Friday, November 28, 2003

DAGING, SIPUT DAN DUIT RAYA

Kemeriahan raya pasti dirasakan sedikit hambar tanpa iklan Petronas (biasalah syarikat kaya atau kena paksa kata abang ipar aku yang kerja kat Pertronas). Mesej tahun ini mengenai memenuhi harapan orang tua terutama ibu kita kerana syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Daging lembu, janda beranak tujuh dan kegelisahan anak-anak mendapatkan apa yang diinginkan si ibu diolah dengan amat berkesan sekali. Anak lelaki menganyam ketupat dan menolong ibu di dapur memberi mesej yang bukan sedikit bahawa Syawal di sambut dan diraikan bersama orang yang tercinta. Rasa bersalah kalau tidak memperolehi apa yang dihajati dan alternatif lain yang ada seakan tidak sesuai. "Daging kambing nanti mak pening". Begitulah raya di Malaysia ...

Bila menonton iklan Petronas ini teringat ayah. Dulu, nak beli daging lembu kena tempah 2 minggu awal. Lembu di sembelih ikut tempahan orang. Jangan harap nak dapatkan daging kalau tidak buat tempahan. Ayah terpaksalah berkayuh ke TK subuh-subuh membeli daging bila nak raya. Walaupun dah tempah selalunya dapat daging entah apa-apa maklumlah daging pinang bukan banyak. Iklan Petronas kali ini antara yang terbaik pernah dihasilkan.

Semalam pergi ke Sungai Siput Perak ke rumah tunang Julie. Mak datuk begitu jauh sekali tempat itu. Terasa dah pusing satu Perak sebab sesat!. Felda tu memang jauh. Penat sekali tapi disebabkan kehendak Julie nak berjumpa keluarga tunangnya terpaksalah kami semua ikut. Oklah keluarga mereka baik sekali. Makan kenyang dan bertolak semula ke TK pukul 3.30. Man yang drive masa balik. Bukan bertambah cepat sampai tapi lebih hampeh. Hujan pulak tu, tup-tup dah sampai UPSI dekat Tg. Malim. Sikit lagi dah sampai KL. Terpaksalah lalu jalan tepi hutan Sg. Besar 76km! Pukul 8.30 baru sampai TK. Kepenatan sungguh, tapi kami sahaja yang penat. Julie senyum simpul jer maklumlah dapat jumpa abang siput tersayang!

Raya tahun ini memang tak balik modal. Bagi duit raya RM 250 dapat RM 16.00. Sah-sah aku dah nampak 'tua'. Nasib baik abang ipar dan ayah aku bagi duit raya. Man bagi aku RM1 buat syarat! Tadi hantar dia balik ke Klang. Singgah beli kaset Siti Sarah. Harga dia RM 15.90 baki 10 sen duit raya aku tahun ini. Gelak sakan, duit raya tahun ini dapat beli kaset Sarah sahaja.

Sepanjang balik ke TK dengar lagu dia terutamanya "Saat Hilang Cintamu". Pasti ini adalah pertaruhan utama buah tangan Sarah kali ini. Vokal dia semakin mantap ada perubahan yang ketara. Yelah aku menilai lagu, ikut tekak aku jer macam makan kuih raya juga. Mana lagu yang sedap, lagu itulah sahaja yang aku dengar. Mungkin ini adalah kesinambungan dari lagu "Kesetiaan" dulu. Tak sangka ada lagu begini. Patut tukar sahaja judul dia kepada "Sebuah Dendam Yang Bermakna" hahaha.

Saat Hilang Cintamu

Mulanya sukar untuk ku tempuh
Tapi terpaksa ku buat sejak kau tiada
Sendirian ku tahankan duka ku
Kepayahan memadam rindu
Selama ini aku meyakini
Kau bahagia dengan insan yang kau sanjungi
Namun ternyata salah dugaan ku
Dengar khabarmu yang pilu

Kini engkau menyesali
Dan ubati luka mu sendiri
Pengorbanan mu menjadi debu
Dipersenda kasih mu...
Pasti kau sudah rasai...
Keperihan hati yang ku tanggungi
Walau tidak pernah ku meminta
Kau di balas begitu ...
Semua ini telah ku harungi
Kepahitan rasa bukan untuk selamanya
Kesabaran menguatkan jiwa ku
Demi meyambung hidup ke akhir waktu

Kini engkau menyesali
Mengubati luka mu sendiri
Pengorbanan mu menjadi debu
Saat hilang cinta mu ...
Pasti kau sudah rasai...
Kepedihan hati yang ku tanggungi
Walau tidak pernah ku meminta
Kau terhukum begitu ...
Semua ini telah ku harungi
Kepahitan rasa bukan untuk selamanya
Kesabaran menguatkan jiwa ku
Untuk menempuh hidup ... ke akhir waktu.

Lagu : Ajai
Lirik : Musrad.
Penyanyi : Siti Sarah

Lagu ini bukan sekadar "another sad love songs", ianya memberi banyak pengertian. Tentang luka dilukai dan bangun semula dari kelukaan itu dan meneruskan hidup. Sang kekasih yang pergi juga dihukum dengan falsafah cinta yang sukar di duga formulanya. Hidup memang begitu, kekecewaan adalah asam garam dalam bercinta.

Masa di kedai Muzik, awek Indon yang jadi jurujual tu pun kenal Siti Sarah "Ohh penyanyi yang hidung kemek tu yer?" Hisshh tulah kita ini kalau menilai artis mesti nak pilih yang cantik lawa. Aku pula janji muzik, senikata dan suara ok. Sebab bagi aku lagu sekadar peneman aku ketika memandu. Kalau tak dengar lagu mahu tertidur aku dan kalau nasib tak baik sampai ke tempat lain. Lagu membuatkan aku berfikir tentang sesuatu juga kisah silam. "Saat Hilang Cintamu" memang mantap dan berkesan sekali.

Ehh cinta aku tidak pernah hilang cuma selalunya tumbuh di rumputan!

Sunday, November 23, 2003

MENANTI KILAU BULAN

Telah dijanjikan bahawa mentari di ufuk
pasti akan menjaring rembang
dan kita tidak lagi menatap gelombang
yang menyimbahkan rindu
ke pantai terbentang

Namun di sini, kita bernafas dalam aman
Kita bersandar di perdu pohon rendang
tempat kasih pertama berkembang
lalu pada tempoh perpisahan
kita masih menanti kilau bulan
yang belum pasti mengambang.

Azim Saleh

Pagi tadi semasa dalam perjalanan ke pasar membeli daging. Sambil mendengar lagu raya tiba-tiba pendengaran ku seperti ditujah sesuatu. Ku amati dengan teliti dan kufahami butir katanya. Perutku seakan memulas bila mendengar irama itu. Irama yang sentiasa aku putarkan saban waktu minggu lepas di ofis.

Lagu raya itu sudah menjadi 'masak lodeh'. Sampai hati betul Anuar Zain merentap keindahan lagu raya "Sabarlah Sayang". Nyanyian asalnya oleh Sanisah Huri mampu menyentap emosi ke langit. Penuh nilai sentimental dan sentiasa evergreen. Bila digubah semula, seakan menjadi anyaman ketupat yang tidak menjadi bentuknya. Bukan tidak boleh dilagukan semula, tapi sekurang-kurangnya hormatilah susunan musik asal. Kalau dia mampu melagukannya dengan cara lebih baik tidak apa. Pelik sungguh mungkin terlalu diterjah inginkan kelainan sehinggakan lagu itu menjadi begitu asing dah hilang nilai estetikanya.

TK menjadi kelam-kabut. Masa inilah semua orang berpusu-pusu keluar membeli belah. Ada saja yang tidak cukup. Masa inilah juga terfikir nak beli itu ini. Ada sahaja yang kurang. Masa inilah juga tersedar banyak barang yang patut dibeli, bukan bulan-bulan sebelumnya. Taukeh-taukeh Cina yang paling untung. Mereka yang sebenarnya beraya sakan. Tapi itulah, Syawal kan bulan kemenangan. Semua kena menang. Dari langsir baru dan perabut baru. Semua kena tip-top tak boleh lebih kurang.

Pagi tadi sebelum ke pasar membeli daging, ayam dan tulang buat sup. Kena bersihkan syiling rumah yang banyak sawang. Kemudian pasang langsir putih berbunga kecil itu. Balik ke rumah sempat membaca cerpen Saharil "Warna Warni Aidilfitri" di Mingguan Malaysia. Sebelum aku bergegas semula ke TK mengadap komputer di CC ini. Kalau nanti aku dengar lagi lagu dendangan Anuar Zain itu, harus aku kejung lagi.

Untuk dia kemaafan ini ku pohon agar aku tenang di negeri sana nanti. Aku tidak mahu berhutang apa-apa padanya. Aku juga inginkan ketenangan menanti kilau bulan.

Salam lebaran untuk semua. TK tak ada lagi stok bunga api!

Saturday, November 22, 2003

SYAWAL & RM 4.50

Semalam menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah. Untuk aku seorang dan nilainya cuma RM 4.50. Tapi tiap tahun semestinya agak lewat melunaskan perkara wajib tersebut. Itupun sebab iiftar di Residence Hotel, Uniten dengan Wan. Tapi rasanya belum pernah terlupa atau tertinggal. Di Selangor sekiranya semua umat Islam membayar zakat fitrah atau zakat harta menurut semestinya maka jumlah yang dipungut saban tahun akan meningkat. Sepatutnya tiada lagi kemiskinan dan setinggan di negeri bertuah seperti Selangor ini. Dari hasil pungutan ini kita akan dapat mengadakan berbagai projek untuk membantu umat Islam yang kurang mampu. Begitulah indahnya Islam. Tapi hakikatnya tetap pahit untuk ditelan.

Syawal akan membuka pintu nikmatnya kemungkinan hari Selasa. Hari gembira bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia kerana merayakan kehadiran Aidilfitri yang mulia lagi berkat ini. Hari raya merupakan hari kemenangan bagi yang telah berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran selama sebulan Ramadhan yang dilalui dengan penuh ketabahan dan kesabaran.

Islam menyalurkan kegembiraan ini kepada dua saluran iaitu mendekatkan diri dan meningkatkan bakti kepada Allah swt dalam Al-Quran disebut hablun minallah dan kedua menyalurkan hubungan yang akrab sesama umat manusia yang dinamakan hablun minanas. Itulah apa yang aku ingat masa belajar dulu.

Melalui saluran pertama itu umat islam dikehendaki mengumandangkan kalimah takbir, tahmid dan tahlil, Allahu Akbar Walillahilham la Ilha ilallah. Melalui sura keramat itu memanggil dan menyeru umat islam menuju ke masjid & surau untuk melaksanakan sembahyang Aidilfitri bagi mengucapkan kesyukuran dalam satu nada dalam meningkatkan pengabdian kepada Malikul Ma'bud.

Seorang ulama terkenal Dr. Muhammad Al-Bani menyimpulkan ada empat nilai utama yang dapat dikutip dari takbir dan tahmid itu antaranya ialah:

1. Manifestasi pengulangan ikrar bahawa Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih berkuasa di alam ini selain Allah Wajibal-ujud.

2. Pembulatan tekad yang dipuja dan dipuji hanya Allah -semata-mata dan wajib mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan-Nya dan redha menerima qada dan kadar-Nya dengan tabah dan sabar.

3. Pernyataan bahawa untuk meminta pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah semata-mata.

4. Menguatkan Keesaan Illahi dengan ikhlas dan suci, menyerahkan diri dalam segala suasana dan keadaan serta menjauhkan segala yang dilarang-Nya.

Dalam hubungan persaudaraan sesama insan , umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah agar saudara Islam yang lain dapat turut sama bergembira di hari mulia ini. Kewajipan memberi zakat ini tidak terkecuali daripada menunaikannya, kecuali mereka yang benar-benar tidak mampu, iaitu kalau di dalam rumahnya tidak ada makanan untuk dirinya dan keluarganya pada malam Syawal.

Hari ini masih bertugas walau fikiran jauh menerawang ke TK. Terkenang ibu menanti anak-anaknya pulang. Baru pukul 7.59 dan pukul 12.45 lambat lagi.


Perempuan

Perempuan itu menolak cintaku
yang kugantung di sebuah dangau
perempuan itu menolak sayangku
yang kugantung di sebuah bangsal
Perempuan itu menolak rinduku
yang kugantung di sebuah pondok
perempuan itu menolak kasihku
yang kugantung di sebuah rumah.

Dia menolak cintaku atau dangauku
dia menolak sayangku atau bangsalku
dia menolak rinduklu atau pondokku
dia menolak kasihku atau rumahku.

Perempuan itu sebenarnya mahu ditolak dirinya
ke rumah banglo yang ada kolam renang
supaya mudah ia mati lemas
perempuan itu sebenarnya mahu ditolak dirinya
ke istana yang ada dayang-dayang pengasuh
supaya mudah ia mati termakan racun.

