Wednesday, May 30, 2007

CUTI

CUTI

Semalam bercuti. Hantar Yana ambik periksa di INSPEN, Bangi. Seharian dia ambil exam tu. Habis je exam jam 4.15 petang aku hantar dia balik ke kampung. Tapi sebelum tu singgah di Giant beli 'jajan' berkotak. Sebab beli berkotak tulah cashier tu dah silap tekan harga dia. Patutnya lebih murah lagi. Aku panggil supervisor suruh check dan memang betul harga dia bukan harga yang budak tu bilkan. Hehehe ... customer always rite kan? Itulah pentingnya mengingat harga barangan di pasar raya besar nih. Kadang sistem online depa 'pening' nak memproses data. Kalau kita nak cepat je memanglah rugi. Tapi petang tu aku berjaya membuatkan orang ramai beratur panjang. Mesti kena sumpah seranah tu. Duit susah nak carik kan?

Pagi tadi lalu jalan baru Guthrie tu ke Putrajaya. Tol RM5.40 tak payah lalu SA yang jammed teruk tu. Laju je aku memandu. Kalau aku tinggal di Kapar tol sehari 10.80 kalau lalu jalan tu lah. Mmmm cadang nak tinggal di sana hujung tahun depan.

Monday, May 28, 2007

ISO

HUJAN

Training untuk ISO hari ini di batalkan. Pagi gajah trainer tu call dan cancelkan sebab suara dia hilang ( hehehe banyak sangat berkaraoke agaknya). Jadi pagi ini kami dapatlah makan free jimat sikit belanja. Okay juga kalau selalu macam ini. Petang ini atau bila-bila masa sahaja, ikut mood aku nak balik ke kampung ( rindu kat my parents sebenarnya - semalam tak balik ada kawan jauh datang bertandang). Esok pulak saya bercuti, adik nak pergi ambil periksa di INSPEN.

Semalam sempat tengok Lanun Lautan Caribbean. Okay gak walau pening sikit dengan sub plot dia yang bersimpang siur. Kena tahu cerita yang terdahulu kalau nak enjoy menonton cerita itu. Saya ke panggung pukul 10.30 pagi. Ehhh best jugak tengaok time pagi ni. Kita boleh buat banyak perkara selepas itu.

Sedap pula lagu ini. Maksudnya dalam. Teringat kisah lalu cewahhh!!

Pada awalnya ku sangka berkawan saja
Akhirnya ku sedari kau ku sayangi
Ingin aku mengiringi kehidupan mu
Kerna engkau bererti bagi diri ku
Kau nyalakan pengharapan hidup masa depan
Ku membina cita cita untuk hari muka

Kiranya aku jambatan yang menghubungkan
Tiba kau ke seberang ku kau lupakan
Kalau dulu segandingan seia sekata
Kau bertukar haluan tidak setia

Bila aku mengenangmu di dalam sepi ku
Ku terkenang pengorbanan yang telah ku berikan

Rupanya aku menjadi batu loncatan
Bertemu yang kau hajati ku kau tinggalkan


Pelangi – Aku Jambatan Buatmu

Thursday, May 24, 2007

Gerhana

GERHANA

Kisah seorang anak yang menjerut leher bapanya hingga mati di KL semalam membuatkan saya terfikir tentang sesuatu. Hidup berdua dengan seorang bapa yang lanjut usia memang memerlukan tahap kesabran yang tinggi. Mungkin lelaki itu (usia 50-an) sudah dileteri berhari-hari atau bertahun dan semalam adalah kemuncak kesabarannya. Mungkin juga dia bukan seorang islam jadi dia tidak dapat mengawal kemarahannya. Yalah kalau dia seorang muslim pasti dia beristifar banyak-banyak dan menerima keadaan orang tua itu seadanya. Ah! kalau sudah tak tahan semua itu tidak menjadi sebarang apa.

