – Tangis Cintaku


Aku berada di UiTM Lendu hari ini ... Aku bertolak pukul tujuh pagi tapi aku tak dapat tidur dari pukul 2.00 pagi lagi. Cubalah aku sambung belajar ke apa, mesti lepas Maghrib dah tidur dan tak bangun-bangun sampai ke subuh. :)


Thursday, December 14, 2006

Lama Tak Update


Lama Tak Update - Rumah Dah Bersawang !

Ada yang rindu saya tak? Tak ada kan? Busy dengan kerjalah dan projek penulisan yang baru. Memang menuntut komitmen yang jitu. Tiap malam terjaga so itu juga anugerah sebab waktu malam masya Allah idea datang mencurah-curah sebab sebelum tidur dah baca banyak buku.

1. Julie dah selamat bersalin anak lelaki malam tadi . Nizam sms aku pukul11:24:47 malam. 13 Dec 2006. Wah sudah ada 2 putera.Tahniah! Anak kedua sudah ada pengalaman jadi tidak lagi kalut macam tahun sebelumnya.

2. Buku "Jiwa Kacau : Masuk Barisan" sudah terbit. Ada coretan aku di situ. Bangga jugak sebab ... entahlah rasa sesuatu jugak walaupun bukan buku penuh. Tetap terasa sesuatu saat apa yang kita tulis tercetak dalam bentuk buku dan menjadi khazanah negara. Uhuks ...

3. Projek penulisan Jibunsyi bermula. Letih nak belajar teknik penulisan Surah Yusof itu. Tapi tak apalah sebab Sifu amat penyabar dan mengajar penuh dedikasi. Ini novel cinta remaja aku yang pertama. Baru belajar menulis dan ada orang nak beri tunjuk ajar macam dapat bonus sahaja.

4. Tak ada pun khabar angin tentang bonus, tapi dengarnya gaji awal bulan ni.

5. Sedihlah sebab kakak ( our anak buah) tak dapat masuk sekolah berasrama penuh. Sudah semak di website tu dan permohonan dia gagal. Sedih sangat sebab dia amat berharap untuk masuk ke any SBP. Belajar di kampung tu bukan tidak baik, tapi pengaruh sekitar dia sungguh mencabar, lebih-lebih lagi dia tu perempuan. :(( Nak mengadu pada tuhan ...

Okeylah semua jaga diri baik-baik!

Thursday, December 07, 2006

Cinta




PEDIH ...

Seharusnya tajuk filem ini adalah "Pedih". Banyak kepedihan yang tertampal di kanvas filem ini. Sinematografi yang cemerlang menyerlahkan lagi kesayuan yang melatari sesetengah watak dan kehidupan yang ingin diceritakan. Imej hujan seperti membasahi hati yang sememangnya terluka.

Aku secara peribadi menggemari kisah Dyan dan Dhani. Pengorbanan seorang kakak untuk adiknya. Harta kekayaan tidak semestinya memberi kebahagiaan. Manusia tetap bersikap 'tamak' dalam berkasih sayang dan memperjuangkan cintanya. Menyintai suami orang menuntut Dyan berkorban dan mengorbankan perasaan hatinya yang lara. Sakit hatinya tidak tertanggung sehinggalah dia tersedar bahawa lelaki itu mempermainkan dirinya selama ini walau dia sudah banyak kali bersabar menerima karenah menyayangi suami orang. Jadi Dyan 'seri' dalam percaturan kasih sayang seorang lelaki. Kecurangan berganda berlaku walau ucapan sayang sentiasa bergema. Pembohongan akhirnya terbongkar juga. Saat itulah baru Dyan terjaga dari satu mimpi yang panjang. Lelaki itu bukan miliknya. Segalanya di bawa pergi, mungkin setelah Dyan rasakan kehidupannya harus diserahkan pada adiknya yang amat memerlukan pemindahan organ agar Dhani mampu mengecap kebahagiaan yang tidak mampu dia miliki. Ohhh ...pedih!

Aku suka :
1. Sebab ada falsafah yang ingin diutarakan kepada penonton agar bila kita keluar dari panggung saat itu otak kita dapat memahami apa yang terkandung dalam filem itu. Falsafah yang di bawa dan cuba disulam dalam minda kita. Contohnya "Kadang orang yang kita sayang adalah orang yang paling susah kita sayang." Ohhh falsafah ini aku gunakan juga dalam penulisan aku. Juga kata-kata seperti "Sehari hidup bersama orang yang kita sayangi, walau susah bagaimanapun lebih bermakna daripada hidup selamanya dengan orang yang tidak menyayangi kita." Pehhh ...