Perempuan-perempuan sebegini sebenarnya bukanlah
perempuan dalam erti kata perempuan.

Perempuan-perempuan sebenarnya adalah perempuan
yang hidupnya bersendikan kasih, bertongkatkan
keimanan dan setia sujud lima kali sehari pada ilahi.

Di mana perempuan sebegini dalam dunia yang penuh kepura-puraan ini?

- Wan Ahmad Ismail

"Kalau hanya mengejar kemewahan dan paras rupa tidak akan kemana. Berikanlah hati yang tulus suci dan tunjukkan yang you benar-benar ingin memilikinya atas rasa tanggungjawab. Maka kau akan perolehi cinta yang tidak terbanding", Kata Wan semasa aku memandu dalam perjalanan ke KLCC malam tadi. Selepas berbuka dan perut sendat aku dengar antara tidak sahaja apa yang di katakannya. Nasihat-nasihat yang diberikannya.

Kami juga sempat berjumpa Uncle Botak di gerai depan Utusan Melayu. Minum teh tarik sambil bersembang tentang kehidupan masing-masing. Dia semakin ceria dan aku dapat menghidu kewangian rasa gembira dalam hidupnya. Tapi hidup aku sendiri ... kenapa seakan telah hilang nikmat itu atau aku yang tidak pernah menghargai kehidupan yang kumiliki. Entahlah ...

Syukur di atas limpahan nikmatNya.

Nota :

Terima kasih Kak Seriadriani atas nasihat yang diberikan semalam.


Friday, November 21, 2003

BALIK KAMPUNG

Hari ini anak rantau mula pulang ke desa. Tapi staff aku ada yang dah balik kampung semalam lagi. Aku tak pernah rasa balik kampung yang jauh-jauh macam balik ke Kelantan, Perlis atau Trengganu. Kampung aku di TK dalam negeri Selangor juga. Wan balik ke Trengganu pagi esok. Syazwan beraya dengan isteri di rumah keluarga isterinya di Kuching. Kalau dapat orang jauh kena beraya jauh ler nampaknya. Kalau dapat orang satu daerah memanglah bagus. Tapi ada juga yang lecehnya semuanya ada pro and kontra. Jodoh di tangan tuhan.

Jalan dari Klang ke TK belum siap lagi. Jalan dua lorong itu sedang menjalani kerja-kerja pembinaan. Lopak dan lencongan memang teruk sekali. Kena pula memandu dalam lingkungan 40 km sejam. Amat perlahan sekali. Mata tak boleh lepas memandang kereta di depan, sebab sukar dijangka apa yang ada di depan kita. Jentera-jentera besar ada di kiri kanan jalan. Longgokan batu dan pasir bersepah-sepah. Kena pandu hati-hati sambil dengar lagu raya.

Kalau di lebuh raya pula sesiapa yang menggunakan lorong kecemasan sesuka hati sebab nak potong Q akan kena denda RM 300. Sikit sangat rasanya bagilah seribu ker barulah orang gerun sikit. Sebabnya benda itu boleh menyebabkan kesesakan yang teruk. Masing-masing nak cepat sampai ke kampung. Biarlah lambat sedikit janji sampai dari tak sampai-sampai. Tapi semua ini bergantung kepada sikap pemandu juga. Kesedaran dan sikap bertolak ansur kena ada semasa memandu. Sebabnya bukan kita sorang yang bayar road tax dan ada juga pengguna lain seperti penunggang motosikal.

Semalam NTV7 dalam 7dipihakAnda siarkan kisah gadis yang lumpuh akibat kemalangan jalanraya. Motosikal yang diboncengnya berselisih dengan kereta yang berhenti tiba-tiba di suatu simpang. Mereka terjatuh akibat tidak sempat mengelak kereta tersebut.Sebuah lori merempuh adiknya bila dia cuba menyelamatkan si kakak. Insaf sekali menyenangkan nasib gadis tabah itu. Cekal sekali dia mengharungi kehidupan selepas peristiwa tersebut. Aku ni sambil berbuka boleh lagi berbual dengan member, nonton TV dan dengar Radio serentak sambil menikmati juadah berbuka puasa.

Macamlah juga aku bila bekerja. Sambil tekun membuat sesuatu sempat menjeling staff buat kerja dan bila semua benda perlu dilakukan dengan PC aku boleh buat macam-macam benda lagi serentak. Kadangkala sambil buat proposal boleh tekun juga baca blog orang lain. Kerja siap juga on time malah kadangkala lebih cepat dari biasa. Untung rasanya company ini dapat pekerja produktif macam aku (uhuks).

Aku esok baru boleh gerak ke TK. Kena ambik Yana di Banting rumah kakak. Dia 'dipinjamkan' untuk menolong kakak aku buat kuih raya. Penat katanya seminggu buat kuih dan dah rindu sangat dengan mak aku di TK. Yelah mak aku sah-sah berdua sahaja dengan bapak aku bila berbuka dan bersahur. Mesti diorang sunyi se sunyinya. Takde orang yang nak di ajak berbual. Yana tu anak manja keluarga kami. Jadi mestilah lain. Takpelah esok kami semua mula balik ke TK. Man balik hari Isnin. Kakak di Kuantan balik hari Ahad. Kakak yang di Banting balik raya pertama. Oklah semua akan berkumpul pada raya ini. Tak dapat dibayangkan bila aku 'terpaksa' beraya di rumah mertua suatu masa nanti. Mesti keluarga aku sedih habis. Yelah aku kan tukang tolong mak ke pasar beli daging lembu lepas subuh saban tahun di pasar TK. Tolong rebus ketupat dan pastikan semua kerja siap. Pelik juga bila diorang semua dengar cakap aku, termasuk abang-abang ipar aku. Boleh jer suruh diorang itu ini. Seorang jer yang keras kepala sikit , siapa lagi kalau tak Yana ...

Oklah sempena lebaran yang akan di sambut tidak berapa hari lagi ini. Mal ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya & Maaf Zahir & Batin. Pada semua sahabat yang dikenali terutamanya Wkdin, Merryhearted,Lara, M, Zash, Joliekiens, Mawar, Ifa, Idham yang selalu berYM. Tak lupa juga kepada semua yang selalu membaca contengan-contengan kata di DJW salam lebaran dari Mal untuk anda semua. Saya akan hanya mula bertugas semula pada 8 Disember 2003.

Rindu Yang Terlarang

L : Sekian lama sudah kita telah berpisah
Ku rasa kini kau tak sendiri lagi

P : Aku pun kini seperti diri mu
Satu hati telah mengisi hidup ku
Tak perlu engkau tahu rasa rindu ini
Dan lagi mungkin kini kau telah bahagia

L : Namun andai kau dengar syair lagu ini
Jujur saja aku sangat merindui mu
Memang tak pantas menghayal tentang diri mu
Sebab kau tak lagi seperti yang dulu
Kendati berat rasa rindu ku pada mu
Biar ku hadang rindu ku terlarang

P : Biar ku simpan saja
Biar ku pendam sudah

L : Terlarang sudah rindu ku pada mu

L : Namun andai kau dengar syair lagu ini
Jujur saja aku sangat merindui mu
Memang tak pantas menghayal tentang diri mu
Sebab kau tak lagi seperti yang dulu

P : Kendati berat rasa rindu ku pada mu

L : Biar ku hadang rindu ku terlarang

L : Ku isi kan rindu di hati ku
Ku harap tiada seorang yang tahu

P : Biar ku simpan saja
Biar ku pendam sudah

L : Terlarang sudah rindu ku pada mu


Broery Marantika

Lagu ini untuk dia di suatu sudut dunia. Moga dia berbahagia di lebaran ini.

Thursday, November 20, 2003

BUKA PUASA DI OFIS

Majlis buka puasa di ofis semalam sungguh meriah sekali. Catering yang dipilih menyediakan menu yang memang sedap. Kena sekali dengan selera kami yang sememangnya jenis "selera Melayu" itu. Ucapan dari Pengarah dan sessi makan-makan menyusul selepas doa dibaca. Kemudian kami berjemaah bersama seluruh kakitangan. Selepas itu seperti tahun-tahun yang lepas sessi bertukar-tukar hadiah dilakukan. Aku dapat baju raya yang menarik dari pemberi misteri. Yelah memang kami tak akan tahu siapa yang bagi hadiah itu. Memang itu rahsia. Baju itu walaupun saiz L tetap cantik dan kena dengan aku, kata dioranglah. Aku pula bagi tudung kat staff aku. Sebab tak sempat ke mana nak beli hadiah. Jadi aku beli sahaja tudung yang ada di Presint 8, Putrajaya. Harap dia suka dengan warna yang aku pilih.

Sessi cabutan bertuah. Amat musykil sekali bila orang yang tolong "wrap" hadiah & buat cabutan tu semua dapat termasuk aku sekali. Tapi bukan cabut nombor sendiri, diorang yang tercabut nombor kami. Gelak pulak bila diingatkan. Makanan berlambak masing-masing pakat bungkus bawak balik tapi still banyak yang tak habis. Best sekali walaupun staff hanya membayar RM5 sebab yang lain ditanggung duit club kami, amat berbaloi sekali. Insyaallah tahun depan akan lebih gempak lagi. Masing-masing memang tak mahu nak pergi makan "buffet" di Hotel, jadi terpaksalah kami bawak suasana hotel ke ofis kami. Lebih meriah dan dapat merapatkan kemesraan sesama kami.

Tahun lepas ada satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Masa tengah sembahyang Maghrib tu aku dapat panggilan bertalu-talu dari N. Bukan sekali dua tapi empat kali. Sembahyang jadi tak khusyuk dan ada yang nak tergelak sebab nada dering handphone aku lagu Marc Anthony "Love Is All". Aduh malu yang teramat aku ketika itu. So tahun ini Pengarah aku dan imam tu siap bagi warning sila tutup handphone. Tahun ini semua ok takdelah peristiwa itu berulang lagi. Masa itu aku memang terlupa sungguh yang aku bawak handphone dalam poket seluar aku.

Haiku :

Pada Ingin Yang Hilang


Semalam lara
Menitis serpihan duka
Di balik kata.

Pada mimpi pun
Tak tergapai mahu mu
Mungkin takdirnya.

Lepaskanlah ia
Merentas lorong sunyi
Sendiri lagi.

AAK
8.06 am.
Cyberjaya

Wednesday, November 19, 2003

HADIAH NOBEL- MALAYSIA BILA LAGI?

Kadangkala terfikir aku nak jadi wartawan sahaja. Sebabnya aku tengok ada program-program di TV maklumat yang diberikan terlalu "cetek" tidak menyeluruh. Perlukan research yang mendalam bukan hanya dihambat dengan masa siaran dan iklan. Tapi aku sedar mereka bekerja ikut masa yang ditetapkan hidup terkejar-kejar. Aku tak suka hidup camtu. Orang kalau nak menghasilkan karya agung tak boleh dipaksa-paksa tidak akan menjadi. Untuk menghasilkan satu episod dalam program "National Geography" kadangkala memakan masa bertahun dan menuntut komitment dan pembiayaan yang tinggi. Jadi tidak adil untuk membandingkannya dengan program tempatan. Jadi kalau itu tidak boleh, bidang penulisan difikirkan satu medium penyebaran maklumat yang harus diambil perhatian. Kesusasteraan Malaysia perlu menembusi jaringan global. Rasanya ramai sekali penulis pasca moden yang berkebolehan contohnya Faisal Tehrani dan juga Sasterawan Negara yang lain.

Rasa telah sampai masanya rakyat Malaysia melakukan sesuatu. Tak payahlah lagi nak buat yang terbesar atau tertinggi. Tumpukan sahaja dalam bidang penulisan pun boleh menang anugerah Nobel yang amat berprestij itu. Dapat lagi wang AS $ I juta tak payah pun masuk Survivor boleh dapat wang itu.

Jadi ini adalah cabaran terbesar pada semua penulis Malaysia. Hadiah Nobel kategori kesusasteraan juga perlu di beri tumpuan. Tulislah dalam bahasa Malayu dan kalau memang karya itu 'confirm' menarik dan melangkaui sempadan geografi dan boleh diterima oleh masyarakat dunia. Ada harapan boleh di terjemahkan ke bahasa asing. Kita ada Institut Penterjemahan, mungkin boleh minta tolong mereka terjemahkan karya-karya kita yang bagus.

Karya-karya Malaysia itu pula mestilah mempunyai kualiti yang hebat berakar tunjangkan negara kita. Sesuatu yang asli tidak perlu terlalu dibuat-buat biar nampak global. Tapi ditulis sejujurnya dan mudah difahami. Karya-karya terjemahan ini pula perlu diterbitkan diluar negara di mana, penerbit mempunyai rangkaian pemasaran yang meluas ke seluruh dunia.