Persoalannya ialah seorang anak sebagaimana penyabar pun pasti akan mendidih hatinya itu betul. Di usia emas ibu bapa akan bertukar watak menajdi LEBIH SENSITIF. Anak-anak perlu memahami perubahan fisiologi dan emosi orang tua mereka. Tersilap cakap, tersilap tindakan mampu mengguris teruk perasaan mereka. Walaupun kita ini insan yang lemah, tapi mengambil sikap berhati-hati dan berdiam diri lebih baik. Sensitif dengan keperluan mereka dan bercakaplah dengan nada yang betul. Tone suara tu pun boleh menjadi isu besar!

Bapa saya berumur 71 tahun dan ibu saya berumur 61 tahun. Sejuta kesabaran diperlukan untuk membahagiakan mereka dan ketelitian diperlukan. Kasih sayang serta perhatian tidak boleh membuatkan mereka risau barang secuit pun. Saya berdoa setiap kali selepas solat supaya ibu bapa saya panjang umur dan sihat walfiat.

Moga saya dan adik beradik yang lain mampu menjadi anak yang taat dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kedua ibu bapa kami. Ohhh ... ayah saya masih sihat cuma daya kesabarannya sudah berkurang kasihan ibu saya ...

Wednesday, May 23, 2007

ALHAMDULILLAH ...

ALHAMDULILLAH ...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi ...

Pembedahan kedua-dua mata Dia telah selamat. Katarak itu berjaya 'dihapuskan' matanya dapat melihat dengan terang kini. Tidak lagi terasa macam berkabus dan tidak mampu memandu di waktu malam. Dia telah memperolehi kesejahteraan itu hasil teknologi laser yang mampu dijalaninya.

Tetapi kenapa dia tidak pernah terpandangkan aku yang wujud di depan matanya walau setelah katarak itu dibuang?

Tuesday, May 22, 2007

Sektor Awam

SEKTOR AWAM

Kenaikan gaji sektor awam yang diumumkan oleh PM semalam memang telah dijangka. Kenaikan yang banyak dan memberi impak yang besar kepada negara. Kakitangan sektor awam akan menikmati taraf hidup jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kakitangan swasta sendiri. Itulah kenyataannya sekarang.

Terasa rugi tidak memceburi sektor awam ketika mula-mula menceburkan diri di arena pekerjaan 11 tahun yang lalu. Gaji yang ditawarkan ketika itu RM 1200 S41 rasanya. Itu tidak termasuk pelbagai elaun. Kini dengan kenaikan gaji yang dijanjikan pastinya ianya lebih 'menyegarkan'. Ramai kenalan di sektor awam tersenyum puas dengan segala kesabaran mereka. Harapnya rezeki yang mereka nikmati itu akan turut tempias ke GLC. Kalau dapat COLA RM 300 pun rasanya berbaloi. Jika difikirkan sektor swasta di negara kita tidak semuanya mendapat skim gaji yang berbaloi. Harap lanskap gaji untuk para esekutif swasta di negara kita akan diperbaiki. *Rasanya saya bercakap dengan dinding --- tiada siapa yang memperjuangkan nasib golongan eksekutif sektor swasta.

- MMM kalau saya melompat ke sektor kerajaan saya minta S48 /S44 seperti kawan-kawan saya yang lain.
- Harga barang naik tak? Hehehe ...
- Nak pilihan raya ke Pak Lah?
- Bolehlah kumpul duit beli VIVA :)

Friday, May 11, 2007

Mimpi

KU IMPIKAN BINTANG

Selepas solat Jumaat saya bergegas ke Presint 9, apa lagi ... menjenguk si Vivalah. Okaylah kereta tu untuk segmen kereta kecil /compak, harga dia masih relatif mahal untuk yang 1.0 cc tu. Harga 1.0 Ezi automatik 44,200, tambah je sikit lagi dapat kereta Wira 1.5 A/B yang lebih selesa. Itu pun kalau pembeli tu fikirkan untuk jangka panjang, kita tak selamanya muda kan? Tapi apapun kelahiran Viva menambahkan lagi kereta-kereta 'cute' di negara kita.