2. Teknik narrator di akhir cerita untuk memberi kesimpulan dalam filem selalu dilakukan untuk drama-drama barat. Cubalah tonton Grey Anatomy atau Desperate Housewives ... wah filem kita pun sudah pandai berfalsafah. :)

3. Filem ini masih tidak mampu untuk menitiskan airmata aku. Entahlah ... tidak semasa babak kematian di akhir cerita. Tidak semasa lagu "Cinta" berlantunan menguris hati Harris saat Airin melangkah pergi. Entah ... ada sesuatu yang kurang tapi ianya sudah dianggap cemerlang untuk filem ini. Yalah, aku tetap menantikan keindahan dan lakunan hebat persis watak Ruan Ling Yu dalam "Centre Stage" yang ditunjangi pelakon tersohor Maggie Cheung.

Ya, aku ingin menonton filem ini lagi kalau berkesempatan. Emosi aku tidak berapa stabil sebab terlalu banyak yang aku harapkan, terlalu banyak yang aku fikirkan. Bagus untuk membantu proses penulisan aku nanti.

Wednesday, December 06, 2006

Kahlil Gibran

Surat Cinta Kahlil Gibran

BUKU ini membongkar rahsia diri pengarang tersohor, Kahlil Gibran, lewat 47 surat sasterawan terbabit kepada insan yang rapat dengannya selain dua surat jawapan daripada Felix Faris dan May Ziadeh.

Penerbitan buku ini selepas kematian Kahlil oleh May, penulis tersohor wanita Lubnan turut mendedahkan hubungan sastera dan cinta mereka sekalipun hakikatnya tidak pernah sekali bersua muka.

Surat May kepada Kahlil Gibran ialah reaksi May selepas menerima kiriman novel Kahlil, Sayap-sayap Patah, yang pertama kali diterbitkan dalam bahasa Arab dan diserah sesalinan oleh sasterawan terbabit semata-mata bagi mendapatkan pandangan May.

Dalam suratnya bertarikh 12 Mei 1912, May menyatakan beliau tidak sependapat dengan Kahlil dalam hal perkahwinan kerana tetap mempertahankan nilai kesetiaan, kejujuran dan kesucian yang penting dipunyai seorang isteri.

Antara pandangan May berbunyi: “... Mengapa seorang perempuan yang telah menikah tidak boleh menemui seorang lelaki yang dicintainya secara rahsia? Kerana perbuatan tersebut bererti mengkhianati suaminya, merosak nama baiknya dan menurunkan martabatnya di mata masyarakat.”

Surat daripada Felix Farris, penulis terkemuka Lebanon mewakili keharuan dan simpati teman apabila mendengar sahabatnya ditimpa penyakit sehingga terlupa hakikat bahawa dirinya sendiri sedang sakit.

Dengan nada terharu dan simpati, Felix antara lain mempelawa: “... Ke marilah saudaraku, mari kita buang apa yang patah dan melayang dengan apa yang tidak patah menuju ke suatu tempat di mana ada ketenangan.”

Surat ini dijawab Kahlil dengan nada hangat dan terharu lewat kata-kata puitis yang antaranya: “Tidak aneh jika kita berdua terserang panah yang sama pada waktu yang bersamaan pula.”

Menggambarkan apa yang sedang mereka deritai, Kahlil seolah-olah mengerti dan pengertian itu dicurahkan dengan kata puitis: “Penderitaan, saudaraku, adalah sesuatu yang tidak kasat mata dan tangan yang sangat kuat yang merobek kulit dengan batu untuk mendapatkan daging....”

Inilah kelebihan kata dan bicara Kahlil dalam setiap suratnya lewat buku ini selain kelembutan dan kepuitisan suara serta bahasa Kahlil tetap terasa, sekali gus menggambarkan kerendahan hatinya.

Ketika menghadapi kerisauan ayahnya yang dipersenda kerabatnya di Amerika lewat surat bersempena April Fool 1904, bertanya khabar kesihatan saudara perempuannya, Khalil tenang membalas surat ayahnya itu.

Dengan penuh pengertian, Kahlil menulis: “Saya menerima suratmu yang berisi tentang kegelisahanmu terhadap khabar yang menyedihkan dan tidak diharapkan. Saya akan merasakan hal yang sama meski saya tidak tahu maksud dan tujuan pengirim surat tersebut.”

Dari 47 surat Kahlil itu, 26 surat ditujukan kepada Mikhlail Naimy, sasterawan tersohor di Lubnan dan Asia Barat yang juga sahabat akrab Kahlil sehingga segala rahsia diri dicurahkan kepada sahabatnya itu.

Dalam surat kepada Mikhail, percakapan Kahlil berkisar kepada organisasi dan projek penerbitan majalah Al-Funoon yang memerlukan bantuan tenaga temannya itu selain surat berikutnya, Kahlil secara berfalsafah menyatakan: “Tidak ada yang sia-sia di bawah sinar mentari.”