Cetak dan sebarkan karya Malaysia itu ke seluruh perpustakaan negara ( National Library) di seluruh dunia supaya mereka kenal karya Malaysia. Bila orang dah mula kenal karya kita adalah peluang untuk mereka menilai dan mendekati penulis dari Malaysia.

Kita ambil contoh pemenang Hadiah Nobel Sastera pada tahun 2001 iaitu V.S. Naipaul. Penulis yang berasal dari keluarga kasta Brahmin ini lahir di sebuah kota kecil Trinidad. Karya-karyanya penuh dengan kontroversi namun masih lagi mendapat tempat di hati pembaca dan menang pelbagai anugerah lain seperti Booker Prize, Daniel Cohen British Literature Prize dan T.S. Elliot Award For Creative Writing.

Pada tahun 1961, Naipaul menulis A House for Mr. Biswas. Novel inilah yang dikatakan menjulang nama Naipaul. Novel ini pada dasarnya menceritakan kehidupannya sendiri. Ia mengisahkan kisah tragis orang India berketurunan Brahmin di Trinidad. Tokoh dalam novel ini sedang mencari identiti diri dan kemerdekaan. Kisah yang mencampurkan unsur komedi sosial dan penderitaan ini diikuti oleh penggambaran daya juang tokoh. Penulis Malaysia pula boleh menulis sesuatu yang jauh lebih baik dari kisah seperti ini.

Banyak juga tulisan beliau yang mengundang kontroversi seperti pada tahun 1981 - Among the Believers: An Islamic Journey. Beliau membuat kesimpulan yang muram :"Islam menyucikan kemarahan". Naipaul cukup sinis dan berprasangka skeptik terhadap Islam. Selepas 17 tahun menulis Among the Believers pada tahun 1998 beliau menghasilkan Beyond Belief: Islamic Excursions Among the Converted Peoples. Buku yang ditulis berdasarkan perjalanannya ke Indonesia, Iran Pakistan dan Malaysia tidak jauh bezanya dengan buku terdahulu. Naipaul tetap menyatakan bahawa Islam pada hakikatnya "agama Arab" dan bahawasanya orang Islam yang non-Arab bukan Islam sejati tetapi converts. Beliau menyatakan dalam bukunya itu tentang Malaysia, dia melihat gerakan dakwah berkembang melalui gerakan-gerakan Islam yang berkembang mengajak non-Muslim untuk menerima Islam tetapi masih berprasangka terhadap kaum Cina.

Kekecewaan Naipaul pada masa dia meningggalkan Trinidad memunculkan novel Miguel Street. Dalam novel ini, naratornya atau pencerita adalah seorang lelaki remaja yang kecewa dengan kemelaratan kehidupannya. Di amula mencari nafkah sendiri dan akhirnya pergi keluar negeri untuk melanjutkan pelajarannya.

Memang sebahagian besar novel dan karya non-fiksyen Naipaul bersifat perjalanan dan pengembaraan. Melalui cerita sedemikian dan termasuk perjalanan memahami kehidupan orang Islam, Naipaul sebenarnya sedang cuba memahami dirinya serta identiti yang diwariskannya.

Kajian terhadap karya-karya yang pernah memenangi Hadiah Nobel perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya penulis Malaysia membaca karya-karya mereka. Melahirkan sesuatu karya yang hebat dan mendapat pengiktirafan tertinggi ini dirasakan sejuta kali lebih baik dari melakukan aksi dan perjalanan merentasi benua dan hanya dinilai oleh segelintir orang di negara kita. Penerokaan bidang-bidang sains, kesusasteraan dan keamanan sejagat lebih berfaedah dan diingati. Telah sampai masanya Malaysia memberi tumpuan pada perkara ini. Tidak semestinya memenangi Hadiah Nobel tapi sekurang-kurangnya karya-karya Malaysia mampu menembusi pasaran global.


Haiku Sepi di Syawal Ini

Syawal yang dingin
Airmata tumpah lagi
Terampun dosa,

Sepi melintas
Ruang hati terbuka
Ramadhan pergi,

Aku berdiri
Menatap senja pilu
Di balik pintu.


AAK
9.20 a.m Cyberjaya.

Tuesday, November 18, 2003

BULAN DI ATAS KUBURAN

Kala pertama
kupandang
Pesona di wajahmu
Saat itu hatiku kan terpana
Tiada ragu lagi
Tiada bimbang lagi
Semuanya ingin kumiliki

Gelisah jiwaku ini
Dilanda bayanganmu
Kan mengoyak
dinding keangkuhanku
Kau ciptakan rindu
Kau buat hatiku
terjerat tali cinta

Resah..resah pun tiada menentu
Bila semalam pun tiada bertemu
Mimpi..mimpi kan terasa oh sepi
Bila kau tiada tampakkan senyummu

Jerat - Harvey Malaiholo

Memang telah ditakdirkan begitu jadinya. Tidak perlu ragu lagi . Lepaskan resah sepi itu dan hadapi kenyataan. Apa yang berbaki itulah yang perlu kita miliki. Kegembiraan itu adalah pilihan kita juga. Memang kadangkala duka sentiasa menanti. Untuk apa begitu tertekan, pasrah sahajalah …

Masih tercari-cari Puisi "Malam Lebaran" dari penulis seberang. Amat menarik sekali puisi itu . Antaranya ada bait "Bulan di atas kuburan". Maknaya begitu mendalam. Aku cuba mentafsirkanya sebagai. "bulan" membawa cahaya dan kebahagiaan. Namun bila bulan di atas kuburan yang sunyi dan penuh misteri, ianya melambangkan penderitaan. Maknanya, di malam lebaran sedang kita bergembira ada insan yang berduka dan menderita hidupnya. Manusia-manusia yang menderita itu mungkin kita. Mungkin juga aku dan kamu …

Tapi ada sesuatu yang tidak pernah cukup dalam hidup kita. Harta hanyalah material semata-mata. Kesyukuran terhadap nikmat yang diberikan masih banyak sekali. Kesihatan yang dimiliki, keluarga yang amat memahami kadang terlupa dengan nikmat itu. Alhamdullilah sihat sejahtera walau kadang kala diuji sekali-sekala dengan demam.

Pernah satu ketika ada sesuatu perkara berlaku membuatkan hidup aku tidak seronok lagi. Rasa macam that’s it. Tapi bila dengar lagu raya nih terkenang kembali. Sukarnya manusia seperti aku ini melupakan segalanya. Adakah aku bersikap kejam terhadap diri sendiri? Kita sentiasa diuji. Tidak semestinya apa yang diimpikan itulah yang akan kita perolehi. Apa yang kita dapat itu kadangkala memang telah cukup elok buat kita. Cuma mungkin itu sesuatu yang tidak pernah diidamkan membuatkan kita tidak dapat menghargai sepenuhnya. Manusia yang sukar …

"Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia
Marilah bersama berhari raya
Hilangkan duka


Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan
Jangan engkau tangisk
".

Bilalah sumpahan ini akan berakhir?

Kadangkala terfikir pula kalau Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir buatku. Tahun depan entahkan ada lagi entahkan tidak. Kosong dan sunyi yang melantun-lantun. Buat aku semakin keliru.

Moga amalan aku selama ini diterima. Aku hanyalah insan kecil dan pengembara di bumi Allah ini. Aku juga adalah milikNya.

Monday, November 17, 2003

LAGU RAYA

Ramadhan tinggal beberapa hari lagi. Suasana lebaran kian terasa. Makin lama -makin terasa terutama bila di mana-mana sahaja lagu raya berkumandang. Mendayu-dayu dan nostalgik sifatnya. Terasa zaman dulu pencipta lagu dapat menimbulkan mood raya tersebut dengan begitu cemerlang sekali. Penyanyi-penyanyi zaman P.Ramlee yang seangkatan dengannya mempunyai koleksi lagu-lagu raya yang sentiasa enak didengar sehingga kini. Lagu raya yang paling aku suka adalah dari penyanyai Sanisah Huri : Bersabarlah Sayang & Aidilfitri.

Bersabarlah Sayang

Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia
Marilah bersama berhari raya
Hilangkan duka

Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan
Jangan engkau tangiskan

Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati
Biarkan engkau sendiri

Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada, hanya kuharapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu

Sejak kebelakangan ini ada banyak juga lagu raya dari penyanyi angkatan baru. Tapi mereka menyanyi macam tiada "feel" raya langsung. Macam mereka tidak dapat menghayati semangat raya itu. Entah tak ingat pun lagu raya zaman moden yang enak di dengar atau "evergreen". Terasa kosong dan dibuat-buat sifatnya. Cuma nasib baiklah M. Nasir melalui "Suatu Hari Di Hari Raya " dan Sudirman ada meninggalkan sejumlah lagu raya untuk kita semua seperti "Balik Kampung" & "Dari Jauh Ku Mohon Maaf".

Pagi - pagi ni lagu raya dah menguasai ruang pejabat. Aku dengar lagu "Bersabarlah Sayang" nih dah berulang kali. Begitu syahdu dan menikam teringat kehidupan di suatu masa dulu. Tapi tak elok di kenang cuma ada sesuatu yang tertinggal dan sentiasa membawa aku padanya. Suatu daerah bernama kenangan. Tidak salah untuk sedikit emosional bila tiba bab-bab nih. Best gak sebenarnya ...

Ada tugas yang belum selesai, memburu Lailatul Qadar!

Friday, November 14, 2003

EUGENIK : MELAHIRKAN BANGSA TERPILIH?

Samuel P.Hutington dalam rencananya "The Clash of Civilization" mengemukakan pendapat bahawa sumber konflik yang asas yang membawa perbezaan besar antara manusia pada masa hadapan ialah budaya, dan bukan lagi ideologi atau ekonomi. Menurut beliau konflik antara peradapan akan menjadi fenomena terbaru dalam evolusi konflik dunia moden.

Adakah ini bermakna manusia terbahagi bukan lagi mengikut kaya atau miskin atau ideologi politik , tetapi mengikut peradapan bangsa dan budaya dalam komuniti dunia yang bersaing? Identiti bangsa dan budaya ini boleh didefinisikan dengan unsur-unsur objektif yang serupa seperti bahasa, sejarah, agama dan adat resam , atau dengan identifikasi kendirian seseorang secara subjektif mengikut rasa kedaerahan atau keturunan keluarganya.

Persaingan dalam pertembungan budaya ini telah melahirkan satu kesedaran baru di kalangan komuniti dunia; iaitu perlunya sesuatu bangsa atau negara bangsa itu meningkatkan mutu keturunan bangsa masing-masing. Mereka ingin melahirkan bangsa yang cergas, bijaksana dan luhur pekertinya untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Dengan ini membuka laluan ke arah pencapaian peradapan dan budaya keilmuan yang lebih tinggi.

Penerokaan baru dalam bidang sains untuk mempertingkatkan kualiti kelahiran manusia pun mula bangkit di kalangan saintis. Dalam kajian mereka terhadap tumbuhan dan haiwan , mereka mendapati manusia mampu mencipta dan melahirkan sifat-sifat tertentu mengikut kemahuan dan keperluan kita melalui kaedah "pembiakan terpilih". Berdasarkan perkembangan inilah kajian turut dilakukan terhadap benih kelahiran dan kehidupan manusia.

Konsep kajian ini dinamakan eugenik. Istilah eugenik mula diperkenalkan oleh seorang ahli sains Britain , Sir Francis Galton pada tahun 1883 yang dalam bahasa Greeknya bermakna "kelahiran sempurna". Eugenik menurut tafsiran Sir Francis Galton ialah kajian mengenai agensi-agensi di bawah kawalan sosial yang boleh meningkatkan atau mengurangkan kemampuan fizikal atau mental generasi akan datang. Dalam erti kata lain eugenik adalah satu sains mengenai peningkatan kualiti kelahiran manusia dan memajukannya ketahap yang sebaik mungkin. Idea ini telah disarankan oleh Sir Francis Galton pada tahun 1865 dalam artikelnya yang bertajuk "Heredity Talent and Character".

Apa yang disarankan oleh Sir Francis bukanlah sesuatu yang baru. Plato seorang ahli falsafah Greek yang terkenal di dalam bukunya "The Republik" telah menyatakan perlunya penyatuan benih yang baik untuk mendapatkan zuriat yang baik. Perbezaan antara pendapat Plato dan Sir Francis ialah, Plato mempercayai hal ini berdasarkan metos bangsa Greek, sementara Sir Francis mencapai rumusan ini hasil daripada satu kajian saintifik yang dilakukan terhadap dua kembar siam. Kajian ini telah mendapat perhatianyang luas dan di Amerika terdapat "Pertubuhan Eugenik Amerika" ditubuhkan sekitar 1920-an. Pergerakan ini mengenakan tekanan terhadap kerajaan supaya mengamalkan diskriminasi berdasarkan keturunan. Mereka telah berjaya memujuk lebih 20 jajahan di Amerika supaya menjalankan progam pemanduran terhadap penjenayah dan pesakit mental di samping meminta kerajaan mengetatkan peraturan imigrasi untuk menghalang bangsa yang tidak diingini memasuki Amerika.