Ku impikan bintang jatuh ke bumi
Menyinari awan yang berat hujan
Dalam kegelapan malam
Bintang membawa harapan
Sinaran cinta kita

Belailah daku dalam dakapan mu
Semaikan ku dalam mimpi mimpi mu

Bila berdua indah segala
Seakan kita di syurga
Ku berdoa agar cinta kita
Seperti bintang yang menyinar

Nyata bintang takkan jatuh ke bumi
Namun kita kan jatuh cinta

Sean Ghazi – Ku Impikan Bintang

Thursday, May 10, 2007

Membaca




MEMBACA MEMBUKA CAKERAWALA !

Saya mula membaca banyak karya penulis tempatan lain ketika ini. Menghiburkan dan memberi banyak input tentang plot dan style penulisan masing-masing. Saya sudah habis membaca Jibunsyi "Biarkan Ia Terbang" karya Norehan Muhamad. Jibunsyi adalah berdasarkan kisah benar. Dari usia kanak-kanak sampai sudah beranak-pinaklah watak itu difokuskan jalan hidupnya. Ceritanya menarik dan sesuai dibaca untuk semua lapisan masyarakat. Lelaki gagah perkasa pun tak akan dianggap 'lembik' atau 'sentimental tahap gaban' kalau baca novel sebegini.

Wah ... PTS ada novel terbaru "Curahan Cinta Niagara" karya Maya Iris. Amboi tajuk dia mengancam sukma. Cuba click di sini untuk berita lanjut tentang buku tersebut. Saya belum membacanya lagi tapi memang teruja untuk mendapatkannya. <http://www.pts.com.my>

SINOPSIS

Kita sering kali bertanya, "Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan? Quran menjawab, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Surah al-Baqarah, ayat 216.


Mira Zahila, gadis yang mudah berkawan tetapi tidak mempercayai institusi perkahwinan telah menjadi rebutan dua orang lelaki. Air terjun Niagara Falls menjadi titik permulaan Farhan disapa oleh perasaan cinta pertama. Namun Farhan terpaksa memendam rasa kerana adiknya Faris yang sering memperolehi apa yang diingininya lebih dahulu menagih cinta Mira.Di saat-saat menemui ajal, Faris telah memberi laluan kepada Farhan untuk merebut cinta Mira. Namun, Mira tidak dapat menerima cinta Farhan kerana cara hidup Farhan dirasakan asing baginya.

Farhan pula mula sangsi dengan cintanya kerana sejarah silam Mira dan Faris bercanggah dengan prinsip hidupnya. Dalam keadaan terpaksa, Farhan menikahi Mira walaupun dia sendiri tidak pasti perasaan sayang atau benci yang bersarang di hatinya.Ketika Farhan dan Mira bergelut mencari kebahagiaan sebagai suami isteri, muncul pula seorang wanita yang bakal menggoncang keharmonian rumahtangga mereka. Yang bakal mematikan benih-benih cinta yang baru bercambah.Berjayakah Mira mencari kebahagiaan, merentasi lautan dari New York ke London dan Paris hingga ke Kuala Lumpur? Dan sempatkah Farhan membuktikan cintanya sehebat curahan Niagara?

Sinopsis dipetik dari laman web PTS (http://www.pts.com.my)

Wednesday, May 09, 2007

Hujan

HUJAN


Pagi tadi hujan lebat. Jammed masa jalan nak keluar ke persimpangan CJ/PTJ/KJG. Hujan rahmat. Rasa macam hujan lagi hati ini pulak. Semua orang busy dengan meeting hari ini. Aku buat satu paperwork sahaja. Data tak sampai jadi aku tak boleh siapkan. Masa lunch tadi otak masih memikirkan sesuatu yang membuatkan nasi yang terhidang tak habis ditelan. Kronik ke? Mungkin kita tidak boleh berfikir sesuatu perkara ketika menghadap rezeki. Kena fokus.
Love Chooses You...