Tanpa silu, dalam surat berikutnya kepada Mikhail, Kahlil mengakui: “.... masa laluku hanya merupakan untaian benang-benang, bukan selembar kain. Ia hanya merupakan bongkahan-bongkahan batu dengan berbagai ukuran dan bentuk, bukan sebuah bangunan.”

May banyak menerima surat daripada Kahlil meskipun curahan perasaan sasterawan terbabit tidak ketara pada peringkat awal, tetapi tetap dapat dikesan pada surat yang ditulis sejak 1925: “Tidakkah kerana sangkar ini telah kubuat dengan tanganku sendiri?”

Dalam surat tahun 1926, Kahlil mencurahkan isi hatinya secara berlambang seperti dapat dikesan dalam petikan berikut: “...aku adalah sebuah awan dan dalam awan itu ada kesunyian, kesepian, lapar dan dahaga.”

Curahan perasaan Kahlil kepada May secara langhsung antaranya dapat dilihat lewat kata-kata “Katakan padaku, May, adakah seseorang di sana yang dapat dan mau mengatakan paling tidak satu dari sederetan kata-kata ini?”

Kahlil Gibran

Judul: Surat-surat Cinta Kahlil Gibran
Penterjemah: Dina Mardiya
Penerbit: Diva Press, Jogjakarta
Tebal: 185 halaman
Cetakan: 2005
Pengulas: Marsli NO

Wah! Surat cinta pun boleh dibukukan ... Siapa berani mendedahkan surat cintanya untuk tatapan umum? Mungkin kita boleh buat "Koleksi Ribuan SMS Cinta Semalam" atau paling tidak " E-mel Cinta Uda dan Dara" . Hahaha ... boleh meletup ke? Gilalah ... buatlah kerja lain kalau gian nak menulis pun .

Tuesday, December 05, 2006

Marah

MARAH

"Kawan baik I ialah mereka-mereka yang dapat menerima segala 'kemarahan' I." Yes, memang benarlah aku selalu marah kat depa, terutamanya Wan. Aku bukan marah dia, aku marah orang lain, sikap orang lain tapi cara aku cakap kat dia macam aku marah dia sungguh-sungguh. Bila kami pergi minum tiap petang selepas ofis, masuk saja kereta dia dah dapat menjangka apa yang berlaku. Dia kata dia dah sedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima apa sahaja 'luahan pankreas aku' setiap kali kami dapat meluangkan masa.

Yup, dengan mereka yang rapat dengan aku, aku suka marah, meluahkan segala kemarahan yang terpendam. Kadang benda tu tak berkaitan langsung dengan hidup mereka. Aku cuma nak seseorang mendengar api kemarahan aku yang selalunya meletus tak kira masa. Syukurlah, depa mendengar dengan khusyuk. Walau aku kadang tak mengharapkan sebarang tindakbalas. Memahami dan merasai apa yang aku rasa dan dapat bersama-sama meluangkan masa mendengar sudah lebih dari cukup. Nak tahu tak itulah salah satu cara untuk aku menghilangkan tekanan dan bebanan perasaan yang membelenggu. Pak cik tertekan, lebih-lebih lagi kena jadi Project Manager untuk ISO kat sini ...

Aku perlukan kawan untuk aku luahkan kemarahan. Ingat lagi tak "Community of Practice", kelompok manusia yang sama berbincang dan berbual meluahkan isi hati? Perkara ini memang dipraktiskan dalam Knowledge Management. Idea baru pun kadang kala muncul dan selebihnya sesi kutuk mengutuk. Siapa lagi yang kita selalu kutuk ...faham-faham sendirilah.

Monday, December 04, 2006

Tv

TV

TV di kampung rosak. Dua-dua rosak. Satu yang 29 inci tu rasanya sudah berusia 3 tahun dan yang satu lagi tu dah lebih berbelas tahun jenama Singer. Sunyi dan tak tahu apa bila tak ada TV di rumah. Kesian pulak kat my parent mesti boring bila malam-malam tak tahu nak buat apa.

We plan nak belikan saja TV yang murah-murah. Jenama LG tu dalam 21 inci boleh dapat dalam RM 550 ringgit je. Tapi mak nak suruh cina kedai tu perbaiki jugak kedua-dua tv tu. TV 29 inci tu aku yang belikan dulu and the one yang Singer tu aku tolong bayarkan instalment dia. Memang ada nilai sentimental.

Tapi aku tetap duduk melangut di sofa yang biasa aku melepak bila di kampung. Membuta sajalah kerjanya. Waktu macam tak bergerak bila di sana.

Banyak yang aku nak tulis sebenarnya tapi aku tiba-tiba rasa letih. Bukan tak ada idea, tapi aku tahu ramai orang yang mengenali aku membaca tulisan aku di sini. Aku jadi kurang selesa ... hehehe setelah 3 tahun lebih baru akau rasa tidak selesa?