Kontroversi dalam bidang ini timbul daripada keinginan untuk meningkatkan kualiti kelahiran. Pada asasnya kualiti kelahiran seseorang individu ditentukan oleh fakta keturunan kedua-dua ibu dan bapanya. Dengan itu untuk meningkatkan kualiti kelahiran seseorang anak, ibu dan bapanya mestilah mempunyai kualiti yang baik.

Tetapi sejauh manakah fakta keturunan memainkan peranan dalam menentukan sifat dan perlakuan seseorang individu dan bagaimana pula adaptasi biologi berlaku. Menurut kajian saintifik, pada asasnya setiap organisme terdiri daripada satu sel yang mengandungi satu set pengisian kimia yang disebut gen yang menentukan sifat fisikal orgamisme. Melalui proses pembahagian sel yang dinamakan meiosis, gen ini direplikasikan dan diturunkan kepada generasi kedua. Di dalam organisme tinggi, set kod pengisioan ini merupakan pencantuman dari ibu dan bapa. Berdasarkan inilah seorang individu akan mewarisi sifat dan kelakuan ibu dan bapanya.

Inilah yang menjadi asas kajian genetik yang cuba mencari hubung kait fakta genetik dengan sifat dan kelakuan manusia. Dalam satu kajian misalnya, adalah dikatakan bahawa kehadiran lebihan satu kromosom Y dalam badan akan menjadikan seseorang itu berkecenderungan untuk melakukan keganasan dan jenayah. Penemuan ini disangkal hebat oleh sesetengah golongan yang percaya bahawa buruk baik dalam diri seseorang itu sebenarnya satu produk persekitaran.

Konsep eugenik ini akan menjadi bertambah menarik disebabkan oleh beberapa fakta. Kemajuan dalam kajian genetik manusia akan membolehkan kita mengenal pasti kedudukan sesuatu gen dalam kromosom dan peranannya dalam menentukan sesuatu sifat fisikal (fenotaip). Satu program bernilai berjuta-juta dolartelah pun dimulakan di Barat, dengan mengembelingkan tenaga pakar genetik dan biologi molekur dari Amerika Syarikat dan Eropah. HUGO ( Human Genome Project) telah berjaya menghasilkan beberapa penemuan penting yang mengenal pasti kedudukan gen yang membawa penyakit seperti barah, penyakit mental seperti tekanan perasaan dan sebagainya.

Lanjutan dari sini, beberapa kajian telah dijalankan untuk cuba mengaitkan hubungan gen dengan sifat-sifat tertentu seseorang individu. Dengan adanya kepercayaan daripada penemuan-penemuan saintifik yang mengatatakn gen tau benih kelahiran adalah satu-satunya faktor yang menentukan kelakuan manusia, maka perkembangan seterusnya ialah untuk mengkaji bagaimana manusia boleh membuat acuan melahirkan jenis-jenis manusia yang diingini. Dengan itu juga lahirlah kajian baru dalam bidang eugenik.

Melalui kaedah kejuruteraan genetik ini, gen-gen yang mempunyai fungsi tertentu akan dikenalpasti mengikut kriteria tertentu untuk melahirkan seseorang individu tertentu. Kecacatan genetik ( genetic defects) akan diperbaiki. Begitu juga keupayaan fizikal dam mental seseorang akan dapat dipertingkatkan.

Eugenik dikatakan akan dapat mengatasi sebahagian daripada masalah ini. Kelahiran akan ditapis dengan sempurna dan ditentukan sifat manusia yang ingin dilahirkan kedunia. Beberapa negara di dunia telah cuba mengamalkan eugenik sebagai dasar negara untuk melahirkan rakyat yang berkualiti dari segi kecerdasan mental dan fisikal juga dari segi kualiti moral supaya negara akan menjadi lebih efisien.

Singapura misalnya telah mengamalkan dasar menggalakkan mereka yang berpelajaran berkahwin sesama sendiri dan melahirkan zuriat yang lebih baik.Mereka yang kurang berpelajaran tidak digalakkan mempunyai lebih daripada dua anak. Dasar ini tercetus hasil kebimbangan Singapura untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa kerana kualiti penduduknya akan menurun sekiranya akan menurun sekiranya mereka yang kurang bijak dan tidak berpelajaran tinggi mempunyai lebih ramai anak. Di China pula terdapat dasar "Eugenik dan Perlindungan Kesihatan". Dasar ini bertujuan untuk menghindar kelahiran yang kurang berkualiti di samping meningkatkan tahap kehidupan keseluruhan penduduk.

Namun satu perkara yang boleh di pertikaikan dalam menentukan kebenaran kajian eugenik ilah faktor persekitaran budaya sosial yang ditolak sebagai faktor pembentukan sifat dan perlakuan manusia. Sedangkan bagi pakar-pakar sosiologi dan psikologi pula, bukti-bukti empherikal ada menunjukkan kaitan yang ketara antara kedua-dua ini.

Sekiranya gen atau keturunan boleh menentukan kecerdikan atau kebaikan nilai moral seseorang , maka adakah ini bermakna agama dan sistem pendidikan tidak lagi berperanan dalam pembentukan diri individu manusia. Sekiranya seseorang itu telah dilahirkan melalui pemilihan gen yang baik, maka kita tidak lagi perlu mendidik seseorang itu menjadi baik. Begitu juga mereka yang dilahirkan dengan gen jahat, maka tidak ada ertinya jika dia diasuh dan dididik dengan kebaikan kerana akhirnya dia tetap akan menjadi jahat.

Penemuan gen yang boleh menentukan tahap kecerdasan akal serta kesihatan fisikal meungkin tidak begitu sukar untuk diterima, tetapi sekiranya gen juga boleh menentukan naluri jahat dan baik, dimana pula wujudnya kerohanian dan jasad manusia. Bagaimana pula dengan penentuan dosa dan pahala? Kerana itulah persoalan eugenik ini sendiri dikatakan persoalan moral yang asas yang perlu ditentukan dari peringkat awal, sama ada manusia berhak mengubah kelahiran semula jadi yang ditentukan oleh Allah. Atau adakah penemuan-penemuan saintifik ini boleh dipercayai secara mutlak atau masih ada yang perlu difikirkan melampaui batasan fisikal dan keilmuan duniawi semata-mata.

Hanya Allah yang maha mengetahui.

Thursday, November 13, 2003

SEBUAH DAERAH : "BARAAN" VERSI TK

"Mak … kalau tahun ni orang tak nak ikut baraan boleh tak". Kataku penuh harap.

"Hishhh jangan nak mengada, tulah orang suruh kahwin taknak. Pergilah ko baraan tu sampai ke tua".

"Yalah Mak, Man tak nak gi kalau Angah tak gi sama". Kata adikku Man menambahkan bengkak di dada.

Telah bosan rasanya menghadapi rutin sedemikian saban tahun. Tak boleh 'excused' langsung kecualilah aku demam kejung tahap cipan barulah aku direhatkan.

"Oklah orang pergilah nanti …".

Man tersengih jer dan Yana seperti biasa senyum-senyum macam berpakat sahaja dengan Mak dan Man. Julie pula kalau tak ada ribut atau taufan yang berkaitan dengan dia. Tak mahu ambil pusing. Sentiasa "No Comment".

Seperti biasa saban tahun aku dan Man membonceng bersama mengikuti sekalian umat Islam masyarakat kampung di kawasan kejiranan kami. Bermula seawal pukul 8.30 pagi kami berkumpul di rumah timbalan ketua kampung. Masing-masing bermotosikal. Selalunya 'gerombolan" kami ini dalam lingkungan 80- 100 lebih pemuda kampung. Umur sekitar sebelum baligh, hinggakan ke post baligh tapi tak kahwin-kahwin lagi. Majoritinya belum berkahwin mewakili keluarga masing-masing. Kadangkala yang sudah berkahwin ada juga turut serta. Ingin menjenguk sahabat handai dan rakan taulan.

"Baraan" merupakan amalan tradisi masyarakat Jawa walau dimana sahaja mereka berada. Menziarahi jiran tetangga setiap tahun menambahkan lagi seri Aidilfitri yang disambut. Seakan Aidilfitri telah sampai kepenghujung bila sahaja aktiviti baraan itu menjejaki rumah terakhir di kampung kami. Untungnya kami dapat bermaafan dan mengetahui perkembangan terbaru rakan-rakan sekampung. Sambil cuba mengintai kalau-lalau ada anak dara yang masih "available". Uhukks.

Rumah pertama yang dikunjungi ialah rumah ketua kampung. Ada ucapan darinya persis ahli politik. Kata aluan dan memohon kemaafan dari pihak keluarganya untuk semua wakil keluarga yang hadir. Begitulah seterusnya, semua hadirin bermaafan dan salam bersalaman. Meminta keampunan. Suatu tradisi yang perlu dipertahankan. Generasi terdahulu telah mewariskan satu budaya yang amat membanggakan ini. Kini kaum ibu di kampung juga ada kumpulan baraan mereka juga dan begitu juga anak gadis. Kawan sekolah juga begitu ada kelompok-kelompok kecil yang datang ke rumah bertali arus.

Setiap rumah menyediakan kuih raya yang pelbagai. Penuh meja dan bertalam-talam lagi. Sekarang tidak sahaja kuih ada yang menjamu mee goreng, satay dan pelbagai jenis masakan lagi. Ikut kemampuan tuan rumah. Buah-buahan turut disediakan. Minuman juga pelbagai dari sirap ke minuman botol atau coke. Minum pelbagai minuman ini dalam hari yang sama tanpa henti selalunya membuatkan aku pening kepala. Kalau tak minum atau mencuit barang sedikit makanan, takut tuan rumah berkecil hati.

Jadi tahulah kalian mengapa saya perlukan cuti selama dua minggu walaupun saya masih bujang. Raya pertama di rumah nenek dan makcik pakcik. Raya kedua dan ketiga memang wajib pergi baraan sekampung. Kemudian sambung pergi ke rumah saudara mara yang lain. Tunggu sedara datang berkunjung kadangkala sehingga tengah malam. TV memang tak sempat tonton. Penat jangan nak cakap. Yana, Man dan aku sediri jadi tukang hidang atau tuang minuman untuk tetamu. Julie sibuk uruskan hal-hal dapur. Tahun ni Julie dah ada tunang.

Mak dan abah jadi penyambut tetamu dan tukang citer dan tepis bila sesiapa "cuba" mengurat anak-anak dara dan teruna mereka. Yana juga ada tugas tambahan, tukang bagi duit raya kat bebudak. Comel jerr dia nihh. Tak sangka dah ada boyfriend. Dulu macam kuat menangis jer. Kakak-kakak tak tahu lagi nak beraya kat negeri mana tahun ni.

Tapi aku tetaplah tak puashati kalau pergi rumah sedara mara takde sesiapa nak "backing", semua dah macam berpakat jerr menyakat aku. Kemudian minta maaf bebanyak setelah kenakan aku secukup rasa.

Baraan lagi ler jawabnya tahun nih …


Nota : Tempat lain baraan dia macamana yerr?


Milik siapakah gadis ini
Wajah lembut bagaikan sutera
Ingin hatinya ku miliki
Apakan terdaya
Adakahkan terdaya

Milik siapakah hati ini
Bagai berkurun lama kesepian
Ingin aku mencurahkan kasih
Kepada yang sudi
Adakah ia sudi

Lama telah ku impikan
Gadis sepertinya
Mengisi taman hati
Dengan cahaya kasih (suci)
Siapakah gadis yang ku idam...


Milik Siapakah Gadis Ini - Sudirman

Tuesday, November 11, 2003

BIAR SENDIRI DULU ( PART 9)

Waktu berlalu dengan pantas. Ada kalanya aku bagai bermimpi. Hari berganti bulan dan tahun hadir di pintu usia. Jendela waktu terus terbuka dan membiarkan angin malam menerpa ke muka. Aku kerinduan mengenangkannya. Dia ke Pulau Pinang selama 2 minggu. Entah apa yang dibuatnya di sana. Menyiapkan tesisnya sambil berjalan-jalan berhibur hati itu yang dikhabarkannya padaku. Sedangkan aku terus di panggang keresahan. Aduhai rasa amat terseksa. Dia benar-benar mengujiku. Diamnya kini amat misteri.