If you find yourself in love with someone, and that someone does not love you...be gentle to yourself, there is nothing wrong with you, love just did not choose to rest in that someone's heart.

If you find someone in love with you, and you can not answer that love... feel honored that love came by and called on your door.... but gently refuse the feeling you cannot return, as love did not choose to settle in your heart.

If you find yourself in love with someone and the love returned...it still can happen that love chooses to leave... do not try to reclaim it and do not assess any blame... let it go, despite the pain...there is a reason and meaning to this... you cannot choose love by yourself...LOVE CHOOSES YOU!!!!

Mmmmm ...

Monday, May 07, 2007

Ungu

BILA RINDU MENJADI UNGU

Hari Ahad saya, Yana, Mak dan Man bergegas ke KL. Cadangnya nak ke Pesta Buku KL untuk kali ke dua. Yana nak beli koleksi majalah yang dia suka benar nak cukupkan koleksinya. Tak boleh tercicir walau senaskah. Tapi kami hampa, parking untuk kereta tak ada. Kesian kalau nak parking jauh, nanti Mak penat nak jalan kaki. Jadi kami pergi shopping sahaja ... hahaha teruk.

Balik ke TK pukul 2.00 petang dan pada pukul 5 bertolak semula ke CJ. Penatnya. Sarapan pagi di KL dan makan tengahari di TK. Saya yang memandu.

Masa di pesta buku pada 30 April saya sempat bertemu beberapa penulis yang sudah tercetak naskahnya. Tahniah untuk mereka, ada yang sudah mendapat royalti ... bila ditanya berapa? Jawab mereka "Harga Kancil ful settlement"... fuhhh tertelan air liur. Alhamdulillah rezeki mereka. Saya juga perlu sabar menanti saat dan detik itu menghampiri. Bila?

Antara buku yang saya beli ..."Biarkan Ia Terbang" terbitan PTS, "Gurindam Jiwa" Jemari Seni, koleksi novel klasik dari Alaf 21 antaranya "TukCa" karya Azizi Abdullah. Berpuluh-puluh majalah ... leganya. Saya tidur dengan semua buku-buku yang saya beli itu.

BILA RINDU MENJADI UNGU

Telah terpeta jejak pilu di hati
Sepi merangkul rindu itu

Hilanglah sudah kemesraan
rinduku menjadi ungu

Engkau pergi tanpa pamitan
Tidak kunanti esok lagi ...
Kamal
7 Mei 2007

Sunday, April 22, 2007

Kerja

KERJA, KERJA ...

Sekarang ini cuti ke tak cuti memang pagi-pagi lagi aku dah sampai ofis. Maknanya akulah yang bukak pintu ofis setiap hari. Bukan tak tahu apa nak buat tapi kalau di rumah atau di kampung aku jadi malas sangat. Tak tahu apa nak buat. Malam pun kadang pukul 3-4 aku dah terjaga. Bila terjaga aku mop lantai, basuh tandas dan sebagainya. Sampailah aku letih sambil menunggu waktu subuh.

Banyak perkara yang aku fikirkan sekarang ini. Selain projek ISO 9001:2000 yang mendera emosi aku ini,ada jugalah plot-plot sampingan yang membuatkan hidup aku rasa ... Rasa apa ya? Tak 'complete' entah sukar nak digambarkan dengan tulisan.

Oh ya, aku sudah habis membaca novel "Surat Ungu Untuk Nuha" kisah yang menghiburkan jugalah. Aku baca sampai habis dan lega juga dengan ending dia. Entah bilalah novel sendiri nak keluarkan? Kata editor tahun ni juga. Jadi kena tunggulah.


