Kebenaran jiran syarat dapatkan lesen anjing
Oleh Salina Abdullah dan Saring Sirad, (Berita Harian, 25 Mac 2005)
KLANG: Penduduk Shah Alam yang ingin memiliki anjing kini perlu mendapatkan kebenaran daripada jiran terlebih dulu sebelum lesen dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA
Syarat baru MBSA itu dikuatkuasakan sejak Januari lalu bertujuan memastikan pemeliharaan haiwan itu tidak mengganggu keselesaan, ketenteraman dan keselamatan penduduk sekitar.Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata penduduk yang ingin memelihara haiwan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada jiran di sebelah kanan dan kiri rumah.“MBSA menyediakan borang khas bagi tujuan ini dan mereka perlu mengemukakannya bersama-sama borang permohonan lesen memelihara anjing daripada MBSA,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar, Mohd Hazman Khan Seh Zahidi, 9, yang terpaksa menerima 180 jahitan kerana diserang empat ekor anjing di kawasan perumahan Putra Perdana Puchong, Jumaat lalu.Selain itu, Shahrin berkata, MBSA juga menetapkan syarat lain bagi mengawal pemeliharaan anjing di rumah kediaman, termasuk mengehadkan dua ekor anjing bagi kediaman jenis banglo, rumah berkembar, rumah teres lot tepi, kilang dan kelab golf atau kelab eksekutif.Penghuni rumah teres lot tengah, rumah pangsa dan pangsapuri tidak dibenarkan memelihara haiwan berkenaan.
Di samping itu, Shahrin berkata, anjing peliharaan itu hendaklah dikurung atau disimpan di dalam rumah haiwan yang berpagar, lantai bersimen dan dilengkapi paip air untuk tujuan mencuci kawasan berkenaan.Shahrin berkata, pemilik juga harus memastikan anjing yang dipelihara dikawal dan dijaga dengan teliti supaya tidak berkeliaran dan membuat bising serta mengganggu ketenteraman dan keselamatan jiran, penduduk sekitar serta orang ramai.Katanya, pemilik harus memastikan anjing bertali dan memakai logam lesen serta berjalan seiiring dengan pemilik apabila dibawa keluar dari kawasan kediaman.
Beliau berkata, pemilik yang melanggar syarat boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing 1982 iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.Sementara itu, katanya, setakat ini kebanyakan kes dan aduan yang diterima MBSA membabitkan anjing liar atau anjing tidak bertuan.Pada 16 Mac lalu, katanya, MBSA menangkap sembilan ekor anjing liar di Seksyen 25 dan 32, dekat sini.Beliau berkata, MBSA mempunyai Unit Haiwan Kacau Ganggu yang bertanggungjawab membuat rondaan dan tangkapan jika ada masalah membabitkan haiwan berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Abdul Bakir Zin, berkata pihaknya menangkap kira-kira 4,000 anjing liar dan anjing berlesen yang berada di luar kawasan rumah, sepanjang tahun lalu.Beliau berkata, MPK turut melantik tiga syarikat untuk menangkap anjing liar dan anjing berlesen yang berkeliaran dalam kawasan majlis dengan bayaran RM38 seekor.Katanya, anjing yang bertuan tetapi tidak dituntut pemilik selepas ditahan MPK akan turut dimusnahkan.Abdul Bakir berkata, MPK mengehadkan dua ekor anjing bagi kawasan seluas 1,000 meter persegi dan empat ekor bagi keluasan lebih daripada 1,000 meter persegi.
Selain itu, Abdul Bakir berkata, penduduk yang ingin memelihara anjing perlu mengemukakan salinan sijil kesihatan anjing terbabit daripada Pegawai Jabatan Haiwan Negeri atau doktor haiwan yang berdaftar ketika memohon lesen pada harga RM10 setahun bagi seekor anjing. Abdul Bakir berkata, mereka yang melanggar Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duan
Nota :
Maklumat ini penting buat aku yang tinggal di Klang. Kadang kita tidak sedar yang undang-undang telah ada kecatas sesuatu perkara. Mewujudkan masyarakat bermaklumat dan tahu mendapatkan maklumat yang dikehendaki juga penting.
Mungkin kita akan memerlukannya di masa akan datang. Tidak pasti jika undang-undang yang sama diguna-pakai di tempat lain. Kalau kita tidak pasti harap dapatkanlah maklumat tersebut di Majlis Perbandaran yang berhampiran. Elok juga kalau mereka ini mengadakan pameran atau sebaran maklumat berkenaan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Yelah bukan semua orang tahu atau “well informed”.