Kerapkali paggilan yang ku buat ke rumah temannya di Pulau Pinang tidak berjawab. SMS hilang tidak tersentuh. Mungkin dia perlukan ketenangan menyudahkan tesisnya. Aku amat faham benar tentang dia. Tidak mahu diganggu. Mengapa perlu ke Pulau Pinang? Perpustakaan di Kuala Lumpur juga hebat kukira. Boleh ke Perpustakaan Utama Universiti Malaya kalau hanya nak membuat "Literature Review". Mengapa perlu ke USM itu? Mungkin dia inginkan kelainan dan kepelbagaian. Kalau semua itu membuatkan dia lebih bahagia biarkanlah. Tapi dia membuatkan aku tertanya-tanya.

Email yang kuhantar juga tidak bersapa. Dia telah berjanji untuk menghantar sekurang-kurangnya satu email padaku setiap hari. Mungkin dia begitu sibuk dengan tugasannya. Aku cuma risau jika dia dalam kesusahan. Aku harap dia akan menghubungiku jika dia ada kelapangan.

Aku menghubunginya lagi malam itu.

"Hello boleh saya bercakap dengan Maizatul".

"Siapa ni? Maizatul takde dia keluar dengan kawannya".

"Oh takpelah ye, boleh tinggalkan pesanan? Cakap kat dia call saya balik, Kamarul."

"Oklah nanti saya bagitau dia".

Aku menunggu hingga pukul 1.45 pagi panggilan darinya. Namun tetap hampa.
Betul ker cinta itu amat memeritkan? Atau sikap ambil mudah seseorang itu yang amat menjengkelkan. Aku benar-benar keliru dengan sikapnya. Sehari ada 24 jam, kalau digunakan hanya seminit dua itu lebih dari cukup untuk mengembirakan hati orang lain. Mungkin dia menganggap yang aku tidak pedulikan halnya. Atau tidak penting. Aku cuba buangkan jauh-jauh sebarang prasangka terhadapnya. Aku amat mempercayainya dan dia juga tidak pernah mengongkong kehidupanku. Selama ini juga aku bebas ke mana sahaja aku pergi. Cuma satu, aku tidak pernah memberi ruang untuk cinta lain bertapak di ruang hati yang telah kuperuntukkan buatnya. Hanya dia satu-satunya. Aku harap dia akan menghargainya.

Akhirnya email ringkas kuterima pagi itu. Dia keluar dengan kawannya setelah penat berhari-hari mengadap buku di perpustakaan. Aku gembira dia sihat. Namun malam itu Aini yang menjawab panggilan yang ku buat. Tidak mungkin dia keluar dengan Aini. Jadi di keluar dengan siapa? Biarkanlah, dia juga bebas untuk keluar dengan sesiapa yang dia suka. Aku tidak seharusnya cemburu. Dua hari lagi dia akan balik semula ke Kuala Lumpur. Aku menanti detik itu dengan sabar.

Alamak ! itu hari Ahad. Dah berjanji dengan Mak dan Yana untuk ke rumah nenek. Aduh terpaksalah dia naik ERL sahaja dari KLIA ke KL. Ah! Tension terpaksa menunggu malam baru boleh berjumpa dia. Tidak dapat menjemput dia lagi kali ini. Harap dia mengerti.

NOTA :

BIar Sendiri Dulu (BSD) menampilkan 2 plot yang di tulis serentak ianya sengaja dijalin sedemikian rupa. Merryhearted menulis dari sudut pandangan Maizatul. Saling melengkapi namun tetap berdiri dengan sendirinya. Maizatul juga mempunyai suara untuk mempertahankan tindakannya. Adalah adil untuk memberikan ruang pada Maizatul bersuara. Kegelisahan dan rasa hatinya dapat terus diikuti pada Part 10 di blog
Merryhearted

Monday, November 10, 2003

SAAT HILANG CINTAMU

Rasa tak sabar nak dengar lagu terbaru Siti Sarah ni "Saat Hilang Cintamu" ( Ajai/Musrad). dengar tajuk pun dan rasa best sangat. Mesti setanding atau lebih baik dari "Kesetiaan". Rasa terkilan sebab lagu ini tak masuk final JL. Tapi memang Sarah macam tak mampu menyanyikannya dengan baik masa tu. Dia kena buat latihan vokal lagi kalau nak terus mantap di persada music tanahair.

Apa pun bidang yang kita ceburi sentiasa ada persaingan dan cabaran. Bidang pekerjaan dan juga kehidupan peribadi kita. Segalanya menuntut bukan sedikit perhatian. Perlumbaan sering terjadi. Kalah menang memang adat. Kita tidak harus diam dan menanti segalanya berlaku seperti yang diharapkan. Kasih sayang juga akan luntur jika tidak dibajai. Sukar sekali mengerti mengapa ianya berlaku.

Puasa masuk hari ke-15, tak lama lagi nak raya. Cuti raya aku start 24 November hingga 7 Disember 2003. Giliran aku bekerja masa raya ke-3 ialah pada tahun 2005. So tahun depan insyaallah dapat bercuti lama lagi. Jadi cuti aku untuk tahun ini berbaki 14 hari lagi setelah di tolak cuti raya. So nak cuti puas-puas pergi kerumah sanak saudara dan nak kenal mereka ini semua. Tapi bersiap sedialah untuk 'menghadapi' saat-saat tidak menyenangkan bila 'diinterview' dengan saudara mara dengan soalan cepu emas masing-masing. Jadi seperti tahun depan "berdiam diri itu lebih baik dari berkata-kata" biarkanlah mereka kalau penat mereka akan berhenti bertanya.

Terkilan dengan seseorang. Kenapa dia berubah perangai sehinggakan aku seperti tidak lagi mengenalinya. Kekayaan memang mengubah kehidupan atau sekurang-kurangnya dia akan menempatkan diri dalam kelas tersendiri. Aku lebih bahagia dan selesa mengenalinya masa dia "miskin" dulu. Kini dia terlalu berkira dan tidak kisah untuk menyakitkan hati sesiapa sahaja macamlah kita ini berkawan disebabkan kedudukannya sekarang. Apapun manusia akan berubah juga. Cinta akan hilang juga.

Kita hanyalah manusia biasa. Saat hilang cintamu ...

Saat aku kehilangan mu
Hati dibaluti rasa pilu
Kedukaan ku pasti berlarutan
Kerna dikecewakan

Bagaikan aur dengan tebing
Kita mengatur langkah seiring
Menghadapi kepahitan hidup berdua
Pernah menangis bersama

Panas dan hujan.. ribut dan taufan
Telah menguji kesetiaan
Bersama keyakinan kita jadikan
Mimpi satu kenyataan

Tiada pernah ku menyangka
Kejayaan mengaburi mata
Sehinggakan kau merasa tak lagi perlu
Ku berada di sisi mu

Saturday, November 08, 2003

BERMALASAN DI PEJABAT

Hari Sabtu begitu malas sekali nak buat kerja. Terfikir nak balik tidur jer. Tapi pagi-pagi lagi dah terconggok depan PC kat ofis. Kerja memang banyak tapi aku takde mood nak buat satu benda pun hari ini. Kan bagus kalau hari Sabtu bercuti sebabnya kalau kerja pun macam melepaskan batuk di tangga. Kengkawan yang rumah jauh-jauh tu kesian jer kena bayar tol dan habiskan minyak kereta. Tapi itulah kehidupan dan hidup makan gaji nih. Nak kerja sendiri belum mampu lagi, syarikat adik belum kukuh lagi kalau dah ok maybe boleh join sama. Tapi kerja tetap perlu ada dan dia pun ada kerja tetap dengan sebuah bank di JB.

Nak buat apa hari ini? Baca suratkhabar? Melayari Internet? BerYM? Benda itu semua memang dilakukan, bersulam dengan tugas-tugas yang ada. Jadi tidaklah rasa bersalah, kita boleh buat 4 benda dalam satu ( 4 in 1) sebab kerja dengan PC jer kan. Tapi kalau pergi meeting tu memang kejung jer lah. Kalau boring memang boring tahap cipan. Muka boring yang tak boleh di paksa-paksa senyum. Teringat kalau kerja di kilang yang terpaksa berdiri 8 jam sehari dan tangan tak henti buat kerja. Mesti tension kerja macam tuh. Rasa bersyukur sangat-sangat dengan nikmat hidup yang Allah berikan. Alhamdulillah ...

Tak tahu lagi nak balik ke TK ker tak. Rindu kat masakan bonda, tapi malas nak drive balik TK. Ehh malas lagi. Ni macam penyakit jer nih. Penyakit malas memang teruk. Bila kita dah set kan kat otak kita, semua anggota badan jadi macam tak mahu nak buat apa. Mungkin nak pergi shopping baju raya Abah yang tak beli lagi tuhh. Kang beli lambat-lambat berebut plak. Tension kalau pergi mana-mana orang ramai macam semut. Rimas dan melemaskan. Suka pergi shopping tengah-tengah bulan yang orang tak ramai. Dan kita punya ketenangan nak buat apa sahaja. Orang pun tak perhatikan sesangat.

Marah kat Uncle Botak yang postpone buka posa bersama tuuh. Dia sibuk dengan bisnes dia jer. Oklahh ... tapi kalau dia sibuk dengan pergi jemputan buka posa rumah member-member dia yang lain memang ler aku geram. Sesuka hati jer cancel plan aku. Tapi memag ler aku tak suka buka kat luar. Leceh dan mengambil masa yang lama. Lagi pun aku makan sikit jer kalau bufet tuh cam tak berbaloi jer dengan selera aku yang memang jarang ada. Minum air dan 3 biji kurma plus kuih dah buat aku kenyang. Nasi biasanya tak habis. Tapi memang ada kengkawan yang beriya-iya ajak aku berbuka kat luar. Ramai yang terpaksa aku hampakan permintaan mereka. Sebabnya petang selalu hujan, pukul 8 malam dah masuk Isyak. Masa maghrib macam begitu pendik plak sebab dah digunakan untuk makan dan bermalasan. Insyaallah minggu depan aku nak merajinkan diri berbuka posa kat luar. Nak jumpa gak kengkawan baru aku yang aku kenal dalam dunia Cyber nih, selalu berYM tapi tak kenal lagi secara fizikal. Moga aku rajin minggu depan.

All at once I looked and you were gone
And now you're looking back at me
Searching for a way that we can be like we were before

Now I'm back to what I knew before you
Somehow the city doesn't look the same
I'd give my life for one more night
Of having you here to hold me tight; oh, please
Take me there again
Oh, oh

And I remember how you loved me
Time was all we had until the day we said goodbye
I remember every moment of those endless summer nights

I still recall the walks along the beaches
And the way your hair would glisten in the sun
Rising in the afternoon
Making love to you under the moon, oh

Do you remember all the nights we spent in silence
Every single breath you took was mine
We can have it all again
Say that you'll be with me when the sun brings your heart to mine
Oh, oh

There's only so much I can say
So please don't run away from what we have together
It's only you and me tonight
So let's stay lost in flight
Oh, won't you please surrender

Richard Marx - Endless Summer Nights


Friday, November 07, 2003

PERCIKKAN API KEBERANIAN

Rancangan TV seperti "Fear Factor" menggambarkan keberanian lebih kepada "kegilaan". Memanglah gila, hanya disebabkan AS50,000 peserta terpaksa melakukan 3 aksi yang mencabar dan mendebarkan. Keberanian yang ditonjolkan ini tidak memberi makna kepada khalayak penonton selain untuk berseronok buat seketika. Memperjudikan keselamatan diri untuk ganjaran yang tidak seberapa sedangkan penerbit mengutip jutaan dolar dengan menjual rancangan tersebut keseluruh dunia. Jadi keberanian ini tidak sedikit pun memberi sebarang makna kecualilah untuk kepuasan peribadi para peserta.

Amat membanggakan rancangan TV di negara kita kini semakin berani mengetengahkan permasalahan masyarakat terpinggir yang seakan tidak terbela nasibnya. Sedang kita enak menikmati juadah berbuka puasa. Menikmati kelazatan hidangan di Shroom atau Chakri Palace di KLCC. Ada keluarga lain di kampung - kampung hidup melarat, kelaparan dan kedinginan bila malam menjelma.

"Bantuan hanya tiba dengan banyak bila pilihan raya semakin dekat," keluh seorang ibu tua yang ditemubual di rancangan "7 di pihak Anda". Amat tidak masuk akal sekali di manakah tanggungjawab pihak yang berwajib selama ini sehinggakan keluarga tersebut "tidak tersentuh" dari senarai penerima bantuan kerajaan? Keluarga tersebut sebenarnya mewakili segelintar kelompok masyarakat yang tidak terbela nasibnya dan hidup dengan cara yang daif di negara kita yang telah 46 tahun merdeka ini. Rasanya banyak sekali program membasmi kemiskinan/program rakyat termiskin/ projek perumahan sebagainya disediakan oleh kerajaan bagi membantu golongan ini.