"Kesedihan dan kerinduan hanya terasa selama mana yang kita ingini dan
menyayat hati sedalam mana yang kita izinkan.
Yang berat bukan caranya menanggung kesedihan dan kerinduan itu,
tetapi bagaimana mengambil pengajaran darinya."

Wednesday, April 18, 2007

Yin

YIN 2

Yin telah selamat kembali ke pangkuan ibu bapanya. Namun kisah dia tidak berhenti di babak paling dinantikan itu. Lembaran baru bermula, kisah pasangan Myanmar suami isteri itu pula kini menyusul untuk di soal siasat. Memanglah wajar, tapi perlu dilakukan secara tertutup tanpa dihebahkan kepada media. Bukankah ibu bapa Yin juga telah berjanji untuk memaafkan sesiapa juga yang mengembalikan anak mereka?

Pasti penculik/penjenayah yang melakukan perkara sebegitu dengan niat, tidak akan memulangkan sesiapa juga yang 'diculik' atau 'diambil' di masa akan datang jika beginilah halnya. Apa terjadi dengan ratusan kanak-kanak yang hilang di negara kita? Kisah seorang anak perempuan yang hilang di Kuala Selangor sepi hingga kini. Pasti ianya mengundang harapan setipis kulit bawang untuk kanak-kanak ini dikembalikan semula kepada ibu bapa mereka.

Kisah Yin ini seolah-olah ibu bapanya langsung tidak bersalah. Padahal mempunyai anak hyper active ( Attention Deficit Hyper Activity Desorder) ini memerlukan penjagaan dan penelitian bukan sedikit. Tidak boleh terlepas pandang langsung. Ya, mungkin pasangan Myanmar itu ada niat lain. Kita tidak tahu, namun dia juga telah melakukan tindakan yang mulia dengan menjaga Yin selama ini walau serba kekurangan dan kemiskinan.

Yin telah kembali, dia bernasib baik kali ini. Dan nasib baik seperti ini sungguh jarang berulang kembali.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui ...

Tuesday, April 17, 2007

YANG

YANG INDAH BELUM LAGI MENJELMA

Rasa nak demamlah hari ini. Badan rasa sakit-sakit pulak. Rasa nak cuti tapi belum boleh cuti kena gantikan kengkawan yang tengah bercuti saat ini.

Yang indah belum lagi menjelma dalam hidup. Kena tunggu dan terus menggali lagi!


SURAT UNGU UNTUK NUHA


Semalam petang semasa ke kedai buku nampak novel Noor Suraya "Surat Ungu Untuk Nuha". Tertarik dengan buku ini secara fizikal dan isinya. Pertama binding dia kemas, reka letak menarik. Mutu kertas bagus. Gam kat buku tu nampak kukuh untuk menampung 484 muka surat. Yalah ada sesetengah penerbit tu gam kat buku tu mudah terlerai muka suratnya bila di belek lama-lama. Tapi buku terbitan Jemari Seni ini boleh dianggap A+ dari segi konsep keseluruhan bentuk fizikal dan reka letaknya. ( www.jemariseni.com)

JALAN CERITA

Menghiburkan, sedih dan nak tergelak pun ada. Suka watak Alang dan Nuha yang ala-ala benci tapi rindu. Bersahaja dan matang. Aku suka buku ini sebab Alang minat puisi, dia tulis sajak. Ada fragmen-frangmen sajak yang menarik dalam buku ini juga. *Alamak aku dulu baru nak buat cara yang sama ada orang lain yang gunakan kaedah ini pulak. Kena fikirkan idea lainlah nampaknya nanti.

Malam tadi aku baca sampai muka surat 124 jadi taklah boleh komen banyak-banyak pasal isi. Cuma memang berbaloi untuk dibeli dan dibuat koleksi.

Surat Ungu Untuk Nuha ni memang aku suka baca. Kalau tak, pasti pukul 9 malam aku dah berlayar ke kota mimpi...