Terlalu sukarkah untuk rakyat menerima bantuan seperti ini? Dimanakah keprihatinan JKKK? Apakah peranan yang dimainkan oleh Ketua Kampung? Masyarakat sekeliling? Adakah ini disebabkan oleh birokrasi? Sikap pilih kasih di dalam memberikan bantuan atau penyelewengan yang memang menjadi barah dalam masyarakat kita? Akibatnya masyarakat ini terpinggir dan terus dihenyak dari mendapat pembelaan yang sewajarnya sebagai warganegara sah. Rasanya saya sudah tidak sanggup mendengar rintihan mereka saban hari di media ( terlalu hiba sehinggakan saya tidak lalu makan kadangkala ). Keberanian yang ditonjolkan oleh NTV7 wajar diberikan penghargaan. Tidaklah perlu membuat aksi-aksi melampau atau keterlaluan dalam mengetengahkan keberanian.

Memanglah keberanian itu sangat peribadi sifatnya. Ia tersembunyi jauh di lubuk jiwa seseorang. Ia tidak dapat disentuh dan diraba. Kita tidak akan dapat bersikap berani untuk orang lain. Begitu juga orang lain tidak akan dapat bersikap berani untuk kita. Wanita tua dalam rancangan "7 dipihak anda" itu dengan beraninya tampil di media dan mengetepikan maruah dan perasaan malu demi masa depan anak-anaknya. Untuk bercerita tentang masalah hidup yang bersifat peribadi juga memerlukan keberanian kerana program tersebut disiarkan ke seluruh negara.

Dalam kehidupan kita seharian terdapat perkara-perkara yang rupa-rupanya turut dikongsi bersama. Apabila seseorang mengambil sikap, sebuah model tercipta dan ia mencetuskan ilham buat orang lain.

Kadangkala, tanpa kita duga, salah satu usaha berani yang ditonjolkan itu dalam kes ini melalui media dan juga penulisan walaupun kecil dan tidak membuahkan hasil yang cemerlang rupa-rupanya dapat mempengaruhi orang lain. Penonton sekurang-kurangnya akan berasa diri bersyukur atas nikmat yang tuhan berikan padanya. Keinsafan wujud agar lebih menghargai kuniaan Allah. Tidak membazirkan makanan ketika berbuka puasa. Juga bagi yang kaya mengkin tergerak hati untuk menyumbang wang ringgit. Ini seterusnya memberikan keinsafan kepada khalayak penonton atau mempengaruhi orang lain. Ianya juga mungkin tentang nikmat hidup dan prinsip hidup yang diperjuangkan. Kesan darinya boleh digunakan oleh orang lain untuk membina sikap baru atau lebih keras berusaha untuk memperbaiki taraf kehidupan di dunia dan akhirat.

Ucapan dan tindakan seseorang manusia umpama siaran TV yang terpancar ke seluruh negara. Kita tidak memaksa penonton untuk mengikuti siarannya namun ianya akan terus disiarkan terus menerus. Kita tidak tahu berapa orang sebenarnya yang "memilih siaran ini atau program ini" tapi yang pastinya "penonton program ini" sebenarnya jauh lebih ramai daripada yang kita fikirkan.

Justeru tidak hairanlah jika perkataan / program TV yang diungkapkan ketika menentang ketidakadilan, penyelewengan juga penindasan, dalam diam menjadi cahaya yang menerangi kegelapan buat orang lain. Sedangkan apa yang kita lakukan itu hanyalah untuk menyalurkan tanggungjawab peribadi.

Walaupun tindakan yang dilakukan itu bukanlah bertujuan membuatkan orang lain berasa "kagum".terhadap diri kita, alangkah seronoknya apabila kita mengetahui percikan api keberanian kita yang peribadi sifatnya itu, rupa-rupanya menjadi embun yang menyegarkan orang lain.

Keberanian itu berjangkit. Apabila seseorang mengambil sikap berani, ia menggentarkan semangat orang lain - Billy Graham.

Thursday, November 06, 2003

SEBUAH DAERAH : NENEK DAN DUIT RAYA

Duit Raya, entah siapa yang memperkenalkan amalan ini. Mungkin kesan asimilasi budaya Melayu -Cina. Tapi memang menyeronokkan bila zaman kanak-kanak mengutip duit raya yang bernilai 10 sen ketika itu. Rasa amat bersyukur sekali. Tetapi zaman sekarang untuk adik-adik sendiri paling kurang RM50. Anak buah pula dah tak mahu duit besi, leceh berat kata mereka. Mereka juga sudah pandai demand. Muka masam jer kalau bagi seringgit.

"Singgit jer Acik Amal?", Hishh sebut nama aku pun tak betul lagi dah pandai komplen. Tapi Hari Raya memang untuk kanak-kanak. Merekalah insan-insan yang paling bahagia. Jadi berikanlah kegembiraan itu pada mereka.

Tak ingat pula bila kali pertama kami semua beraya di rumah nenek. Mungkin semenjak ada kereta sendiri di penghujung 1990-an. Kalau tidak hanya abah dan mak sahaja yang berbasikal tua ( teringat pada basikal tua ini) dan kemudian bermotor dari TK ker Ijok.

Kisah duit raya ini juga amat menjengkelkan. Memanglah realitinya manusia dibezakan dengan darjat dan kedudukan. Tapi rasa tidak apa kalau orang lain yang buat camtu. Tapi bila nenek sendiri buat begitu terasa lain. Rasa amat kejam sekali ( lebih tepat keji memetik kata-kata Joliekins ).

Selalunya kami akan bersalaman dengan nenek di hari raya yang pertama. Kami selalu datang sebelum Zohor. Anak-anak pakcik makcik yang lain seronok menayang duit kertas berwarna merah. Aku tak kisahkan hal itu sebabnya tak berkudis pun kat aku cuma untuk adik-adik mereka pasti ada pandangan sendiri.

"Ngapuro Nek …"

"Ya Sing podo-podo", Lalu nenek mengambil duit di celah saku baju dalamnya ( dalam *tut* sebenarnya, tempat simpanan duit nenek yang paling strategik ).

Huh tiba-tiba impian adik -adik aku bertukar, kalaupun bukan warna merah, hijau atau biru pun jadilah. Tapi dia bagi duit besi 50 sen jerr. Yana paling terhiris dengan peristiwa itu (saban tahun) lalu membiarkan sahaja duit itu terbiar di lantai.

"Takpelah Nek … simpan jerlah duit tu", kata Yana sampai menahan air mata dari berderai.

Tapi nenek memang berhati batu. Tidak pernah belajar dari kesilapan. Terlalu berkira entah apa yang difikirkannya. Nak kata tak mampu dia berharta dan pakcik sediakan begitu banyak duit raya untuk diagihkan saban tahun untuk nenek. Dia ingat kami ini bodoh dan tiada perasaan. Kenapa suka membeza.

"Laa ambik jerlah Yana, nenek ikhlas bagi ko cuma 50 sen jer." Mak cuba meredakan keadaan.

Kalau dulu kami budak-budak lagi takpelah. Bila dah besar dan perkara itu berlaku di depan mata kami amatlah kami terasa.

Tahun lepas elok sikit kami dapat seringgit. Saya gantikan duit itu dengan note merah dan bagi kat nenek semula. Dia menangis bila kami semua berpakat bagi duit raya tiap tahun padanya.

"Alah nek kami semua dah bekerja nenek, tak payahlah bagi duit raya lagi".

Ingatkan dia akan sedar. Perangai manusia sukar diubah. Tetaplah begitu. Moralnya kalau nak bagi duit raya bagilah sama adil. Kalau tidak jangan bagi langsung, juga jangan membeza-bezakan cucu.

Tak apalah nenek, kami sedar diri. Kami juga ada kelas yang tersendiri. Setiap hari kami doakan kesejahteraan nenek sepertimana cucu-cucu nenek yang lain. Cucu-cucu yang dapat duit raya berwarna merah saban tahun, semenjak bayi merah lagi.

"Tak bawak kuih raya Kak Hajah" Kata Nenek kepada Mak sambil memasukkan kuih yang hangus dan tidak menjadi ke dalam plastik. Begitulah yang dilakukan saban tahun kepada kami. Kuih hangus nenek diberikan kepada kami. Cuma kepada kami. Tapi Mak tetaplah ambik. Walaupun kami juga saban tahun bagi kuih raya yang paling cantik dan sedap yang mak buat.

Tapi inilah realiti hidup. Bila dah tua-tua nih rasa lain pula. Sukar menduga apa yang tersirat. Mengapa begitu dan mengapa tidak begini. Namun sekarang tidaklah begitu keterlaluan sangat sebab mak kami pun dah pandai membalas 'serangan" mereka tidak berdiam diri seperti sebelumnya.

Apapun Nenek, saya dan adik-adik tetap rindukan kuih raya hangus itu dan duit raya RM1 tahun ini. Nantikan kedatangan kami yer!


Bersambung …


BIAR SENDIRI DULU (PART 7)

Sambungan kisah ini, Part 6 telah ditulis oleh Merryhearted . Silalah berkunjung ke laman web Merryhearted untuk mengikuti kesinambungan kisah ini.


Hari itu aku ada mesyuarat di KL. Mesyuarat habis awal jadi aku bergegas ke tempatnya. Memang tak plan pun cuma nak "say hi" jer padanya. Suasana di kampus sememangnya sibuk. Sukar sekali hendak mendapatkan tempat parking. Aku cuba menghubunginya melalui handphonenya tapi tidak dapat.

Aku terus menuju ke fakulti kejuruteraan. Aku tahu selalu dia ada di lab menyiapkan ujikajinya. Aku bertanya dengan seorang pelajar yang lain dan dia menunjukkan aku tempatnya.

"Assalamualaikum, busy nampak"

"Hi, what a surprised! Waalaikumusalam. Takdelah busy kena buat lab test gak. Tak sesat ke?"

"Takdelah, naik kenderaan universiti", Aku tergelak .

"I call u tadi tak berjawab, then tanya pelajar tu tempat you."

"I was on the phone," jawabnya pendek.

Tut tut. SMS dari handphonenya. Dia tersenyum bila mendapat mesej tersebut lalu membalasnya semula. Aku pula sibuk melihat-lihat keadaan makmal kejuruteraan itu yang serba canggih. Aku perhatikan dari jauh dia masih lagi berbalasan SMS. Aku cuba bersikap sabar dengan keadaan itu.

"Eh sorry yer my fren hantar sms" , katanya seperti cuba memujuk atau terkesan aku memerhatikannya dari jauh.

"Siapa?", Soalku cuba menduga.

"Kawanlah," Dia tersenyum dan seperti cuba menyembunyikan sesuatu dariku. Aku tidak kisah. Kami bebas berbuat apa dan berkawan dengan sesiapapun aku amat sedar tentang itu.

"Kamarul, I nak siapkan kerja I sikit lagi tunggu I kat café boleh? I datang 10 minit lagi."

"Tak pelah I pun ada hal di ofis kena balik semula sebelum pukul 2. Takpelah kita jumpa lagi lain kali yer".

"Mmmmm oklah kalau macam tu." Jawabnya ringkas.

Aku pulang semula ke Cyberjaya dengan pelbagai persoalan yang bermain di fikiran. Aku cuba buang jauh-jauh dari memikirkan perkara yang tidak sepatutnya.
Tiba-tiba handphoneku berbunyi.

"Angah, mak suruh angah balik minggu ni ada hal penting. Ambik kita sekali". Yana rupanya.

"Oklah", jawabku pendik.

Hujung minggu itu aku ambil Yana di kolej dan kami bertolak ke TK. Sesampai di rumah. Makcik Ana telah ada di rumahku. Seperti yang kuduga. Kali ini dia memperkenalkan seseorang kepadaku lagi. Ini kali ketiga rasanya. Seorang guru yang mengajar di Sabak Bernam. Melalui gambar yang diberi. Orangnya nampak menarik juga. Aku cuba menolak dengan cara yang cukup bersopan. Aku faham mak cik Ana hampa dengan penolakanku itu. Emak dan Abah tidak boleh berbuat apa-apa. Itu adalah keputusan aku. Bagaimana boleh memberikan cinta andai hati tidak membenarkan.

Aku hargai jasa mereka dan sikap mengambil berat mereka itu. Aku katakan padanya yang aku telah berkenalan dengan seseorang. Mak tentunya insan yang paling gembira dengan berita itu. Fikiranku menerawang jauh ke KL. Mengingati dia. Aku berdoa agar segalanya menjadi seperti yang aku impikan.


Biar cinta
Terhalang gunung dan samudera
Aku tetap
Memegang janjiku padamu

Biar jurang
Yang terjal ada didepanku
Takkan goyah
Sumpahku kepada diri

Kita bagai kumbang dan bunga
Hatiku pasti hatimu jua
Namun mengapa ada saja
Yang benci tulus cinta kita

Jangan pisahkan, aku dan dia
Tuhan tolonglah, ku cinta dia
Biarkan kami tetap bersama
Di dalam suka dan duka


Bersambung ...

Part 8 kisah ini boleh diikuti di laman web Merryhearted kami mengambil giliran selang sehari untuk menulis kisah ini. Jadi silalah untuk menjenguk laman webnya nanti.







Wednesday, November 05, 2003

SEBUAH DAERAH : SEBUAH DENDAM YANG BERMAKNA!

Dalam hidup saya, TK sentiasa memahat kenangan pahit manis dalam mengharungi kehidupan. Sudah tentu tempat lahir ini tetap dikenang walau ke mana pun saya merantau. Eh! Merantau ker kalau selama 30 tahun 1 bulan 7 hari ini saya tidak pernah bermastautin "keluar" dari negeri Selangor. Cuma berganjak sedikit jauh dari daerah ini. Di TK sudah tentu ada ayah bonda. Juga kampung di mana sawah padi terbentang luas.

Ya, saya cuma anak petani. Namun bila menyelak kembali album keluarga, terpandang wajah ibu dalam gambar sekitar 1984 itu, hati sayu tiba-tiba. Ibu begitu tekun bersawah padi walau ketika itu sarat mengandungkan Yana. Terkesan garis keperitan hidup ketika itu dalam senyumannya.

Falsafah ibu"biar hidup susah tapi jangan malas". Bila TV saban petang dan dalam rancangan-rancangan lainnya memutarkan kisah penderitaan orang lain. Saya bersyukur keluarga kami dapat mengharungi hidup ini dengan kudrat dan usaha sendiri. Ayah berusaha keras untuk melihat kami berjaya. Ketika itu kami diajar hidup berdikari. Namun apa yang dipaparkan di TV tentang keluarga miskin ialah anak ramai, rumah yang usang yang tidak terurus, pinggan mangkuk tidak bercuci, rumah tunggang langgang, pakaian tidak berlipat dan lalang penuh di laman. Namun pasangan suami isteri kelihatan sihat walafiat. Hati juga terdetik kalau hilang upaya atau di timpa musibah tidak sihat boleh diterima juga. Simpati menjalar dan hati terkesan dengan penderitaan mereka. Tapi bagi yang lain, adakah mereka tidak cukup berusaha? Apakah halangan yang mereka hadapi? Nasib seseorang tidak akan berubah kalau diri sendiri tidak berusaha mengubahnya. Tapi entahlah masalah orang, hanya mereka sahaja yang mengetahuinya.

Di TK, ayah dan ibu tidak pernah duduk diam. Kami juga hidup susah ketika itu. Tingal di sebuah pondok kecil ditengah sawah tinggalan datuk. Selepas bersawah mereka berkebun di batas sawah. Setiap inci tanah di tanam cili, jagung, kacang panjang, ubi , pisang dan sebagainya yang sedia di petik. Juga membela ayam itik. Mereka tidak mahu kami kelaparan. Itulah salah satu usaha mereka. Sekurang-kurangnya menjimatkan belanja dapur. Bukan hanya membiarkan kawasan sekeliling rumah ditumbuhi lalang seperti yang pernah saya tonton di TV.

Saya tetap ingat detik-detik itu . Betapa seronoknya hati ketika musim menuai. Bila tiba hari 'menimba' kolam. Sepat, keli dan haruan terdampar. Bahagia sekali, berlarian bermain layang-layang di tengah bendang. Berjalan kaki ke sekolah rendah sejauh 4 km saban hari tidak menjadi hal. Kasut "plastik" mudah bocor itu nikmat paling dihargai. Hanya ada sebuah basikal untuk Kak Long. Seronok sekali berjalan ke sekolah dengan beg sandang berwarna hijau itu. Berjalan bersama anak jiran yang lain (juga arwah Jeff & Jalil). Sebab itulah saya berjalan laju sehingga kini Mawar, Ifa!

Saya rasa kesusahan hidup ketika itulah yang membentuk kami adik beradik menjadi orang. Walaupun saban tahun yuran dan buku sekolah lewat dibayar tapi ayah tetap berusaha sendiri membayarnya. Pakcik-pakcik walaupun berjawatan besar ( DO & jurutera, guru dan lain-lain) jarang menjenguk kami walaupun mak kakak sulung hatta ketika raya sekalipun. Cuma bila Kak Long mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke US. Mereka mula buka mata. Maaf sudah terlewat! Usah berpura-pura dengan kami. Kami tetaplah menjadi cucu-cucu yang paling tidak digemari. Tapi tuhan maha adil doa dan kesabaran mak bapak kami dimakbulkan Allah dan membuahkan hasil.

Bulan puasa zaman kanak-kanak cukup membahagiakan. Duit belanja dikumpul untuk membeli bunga apai dan mercun dan hanya dibakar di malam dan pagi raya (Merry korang anak beranak main bunga api yer malam tadi?). Meriam juga ada dibuat dan dentumannya saling bersahutan ketika waktu berbuka dan bersahur. Mengejutkan sekalian umat sekampung. Tidak ada pun orang yang mati keranaya. Oh ya air batu potong 30 sen itu juga cukup nostalgik, Beku tangan memegangnya hingga sampai ke rumah. Jauh tu nak ke kedai Cina untuk membelinya. Tugas sayalah saban petang.

Terawih , moreh cukup menyeronokkan. Siap boleh bungkus bawa balik lagi untuk orang di rumah. Cukup bahagia sekali tiap kali melihat mak tersenyum. Syukur kami tetap menggengam kebahagiaan itu hingga kini.

Namun langit tidak selalu cerah. Ada kabut walau di lorong yang lurus. Yana mengidap leukemia ( sebab mak mengandungkan Yana ketika usia hampir mencecah 38 tahun masa itu). Kisah ini pernah saya ceritakan. Dan ibu bertukar dari seorang wanita tipikal kampung yang pasrah menjadi wanita yang begitu mengkagumkan. Menyesallah nenek sebab tidak menyekolahkan mak dulu. Saya tahu dia terpanggang dengan penyesalan itu seumur hidup. Cut ! tidak baik puasa-pusa nih …

Entahlah kenapa saya menulis kisah ini. Mungkin saya ingin atau cuba mencari nafas mencairkan hati yang beku ini. Mungkin juga terkesan dengan kata-kata ahli psychologist James Pennebaker di Universiti Texas, Austin - Menulis sesuatu yang begitu bermakna kepada diri meningkatkan sistem kekebalan Sel-T, yang membantu mengelakkan selsema. Cara ini juga dapat menghentikan fikiran daripada asyik memikirkan perkara berkenaan dan terus maju. Katanya juga ( saya tujukan untuk adik Baiti ) - "pelajar yang mencatatkan ketakutan mereka tak kala melangkah ke kolej untuk kira-kira 20 minit 3 kali seminggu kurang berjumpa doktor berbanding mereka yang mencatatkan perkara-perkara merapu. Jadi luangkanlah masa 20 minit sehari untuk 3 hari berturut-turut secara terus-terusan menulis mengenai isu-isu yang mengacau fikiran kita.

Nota : Memetik kata-kata rakan blogger yang lain "Jurnal ini aku punya jadi aku punya sukalah nak tulis apa!" Hahaaahah.


Bersambung …

Kisah Serbuk Putih dan Sahabat di Daerah Bernama TK
SARINA Bil.20 November 2003 pp:112-114

Bila menonton program "Survivor", dimana tidak semestinya yang kuat akan berjaya, aku teringat kehidupan aku di kampong suatu ketika dulu. TK adalah kawasan pertanian, penduduk kampung di situ tertumpu kepada aktiviti bersawah. Bila aku melihat masa lalu dan apa yang berlaku pada kawan-kawan ku yang lain di daerah TK, aku mula mengerti kehidupan bukan sekadar meneruskan hidup tapi memerlukan kita berfikir, mentafsir dan bertindak.

Terfikir aku satu perkara, kesan penagihan dadah adalah antara sekelumit punca lelaki yang ada di negara kita terkeluar dari senarai "Lelaki Idaman Malaya". Maka tahun 2003 telah di isytiharkan Tahun Perangi Dadah Habis-habisan telah dilancarkan oleh Y.A.B Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri pada 29 Mac 2003.

Mengikut Statistik yang dikeluarkan oleh Buletin Dadah Bil. 2/2003 :

Sepanjang tempoh suku tahun pertama tahun ini ( Jan - Mac 2003) , seramai 9,383 orang menagih dadah telah dikesan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada 4,737 (50.48%) penagih baru dan 4,646 ( 49.52%) penagih berulang. Meningkat 5.0% jika dibandingkan dengan bilangan penagih yang dikesan pada tempoh masa yang sama tahun lalu (8,940).

Dari segi taburan, Pulau Pinang masih mencatatkan bilangan penagih paling ramai iaitu 1,886 orang, diikuti WP Kuala Lumpur ( 1,327) , Kelantan (1,077), Selangor (1,0730 dan Kedah (752)

Berbanding dengan tahun lalu, lima (5) negeri telah mencatatkan pertambahan iaitu Sarawak, Pahang, WP Kuala Lumpur, Kelantan dan Selangor. Manakala 9 negeri lain dan WP Labuan, menunjukkan bilangan penagih yang dikesan semakin menurun.

Profil penagih-penagih yang dikesan adalah seperti berikut:-
 99.1% Lelaki
 75.6% Melayu
 77.2% terdiri daripada golongan remaja/belia dan majoritinya adalah berumur antara 25-29 tahun;
 79.1% berpendidikan hingga sekolah menengah (sekurang-kurangnya tamat tingkatan 3);
 86.5% mempunyai pekerjaan ( majoritinya buruh am, 41.3%)
 75.7% merupakan penagih heroin/morfin, ( penagih ATS, 3.8%) dan
 51.0% mengakui mula terjebak dengan dadah disebabkan oleh pengaruh kawan.

Usia 12 - 17 tahun adalah zaman remaja yang amat mencabar. Masa tu siapa yang tidak lulus SRP dan tidak mahu mengulang tingkatan 3, tidak akan ke mana. Mereka hanya bersawah atau pergi ke KL kerja kontrak. Zaman remaja adalah zaman yang menuntut bimbingan dan kawalan dari keluarga secukupnya. Walaupun di kampung pengaruh rock/punk, berambut panjang, merokok dan sebagainya tetap ada. Tetapi yang paling dahsyat adalah gejala penagihan dadah dan ianya masih berlaku hingga ke hari ini.

Akibat penagihan dadah ramai kawan -kawanku semasa kecil yang seusia terlibat sama. Ada yang meninggal dunia, dan masih menagih sehingga kini. Jalil salah seorang anak jiran aku yang terlibat, pelajar pintar tapi kecundang akibat serbuk putih itu. Akhirnya meninggal dunia 2 tahun yang lepas. Bagi yang masih lagi meneruskan akitiviti tersebut sudah pasti keluarga masing-masing menghadapi saat-saat yang sukar.. Keluar masuk Pusat Serenti namun pembekal dadah terlalu licik untuk ditumpaskan dan tetap sedia menanti bila mereka keluar. Apa yang menjadi misteri pihak berkuasa masih tidak dapat menangkap siapakah dalang yang merosakkan anak bangsa ini terutama kawan-kawan sepermainanku.

Kematian Jeff sahabat sepermainanku amat menginsafkan. Kenapalah kesilapan yang satu ini sukar untuk mencari titik temu pangkal jalan. Memasuki lembah itu bakal maut menjemput. Namun sebelum itu penyiksaannya maha hebat bertahun menanggung sengsara. Keluarganya mungkin lega, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu risau tentang anaknya yang seorang itu. Tetapi naluri ibu tetap sama mereka tetap menerima keadaan anak walau dalam apa juga takdirnya. Mereka memang tabah.

Namun bagi orang luar yang tidak mengerti. Yang masih tebal sikap keangkuhannya , biarkanlan hari ini nasib mereka. Esok belum tentu dan bila kena batang hidung sendiri barulah mereka tahu langit ini tinggi atau rendahnya. Arwah Jeff telah di hantar pulang setelah pusat pemulihan merasakan dia sudah tidak punya peluang lagi untuk hidup. Keadaanya amat tenat, begitulah yang dikhabarkan oleh ibu. Hospital di TK juga tidak mahu merawat Jeff ini kerana mereka tidak mendapat sokongan dari pusat pemulihan. Bukan setakat itu sahaja kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Jeff. Saat untuk memandikan jenazah juga amat memeritkan. Orang yang diamanahkan untuk melunaskan tanggungjawab tersebut tidak muncul tiba sehingga ke petang. Akhirnya mereka pergi semula ke hospital dan merayu pembantu perubatan menunjukkan kaedah yang pemandian jenazah yang sebegitu. Ahli keluarganya yang melakukannya sendiri dengan arahan pembantu perubatan tersebut. Penggunaan klorox dan sebagainya keatas jenazah. Bila aku mendengar cerita ibu, aku amat terkilan dengan sikap sesetengah orang itu. Yang terlebih dahulu menjatuhkan hukum, bukankah itu kerja Allah. walau sebagaimana kejinya kehidupan yang dipilih semasa hidupnya. Adalah menjadi tangungjawab yang hidup untuk menyempurnakan jenazah.. Ibu yang tidak bersekolah itu pun tahu bagaimana AIDS merebak. Dan yang menambahkan geram di hati, dia tidak muncul di hari tersebut. Pembantu perubatan yang lain juga tidak dimaklumkan.