Nuha:

Jendela hati diketuk lagi
kubuka separuh-separuh
separuh hati
"Selamat malam, nama saya Cinta!"
hangat dan dingin
merantai di luar.

"Izinkan saya berteduh di tepi jendelamu?
"Cinta terus bertanya.

Lalu hatiku tertanya-tanya:
"Cinta, kenapa mesti aku?"
Muzzammil:
Nuha, benarkah... tidak semua ombak menemui pantai?

Monday, April 09, 2007

Yin

YIN

Kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin ketika ibu bapanya membeli belah di Sogo seharusnya tidak berlaku. Saya yang mendengar kisah ini bukan sahaja bersimpati malah geram pun ada dengan pasangan muda itu. Kalau sibuk mencuba pakaian sekalipun, berkumpullah di depan 'fitting' room atau bawa sekali anak itu masuk ke dalam bersama. Bayangkan untuk ke bahagian belakang pintu keluar Sogo itu bukan mudah, menyelusuri tangga bergerak itu juga bukan kerja senang untuk budak berusia 5 tahun. Ini bermakna keluarga itu sambil lewa sahaja dalam aspek penjagaan anak mereka ketika itu. Seronok membeli-belah yang akhirnya membawa padah.

Kalau ikutkan fikiran jahat saya, macam-macamlah yang bakal berlaku. Penculikan untuk dijadikan pengemis profesional, pemindahan organ dan dijual untuk mereka yang inginkan anak. Nauzubillah ... tidak sanggup saya bayangkan.

Moga Yin kembali kepada keluarga yang merinduinya dan kisah ini wajar dijadikan iktibar untuk semua.

Sabtu pagi ke Banting melihat anak saudara yang ditimpa kecelakaan. Kakinya tertusuk jarum dan terpaksa dibedah untuk mengeluarkannya. Nasib betul abang tu, tempanglah dia untuk barang seminggu lagi. Tahun ni UPSR pulak tu ...

Adik Syikin pulak kedua-dua pehanya terkena ekzos motor bapak diorang yang diletakkan di depan pintu rumah. Habis melepuh peha comel budak tu. Hisss ... macam-macam dah tahu ada anak kecil letak motor pun di depan pintu rumah. Penat pulak nak membebel pagi-pagi ini.

Kita harus menyediakan persekitaran yang sleamat untuk anak-anak membesar. Zaman lasak dan berkubang macam dulu-dulu sudah lama berlalu. Zaman ini kanak-kanak di kawal seperti tawanan perang hehehe ...

Tuesday, March 27, 2007

HURT

HURT

Lagu Christina Aguilera "HURT", tu memang sedap dan indah melodinya. Terasa sarat dengan peristiwa yang berlaku dalam lirik lagu itu. Bahasanya simple tapi disampaikan dengan cara yang begitu mantap. Pernah dengar tak?

Terkesan dan antaranya liriknya ...

"Ohh I'm sorry for blaming you
For everything I just couldn't do
And I've hurt myself, ohh ..."

Lagu yang simple tapi menarik dari segi senikata dan susunan muziknya. Layan jugak masa nak pergi dan balik kerja ...

MENGUTIP KATA-KATA

Hargailah pasangan anda, biarlah dia menangis kerana kehilangan anda janganlah anda menangis kerana kesilapan anda yang tidak menghargainya. (YD, Klang)

Hal paling kejam yang seseorang lakukan kepada orang lain adalah membiarkannya jatuh cinta sedangkan kita tidak berminat untuk menangkapnya.

Di saat kita fikir telah melakukan yang terbaik untuknya tetapi tanpa disedari kebaikan mungkin dibalas dengan kesakitan.

Monday, March 26, 2007

HARI YANG INDAH (UNTUK BERSENDIRIAN)


Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awan
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.


Seindah ini warna alam
telah kau lepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.


Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.