Dulu ketika seorang lagi kawan aku meninggal dengan cara yang sama. Mayatnya tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam masjid untuk disembahyangkan. Hanya di biarkan di luar kepanasan. Aku amat sayu melihat kedua ibubapanya ketika itu. Walaupun mayat tersebut telah dibungkus dengan plastik dan sebagainya. TK kini menjadi lubuk penagihan dadah. Mana yang tidak keluar dari lingkaran maut itu akan terjebak dan arwah Jeff & Jalil adalah lambang kebejatan hidup. Mereka tertewas ...

Bersyukurlah jika kita mempunyai keluarga yang sempurna, berjaya dari segi akademik dan kerjaya. Setiap tahun pada 31 Mei Hari Keluarga Kebangsaan diraikan , mungkin kita patut menilai semula peranan kita kepada masyarakat terutama jiran tetangga. Adakah kita hanya menjadi jiran yang hanya mentertawakan musibah yang berlaku keatas orang lain semata-mata itu bukan masalah kita? Mungkin kita bernasib baik, perkara itu tidak berlaku pada anak kita tetapi cucu-cicit dan menantu kita belum tentu lagi. Maka beringatlah dan bersedia.

Zaman remaja merupakan satu tahap yang amat kritikal untuk menentukan hala tuju kehidupan kita. Keluarga berperanan untuk membimbing anak-anak mereka terutama yang lelaki untuk menuju landasan yang betul dalam hidup mereka. Tapi anak-anaklah yang seharusnya bertanggungjawab terhadap apa sahaja tindakan yang diambil. Mereka tidak boleh menuding jari pada orang lain. Ibu bapa hanya dapat berjumpa anak semasa di rumah. Mereka boleh berbohong dan berlakon semasa berada di rumah. Kelakuan sebenar mereka sukar dikesan dan apa yang mereka lakukan di luar sukar untuk dihidu hinggalah perkara itu telah terlewat.


Kalau mereka terjebak masih ada sinar harapan jika mereka sendiri berusaha untuk menangani masalah yang mereka hadapi. Kupanjatkan doa agar sahabat-sahabat aku yang lain di TK mampu mengharungi hidup dengan lebih waras. Semoga kisah yang aku catatkan diatas mampu memberi pengajaran bahawa dalam hidup ini tiada satu pun perkara yang mustahil akan berlaku. Kejayaan dalam hidup bermula dengan sebuah keluarga yang kukuh. Sahabat dan jiran tetangga juga perlu di berikan perhatian. Bimbinglah mereka jika landasan kehidupan mereka tergelincir. Untuk dua sahabat allahyarham Jalil dan Jeff maafkan aku kerana tidak mampu berbuat apa-apa!


Catatan :
Azhan Assaha Kamal
Cyberjaya Selangor.



Tuesday, November 04, 2003

BIAR SENDIRI DULU (PART 5)

Sambungan kisah ini, Part 4 telah ditulis oleh Merryhearted . Silalah berkunjung ke laman web Merryhearted untuk mengikuti kesinambungan kisah ini.


"Bila kau datang kabut pun hilang
Sebatang jalan kudus
Terbentang lurus
Aku berjalan di atasnya …"


Segalanya seakan berubah bila kau datang menyapaku lewat emailmu yang pertama. Setiap hari ada marathon berbalasan email. Ada sahaja yang ingin dibualkan. Terasa musim bunga baru bermula. Atau aku sahaja yang tersapa oleh harum baunya. Sedangkan dia … Keadaan menjadi mudah selepas itu. Email, YM, panggilan telefon dan ribuan SMS sentiasa silih berganti, mencuri ruang yang ada. Hidup seakan cukup terisi dengan aktiviti. Aku jadi begitu sibuk sekali melayan tiap bicaramu.

Ada waktunya kita meluangkan masa untuk berjumpa. Di KLCC yang bersejarah itu. Aku pada mulanya begitu 'gementar' sekali ingin ke sana. Kau mengesan kelemahanku. Aku buta jalan, segala peta dan tanda arahan untuk memandu ke sana kau sediakan begitu detail sekali. Perjumpaan pertama di Senja kemudian ke Chakri Palace dan kemudian berani untuk bersidai dan ketawa tak ingat dunia di café-café menghadap tasik dan pancuran . Kita menjadi begitu akrab dan terjalinlah ikatan yang mesra. Sesuatu yang amat aku hargai.

"Kat mana ni huh"

"Baru sampai Sungai Besi lah, jammed teruk ni, camner huhh lambat tau sampai ni. wayang start kol berapa?".

"Pukul. 9.25, masuk Chan Saw Lin ler "

"Huh Chan Saw Lin?"

" Yer lalu jalan nak ker Percetakan Nasional then terus, ada trafic lights bla bla bla …"

Pening aku jadinya. Tapi tetaplah sampai lewat. Kesian dia, merajuk lagi. Tapi rajuk itulah yang paling aku suka. Tidak terlalu lama. Dia sentiasa memahami dan selalu berkata "Its ok next time datang sebelum subuh". Aduhh …

Dia memang seorang co-pilot yang mahir dengan jalan di KL. Pernah dia marah kat aku dan gelak guling-guling sebab dari Cheras aku balik semula ke Cyberjaya untuk ke TK.

"Oh lalu jalan yang tahu yerr?. Aku senyum sahaja. Memang aku tak berapa reti jalan di KL. Sebabnya dulu ke mana-mana pun aku naik teksi atau bas sahaja. Kalau meeting mesti sediakan transport kalau tak aku tak pergi.

Tapi kalau di tempat lain aku reti pulak. Tak ada masalah masa di Melbourne dan Sydney dulu. Tak sesat pun nak pergi kemana-mana. Tak pernah risau. Cuma aku memang agak fobia dengan jalan di KL. Nasib baik dia faham keadaan aku ketika itu. Tahulah aku mana nak pergi . Kalau aku di KL dia yang akan bawak aku berjalan-jalan, dia tunjukkan arah dan aku memandu. Gelak sendirian mengenangkan hal itu.

Te Amo, diksi inilah yang paling aku ingati. Setiap kiriman email dan SMS pasti di akhiri dengannya. Te Amo? Perkataan apakah ini? Aku sering bertanya pada rakan-rakan yang lain tentang maknanya. Mereka hanya tersenyum. Samada tahu atau tidak, mereka hanya diam. Aku rajinkan diri ke perpustakaan menyelak lembaran kamus dan buku tidak juga ku temui maknanya. Mungkin tersilap rujuk.

Akhirnya kenalan dari YM memberikan maksudnya. "I Love You dari perkataan Itali". Oh benarkah begitu? Jadi dia pun punya perasaan itu, bukan hanya aku sahaja yang dihempap rasa itu sendirian. Bila ku ajukan pertanyaan itu padanya lewat sms, jawabnya tetaplah Te Amo!

Tiga perkataan keramat itu telah mengubah persepsi aku tentang hidup dan kebosanan. Kesunyian telah lari lintang-pukang bila hatiku saban hari riang dan menyanyi nyanyi. Aku semakin bersemangat untuk melakukan semua perkara. Seakan-akan semua yang ada disekelilingku turut sama tersenyum dan merestuinya. Ketawa, aku tidak segan silu untuk ketawa. Juga betah untuk menonton lawak Senario yang kadangkala aku tidak faham hujung pangkalnya. Ibu perasan perubahan besar ini, sesuatu berlaku dalam hidup aku.

Aku sedar kini dia adalah nafasku!


Bersambung ...

Part 6 kisah ini boleh diikuti di laman web Merryhearted kami mengambil giliran selang sehari untuk menulis kisah ini. Jadi silalah untuk menjenguk laman webnya nanti.



Monday, November 03, 2003

YANG AKU MAHU

Tidak semua orang layak untuk disayangi. Ayat ini nampak sedikit kejam tetapi itulah realitinya. Tidak semua orang berhak untuk mendapatkan perhatian, tumpuan dan kasih sayang yang kita ada. Kenapa? Sebabnya tidak semua orang pandai menghargai apa yang kita berikan itu. Nadanya macam sedikit kecewa.

Seharusnya memberi tanpa mengharapkan balasan. Itu tidak mungkin terjadi dalam keadaan sekarang. Orang memberi biasanya inginkan sesuatu, samada material ataupun perhatian. Namun ada juga insan-insan yang benar-benar ikhlas dalam memberi. Namun itu mungkin sebutir mutiara yang sedikit berkilau dari ribuan tiram. Masih ada insan-insan yang jujur dalam persahabatan. Segelintir aku temui lewat dunia cyber. Tanpa pernah bertemu namun kami seolah-olah begitu akrab. Bagai bertahun kenal . Jadi dunia ini tidaklah sebegitu kejam bukan?

Benar ianya tidaklah teruk sangat. Namun pengalaman lalu terasa masih membekas. Memberikan segalanya namun mungkin aku terlalu beriya untuk mendapatkan perhatiannya. Disinilah silapnya. Kurasa itu adalah tindakan yang silap. Dia memang tidak berhak ke atas segalanya itu.

Manusia hidup atas dorongan dan apa yang dia mahu. Kalau dirasakan kita tidak mampu memberikan apa yang dia ingin. Dia akan memilih jalan pintas dan pergi. Tapi semudah itukah? Tidak, biasanya tidak begitu. Dia juga akan memilih jalan selamat yang difikirkan akan menguntungkannya kelak. Dia akan menurunkan sedikit 'darjat' kita kalau dulu kekasih kini sahabat baik atau teman biasa. Sebabnya yang paling rasional sekali ialah bila kekasih baru tidak memenuhi spesifikasinya atau lebih 'hampeh' dari yang sedia ada, dia masih berpeluang untuk 'menaik tarafkan' kita lagi di masa depan. Itulah strateginya.

Namun dia silap. Aku paling benci jika dijadikan pilihan terakhir. Dari dulu lagi kalau aku menjadi 'last choice' aku cukup geram dan memberontak. Rasa diri begitu hina hatta semasa bekerja pun. Kalau boss meletakkan kita dalam senarai simpanan untuk sesuatu projek atau tugasan . Aku akan berasa tidak cukup bagus dengan sendirinya.

Dalam hidup apa yang aku mahu adalah kejujuran dan pengertian. Ikhlas dalam sesuatu perhubungan dan saling menghormati antara satu sama lain. Saling mempercayai dan memerlukan. Segalanya perlu berlandaskan prinsip hidup yang sama, tidak mahu menyakiti hati dan perasaan orang lain. Saling mengasihi sesama insan. Selalunya bila orang lain baik dan menghormati aku, dia akan aku hormati dan hargai 100 kali ganda. Dan begitulah sebaliknya. Hidup kita ini memang saling bersandaran. Tidak perlulah bergaduh dan bermasam muka. Mungkin suatu hari nanti kita pula akan meminta pertolongan darinya. Hidup adalah roda yang berputar.

Sunday, November 02, 2003

BANGUNAN BERKUBAH HIJAU

Peralihan kuasa berlaku dengan lancar sekali pada Jumaat 31 Oktober 2.45 petang. Tiada demontrasi, malah bagai ditangisi rakyat jelata. Negarawan ulung pergi meninggalkan kerusi panas di bangunan berkubah hijau itu. Selama 22 tahun 3 bulan, segala visi dan pandangannya membayangi setiap detik nadi Malaysia. Selamat bersara Tun Dr. Mahathir, jelajahilah nikmat Allah ini dan mungkin kau akan temui apa yang tak pernah kau terfikirkan. Kita hanya insan biasa punya kelemahan kadangkala apa yang kita fikirkan tidak selari dengan kemahuan. Juga kagum dengan keupayaanmu memacu Malaysia melewati detik-detik gelap dan sengsara. Malaysia kini berjalan di landasan yang teguh dan bagai satu lorong kudus yang kau tinggalkan buat penggantimu. Salam bahagia Dr.M.

Selamat datang Pak Lah kebangunan berkubah hijau ini! Jernih tasik disekeliling dan Masjid Putrajaya tersergam di laman. Warnailah Malaysia dengan kejayaan dan paculah makna cemerlang agar Malaysia kian gemilang. Allahuakbar!