Hari ini amat indah untuk bersendirian
Kau bukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kau hilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.


Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.


Kamal
25.03.07


Hari yang indah untuk bersendirian. Alhamdulillah ... syukur di panjangkan usia sehari lagi. Paling tidak kita masih punya masa untuk mengucapkan betapa bertuahnya kita ini. Semalam dapat membeli satu cadar baru dari Aussino corak berbelang-belang biru hijau putih. Supaya dapat lena tidur, dapat lebih banyak ilham. Dapat menangkap segala kebimbangan dan menghumbannya keluar dari tingkat 14 apartmen aku itu. Kronik ? Hehehe ...

Thursday, March 22, 2007

Sedih

KESEDIHAN

Tiba-tiba saya rasa begitu sedih sekali. Suara saya tidak keluar ketika bercakap. Sebak sekali ... Hari ini dah hari seterusnya akan lebih menguji. Dunia ini penuh dengan segala kemusykilannya. Haruskah kita mengetahui segala jawapannya? Jawapan untuk segala yang diselerakkan di depan mata?

Tuesday, March 20, 2007

PUISI

CINTA DALAM PUISI

Saya agak sibuk sejak kebelakangan ini. Selain tugas-tugas menyiapkan ISO, aktiviti sambutan 10 tahun universiti ini tetap berjalan. Tolonglah mana yang patut, masuk mana-mana AJK yang biasa-biasa. Yalah, kita ni manalah orang kenal.

Saya mula diperkenalkan dengan puisi semenjak mengikuti Kursus Teknik Penulisan Surah Yusof yang dikendalikan oleh Ibu Ainon. Kalau diikutkan genre puisi paling saya minati. Mungkin sebab 'kesakitan' penghasilan sesuatu karya itu tidak terlalu panjang, tidak seperti novel yang mengambil masa yang lebih lama.

Saya percaya kita mesti berguru bila memasuki bidang baru. Mesti ada yang membimbing dalam industri tersebut jika tidak jadilah kita penulis syok sendiri. Menulis selain untuk kepuasan diri sendiri kita juga menulis untuk orang lain iaitu pembaca kita. Jadi setelah beberapa bulan menekuni genre ini. Inilah hasilnya ... moga yang indah akan terus menjelma!

Koleksi Puisi Cinta Kamal di Universiti Terbuka PTS <http://www.universitipts.com/?cat=35>

Monday, March 19, 2007

Al-Fatihah

AL-FATIHAH BUAT HISYAM

Arwah merupakan jiran saya. Kami membesar di ruang lingkup yang sama. Cuma nasib lebih menyebelahi saya dan mampu keluar dari Jalan Mayang Rotan untuk membina hidup di tempat lain, tapi masih di Selangor.

Banyak juga kenangan zaman kanak-kanak yang terimbas kembali. Dia 'istimewa' orangnya. Tersenyum dan melambaikan tangan setiap kali kami bertentangan di mana-mana. Sekadar bertanya khabar. Dia atau saya yang menjauhkan diri itu saya tidak pasti. Kami meneruskan hidup dengan cara sendiri.

Pagi Ahad yang cerah, saat dia menghadap Ilahi telah tertulis di Luh Mahfuz. Kami yang hidup seakan tersentak dengan kehilangan ini. Saya yang bertugas tidak dapat menziarahinya. Kerana jenazah dikebumikan pada petang itu juga. Saya menangis di atas kehilangan ini, untuk sahabat yang saya tahu atau mungkin jika saya berpeluang mengenalinya dengan lebih dekat lagi ...

Al Fatihah untuk Arwah Hisyam dan keluarga. Pastinya kehilangan ini lebih membekas di saat keluarga itu menerima menantu. Dan untuk pemandu kereta yang melanggar lari arwah ... tidak akan ada sesaat pun masa dalam hidupmu, kamu dapat melelapkan mata dari terus mengingati peristiwa ini! Tidak akan ada ...

Al Fatihah ..

Monday, March 12, 2007

HUJUNG MINGGU

HUJUNG MINGGU YANG BEST

Hari Sabtu saya ke Bengkel Penulisan Jibunsyi kelolaan MyJICA dan PTS di Hotel Impiana KLCC. Sungguh best dan mantap seperti selalu. Ibu Ainon dengan segala daya dan cara keibuannya mendidik kami dengan tekun tanpa jemu. Maklumlah bila mendapat anak murid yang sudah 'kertu' dan lambat macam saya ini mestilah pening kepala.

Sempat bertentang mata dengan Datuk A. Samad Said, dan mendapat buah tangan daripadanya. Buku-buku beliau yang tidak ternilai itu. Buku terbitan Wira Bukit http://www.wirabukit.com/. Buku "Dari Salina ke Langit Petang" harus di baca kepada semua bakal penulis dan peminat sastera Malaysia. Buku "Cinta Fansuri" pula begitu indah untuk dinikmati seenaknya. Kalaulah saya dapat menulis sebaik itu.

Program ini adalah tajaan MyJICA sepenuhnya ( terima kasih daun keladi). Kemudian kaki melangkah ke KLCC mengisi petang yang damai. Bertemu teman lama bertanya khabar berita dan kehilangan yang tiba-tiba itu. Dia bakal menjalani pembedahan laser mata untuk membuang katarak. Dia tetap begitu lucu dan segala kata-katanya membuatkan saya terlupa pada kisah lalu. Di Dome, meja kami menghadap pancuran. Kami ketawa tak ingat dunia tentang kisah-kisahnya semasa di Korea menikmati permainan ski, di Jakarta dan bakal menunaikan umrah pada penghujung April. Bertuahnya dia ...

Tuah saya belum nampak di kaki.

Monday, March 05, 2007

Escapism

ESCAPISM

Jumaat malam Sabtu aku ke JJ, Puchong. Dengan segala kelam-kabutnya aku terlupa kat mana entah aku letak tiket parking tu. Hilanglah pulak. Aku ni jadi pelupa semenjak dua menjak ni. Akhirnya terpaksalah jumpa pihak security, isi form dan bayar RM20.00. Kalau tiket tu boleh ditemui lagi dalam tempuh 48 jam RM 19.00 akan dikembalikan. Halalkan sahajalah entah kat mana benda tu terjatuh.

Hari Sabtu ke ofis, cadangnya nak siapkan 'Quality Manual' untuk ISO. Tak ada mood pulak. Aku rasa penat dan pening kepala tiba-tiba. Kemudian ke bilik kuliah dengar ceramah. Kerja kat Univ memang penuh dengan ilmu antara nak dengan tak nak sahajalah kan ...

Tajuk ceramah tu "Antara Kejayaan & Kegagalan". Banyak juga yang dibincangkan. Antaranya kata penceramah itu : "Hidup kita ini ada 2 jalan yang membawa kita kepada kebahagiaan yang tidak kekal dan satu jalan yang cukup panjang namun kemanisan kejayaannya lebih lama." Boleh juga menggunakan konsep "SMARTER" untuk matlamat jangka pendek dan panjang kita.

S - Specific (Spesifik)
M- Measurable ( Boleh diukur)
A- Attainable (Boleh dicapai)
R- Reasonable (Munasabah)
T - Time frame (Jangkamasa)
E- Exciting ( Menyeronokkan)
R - Rewarding( Ganjaran).

Ini adalah pendekatan SMARTER, tapi aku pada hujung minggu yang lepas tak smart mana dalam memenuhi masa aku. Berehat-rehat, membaca dan kemudian membeli sepasang ikan "Oscar" berharga RM 10.00 di kedai akuarium di Seri Serdang. Ohhh ... aku sedang mencari 'escapism' dalam segala banyak tugasan yang menanti di bulan Mac ini.